Wednesday, July 23, 2008

Akhirnya Karadzic ditahan



Begitulah tajuk surat khabar hari ini yang terpapar di dada-dada akhbar hari ini. Rasa gembira menyelubungi setiap jiwa muslim di dunia ini. Lebih-lebih lagi keluarga mangsa yang telah banyak menderita sebelum ini.
Bekas presiden Serbia, Rodovan Karadzic yang diburu sejak 13 tahun lalu kerana merancang dan mengarahkan pembunuhan paling kejam di Eropah sejak perang dunia kedua Berjaya diberkas kelmarin. Berita ini sungguh menggembirakan penduduk muslim Bosnia.
Pembunuhan yang paling kejam itu telah mengorbankan sebanyak 11,000 rakyat Bosnia. Selama 13 tahun juga Karadzic bersembunyi daripada pihak berkuasa. Akhirnya bekas presiden Serbia ini diberkas ketika naik bas di pinggir Belgrade. Begitulah penahanan seorang tokoh yang berhati haiwan ini ditangkap. Begitupun, dua lagi suspek pembunuhan paling kejam ini iaitu jeneral Ratko Mladic dan Goran Hadzic masih diburu oleh pihak berkuasa.
Pembunuhan yang dilakukan di Srebrenica apabila kira-kira 8000 lelaki muslim Bosnia tidak bersenjata, di tahan dan dibunuh. Mayat mereka kemudian dikumpul dan ditolak dengan jentolak ke dalam beberapa kubur besar pada Julai 1995.
Penampilannya selepas bersembunyi selama 13 tahun begitu berbeza sekali. Dengan menyamar sebagai doktor perubatan alternative dan bekerja di sebuah klinik di Serbia dengan menggunakan identiti palsu membuatkan dia sukar untuk dikesan.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah. Manusia tidak boleh lari daripada takdir yang telah ditentukan oleh mereka. Walaupun dia mengubah penampilannya tetapi kuasa tuhan itu lagi maha berkuasa. Setiap manusia yang telah melakukan kesalahan pasti akan dihisab akan amalannya.
Jikalau kita lihat akan kisah seorang penjenayah perang ini, begitu tragis sekali. Dia terpaksa menyamar sebagai doctor dengan mengubah penampilannya membuatkan dia berasa tidak senang akan persekitaran sekeliling. Akhirnya dia ditangkap dengan relanya oleh pihak berkuasa.
Begitulah berakhirnya kisah seorang hamba Allah yang tidak akan terlepas daripada apa yang mereka telah lakukan. Oleh itu, ambillah iktibar setiap daripada kita akan kisah seorang penjenayah ini. Kita doakan semoga umat Islam semua bersatu menentang musuh utama kita yang sebenarnya.

Tuesday, July 22, 2008

AUKU melesukan gerakan mahasiswa. 22 Julai 2008, Bharian


Oleh Datuk Saifuddin Abdullah

AKHIRNYA Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda. Khamis lalu (17 Julai), Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin membentangkan cadangan meminda akta ini di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama dan bakal dibahaskan bulan depan.

Ini bermakna perjuangan meminda akta ini yang digerakkan, misalnya, oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), iaitu organisasi paling konsisten dalam hal ini, hampir berhasil. Saya sendiri turut terbabit dalam perjuangan meminda akta ini ketika menjadi aktivis mahasiswa di Universiti Malaya pada 1981. Saya juga pernah menjadi mangsanya pada 1984. Saya berasa lega kerana ketika berada dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sekarang, kerajaan bersetuju memindanya.

Kali terakhir saya mencadangkan pindaan akta ini ialah dalam kolum saya “Perspektif” di akhbar ini iaitu ketika mengulas perjalanan pilihan raya kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi 2007/2008 pada Oktober tahun lalu. Saya telah menyoal kewujudan pengundi hantu dan tempoh penamaan calon terpaksa dilanjutkan di dua IPTA.


Isu itu menambah rungutan terhadap pilihan raya kampus seperti pengaruh parti dan ahli politik tertentu, Hal Ehwal Pelajar (HEP) berat sebelah serta peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan mahasiswa. Pokoknya, AUKU tidak menjadikan pilihan raya kampus lebih baik.

AUKU tidak meningkatkan partisipasi politik kampus. Dalam pilihan raya kampus itu, peratusan membuang undi merosot di tujuh IPTA, manakala langkah IPTA tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu penghinaan terhadap keilmuan di samping mengembangkan politik wang.

AUKU juga tidak menjana kepemimpinan. Dalam pilihan raya kampus itu, lebih seratus kerusi dimenangi tanpa bertanding dan tiga IPTA tidak perlu mengadakan pengundian kerana semua kerusi menang tanpa bertanding.

Sebelum cadangan pindaan ini, ada tiga pendirian mengenai AUKU. Pertama; AUKU baik bagi mahasiswa. Kedua; AUKU perlu dihapuskan dan diganti akta baru. Pendirian ketiga pula ialah peruntukan tertentu AUKU perlu dipinda. Saya berpegang kepada pendirian ketiga.

Mereka yang berpegang pada pendirian pertama menganggap AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa. Mereka menggunakan data banyaknya program yang dilaksanakan mahasiswa sebagai bukti. Kelemahan hujah ini ialah bahawa banyaknya jumlah program tidak semestinya menggambarkan gerakan mahasiswa sebenar.

Ini kerana program terdiri dari tiga jenis, iaitu “aktiviti”, “bakti” dan “advokasi”. “Advokasi” adalah ciri utama gerakan mahasiswa, dan yang membezakannya dengan pelajar sekolah, tetapi ia dihalang AUKU. Justeru, banyaknya program jenis “aktiviti” dan “bakti, tetapi tiada atau sedikitnya jenis “advokasi” tidak melambangkan gerakan mahasiswa yang sihat dan segar.

Mereka juga mengatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik. Alasannya kerana tugas mahasiswa adalah belajar. Kalau hendak berpolitik, tunggulah selepas tamat belajar. Hujah ini berlandaskan faham politik sempit dan tidak memahami bahawa politik itu luas, iaitu termasuk pendidikan politik, isu politik, politik non-partisan dan sebagainya.

Alasan lain ialah mahasiswa menggunakan duit rakyat, iaitu biasiswa, untuk belajar. Kalau begitu, mengapa yang tiada biasiswa juga dilarang berpolitik? Hujah ini juga double standard kerana ada mahasiswa kita di luar negara mendapat biasiswa lebih besar, iaitu menggunakan lebih banyak wang rakyat, tetapi dibenarkan pula berpolitik.

Ada pula yang menyatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada menentang kerajaan. Persoalannya, mengapakah tidak ditanya mengapakah mereka menentang kerajaan? Di samping itu, bukankah pendirian politik seseorang mahasiswa tidak semestinya kekal dan mungkin berubah selepas meninggalkan kampus? Jadi, apa masalahnya?

Di samping itu, perlu dibezakan antara memegang jawatan parti politik, yang ada kewajarannya untuk dilarang, dengan menjadi anggota parti politik, yang larangannya bertentangan dengan semangat Perlembagaan negara dan pilihan raya umum. Perlembagaan menjamin hak berorganisasi, termasuk menganggotai parti. Dalam pilihan raya umum, mahasiswa digalakkan mengundi. Mengundi parti politik boleh, tetapi menjadi anggota parti politik tak boleh. Bukankah ini peraturan yang pelik?

Hakikatnya ialah AUKU melesukan gerakan mahasiswa. Pada pertengahan 1970-an, ramai aktivis mahasiswa ditahan, menyebabkan sebahagian gerakan mahasiswa lumpuh seketika. Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) terkubur. PKPIM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tinggal anggota bukan mahasiswa manakala Majlis Belia Malaysia (MBM) terputus jambatannya dengan kampus.

Banyak tulisan, misalnya oleh Baharudin Ali Masrom dan Zainah Anwar, membincangkan kesan buruk AUKU, seperti meluasnya “budaya takut” dan sikap “tidak apa” di kampus, manakala Idris Ahmad dan Ahmad Fadzil Yusof menyorot ketidakadilan layanan terhadap kehadiran parti politik di kampus dan tindakan keterlaluan terhadap beberapa mahasiswa yang kononnya didapati bersalah.

Kerana itulah wujudnya pendirian yang kedua dan ketiga itu. Walaupun kedua-duanya berbeza dari segi pendekatan, tetapi, mempunyai premis yang hampir sama dari segi penentangan terhadap AUKU.

Dalam hal ini, antara peruntukan AUKU yang perlu dipinda ialah Seksyen 15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5), 15A, 15B, 15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2), 16B(3) dan 16C(1). Ini kerana ia mengongkong mahasiswa, misalnya, disekat berhimpun, mengguna pembesar suara, bendera, sepanduk, pelekat dan poster; menjalankan aktiviti di luar kampus, berniaga atau bekerja; menjadi ahli atau menyokong mana-mana persatuan, parti politik dan kesatuan sekerja; serta memungut wang dan membuat kenyataan media.

Adakah dengan pindaan ini maka dengan tiba-tiba saja kampus akan kembali ke zaman kegemilangan gerakan mahasiswa, seperti sebelum zaman AUKU? Tiada siapa yang tahu jawapannya kerana setelah sekian lama kelesuan, maka, untuk menyegarkan semula, walaupun tidak semestinya sampai menjadi “mahasiswa menggugat”, iaitu slogan yang menjadi judul buku Muhamad Abu Bakar (1973), bukanlah mudah.

Tetapi, sekurang-kurangnya, langkah meminda akta ini dan memberikan mahasiswa lebih kebebasan adalah jauh lebih baik daripada mempertahankan peruntukan yang drakonian. Ia mungkin dapat mengubat luka beberapa generasi bekas aktivis mahasiswa yang semakin ramai tidak menyokong BN mutakhir ini, di mana AUKU adalah satu daripada faktornya.

Namun, AUKU bukan sekadar membabitkan mahasiswa, malah pensyarah juga. AUKU juga bukan sekadar hal ehwal politik kampus saja, sebaliknya, ia adalah antara dasar utama tentang menjadikan universiti sebagai gedung ilmu dalam erti kata yang sebenar.

Satu daripada cabang ilmu yang perlu dimajukan seluas-luasnya di kampus ialah demokrasi. Demokrasi tidak hanya membabitkan bidang politik. Sebaliknya, demokrasi membabitkan hampir seluruh spektrum kehidupan. Sebagai institusi pendidikan formal paling tinggi, maka, universiti perlu membenarkan demokrasi diamalkan pada kadar yang paling tinggi juga.

Universiti mesti mengelak, seperti kata Noam Chomsky dalam bukunya Chomsky on MisEducation (2000), daripada tersilap-didik (miseducate) mahasiswa sehingga demokrasi diberi makna songsang, iaitu keputusan dibuat oleh pihak atasan dan mahasiswa hanya mengangguk saja kerana universiti memaksa ketaatan, menghalang pemikiran bebas dan terlalu mengawal.

Thursday, July 17, 2008

Konvensyen Mahasiswa:Mengisi Realiti Masa.

"Barisan Pimpinan Mahasiswa"



Alhamdulillah, dua minggu sudah berlalu dengan pantasnya. Saya pun tidak berkesempatan 'update' blog saya sebelum ini. Dua minggu yang penuh dengan kesibukan yang tidak tahu akan kesibukannya. Sehinggakan kita terlupa akan tanggungjawab sebenar. Begitu cepat manusia terlupa akan tanggungjawab mereka? Sekadar renungan bersama.

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk mengikuti Konvensyen Mahasiswa di Dewan Bahasa Pustaka. Program yang membincangkan tentang isu semasa negara yang kian lama kian meruncing. Selain itu, ia juga membincang peranan yang perlu di mainkan oleh mahasiswa di negara ini.

Mengupas isu budaya adalah satu perkara terpenting dalam negara kita ini yang terdiri oleh tiga bangsa yang berlainan identiti dan agama. Maka perlu sesama kita untuk menghormati sesama lain agar tidak timbul lagi peristiwa yang lalu berulang.

Selain itu, kita juga perlu memahami akan maksud budaya yang sebenar. Perkara ini telah dibentangkan panjang lebar oleh Dr Farid Shahran dari UIA dan juga sasterawan Muda Negara, Faisal Tehrani.

Pada sebelah petangnya pula, forum mahasiswa menghimpunkan semua pimpinan mahasiswa yang terdiri daripada GPMS,GAMIS,PKPIM,MPKK dan Y4C. Semua idea yang sangat bernas dan buah fikiran yang sepatutnya perlu ada pada setiap mahasiswa di negara ini. Segala pandangan dan kritikan telah diutarakan masa itu untuk rujukan bersama bagi membangunkan mahasiswa khususnya dan rakyat secara keseluruhannya.

Insya Allah saya akan ceritakan makna budaya yang sebenar selepas ini. Masa tidak mengizinkan saya untuk terus menulis. Sekejap lagi ada kelas. Doakan saya dipermudahkan menuntut ilmu dunia ini. Terima kasih semua. Jumpa lagi..

Assalamualaikum....

7.30pagi
Jumaat
18/7/2008

Wednesday, July 9, 2008

Universiti Apex: Faedahnya kepada Mahasiswa.


Universiti adalah sebuah institusi yang paling tinggi di dalam sistem pendidikan Negara kita. Setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk mengikuti pengajian di Universiti selepas tamatnya sistem persekolahan Menengah mereka. Malah kita semua sangat beruntung kerana kerajaan telah memberi bantuan yang sangat besar dalam sektor pendidikan Negara.

Bajet yang telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk tahun 2007 yang lalu menunjukkan bahawa perbelanjaan untuk pendidikan antara bajet yang kedua tertinggi selepas sektor pertahanan. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan memandang institusi ini sebagai sangat penting kepada Negara dan juga masa depan rakyat Malaysia. Selain itu, dalam aspek pembangunan insan, pendidikan merupakan kunci utama kepada pembentukan modal insan yang sering kali dicanangkan oleh Perdana Menteri kita hari ini. Oleh sebab itu, kita semua wajib terlibat dalam sistem pendidikan kita baik di dalam keadaan formal ataupun tidak formal.

Dalam pada itu, Kerajaan dengan inisiatif terbarunya menunjukkan satu idea untuk membawa university ke arah pengiktirafan di dalam Negara mahupun di luar Negara. Idea penubuhan Universiti Apex yang telah digagaskan oleh Perdana Menteri menunjukkan kerajaan sudah bersedia untuk membawa universiti di Negara ini ke tahap yang membanggakan. Universiti Apex ini akan menjadi penanda aras peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi dan langkah memperkenalkan status ini dibuat oleh Perdana Menteri menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan 27 Ogos 2007.

Dalam pelan strategik itu, Universiti Apex akan dikenal pasti sebagai universiti tersohor yang menjadi penanda aras peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi. Selain itu, ia juga akan menjadi tangga teratas selepas Universiti Elit dan Universiti Kompetitif. Dalam pada itu, setiap universiti mempunyai kuasa autonomi untuk memilih Naib Canselor mereka sendiri dan berpeluang mencari sendiri dana universiti yang telah diiktiraf sebagai Universiti Apex.

Jikalau kita melihat kepada pelan strategic tersebut, adalah sangat baik untuk menjadikan universiti di Malaysia ini antara universiti yang terbaik di dunia. Setiap daripada kita pasti akan merasa bangga jika universiti tempatan mendapat pengiktirafan di dalam mahupun di luar Negara. Namun ingin saya lontarkan persoalan bagaimana dengan Mahasiswa di Universiti itu sendiri? Adakah mereka akan mendapat kelebihan yang sama taraf dengan pencapaian universiti itu?

Sejarah menunjukkan bahawa Universiti adalah tempat idaman setiap pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka ke tempat yang berprestij ini. Dalam masa yang sama, setiap keluarga pasti akan gembira dengan kejayaan anak mereka memasuki ke alam universiti. Tetapi adakah hanya dengan memasuki alam universiti sahaja?

Pelajar dan Mahasiswa Universiti hari ini memerlukan kepada kesedaran kepada konsep ilmu yang sebenar. Ilmu yang sebenar adalah apabila ilmu itu dipelajari secara teori dan diaplikasikan kepada bentuk nyata. Hari ini kita melihat ramai orang yang menjadi pendidik tetapi dari segi aplikasi sangat lemah ataupun langsung tiada. Dari segi sikap pula ramai yang ingin belajar untuk melepasi ujian ataupun dipanggil exam oriented. Situasi ini sangat membimbangkan kita sebagai Negara yang membangun.

Universiti yang ingin dipanggil sebagai berprestij memerlukan kepada mahasiswa universiti itu yang kritikal dari segi idea dan juga ilmu yang dipelajari. Jika kita melihat kepada Universiti Oxford misalnya, pelajar mereka sangat kritikal kepada ilmu sehinggakan perpustakaan menjadi tempat tumpuan mereka. Perbincangan tentang sesuatu ilmu di sana juga sangat terbuka sehinggakan pelajar di sana sangat pakar tentang isu semasa di dalam dan luar Negara.

Justeru, kita memerlukan sistem pendidikan yang paling efektif sesuai dengan peredaran zaman yang begitu pantas. Sistem pendidikan hari ini memerlukan transformasi yang drastik terutama dari segi mutu silibus pelajaran yang terlalu merujuk kepada sistem barat. Pendidikan yang berjaya adalah apabila setiap pelajar mempunyai kekuatan “quotient” yang seimbang iaitu intelektual “quotient”, emotional “quotient”, dan spiritual “quotient”.

Ramai pelajar kita hari ini tidak Berjaya di dalam ketiga-tiga cabang ini. Sebagai contoh wujudnya pelajar yang hebat dalam bidang intelektualnya tetapi lemah dalam mengawal emosinya. Kesannya pelajar itu terpengaruh dengan keadaan sekelilingnya sehinggakan mereka melakukan kegiatan yang di luar jangkaan kita. Justeru, kita perlu melahirkan pelajar yang lengkap dengan ketiga-tiga aspek yang memerlukan keterlibatan semua pihak termasuk NGO yang pakar dalam bidang ini.

Oleh yang demikian, pendidikan merupakan tunjang utama kepada pembentukan generasi akan datang. Generasi muda hari ini adalah asset yang paling bernilai kepada Negara. Mereka ibarat lombong emas yang belum diproses menjadi ketulan untuk dijual kepada orang ramai. Maka universiti adalah medan yang terakhir untuk mereka melangkah ke alam dunia yang sebenar. Persediaan yang rapi perlu dari sekarang supaya kita tidak akan ketinggalan dari aspek pembangunan insan ini.

Thursday, July 3, 2008

Harta yang tidak kekal.


Alhamdulillah, impian daku selama ini telah tercapai. Wang yang aku simpan selama ini akhirnya mampu juga aku membelinya . Tepat pukul 10.30 pagi hari rabu bersamaan 2 julai aku keluar dari rumah dengan seribu harapan ingin membeli computer riba yang elok untuk memudahkan aku membuat kerja kuliyyah dan persatuan. Harapan sangat tinggi untuk dapat beli dengan orang yang betul di low yatt ini. Maklumlah tempat ini kadang-kadang kalau tidak cari orang dan tempat yang betul boleh kena tipu. He2.

Tepat pukul 12 tengah hari, aku sampai di low yatt tempat yang popular kalau hendak membeli barang-barang komputer. Sesampai di sana mata aku mencari-cari computer riba yang sesuai dengan belanjawan aku ini.

Selama setengah jam aku mencari dengan telitinya, akhirnya aku terjumpa seorang tauke komputer ini. Apa lagi dia 'promote' la komputernya. Menariknya computer ini adalah harganya memang murah. Dengan ciri-ciri computer yang dia tawarkan memang menarik perhatian aku untuk membeli komputer ini. Habis dia cerita perbezaan processor AMD dan Intel Core 2 Duo. Memang menarik.

Akhirnya dia cadangkan untuk membeli AMD ini kerana processor yang ini lebih sejuk dan tahan lama. Memang saya inginkan AMD pun untuk computer riba saya ini. AMD kali ini lebih sejuk dan bagus untuk main game. (ke situ plak). Apa-apa pun aku rasa bertuah kerana dapat tauke kedai yang betul. Habis dia install sume perisian dalaman computer ini. Mudah sedikit kerja aku. Tidak payah susah nak beli CD software nak install satu-satu.

ACER 4520 akhirnya menjadi milik aku akhirnya. Selama beberapa tahun aku mengidamkan komputer ini akhirnya terbalas juga. Harap2 komputer ini lebih memudahkan aku untuk membuat kerja persatuan dan kerja pelajaran aku yang makin lama makin banyak.

Harapan aku pada sem baru ini:

  • Menjaga hubungan aku dengan Allah s.w.t dan hubungan dengan manusia.
  • Menguruskan masa dengan baik antara belajar dan jemaah.
  • Menjaga pelajaran aku ini supaya tidak menjadi fitnah kepada orang lain.
  • Mendidik diri agar sedar akan akan masalah umat yang memerlukan keterlibatan kita dalam dakwah.
  • Melatih diri untuk menulis artikel paling kurang seminggu sekali .

Semoga dengan adanya computer riba ini, harap-harap diri ini tidak tersimpang dari jalan yang lurus dan jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Doa dari keluarga dan sahabat semua amat perlu lebih-lebih lagi kita terlibat dalam kerja dakwah ini. Semoga juga kita terpelihara dari fitnah dunia yang makin mencabar saban hari.

SEMESTER BARU HARAPAN BARU!!

Wednesday, July 2, 2008

FORUM PELANGGARAN HAK -HAK MUSLIM DAN MELAYU


Kebelakangan ini telah timbul semula isu-isu yang menggugat kedudukan Islam dan kepentingan umat di negara ini. Isu-isu ini amat memerlukan perhatian dan penglibatan kita sebagai Muslim yang komited kapada agama Islam di Negara kita, Malaysia . Di antara isu-isu yang ditimbulkan ialah status Islam dalam Perlembagaan dan undang-undang negara (termasuk kedudukan Mahkamah Syari’ah), kes-kes yang dibawa ke mahkamah oleh kumpulan-kumpulan pendesak (Contoh: desakan untuk membolehkan penggunaan kalimat-kalimat Islam oleh agama-agama lain; kedudukan tanah wakaf; kes murtad, dsb.nya). Percubaan demi percubaan dilakukan supaya status dan martabat Islam di negara ini direndah dan dilonggarkan.


Ada yang disuarakan secara lantang dan ada yang diusahakan secara halus oleh badan-badan agama bukan Islam di dalam dan luar negara. Antara usaha mereka ialah menyebarkan dakyah-dakyah mereka di kalangan umat Islam tempatan serta usaha-usaha mereka memperalatkan individu-individu Islam tertentu untuk kepentingan mereka. Berita-berita negatif terhadap Islam dan umat Islam di negara ini sudah semakin kerap disiarkan di saluran TV di luar negara, dan pelbagai media lain di negara ini.

Menginsafi keadaan ini, maka IMAN (Interactive Muslimah Association) berserta Alumni Universiti Islam Antarabangsa (Cawangan Malaysia) akan mengadakan forum bertajuk “Forum Pelanggaran Hak -Hak Muslim dan Melayu”. Forum ini akan menampilkan ahli-ahli panel yang terlibat secara langsung dalam menangani isu-isu ini, serta mereka yang berpengalaman dalam hal-hal yang menyentuh hak umat Islam di Malaysia. Semoga dengan wujudnya platform untuk menyuarakan kebimbangan umat Islam di Malaysia ini, maka kita akan dapat menyedarkan umat Islam di negara kita supaya bangun bergerak untuk menyelamatkan kesucian dan martabat agama Islam di negara Malaysia demi kemurnian Islam generasi akan datang.

Tarikh: 12hb Julai 2008, Sabtu

Masa:: 9.00 pagi

Tempat: Main Auditorium

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak

Panelis forum:

Dato’ Haji Mohd. Nakhaie Ahmad (Yang Di Pertua YADIM)

En. Zainur Zakaria (peguam, Pengerusi Peguam Pembela Islam)

Haji Yusri Muhammad (Presiden ABIM)

En. Abdul Rahim Sinwan (peguam)

Hj. Muzaffar Dato’ Mohamad (pakar Sejarah Kesultanan Melayu)

Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman (Presiden IMAN)

Moderator: Puan Kamar Ainiah Kamaruzaman (Peguam)

Penganjur: IMAN, Alumni UIA (Malaysia), ASA – UIAM.

Pihak Penganjur akan mengadakan kutipan derma kilat untuk Tabung Urusan Umat bagi membantu para aktivis bergerak dengan lebih strategik dan berkesan. Sumbangan ikhlas saudara amat dialu-alukan demi Islam.

JEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI