Saturday, February 28, 2009

Mansuhkan PPSMI!!!!

"I think we should continue Science and Mathematics in English. It is because this is idea to enhance the capabilities of our generation. The Tun idea is a good. " Tegas seorang kawan saya di dalam kelas pengucapan awam ( public speaking ),kelas kokurikulum. Memang menarik kelas ini. Cikgu yang mengajar pun kritikal dengan isu semasa membuatkan kelas tidak berasa bosan.

Semasa di dalam kelas itu, saya terfikir bagaimana saya hendak memberikan hujah yang kuat tentang isu bahasa ini? Boleh dikatakan majoriti di dalam kelas saya tu menyokong Sains dan Matematik diteruskan dalam Bahasa Inggeris. Saya masa itu memikirkan apa hujah saya boleh bawa untuk menyakinkan mereka.

Pertama isu ini bukan hanya isu bahasa. Ia adalah isu bangsa kita dan juga bahasa kita. Saya katakan kepada mereka. Saya berkata saya bukannya anti Bahasa Inggeris dan saya juga suka belajar bahasa Inggeris. Tetapi saya di sini hendak membuka kepada anda semua hakikat sebenar isu ini.

Jikalau kita melihat kepada perlembagaan Malaysia, ia adalah salah bertentangan dengan artikel 152 yang menyebut bahawa Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi untuk pembelajaran. Ini adalah dari segi undang-undang bahawa perkara ini kita semua perlu mengetahuinya. Ia adalah dasar kepada apa yang akan kita cakapkan pada hari ini.

Selain itu, kita beralih kepada statistik kejayaan isu ini. Rata-rata idea baru yang dibawa ini tidak mendapat kejayaan sama sekali. Malah ia menimbulkan banyak masalah kepada semua pihak. Pelajat terutamanya pelajar SPM menanggung kesusahan untuk menjawab soalan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Walaupun mereka diajar dalam Bahasa Inggeris tetapi soalan mereka mempunyai dwibahasa di mana mereka boleh menjawab salah satu daripadanya. Sebab itu, apabila dikatakan PPSMI ini berjaya adalah kerana mereka membuat penilaian bahawa mereka semua menjawab dalam Bahasa Inggeris. Sedangkan mereka banyak menjawab dalam Bahasa Melayu.

Saya sendiri mempunyai masalah untuk mengajar adik saya Matematik. Hal ini kerana saya sendiri belajar Matematik dalam Bahasa Melayu. Selain itu, pencapaian pelajar dalam SPM dalam dua mata pelajaran ini juga melihatkan penurunan. Skema pemarkahan menunjukkan penurunan markah lulus diturunkan dengan serendah-rendahnya. Dan mereka kata ini adalah kejayaan PPSMI. Sedangkan mereka telah merendahkan martabat ilmu itu sendiri. Ini yang saya risaukan.

Tambahan daripada itu, kekurangan tenaga kerja untuk mengajar membuatkan guru-guru tidak memahami dengan sebenarnya yang di ajarkan. Ia seperti kita mengajar orang yang tidak paham. Diri sendiri yang menjadi tidak paham. Seperti cerita P.Ramlee, Cikgu itu menyuruhPak Ali menyebut huruf jawi 'kho'. Orang suruh sebut 'kho' tetapi dia sebut lain. Dia sebut Jin ada toceng. Tidak ke menyusahkan orang. Pelajar tidak memahami apa yang cikgu hendak sampaikan tambah lagi dengan subjek yang diajar itu memang susah membuatkan pelajar dan guru sekali tidak memahami sedalamnya.

Ini yang dihadapi pelajar sekarang. Akhirnya cikgu hanya mengajar apa di dalam silibus dan pelajar menerima silibus tanpa memahami sebenarnya yang diajar dan dipelajari. Timbullah di sini misi belajar hanya hendak lulus dalam peperiksaan dan bukan kerana ilmu itu sendiri.

Maka di sini isu PPSMI bukan isu pelajar sahaja tetapi ia melibatkan masa depan bangsa Melayu itu sendiri. Jika hari ini kita tidak melakukan sesuatu, bila lagi? Hendak tunggu Melayu pupus di dunia baru masa tu hendak bertindak. Sudah terlambat. Isu Bahasa bukan perkara main-main, kita semua perlu memainkan peranan agar bahasa kita tidak menjadi bahasa pijakan oleh orang lain. Hanya kesedaran daripada bangsa itu sendiri boleh mendaulatkan bahasa mereka.

Mansuhkan PPSMI!!!!

Wednesday, February 18, 2009

Pengerusi tetap: Melatih diri untuk berani..


Telefon bimbit aku bergegar, "Assalamualaikum bang, saya nak mintak abg jadi pengerusi tetap. Boleh? Saya masa tu agak terkejut sebenarnya. Maklumlah saya ini adalah seorang yang gugup apabila berada di hadapan orang. Benda-benda yang ingin bercakap di depan ini memang saya cuak dan gugup sebenarnya. Tetapi saya fikir bila lagi kalau bukan sekarang saya ingin merubah diri ini.

Pada 15hb hari itu, saya menjadi Pengerusi tetap untuk Muktamar PKPIM UIA Nilai yang kedua. Kali pertama menjadi pengerusi tetap membuatkan saya bersiap sedia agar majlis tidak menjadi kelam-kabut nanti. Persediaan yang rapi dari segi ayat-ayat mantap telah disediakan. Buku-buku saya sebelum ini habis saya selongkar untuk mendapat ayat-ayat dan kata-kata ulamak dan tokoh perjuangan yang boleh dijadikan semangat untuk adik-adik PKPIM yang bakal dinaikkan ini.

Sebelum itu, pada 14hb diadakan Muktamar PKPIM UIA PJ di Kajang. Masa inilah saya melihat sahabat saya menjadi Pengerusi Tetap. Kadang-kadang teringin juga menjadi sepertinya. Menjadi pengerusi tetap untuk program terbesar sesuatu gerakan Islam. Menjadi seperti dia memang perlukan keberanian. Apa tidaknya? Orang yang menjadi perwakilan ini bukan calang-calang orang. Mereka semua terdiri daripada pimpinan-pimpinan Kampus dan Negeri yang memang sudah melalui semua proses tarbiyyah menjadi seorang pemimpin. Perkara inilah membuatkan saya perlu bersiap sedia sebelum menjadi pengerusi kepada sesuatu program.

Saya jikalau melihatkan sejarah dari sekolah dahulu hingga ke Universiti memang jarang bercakap depan orang ramai. Bercakap depan kelas pun jarang-jarang apatah lagi depan ratusan pelajar semasa saya bersekolah dahulu. Apabila masuk ke Universiti, baru saya mendapat keberanian bercakap depan orang ramai.

Bermula bercakap di dalam kumpulan kecil-kecilan seperti di dalam usrah sedikit-sedikit mengajar saya erti keberanian. Pelajaran saya di dalam usrah semasa di Matrikulasi memang mengajar saya banyak tentang diri dan masyarakat. Peri pentingnya pengucapan sebagai salah satu cara berdakwah membuatkan saya ingin belajar untuk bercakap di depan walaupun pelbagai halangan ditempuhi untuk sampai ke situ.

Dengan komunikasi yang baik di depan orang ramai membuatkan kita lebih yakin dengan diri. Keyakinan terhadap diri ini bukan boleh dibuat-buat tanpa latihan daripada kita sendiri. Sebab itu, ada yang berkata selepas bercakap di depan, " Huh, alhamdulillah aku dah lepas". Ia menunjukkan bahawa apabila kita selesai bercakap di depan, perasaan lega itu akan datang dengan sendiri. Benda ini selalunya kepada orang yang pertama kali bercakap di depan orang ramai. Maka, keyakinan diri dapat di situ. Banyak kelebihan yang boleh kita dapat sebenarnya daripada pengucapan awam ini. Selain keyakinan diri, kita juga akan melatih diri mencari kelebihan diri yang sebenar.

Ramai di kalangan kita kadang-kadang kala mempunyai kelebihan yang kita sendiri tidak sedar. Ada manusia yang pandai bercakap dan menulis dengan baiknya sekali. Ada juga manusia yang hanya pandai menulis tetapi tidak pandai bercakap dan begitu sebaliknya. Oleh itu, pengucapan ini merupakan salah satu kelebihan yang ada pada manusia. Banyak lagi perkara yang boleh melatih diri kita menjadi seseorang di satu masa kelak nanti. Pokoknya diri kita. Adakah ingin menjadi seorang yang berguna pada masyarakat ataupun sebaliknya. Kuncinya adalah keberanian diri untuk mencuba sesuatu yang baru walaupun susah di pandangan pertama.

Teruskan berusaha dan teruskan berjuang!

Terima Kasih....



Sunday, February 1, 2009

Isu Bahasa perlu diambil perhatian

"Bahasa Jiwa Bangsa". Begitulah ungkapan Melayu yang biasa kita dengari. Semua di dunia ini hatta haiwan sekalipun mempunyai bahasa mereka sendiri. Betapa pentingnya bahasa ini ia sebenarnya melambangkan identiti bangsa itu sendiri. Dengan bahasa kita dapat melihat bagaimana bangsa itu sebenarnya.




Di dunia globalisasi hari ini, kita sebenarnya sedang menempuh satu zaman yang kita tidak sedari ancamannya kepada kita. Baik dari segi pandang mata kasar atau mata halus. Serangan pemikiran yang dilakukan oleh bangsa putih ini makin lama sudah menampakkan hasilnya pada hari ini.




Kita lihat sekarang bagaimana benda yang paling dekat dengan kita iaitu bahasa Melayu sudah hilang jatidirinya. Penggunaan bahasa Inggeris telah menjadi bahasa yang paling berkuasa untuk memajukan bangsa Melayu sendiri.




Dari segi pemimpin kita, pemimpin Melayu sudah tidak percaya akan kehebatan Bahasa kita sendiri. Kita lihat idea Tun Mahathir sendiri iaitu Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Subjek Matematik dan Sains telah mengalami kegagalan. Keputusan setiap tahun UPSR,PMR dan SPM menunjukkan kemerosotan dari tahun ke tahun. Jurang yang terbina adalah sangat besar antara orang pedalaman dan orang bandar.




Mereka menunjukkan statistik peningkatan dari tahun ke tahun. Tetapi itu adalah statistik orang bandar. Kita tidak melihat orang pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak. Adakah mereka boleh mempelajari sesuatu tanpa menggunakan bahasa ibunda sendiri?




Banyak lagi bukti yang menunjukkan tidak keberkesanannya idea Tun itu. Ramai yang menyangka apabila kita belajar bahasa orang lain, kita akan menjadi hebat. Tetapi kesannya adalah sebaliknya. Kita dapat lihat kesannya sekarang.




Oleh itu, saya menyarankan kepada semua untuk membaca buku ini agar minda kita terbuka dan menyedari peripentingnya bahasa kita. Saya bukanlah anti bahasa lain,tetapi apabila bahasa ibunda kita diketepikan dan dijatuhkan martabatnya, ini membuatkan saya perlu membuat sesuatu agar bahasa dan identiti kita dipelihara maruah dan martabatnya. Banyak buku yang menerangkan tentang pentingnya bahasa kita. Tanggungjawab kita semua untuk mengkaji dan menghayati sendiri akan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.