Monday, June 30, 2008

Isu Anwar yang terbaru:Samada benar atau tidak


Isu terbaru yang dikaitkan dengan Penasihat PKR amat membimbangkan kita semua. Berita yang terbaru yang menimpa terhadap beliau ini mungkin merupakan mainan politik sesetengah ahli politik yang tidak senang akan kedudukannya dan mungkin juga sebaliknya.

Berita yang menimpa beliau ini merupakan kes yang sama menimpa beliau pada tahun 1998 dahulu. Pemuda yang terbabit dengan beliau ini adalah pembantunya sendiri.

Mohd Saiful Bukhari Azlan merupakan pembantu beliau di pejabatnya. Mohd Saiful disifatkan sebagai seorang yang ligat berpolitik dan bijak mengambil peluang sejak menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi.

"Selepas proses pemilihan ketua dalam MPP (Majlis Perwakilan Pelajar), walaupun dari segi undian berada di tempat kedua atau ketiga tercorot, beliau berjaya mempengaruhi orang lain yang dapat undi lebih tinggi daripadanya agar memilih beliau sebagai timbalan presiden."

Pemimpin majlis itu bagi sesi 2006/07 didakwa lebih menonjol daripada presiden sendiri kerana bijak mempromosikan diri sendiri, tambah sumber yang pernah mengenalinya.

Bekas pelajar jurusan kejuruteraan elektrik, yang tidak menamatkan pengajiannya tahun lalu, dalam pilihanraya umum Mac, mempamerkan sokongan kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan BN di laman sosialnya di Friendster.

Latar belakang yang meragukan ini mungkin juga antara salah satu penyebab mengapa beliau telah mengkhianati majikannya sendiri. Kita pun tidak tahu akan perkara yang sebenar. Tetapi kita harapkan semua tentang isu ini akan menjadi seperti biasa dan kes ini diadili dengan seadilnya. Kita juga pasti tidak mahu perkara lalu berulang kembali jika kes ini tidak diadili dengan seadilnya.

Saya secara peribadi melihat bahawa Anwar mempunyai pengaruh yang sangat kuat di kalangan rakyat Malaysia. Dan saya juga tidak mahu negara ini akan menjadi kucar-kacir disebabkan kesilapan pemimpin sekarang dalam menilai keadilan dan kesaksamaan. Jika kita imbas tahun 1998, bagaimana demonstrasi besar-besaran telah diadakan daripada rakyat tentang kes anwar ini. Kita juga telah mengalami kesannya masa itu dan pasti tidak mahu mengulanginya lagi.

Justeru, kita semua perlu memahami dan mengkaji dengan sebaiknya kes ini. Saya bersetuju sangat kenyataan yang dikeluarkan oleh ABIM di mana kita disuruh mengkaji dan banyak beristighfar kepada Allah s.w.t tentang perkara ini.(http://www.malaysiakini.com/news/85344).

Kita tidak tahu apa akan berlaku selepas ini jika kes ini tidak disiasat dengan sebaiknya. Rakyat semua pasti inginkan mahkamah yang adil di dalam menentukan keadilan kepada setiap rakyatnya. Selain untuk menjaga kestabilan negara ini, kita juga perlu banyak memohon kepada Allah s.w.t agar dihujani dengan limpah kurnia rezeki yang berkat lagi diredhai oleh Allah s.w.t. Semoga kita semua dilindungi oleh Allah s.w.t dari malapetaka bencana yang tidak diingini dan tidak terfikir oleh kita semua. Nauzubillah.

Wednesday, June 25, 2008

2 minggu cuti.


Aduh! Baru berapa hari cuti dah terasa bosannya.. Ni kan 2 minggu. Huh. Mengeluh aku. Hari ini hari khamis 26hb. Baru 4 hari bercuti. Tetapi aku berasa kosong sangat jika tidak diisi dengan amalan yang berfaedah.

Memikirkan masa yang begitu pantas bergerak meninggalkan manusia yang tidak pandai menjaga masa membuatkan kita berasa takut untuk meninggalkan sesaat masa. Malah ramai sekali manusia masa kini tidak menghiraukan masa yang banyak terhidang untuk mereka. Masa yang begitu banyak ini dinikmati dengan amalan yang sangat merugikan seperti tidur,makan yang berlebihan,melepak dan sebagainya.

Masa yang singkat ini menyebabkan kita sebagai pelajar perlu menguruskan masa dengan sebaiknya. Putaran roda yang penuh dengan liku-liku yang menyebabkan kita perlu untuk membuat satu tajdid kepada diri kita terutamanya dalam amalan seharian kita. Masa yang tidak cukup berbanding dengan kerja umat yang banyak memerlukan kita kepada pengurusan kelas pertama bertepatan dengan saranan PM untuk menjadikan rakyat Malaysia minda kelas pertama. Itu kita tidak boleh nafikan idea itu.

Pengurusan masa yang efektif adalah dengan membuat jadual harian yang mesti diikuti dengan penuh dislplin. Ada kala kita perkara ini banyak bergantung kepada diri kita sebenarnya. Ada orang yang boleh mengikuti proses ini dan ada yang tidak. Bergantung kepada kemampuan diri.

Apa yang pasti sebenarnya adalah kita perlu mempunyai matlamat jangka pendek dan jangka masa panjang. Cuti 2 minggu ini apa yang akan kita buat dan hari ke hari apa yang akan kita lakukan. Perancangan ini amat perlu bagi memudahkan kita untuk mengisi masa kita dengan aktiviti yang berfaedah.

Semoga kita dapat melakukan aktiviti yang bersesuaian dengan jiwa kita. Jangan kita terlebih dalam beraktiviti menyebabkan kita yang menanggung kesan dan akibatnya. Akhir sekali ingatlah ayat al-quran di dalam surah al-asr yang menyebut tentang masa. Janganlah kita tergolong di kalangan orang yang rugi. Subhanallah. Insya allah kita inginkan kejayaan di dunia dan akhirat.

*Have a nice day..
*26/6,1.45 am in my house.

PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pengumuman kerajaan untuk memberi ganjaran durian runtuh sebanyak RM 1 Juta kepada atlet Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam acara sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 nanti. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut, atlet yang mendapat pingat perak dinaikkan RM 300,000 dan pingat gangsa RM100,000.

PKPIM membantah keras cadangan kerajaan untuk mempertaruhkan duit yang begitu mewah kepada atlet yang berjaya nanti. Dalam situasi rakyat menempuh keperitan hidup akibat harga minyak naik, barang keperluan naik dan segala macam lagi, insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat.

PKPIM mempersoalkan, apakah kewajaran kerajaan membuat keputusan yang semakin membangkitkan kemarahan rakyat? Apakah kerajaan tidak merasai nadi denyutan rakyat yang terus dihimpit kesusahan? Apakah benar dengan ganjaran mewah itu mampu mengangkat motivasi atlet negara untuk cemerlang nanti?

Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh kerajaan. Dalam kesempitan hidup rakyat menanggung harga barang yang naik, kerajaan harus bijaksana menumpukan kepada kebajikan rakyat terbanyak.

Kerajaan tidak boleh membuat anggapan dengan ganjaran mewah itu atlet Malaysia mampu cemerlang dan konsisten dengan kecemerlangannya. Ganjaran mewah bukan jaminan atlet akan cemerlang. Kerajaan seharusnya tidak membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara.

Seharusnya atlet negara dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara. Memberi ‘umpan’ mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara. Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat di’belai’ dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?

PKPIM menggesa supaya kerajaan membuat keputusan bijak dalam soal ganjaran ini. Tidak salah memberi ganjaran, tetapi biar berpatutan. Jika dalam situasi kesempitan hidup sekarang kerajaan meminta rakyat mengubah gaya hidup, maka kerajaan harus mengubah cara perbelanjaan duit rakyat. Malah atlet seharusnya dididik supaya perjuangan dalam sukan Olimpik adalah perjuangan mati dan hidup sukan negara, bukan bersandarkan ganjaran semata!

Tuesday, June 24, 2008

Menteri Besar sudah lepas..


Alhamdulillah, lepas juga beliau... Begitulah terdetik di hati saya ketika membaca surat khabar hari ini tentang MB kesayangan rakyat Negeri Sembilan. Entah betul atau tidak. Cuma sama-sama kita hayati seorang pemimpin yang akhirnya digantung keahlian oleh kerana salah guna wang di dalam politiknya.

"Saya hanya tersenyum apabila menerima surat itu". Kata Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Isa Samad, 59 tahun. Begitulah berakhirnya tarikh penggantungan ahli oleh Majlis Tertinggi UMNO pada jumaat yang lalu. Penggantungan selama tiga tahun pada 24 Jun 2005 akhirnya berakhir dengan ketenangan yang amat jelas sekali.

Beliau sepatutnya dikenakan penggantungan selama enam tahun kerana terlibat dengan rasuah politik dan menyebabkan beliau kehilangan hak sebagai ahli parti. Selain itu, beliau juga kehilangan jawatan2 yang dipegang selama ini. Selepas dibuat rayuan menyaksikan ahli panel mengurangkan penggantungan kepada tiga tahun atas sebab kelakuan dan perkhidmatannya walaupun tidak memegang apa-apa jawatan.

Alhamdulillah harap2 beliau sedar dari kenikmatan dunia ini yang menyebabkan semua jawatan dan harta ditarik oleh Allah s.w.t. Itu baru balasan di dunia belum lagi di akhirat. Masing-masing mempunyai balasan yang sama adil oleh Allah s.w.t.

Balasan yang setimpal pasti akan diberi kepada hamba yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Malahan Allah s.w.t akan menarik balik rezeki jika manusia itu tidak tahu untuk bersyukur. Ingatlah pesan Allah s.w.t bahawa Allah akan menambah rezeki mereka jika mereka bersyukur.


Wednesday, June 18, 2008

40,184 calon terpilih masuk 20 IPTA

Seramai 40,184 calon dipilih memasuki 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/Matrikulasi/Setaraf (Ijazah Pertama) pada sesi akademik 2008/2009, bulan depan. Daripada jumlah itu, 24,989 atau 62.19 peratus calon Bumiputera, 12,445 (30.97 peratus) Cina dan 2,750 (6.84 peratus) India. Sebanyak 61.87 peratus atau 24,862 calon akan mengikuti jurusan sains manakala baki 15,322 atau 38.13 peratus jurusan sastera.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Ir Radin Umar Radin Sohadi, berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerima 67,143 permohonan dengan 53,504 calon memenuhi kelayakan minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.00 ke atas serta syarat khas program pengajian.
Tahniah kepada semua yang berjaya memasuki IPTA. Jikalau dilihat daripada statisitik ini ramai lagi yang tidak dapat masuk ke IPTA. Alhamdulillah kita semua adalah insan yang terpilih.

Thursday, June 12, 2008

Kehidupan yang sementara.


"Andai hidup punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata"

Begitulah ungkapan yang begitu menusuk di hati saya. Kata-kata yang membuatkan kita terfikir bahawa dunia ini adalah sementara. Bahkan dunia ini akan menyoal kita kembali apakah yang telah kita lakukan pada masa hidup kita?

Adakah kita hanya menjadi orang Islam sahaja? Adakah kita ingin menjadi seorang yang berjaya sahaja? Hidup ini hanyalah sementara. Kehidupan yang kekal abadi akan kunjung tiba. Tetapi adakah kita sedar akan kehidupan yang abadi tersebut?

Di dalam al-quran surah as-saff ayat 13 menerangkan bahawa jika pahala itu dibentangkan di hadapan kita nescaya akan berlari manusia ingin mendapatkannya.

Tetapi hakikat manusia memang sebegitu. Mereka tidak akan percaya apa yang mereka tidak nampak. Apabila musibah tiba barulah mereka akan tersedar dari mimpi yang lena itu.

Hari saban hari, saya melihatkan betapa manusia dinihari sudah semakin hilang sifat kemanusiaan. Sifat yang sepatutnya ada pada manusia tetapi sudah diberikan kepada haiwan. Tidak pernah dalam sejarah negara kita manusia buang anak dalam tong sampah.

Inilah yang dikatakan manusia sudah menjadi haiwan. Tidak begitu?

Jikalau saya senaraikan banyak lagi perkara yang tidak boleh dibayangkan dek fikiran kita. Cuba kita bayangkan ada juga manusia yang sanggup membunuh manusia dalam keadaan mayatnya tidak berkepala. Cuba anda bayangkan?

Apa-apa pun hakikatnya kita di dunia yang penuh godaan dan maksiat membuatkan kita alpa dan membuatkan kita mati rasa. Rasa keinsafan yang sepatutnya ada pada setiap manusia telah diambil oleh kenikmatan dunia yang tidak akan kekal selamanya.

Kita hendakkan harta yang banyak tetapi tidak ingin bersedekah.

Kita inginkan dosa kita diampuni tetapi masih juga melakukan dosa-dosa.

Kembalilah kita kepada asas agama kita. Jika kita berpegang teguh dengannya nescaya kita tidak akan sesat selamanya. Ia adalah al-quran dan as-sunnahnya. Bersamalah kita saling ingat mengingati pada pagi yang sungguh indah ini.

2.30pg/13hb Jun/izzat/mahallah bilal.

Peniaga Sampah.


Adakah anda tahu bahawa baru-baru ini di Selayang ada orang yang menjual makanan sampah? Ini buktinya. Surat khabar Metro ini bertarikh 2/6 buktinya.

SELAYANG: Walaupun baru diserbu lima hari lalu, peniaga haram warga Myanmar yang menjajah Pasar Borong Selayang di sini, kembali ‘garang' apabila mengacukan pisau ke arah seorang pemandu kereta yang tidak sengaja melanggar barang jualan mereka. Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, seorang peniaga Myanmar dikatakan menunjukkan pisau pemotong sayur kepada seorang kerani sebuah syarikat pencetakan yang ketika itu melalui kawasan tepi pasar borong untuk menuju tempat kerja. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah, 25, berkata ketika itu dia memandu Perodua Kancil cuba melepasi kawasan pasar berkenaan yang sesak dengan peniaga terbabit di bahu jalan. Menurutnya, dia tidak sengaja terlanggar bakul jualan milik peniaga terbabit menyebabkan ia terbalik.

Saya tidak sengaja, namun lelaki Myanmar berusia 30-an itu mengetuk cermin tingkap saya sambil menunjukkan pisau.

“Tindakannya benar-benar memeranjatkan saya kerana kesalahan itu berpunca daripada tindakan mereka sendiri yang menghadang laluan jalan dengan meletakkan pelbagai jenis sayur di bahu jalan sehingga menyebabkan jalan raya sesak,” katanya. Menurutnya, dia bernasib baik kerana pantas beredar dari kawasan itu walaupun cermin keretanya diketuk. Sementara itu, seorang peniaga tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Bakri, 41, bimbang dengan kemunculan kumpulan peniaga samseng warga Myanmar itu yang terus bermaharajalela walaupun operasi besar-besaran sudah dilakukan minggu lalu. Menurutnya, dalam operasi malam Sabtu lalu, lebih 500 warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah diberkas Rela dan Jabatan Imigresen. “Namun, saya pelik bagaimana bilangan mereka langsung tidak menunjukkan tanda berkurangan, malah semakin berani berniaga secara terbuka,” katanya. Bakri berkata, kehadiran pendatang asing itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas kerana mereka menghalang kenderaan keluar masuk dengan meletakkan barang jualan di atas jalan dengan beralaskan raga dan plastik nipis.
“Apa yang saya nampak, mereka (peniaga Myanmar) gemar mengutip sayur-sayuran dari tong sampah sebelum dijual semula kepada orang ramai,” katanya.

Malah, lebih memburukkan keadaan, kebanyakan pelanggan di kalangan penduduk tempatan yang tidak mengetahui taktik licik peniaga terbabit.

Biasanya warga Myanmar terbabit mengutip sayuran terbuang itu seawal jam 3 pagi dan dilakukan secara berkumpulan untuk memudahkan operasi mereka.

“Sambutan daripada masyarakat tempatan amat menggalakkan kerana mereka biasanya mula menjalankan perniagaan selepas pasar ditutup,” katanya.

Sementara itu tinjauan Harian Metro di pasar berkenaan mendapati peniaga terbabit menggeledah sampah-sarap dilonggokkan dalam tong sampah bagi mencari sayuran yang boleh dijual.

Selepas puas hati dengan hasil yang diperoleh, mereka kemudian membawa sayur-sayuran terbuang itu ke kawasan tersorok untuk dibersihkan sebelum dijual.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Zainal Abidin Azim, ketika diminta mengulas perkara itu berkata, dalam beberapa siri pemeriksaan dan serbuan, peniaga terbabit segera melarikan diri sehingga sanggup meninggalkan barang jualan mereka.

“Peniaga haram Myanmar itu tidak mementingkan barangan jualan mereka kerana ia diperoleh secara percuma (dari tong sampah), malah kerugian yang ditanggung juga sifar,” katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit juga sering bergaduh sesama sendiri kerana berebut tapak jualan yang terhad di bahu jalan sempit yang sentiasa sibuk dengan kenderaan lalu lalang,” katanya.

Thursday, June 5, 2008

Isu minyak naik...


Assalamualaikum, Apa khabar semua? Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kepada semua kerana tidak dapat 'update' artikel terbaru. Sebabnya lab kat UIA tu ada masalah. Tidak boleh buka yahoo dan blogspot. Hm. Kekesalan amat dikesali.

Berkuatkuasa jam 12 tengah malam tadi, harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen iaitu kenaikan tertinggi dalam sejarah negara.

Ini menjadikan harga baru bahan api itu RM2.70 seliter berbanding RM1.92 seliter sebelum ini.

Harga baru diesel pula ialah RM2.58 seliter, meningkat RM1 berbanding harga lama RM1.58 sen seliter.

Kali terakhir diesel dan petrol dinaikkan pada 28 Februari 2006 yang membabitkan kenaikan 30 sen seliter bagi kedua-dua bahan api itu.

Bagaimanapun, harga baru itu jauh lebih rendah berbanding RM5.20 bagi petrol dan RM4.33 bagi diesel di Singapura yang mengapungkan bahan api berkenaan.

Kenaikan harga petrol dan diesel itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu sidang media di pejabatnya di sini, petang semalam.

Dalam usaha mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana terhadap kenaikan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian, termasuk motosikal.

“Bagi pemilik kenderaan persendirian yang berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) manakala trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.

“Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai RM150 setahun bagi setiap motosikal akan diberikan,” katanya.

Menjelaskan mengenai pembayaran tunai itu, Abdullah berkata, ia akan diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor (cukai jalan) yang berkuat kuasa mulai 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

“Bayaran tunai itu akan diberikan secara kiriman wang di Pos Malaysia di seluruh negara mulai 1 Julai 2008,” katanya.

Beliau berkata, bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori itu, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan bayaran cukai jalan yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.

“Bagi pemilik kenderaan petrol dan diesel berkapasiti enjin melebihi 2000cc, cukai jalan akan dikurangkan RM200 manakala pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin lebih daripada 250cc, cukai jalan akan dikurangkan RM50, tertakluk kepada cukai jalan minimum sebanyak RM2,” katanya.

Itu satu daripada langkah yang diluluskan Kabinet menerusi pakej penstrukturan semula subsidi bahan api yang turut merangkumi mekanisme untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Langkah seterusnya, Abdullah berkata, Kabinet juga bersetuju menyelaraskan subsidi diesel untuk syarikat pengangkutan yang diluluskan, syarikat pengangkutan vesel dan nelayan.

“Pada masa ini, operator pengangkutan, nelayan dan pemilik vesel menikmati harga subsidi berbeza bagi diesel iaitu RM1 seliter bagi nelayan dan RM1.20 seliter bagi pemilik diesel.

“Kabinet hari ini (semalam) bersetuju menyelaraskan harga diesel kepada RM1.43 seliter berkuatkuasa esok (hari ini), dengan penyelarasan harga itu tidak akan menjejaskan syarikat pengangkutan di bawah sistem `fleet card’ yang akan terus menikmati subsidi petrol dan diesel pada harga ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, Kabinet bersetuju membayar sebahagian daripada perbezaan harga lama dan baru itu secara tunai kepada nelayan dan pemilik vesel.

“Kerajaan akan membayar secara tunai sebanyak RM200 setiap bulan kepada pemilik dan pekerja vesel rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan bayaran insentif kepada pemilik vesel pada kadar 10 sen sekilogram hasil tangkapan ikan yang didaratkan di pusat perikanan dalam negara.

“Kabinet juga memutuskan pengusaha bot penumpang sungai juga akan diberi bayaran tunai 10 sen seliter berdasarkan kuota yang diluluskan,” katanya.

Selain itu, mulai 1 Julai depan, Perdana Menteri berkata, harga gas yang dibekalkan Petronas di Semenanjung akan diubah iaitu bagi sektor elektrik, harganya akan dinaikkan daripada RM6.40 setiap mmBtu kepada RM14.31 setiap mmBtu.

Abdullah turut mengumumkan satu struktur tarif baru elektrik akan berkuatkuasa pada 1 Julai depan.

Ia akan diguna pakai semua pengguna domestik (rumah), komersial dan industri di Semenanjung Malaysia, manakala satu struktur tarif baru bagi Sabah dan Sarawak akan diumumkan selepas ini.

“Struktur tarif baru ini tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan 200 Kilowatt Jam (kWj) ke bawah setiap bulan dengan anggaran bil elektrik kurang daripada RM43.60 dan ini bermakna, 59 peratus isi rumah di Semenanjung akan membayar kadar sama selagi mereka mengekalkan tahap penggunaan yang sama.

“Pengguna komersial dan industri pula akan mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus, tetapi bagi peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil, mereka hanya akan mengalami kenaikan 18 peratus jika menggunakan tidak melebihi 200 kWj setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata, Kabinet juga bersetuju memansuhkan levi sistem subsidi minyak masak (COSS) sedia ada berkuatkuasa 1 Julai depan dan bagi menggantikannya Kabinet akan melaksanakan peruntukan mengikut Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 ke atas Pengeluar Minyak Kelapa Sawit.

“Walaupun COSS dimansuhkan, harga minyak masak tetap sama kerana hasil daripada pelaksanaan levi baru itu akan digunakan untuk membiayai subsidi minyak masak,” katanya.

Selain harga minyak masak yang tidak akan dinaikkan iaiatu RM1.75 setiap satu kilogram, harga Gas Asli bagi Kenderaan (NGV) iaitu 63.5 sen seliter juga dikekalkan.

Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan bayaran cukai perkhidmatan restoran yang terletak di luar hotel, kerajaan bersetuju perolehan jualan tahunan (threshold) restoran seperti itu dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM3 juta.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menganggarkan RM13.7 bilion akan diperolehi daripada penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan daripada levi yang dikenakan terhadap syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan POP.

Ia akan digunakan untuk Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara iaitu RM4 bilion, subsidi minyak masak (RM1.5 bilion), subsidi pembelian beras import bagi penyeragaman harga beras di Sabah dan Sarawak (RM0.4 bilion), subsidi tepung (RM0.2 bilion), subsidi roti (0.1 bilion) dan sumbangan kepada subsidi petrol, diesel dan gas iaitu RM7.5 bilion.

Monday, June 2, 2008

Melawat sahabat di CUCMS.



Pada 31hb bersamaan hari sabtu yang lepas, saya dan rakan-rakan Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan melawat rakan-rakan di Kolej Perubatan di Cyberjaya. Tujuan melawat ke sana lebih untuk berbincang kerjasama program di Sekolah di Negeri Sembilan.


Kami dari UIA bertolak dalam pukul 11 pagi dan tiba dengan selamatnya pada pukul 12 tengah hari. Perjalanan yang sibuk ditambah dengan kesesakan lalu lintas menyebabkan kami lambat sedikit daripada masa yang sepatutnya.


Apabila sampai di sana, kami disambut oleh Kak Wani iaitu wakil dari Persatuan Islam di sana. Sebenarnya program ini adalah rancangan daripada kak wani untuk membuat satu program di sekolah lamanya. Sekolah ini adalah tempat pertama beliau mengajar sebelum memasuki ke Kolej ini.


Selama dua jam kami berbincang tentang modul,pengurusan,ahli jawatankuasa dan sebagainya. Akhirnya kami menemui kesepakatan untuk membuat program tersebut pada 25-27hb Julai akan datang. Semoga dipermudahkan kerja kami ini.

Sunday, June 1, 2008

Hadis ke 27(Imam Nawawi)

Sempena usrah PPINS pada 1 Jun 2008.

عن النواس بن سمعان عن النبي e قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.
Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda:
Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu
Baginda bersabda:
Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.

Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik.
Pengajaran hadis:
Kebajikan atau kebaikan ialah perkara yang hati seorang mukmin merasa tenang dan baik,
sedangkan kejahatan atau dosa pula ialah apa yang hatinya merasa keluh kesah, gementar dan merasa takut kalau-kalau diketahui oleh manusia. Seorang mukmin, dengan firasat hatinya boleh menduga baik buruk sesuatu perkara. Walau apapun pandangan orang lain, dia lebih berhak membuat pendirian berdasarkan iman dan firasatnya. Namun perasaan dan firasatnya itu tidak boleh bertukar menjadi hukum syara' atau fatwa yang memestikan orang lain mengikutinya. la hanya boleh digunakan untuk dirinya sendiri. Kebaikan atau kebajikan yang diberikan kelonggaran untuk kita meminta fatwa hati ialah kebajikan yang masih kesamaran, adapun yang memang sudah ada nas yang jelas, maka ia mesti dianggap kebaikan biarpun hati berat menerimanya. Demikian juga keburukan yang sudah ada nas yang jelas, ia tidak boleh dipertikaikan atau ditakwil lagi berdasarkan perasaan dan firasat hati. Perasaan hati hanya boleh dipakai apabila selari dengan kaedah hukum syara' dan selagimana tidak
bercanggah dengan hukum hakam agama.