Saturday, December 27, 2008

Pengalaman di Port Dickson


Anak Buah saya


Bersiap sedia untuk berkayak!

Pada 15-17 Disember yang lalu, saya berkesempatan menyertai program pemantapan syahsiah di Kolej Uniti Port Dickson. Program ini dianjurkan oleh Kafa Masjid Kolej Islam Malaya Petaling Jaya. Kebanyakan peserta adalah pelajar Kafa itu sendiri beserta alumni sekolah yang berumur antara 9 tahun hingga 16 tahun.

Bertemakan syahsiah cemerlang,pelajar gemilang, bermulalah satu kehidupan baru di bumi port Dickson. Satu kehidupan yang menekankan aspek syahsiah selain motivasi diri dan ibadah. Syahsiah pelajar di sini boleh dikatakan baik walaupun ada seorang atau dua orang yang kurang dari segi itu. Bagi saya sendiri, program ini juga ingin mengisi masa cuti pelajar sambil diisi dengan aktiviti kerohanian dan fizikal yang tentunya amat menyeronokkan.

Program ini juga disertai oleh mahasiswa UIA yang menjadi fasilitator program ini. Mereka semua ini sedang cuti semester. Kebanyakan mereka dari UIA Kuantan dan UIA Gombak. Berbekalkan modul yang dipimpin oleh Ketua Fasi iaitu Mohd Suhairi dan AJK Displin Abang Khairul Ridwan, program ini bermula dengan satu matlamat untuk mendidik anak bangsa kita.

Di dalam program ini, banyak aktiviti luar tidak kurang juga aktiviti dalaman. Hal ini bertujuan untuk membina ketahanan diri dari segi mental, fizikal, rohani dan emosi. Setibanya mereka di sini, mereka dipecahkan ikut kumpulan dan dipimpin oleh fasilitator yang telah ditentukan. Saya dikira bertuah mendapat anak buah yang baik-baik dan mudah mendengar kata.

Setiap kumpulan perlu memikirkan nama,lambang dan logo. Kumpulan saya setelah lama dibincangkan bersama anak buah akhirnya terbinalah nama Usrah. Ini pun saya yang bagi nama. Maklumlah budak-budak lagi. Dalam kumpulan saya ini yang paling muda adalah darjah tiga dan paling tua adalah tingkatan lima. Pening saya dibuat mereka.

Aktiviti yang paling menyentuh diri dalam program ini adalah slot bersama Balang. Nama sebenarnya saya lupa. Beliau ini mempunyai satu konsultan latihan yang khusus dalam membina kesedaran kepada golongan muda. Slot beliau yang lebih kepada realiti zaman sekarang membuatkan saya juga merasai apa yang peserta rasa dalam slot ini. Beliau banyak menunjukkan apabila kita membuat dosa apa yang akan terjadi beserta dengan praktikalnya sekali. Beliau ini sebenarnya pernah menyertai askar dan caranya juga lebih kurang seperti askar. Gerun juga apabila beliau membuat perumpamaan api neraka dan api dunia. Api dunia beliau menggunakan mancis dan seorang pelajar dipanggil untuk merasai kepanasannya. Tidak tersanggup peserta itu menanggung kepanasan. Memang menakutkan.

Selepas itu, ada juga aktiviti yang menyeronokkan. Yelah, tidak lengkap jika tiada aktiviti yang gembirakan diri. Sedih pun sedih juga tetapi gembira pun mesti ada juga. Tidak begitu semua?

Program berkayak bagi saya amat menyeronokkan. Mana tidaknya, ini merupakan kali kedua berkayak dalam hidup saya. Sebelum kami semua berkayak, kami di beri taklimat cara permainan ini. Orang yang memberi taklimat ini merupakan jurulatih PLKN dan sudah biasa dalam aktiviti berkayak ini. Sebenarnya untuk bermain kayak ini, bukan mudah. Banyak ilmu yang kita perlu tahun seperti cara untuk menghentikan kayak, cara untuk meyelamatkan diri jika kayak kita terbalik dan sebagainya. Sehari pelajaran memang tidak mencukupi. Taklimat yang diberikan itu hanyalah perkara asas dalam berkayak. Hanya Allah swt sahajalah yang mengetahui perasaan saya ketika itu. Susah untuk dibayangkan lebih-lebih lagi apabila kita berkayak di tengah-tengah lautan. Satu pengalaman yang amat menyeronokkan.

Akhirnya tibalah masa ke penutupan program. Program ini ditutup oleh Pengerusi KAFA itu sendiri. Penyampaian hadiah juga disampaikan kepada semua peserta. Kumpulan saya mendapat tempat kedua terbaik. Saya pun tidak tahu cara pengiraan mereka. Gembira bukan main lagi anak buah saya mendapat hamper besar. Tidak termakan mereka.

Sebelum majlis berpisah, kami sempat untuk mengambil gambar bersama-sama dengan Pengerusi KAFA. Suka duka, Penat lelah semuanya dihabiskan dengan perasaan puas. Walaupun kami semua penat melayan mereka tetapi hati kami puas. Saya sendiri sangat penat dengan program ini. Tetapi amat puas dengan diri.

Akhir kata, biar kita berpenat demi Islam daripada berpenat benda yang tidak berfaedah. Biar diri kita menjadi taruhan, daripada agama kita dimaki dan dihina.

Ingatlah, Masa yang kita ada singkat sekali. Masa tidak akan menunggu kita. Berilah sedikit masa untuk agama nescaya Allah swt akan memberi lebih daripada apa yang kita sangkakan.

2 comments:

Dendei said...

Wah...seronoknya dapat berkayak...

Lepas ni kita ajak pimpinan pegi berkayak ya...(n_n)

Nikuve's said...

em.. best2.. nnti ajak Nik skali..
hehe