Thursday, October 23, 2008

Lambang PPINS baru



Alhamdulillah, lambang PPINS sudah siap. Semua yang dirancang jika dengan niat yang betul insya allah akan dipermudahkan. Selepas ini, lambang ini akan menjadi satu pengertian bahawa PPINS akan terus relevan khususnya di muka bumi Negeri Sembilan. Doa dan komitmen yang daripada semua sangat diharapkan agar kerja dakwah kita ini akan terus mekar mewangi ke seluruh alam.


“Hidup Biar Berjasa”

“Satukanlah Hati Kami”



Layari blog PPINS

Tuesday, October 21, 2008

Terapi solat





KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia. SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia. Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.



Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan. Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia. “Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya. Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris. Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.



Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah. Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu. Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama. “Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.



Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu. Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Saturday, October 18, 2008

Nikmat dunia yang tidak terkata.


Bersama Syed Munawwar, Hos Rancangan TV 1



“Rumah anta buat open house tak tahun ni?” Kawan saya bertanya. “Saya memang tiap-tiap tahun buat ‘open house’ apa. Gelak kami berdua. Memang menyeronokkan apabila bincang pasal hari raya ini. Sampai ke malam tidak akan habis.

Hari Raya tahun ini memang menyeronokkan seperti post saya sebelum ini. Tetapi keseronokkan itu lebih meriah jika kita tahu menghargai nikmat yang diberikan dengan sebaiknya. Nikmat ini tidak datang selalu dan ia datang hanya setahun sekali sahaja.

Bila hari raya sahaja, semua seronok bangat. Tetapi seronok dengan apa? Pastinya saya ingin membawa kepada anda tentang Rumah Terbuka. Rumah Terbuka adalah satu adat kita untuk mengajak dan meraikan semua sanak saudara,sahabat dan keluarga terdekat untuk datang ke rumah sambil menjamu selera. Bahkan, bukan adat orang melayu sahaja amalan ini dilakukan malah bangsa lain seperti india dan china juga tetap turut mengadakan rumah terbuka.

Bila sebut pasal rumah terbuka pasti akan terfikir oleh benak kita tentang makanan. Pasti kita akan tertanya apalah makanan yang yang disediakan ini. Kadang-kadang salah niat pun boleh lain jadinya. Kita di Malaysia sangat bertuah dan beruntung kerana rezeki yang dikurniakan melimpah ruah terutama makanan masa hari raya.

Makanan pada tahun ini rasanya sangat menarik sekali untuk dibincangkan. Juadah masa raya pada tahun ini kebanyakannya saya pergi ke rumah kawan dan pensyarah adalah Mee Soto. Rasanya pergi rumah mana-mana pun pasti tuan rumah akan menghidangkan Mee Soto ini kepada saya. Bab makan ini bagi saya tiada masalah pun. Janji enak rasanya.

Makan pun sudah, duit raya pun dah dapat, apa lagi ek? Pastinya kita kena beringat akan kesihatan kita ini. Saya sendiri masa raya ini sudah naik 1 kilo. Memang dahsyat. Jamuan raya sehari itu kadang-kadang sampai 4 buah rumah saya pergi. Cuba anda bayangkan? Semuanya nikmat yang terkata. Semoga mendapat pengajaran.

*Kuih Raya yang paling sedap adalah Elmond London.

* Terima Kasih kepada semua sahabat yang mengadakan Rumah Terbuka semalam. Semoga Ukhuwah terus terbina ke akhirnya.

1. Dr Farid dan sekeluarga.

2. Nadzifatul Huda dan sekeluarga.

3. Asila dan sekeluarga.

4. Uncle Jaafar Rahim.

Thursday, October 16, 2008

Masa pecutan terakhir...


Masa begitu cepat meninggalkan kita. Dengan masa juga kita akan berubah menjadi lebih baik ataupun sebaliknya. Dengan masa kita akan menjadi rugi. Dengan masa juga kita akan untung. Semuanya bergantung kepada kita bagaimana menguruskan masa dengan betul..

Hari ini sudah masuk ke 17 Syawal bersamaan 17hb Oktober 2008. Saya baru sahaja menghabiskan satu exam UBS Accounting. Betapa penatnya saya malam tadi mengulangkaji. Dan tadilah saya melepaskan kepenatan saya dengan berfikir dan mengira. Insya Allah semoga dipermudahkan hendaknya.

Di sini saya ingin berkongsi akan kepahitan yang akan menjadi manis apabila sampai waktunya. Di dunia yang serba mencabar dan penuh dengan fitnah ini, kita memerlukan sekurang-kurangnya daya kekuatan yang tersendiri yang bukan terikut dengan gaya orang lain dan bukan juga hanya semangat-semangatan. Kesusahan yang dialami oleh seseorang individu itu berbeza keadaannya dengan orang lain yang mengalami kesusahan itu.

Peranan sahabat-sahabat amat penting di dalam masa pecutan terakhir ini. Selain kekuatan dalaman dan juga kekuatan luaran,sahabat, strategi untuk menguruskan masa juga perlu dititik beratkan yang amat sangat terutama dalam waktu terdekat untuk menghadapi peperiksaan ini. Kadang-kadang kerja 'last minute' bagi sesetengah antara kita lebih baik daripada kerja di awal waktu. Ada juga yang biasa belajar dari sedikit demi sedikit sehingga hampir untuk menghadapi peperiksaan. Bagi saya secara peribadi, saya suka belajar secara sistematik. Tetapi ini semuanya terpulang kepada anda untuk menilai.

Maka di sini kita perlu sentiasa bersifat 'husnu zhon' walau apa jua sekalipun lebih-lebih lagi di antara sahabat kita. Saya sendiri sudah merasai perkara ini dan terbukti ia memang menyakitkan dan sentiasa berasa bersalah apabila tanggapan terhadap sahabat kita adalah tidak baik. Perkara ini membuatkan saya sedar bahawa sifat husnu zhon ini perlu ada dalam setiap individu untuk mengelakkan diri kita ini sentiasa positif selain dapat mempositifkan orang lain.

Apa-apapun dalam masa pecutan terakhir ini apa-apa jua boleh terjadi. Sahabat boleh menjadi musuh, musuh boleh menjadi sahabat dan sebagainya. Manusia sifatnya pelupa. Dan manusia tidak boleh hidup seorang tanpa orang lain. Semuanya telah ditakdirkan oleh Allah swt. Tetapi adakah kita hanya menyalahkan takdir jika perkara yang kita usahakan tidak menjadi kenyataan?

Semuanya bergantung kepada kita. Yang penting bagaimana usaha kita ke arah itu dan apa bekalan yang kita bawa untuk sampai ke sana. Saya mengingat kepada diri saya dan juga sahabat semua bahawa kita perlu ada prinsip sendiri. Di samping nasihat dan teguran daripada sahabat dan orang yang rapat dengan kita, kita sendiri perlu mempunyai prinsip diri dahulu baru boleh diadun dengan nasihat dan teguran orang lain. Semuanya bermula dari kita.

Terima Kasih kepada semua yang sudi membaca entri ini walaupun sebenarnya tiada isi pun. Sebab selain saya berkongsi sedikit ilmu. daripada menulis juga, saya dapat menenangkan fikiran saya. Itulah yang paling penting untuk kita ambil pedoman.

Thursday, October 9, 2008

Kerja yang tiada titik noktah....


Bersama sahabat Titian Wahyu

Alhamdulillah, habis dah kerja aku untuk sem ini. Tetapi apapun lepas ini, aku kena tolong budak baru ini dari segi kewangan dan pergerakan persatuan ini. Kerja dunia ini sampai bila2 tidak akan habis. Aku berfikir sendirian..

Kadang-kadang kita sebagai manusia perlu untuk berehat seperti manusia yang lain. Dalam konteks kita sebagai pelajar adalah pergi ke kelas dan belajar dan tidur. Itulah rutin sebagai pelajar yang sempit. Tetapi apapun tugas kita sebenarnya lebih besar dan tidak terjangkau dek akal kita.

Kerja di lapangan dakwah ini memerlukan kita sentiasa kuat jasmani dan rohani. Jika tidak kuat dua perkara ini pasti kita akan mengeluh dan penat di kemudian hari.Oleh itu, peranan sahabat2 sejemaah dengan kita perlu dalam mengembalikan semangat kita selain kebergantungan harap kepada Allah swt.

Di dalam dunia ini, mana ada benda yang senang dan mudah. Hatta hendak makan pun memerlukan kita menyuap ada kalanya menyusahkan. Di sini saya ingin berkongsi satu teori otak yang tidak disedari oleh kita. Ada satu kajian dibuat menunjukkan otak kita ini boleh memproses lebih dari pemprosesan satu komputer. Di otak kita ini ada sejenis neuron. Jika neuron ini tidak digunakan sebaiknya dan tidak dibesarkan maka ia akan lemah dan kendur. Akhirnya ia tidak lagi berguna kepada kita.

Otak Albert Einstein jika kajian oleh Universiti di UK menunjukkan beliau telah menggunakan sebanyak 80% daripada kapisiti otaknya. Dan sekarang teori bom beliau telah digunakan sebagai salah satu senjata pertahanan yang sangat dahsyat sekali walaupun teori ini belum dipasarkan ke luar. Oleh itu, gunakanlah sebaiknya keupayaan otak kita semaksimum yang mungkin kerana kita tidak tahu keupayaan sebenar kita. Semua masalah yang timbul di dunia ini pasti ada ubatnya. Kita sahaja yang membiarkan orang lain memikirkan untuk kita sedangkan kita tahu kita boleh menjadi agen perubah yang tidak disangka-sangkakan.

Selain kita menggunakan kekuatan jasmani dalam menjalankan kerja, ia amat penting untuk kita peringatkan bahawa kekuatan tawakkal kita kepada Allah swt amat penting sekali melebihi kekuatan yang lain. Hal ini kerana apa sahaja kerja yang kita lakukan tidak semestinya mendapat keberkatan daripada Allah jika kita hanya membuat kerja hanya ingin menunjuk-nunjuk ataupun mempunyai niat di sebaliknya. Kadang-kadang kerja kita tidak menjadi dan tidak berjaya mungkin disebabkan kita sebelum membuat kerja banyak melakukan maksiat yang tidak sedar,tidak membetulkan niat dan sebagainya yang rasanya anda semua mesti faham. Oleh itu, niat dan tawakkal kepada Allah perlu diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Dan sekarang peperiksaan akhir sem akan tiba tidak lama lagi. Kalau dikira dari sekarang tinggal lagi 14 hari untuk sampai ke tarikh peperiksaan. Di sinilah kita hendak merancang dengan sebaiknya masa yang ada untuk belajar sambil tidak mengabaikan kerja yang tidak terfikir dek akal kita seperti yang saya sebutkan di atas.

Hendak tahu apa kerja yang tidak terfikir dek akal??

Anda bisa mengetahuinya sebentar lagi......


AGM IYC





Video Club IYC untuk tatapan semua!! Selamat Hari Raya!!!

*Good Luck Exam to ALL students UIAM..

Sunday, October 5, 2008

Bermula sebuah cerita penuh liku….


Bersama abah dan ibu di Cameron Highland


“Pukul berapa ekau sampai td? Macam mana rayo di kampong? Kawan bilik saya cuba bertutur loghat Negeri Sembilan. Dia semalam lagi sudah sampai UIA. Rumah dia di Klang sahaja. Alhamdulillah, Zohor tadi aku sampai. Dari Cameron Highland. Penat sangat beraya di sana. Beraya dengan keluarga. Masa raya la saya dapat bersama keluarga. Selepas ini, sudah bermula peperiksaan sekolah,semester dan sebagainya. Bermulanya cerita penuh liku yang tidak tahu bagaimana permulaan dan pengakhirannya. Kita doakan yang terbaik.

Hari ini hari ahad bersamaan 5hb Oktober/Syawal, akhirnya sampai juga saya di Taman Ilmu dan Budi. Tempat menuntut ilmu yang saya kagumi sejak saya sekolah menengah lagi. Bermimpi-mimpi saya hendak masuk ke sini. Akhirnya berjaya juga melangkah masuk ke sini. Semuanya rezeki dan pertolongan yang Maha Esa.

Sebelum saya sampai ke UIA, saya dan keluarga sempat pergi bercuti di Cameron Highland. Tempat peranginan yang sejuk dan nyaman sekali. Tujuan ayah saya membawa ke sini adalah untuk melapangkan fikiran dan bermuhasabah bersama tentang hala tuju hidup yang akhir-akhir ini semakin jauh tersimpang dari landasannya.

Memikirkan masa depan

Yelah, saya dengan pelajarannya dan lagi 2 minggu akan menghadapi ujian akhir semester. Adik saya pula akan menghadapi ujian akhir tahun hari isnin ini. Ayah saya dengan perniagaannya dan ibu saya dengan anak-anak muridnya di MISET,Melaka. Semuanya ada bidang kerja masing-masing. Dan kadang-kadang hubungan sesama pun lengang dan regang. Maka di kesempatan ini kami semua berbincang sambil bersuka ria di tempat peranginan yang tidak asing bagi kita lagi.

Di sini saya berkesempatan untuk mengingat kembali tentang memori silam masa saya kecil dahulu. Di tempat inilah, saya bermain dengan kasut roda sehingga terjatuh kerana asyik sangat bermain. Masa itu umur saya baru berumur 6 tahun. Semua kisah lama saya ayah dan ibu ceritakan. Perkara ini buatkan saya bersemangat untuk teruskan kehidupan dengan memori kekeluargaan yang erat lagi kental.

Sebut pasal Cameron pasti sahabat seperjuangan semua akan ingat akan Kampung Orang Asli. Apabila saya tiba saja di sini dan lalunya di kawasan Ringlet, pasti saya terkenangkan Kampung Rantau. Kampung ini terletak sejam perjalanan dari Ringlet. Hati saya terus bersemangat untuk membuat program susulan di sini. Tetapi pastinya memerlukan perancangan yang rapi. Apapun di sini saya teringat banyak sejarah lama yang membakar semangat saya terutama dalam pelajaran dan juga dakwah.

Tanggal 27 Oktober 2008, bermulanya satu ujian dunia yang akan ditempuhi oleh semua warga UIA. Kalau dihitung dari hari ini, ada 21 hari lagi untuk sampai ke tarikh itu. Pelbagai dugaan dan cerita pasti akan ditempuh dan dilakonkan oleh kita. Semua ini adalah kerja Allah swt. Kita hanya pelakon dan Allah swt yang membuat cerita yang terbaik bagi setiap hambanya. Kita hanya perlu berdoa dan berusaha untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Sama-samalah kita membina satu sejarah baru bagi diri kita,keluarga dan juga masyarakat. Ambillah kenangan lalu sebagai batu loncatan kepada kita untuk membina satu sejarah baru pada masa akan datang.

Marilah kita menempuh hidup ini dengan semangat baru !!!!!

“ Kita adalah apa yang kita fikirkan”.

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Surah Ar-Ra’d, 13:11.


5hb Oktober 2008

10.00malam

Surau Mahallah Uthman...