Sunday, April 25, 2010

BN menang di Hulu Selangor

Ketika saya membaca utusan online untuk mengetahui tentang keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, saya sudah menjangkakan keputusan yang BN akan menang dengan majoriti yang besar. Hal ini kerana bagi saya jentera kempen dan propaganda yang dibuat oleh BN sangat kuat dan gagasan 1Malaysia yang dilihat banyak mempengaruhi pengundi kali ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor hari ini sebagai satu peralihan besar sokongan rakyat kepada BN.

Kata2 PM itu bagi saya benar sekali dan ternyata apa yang beliau lakukan sekarang ini sebagai PM memang berjaya mempengaruhi rakyat Hulu Selangor secara khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya.

Rakyat secara amnya memang inginkan sebuah kerajaan yang telus dan jujur dan yang paling penting menepati kehendak rakyat. Bagi saya, kemenangan BN atau PKR sekalipun dalam pilihan raya kecil ataupun besar tiada apa2 makna jika mereka tidak berbakti dan menunaikan janji mereka semasa kempen mereka.

Berpolitiklah di jalur dakwah dan berdakwahlah di jalur politik.

Selamat bekerja untuk rakyat dan agama.


Ini hanyalah ulasan seorang penulis yang kurang ilmu tentang politik.

Friday, April 23, 2010

Atuk saya meninggal dunia

Haa?? Atuk meninggal dah. Abah saya memberitahu saya dalam message telefon saya. Perasaan sebak dan air mata turut turun tanda saya sedih sangat dengan pemergian atuk saya. Tidak dapat digambarkan betapa sedih hati saya ditambah beberapa perkara yang tidak sempat saya buat untuknya. Hmm... Ya Allah...

Tarikh 22hb April 2010, tarikh keramat yang tidak akan saya lupa sampai bila2. Pemergian atuk saya ke rahmatullah merupakan satu tamparan yang hebat bagi saya. Nak tak nak saya perlu kuatkan diri menghadapi semua ini.

Setiap insan yang hidup pasti akan menemui ajalnya dan melalui dunia sebelum hari akhirat iaitu alam barzakh. Tiada seorang akan terlepas dengan qada dan qada' yang telah ditentukan oleh Allah swt. Saya sendiri apabila mendengar berita kematian sesiapa sahaja pasti akan membuatkan saya insaf. Hal ini kerana saya sendiri pun tidak tahu saya akan mati bagaimana,bila dan di mana. Dan adakah saya akan mati sebagai orang islam ataupun tidak? nauzubillah.

Pemergian atuk saya semalam saya terima dengan hati yang sedih. Dan menerima semua ini sebagai takdir yang ditentukan Allah swt. Tetapi ada tiga perkara membuatkan saya bertambah sedih dan menyesal dengan perbuatan saya ini,

Pertama, saya tidak dapat bersama keluarga saya memandikan atuk saya pagi semalam. Dan tidak dapat melihat muka atuk buat kali terakhir. Dalam keadaan semua orang hadir memandikan secara bergilir-gilir, saya tidak ada masa itu, Hmm.

Kedua, saya tidak dapat menyembahnyangkan jenazah atuk saya sendiri. Hal ini kerana saya lambat sampai ke kampung semalam kerana saya masa itu di Gombak.

Ketiga, saya tidak dapat mengiringi jenazah atuk ke tanah perkuburan. Perasaan menyesal dan sebak dengan kejadian ini menyebabkan saya menangis di tanah perkuburan. Air mata saya tidak dapat menahan kerana saya tidak dapat melunaskan tanggungjawab saya sebagai cucu
Othman bin Sipik.

Pedoman buat semua, jangan jadi seperti saya menjadi orang yang paling menyesal di dunia ini kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang cucu kepada atuknya. Maafkan dan ampuni dosa saya atuk. Insya Allah saya akan menjadi cucu yang terbaik untuk atuk.

Sunday, April 18, 2010

Berterus terang walaupun pahit

Kenapa susahnya aku untuk berterus terang? Atau apakah aku ini terlalu pengecut untuk berterus terang walaupun pahit? Hmm.. Banyak betul aku patut pelajari dalam dunia ini. Getus hatiku yang selalu tertekan kerana tidak dapat meluahkan hasrat hati aku yang sebenar.

Hari ini, saya sudah berumur 23 tahun. Satu umur yang cukup matang untuk saya menilai siapa diri saya,apa kelemahan saya, dan apa matlamat hidup saya. Dan sekarang saya hanya perlu ada keyakinan diri untuk meneruskan hidup ini.

Ayah saya selalu berkata, "be strong" dalam hidup ini. Jikalau tidak kita akan kalah. Di dunia ini persaingan sangat kuat. Sesiapa yang kuat akan menang dalam permainan dunia ini. Dan sesiapa yang kalah akan tersingkir daripada permainan dunia ini.

Keberanian untuk bercakap benar merupakan amalan yang baik yang patut kita amalkan. Kadang-kadang kita sesama keluarga pun tidak berani untuk berterus terang sehinggakan menimbulkan perselisihan faham antara satu sama lain. Perkara ini boleh dielakkan dengan kita berterus terang apa yang tidak puas hati.

Selain itu, ada individu yang suka berterus terang dan ada juga yang tidak suka berterus terang kerana hendak menjaga perasaan hati orang lain. Berterus terang juga ada baiknya jika kena pada tempatnya dan masanya dan juga caranya.

Saya teringat semasa saya di dalam program PKPIM dan ABIM selalu menekankan cara untuk kita berdakwah secara lebih efektif dan berkesan. Dengan cara wasatiyyah dan juga berhikmah dengan tindakan nescaya golongan sasaran dakwah kita akan mudah dekat dengan kita dan berubah mengikut kehendak sendiri dan bukan dengan paksaan. Perubahan dalam diri itu yang kita hendakkan dan bukannya paksaan.

Apa yang penting sekarang ini adalah cara kita untuk berterus terang dan meluahkan rasa hati yang terbuku di dalam hati dengan lebih efektif dan tidak menyakiti orang lain. Kerana dengan ini sahaja semua masalah akan diselesaikan dan semua masalah dalaman dan luaran dapat diselesaikan dengan baik. Tetapi ingat dengan cara yang berhikmah dan berkesan.

Buang bayi: Manusia yang bersifat binatang

Sejak akhir ini, kita sering terbaca di akhbar dan media massa tentang pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Pembuangan atau pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan ini merupakan salah satu amalan jahiliyah yang telah dilakukan oleh orang-orang yang tiada pegangan agama. Maka, isu ini bukan sahaja melibatkan isu kemanusiaan malah isu agama dan juga masyarakat yang semakin lama semakin hilang jati diri mereka sebagai manusia.


Firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 12-19, “Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman iaitu: Bersyukurlah kepada Allah Dan barangsiapa yang bersyukur kepada Allah maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, untuk dirinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”


Ayat di atas merujuk bahawa sesiapa yang bersyukur dengan Allah swt, maka ia juga bersyukur dengan dirinya sendiri. Allah swt sangat suka manusia yang bersyukur dengan nikmat yang diberi. Malah Allah swt akan menambah-nambah nikmat yang diberikan jika manusia itu lebih bersyukur dan berterima kasih dengan nikmat yang sedia ada.


Anak-anak yang dilahirkan ke dunia adalah bersifat fitrah. Anak ini ibarat kain putih.Kitalah yang mencorakkan mereka samaada Islam,Nasrani,Yahudi atau Majusi. Selain itu, anak-anak ini adalah rezeki daripada Tuhan untuk kita, Oleh itu, kita perlu bersyukur dengan nikmat yang tidak terkira nilainya ini. Hanya manusia yang tidak bersyukur sahaja yang sanggup membuang rezeki yang tidak ternilai ini.


Saya sendiri apabila terbaca surat khabar setiap hari berasa sedih dan hiba apabila melihat manusia yang tiada dosa dibuang sebegitu sahaja tanpa rasa bersalah dan malu kepada Allah swt. Manusia yang berhati binatang ini akan dihisab di akhirat kelak akan perbuatan yang sungguh memalukan. Bayi ini akan berkata-kata kembali kepada sang pembuang tentang perbuatannya yang sungguh tidak bertamadun.


Cuba anda bayangkan bayi yang dilahirkan dalam keadaan tiada dosa bahkan seperti malaikat dibuang sebegitu sahaja tanpa rasa bersalah dan malu. Kita sendiri apabila melihat bayi yang baru lahir seronok dan teruja. Kita sampai berebut-rebut ingin memegangnya sehinggakan bayi itu menangis sahaja semua akan berkerumun untuk mengambil dan mendodoinya agar tidak menangis. Malah kita apabila melihat bayi kita berasa seronok sangat dan suka untuk melihat mukanya. Hal ini kerana bayi tidak mempunyai dosa dan bersih daripada segala dosa. Hanya manusia yang berhati haiwan sahaja yang tidak berasa begini.


Di facebook sendiri sudah ada perbincangan meja bulat tentang pembuangan bayi ini. Hal ini merupakan isu yang sangat sensitif dan perlukan kepada perbincangan yang mendalam tentang cara untuk mencegahnya. Pencegahan awal perlu dengan memberi kesedaran tentang perhubungan yang halal dan haram. Jika perkara asas tidak diselesaikan maka permasalahan yang besar tidak akan berakhir selamanya.


Isu pembuangan bayi kerap berlaku kepada orang yang melakukan persetubuhan haram ataupun dikenali berzina. Dan akhirnya setelah dikenal pasti mengandung. Perkara ini merupakan satu ketidak adilan kepada kaum wanita apabila lelaki itu meninggalkan perempuan tersebut tanpa langsung berasa bersalah dengan perilakunya. Akhirnya perempuan yang menerima balasannya.


Ada pepatah mengatakan bahawa hendak menjaga anak perempuan susah, jaga anak lelaki senang sahaja. Perkara ini tidak betul sama sekali. Bagi saya dua-dua sama susah dan senang. Malah penjagaan anak lelaki perlu diutamakan kerana mereka bakal menjadi pemimpin kepada perempuan suatu hari kelak. Dan penjagaan anak perempuan juga perlu diberi perhatian terutama pada akhir zaman ini kerana fitnah paling besar di akhir zaman ini adalah perempuan. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Maka, dua-dua perlu ada check and balance supaya dunia ini tidak terjadinya huru hara oleh keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.



Monday, April 12, 2010

alongcharade beraksi kembali...


Assalamualaikum semua dan selamat sejahtera. Alhamdulillah. Dengan tekad dan penuh keazaman saya ahmad izzat bin atan akan beraksi kembali di dunia blog yang sepi tanpa saya. Laungan semangat saya di depan cermin. Masya Allah. Banyaknya perubahan dalam diri saya. Tidak sedar akan masa cepat berlalu.


Walaupun masa berlalu dengan cepat, saya sendiri yakin pasti ada kelebihan yang ada dalam diri saya yang perlu saya tonjolkan kepada semua. Tidak hanya bersembang di warung kopi berdegar-degar tetapi tidak diaplikasikan dengan perbuatan pun tidak gunanya. Yang penting kita mesti buat dengan bersungguh-sungguh.


Saya akui diri saya yang disangka kuat di depan manusia sebenarnya tidak sekuat mana di depan Allah swt. Saya sendiri tidak sedar yang saya sudah banyak melakukan dosa kecil mahupun dosa besar. Di kala ini saya sendiri teringatkan satu tempat yang tenang seperti di pondok maahad derang yang saya pernah pergi sana belajar pasal ilmu agama. Tetapi ilmu saya ternyata cetek sekali.


Saya tidak pernah mengamalkan walaupun satu pun pelajaran saya selama ini baik yang berbentuk fizikal ataupun rohani. Diri saya ini ibarat 'lalang' yang apabila ditiup ke kanan dia akan ke kanan bila ditiup ke kiri dia akan kekiri. Langsung tidak ada pendirian dalam hidup ini.


Ya Allah! Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya hati saya kala tengah menulis posting ini. Saya tahu dosa saya tidak terkira dan tidak dapat dikira banyaknya. Malah tidak terdetik langsung saya untuk bertaubat menginsafi diri ini yang hina. Terlalu banyak sangat.


Aku sedar yang hidup ini penuh dengan fitnah dan penipuan. Luqman Al-Hakim pernah berkata kepada anaknya, "wahai anakku, dunia ini ibarat laut yang dalam. Sesiapa yang bertaqwa insya allah dia akan selamat dan sesiapa yang lalai dengan dunia akan lemas di dalamnya.". Begitu kuatnya dugaan dunia. Saya sendiri sudah merasai kelemasan di dalam lautan dan tidak tahu bila saya akan bernafas kembali. Mungkin saya tidak akan bernafas lagi dan tenggelam di dalam lautan yang besar dan dalam ini.


Hanya doa dan semangat yang tidak seberapa ini dapat memandu saya dalam dunia ini. Tanpa kekuatan iman dan taqwa saya akan hanyut dibuai mimpi yang indah ini yang hanya sementara. Saya tidak tahu bagaimana hendak keluar daripada lautan yang disangka cetek ini. Ya Allah! Bantulah aku!! Jauhkan aku daripada mengsyirikkanmu walau apa jua keadaan!! Ampunilah dosa aku!! Adakah disebabkan aku semuanya akan jauh dari engkau Ya Allah!! Ampunilah dosa aku!!