Sunday, August 31, 2008

Hari Keluarga PPINS

Sebahagian ahli PPINS yang hadir.....

"Mana anta semua ni sheikh? Lambat dah ni.. Berkata hati ini yang risau mana la kakak,abang dan adik PPINS ni.. Dah kul 10 dah ni.. Perkara yang buat saya menunggu memang saya tidak suka. Biasalah hati golongan muda.

Alhamdulillah, 10.45 pagi semua ahli yang berjanji hendak datang akhirnya sampai ke tempat hari keluarga ini. Tempatnya ini betul-betul sebelah rumah Menteri Besar NS. Memang sangat menarik. Cuaca pun mendung dan memang akan hujan sekejap lagi.

Aktiviti dimulai dengan taaruf bersama ahli lama dan ahli baru. Habis semua perkara diketahui tentang ahli PPINS ini. Rasa seronok dan sedih bercampur baur kerana ada ahli yang bakal menghabiskan sesi belajarnya tidak lama lagi. Tahniah kepada mereka.

Seterusnya Ustaz Syamsul selaku YDP ABIM NS memberikan sedikit perkongsian pengalaman tentang beliau dan nasihat beserta semangat kepada ahli PPINS ini. Beliau banyak menekankan tentang kualiti dan perlunya kita menjadi seseorang di dalam masyarakat. Kualiti kita sebagai pelajar perlu kita menjuarai dalam bidang kita. Begitu juga dalam bidang yang lain.

Banyak yang kita bincangkan sambil bersantai. Merencana perjuangan dalam satu hari memang tidak cukup untuk kita betul2 merancang. Satu perancangan jangka panjang dan jangka pendek. Tetapi sekurang-kurangnya kita sudah merancang hanya Allah s.w.t yang akan menentukan segalanya.

Dalam pukul 2 petang, aktiviti kami berakhir dan bersalaman antara kami tanda eratnya silaturrahim itu.

Semoga Hari ini menjadi hari yang sebaik2nya untuk kita. Hari yang gembira dan sedih dalam masa yang sama. Hari untuk kita mencurahkan perasaan kasih sayang kita terhadap kawan kita. Dan juga hari untuk kita ingat bahawa hidup ini hanya sementara.

Oleh itu, janganlah anggap dunia adalah milik kita. Bersamalah kita bina kekuatan jasmani dan rohani di bulan puasa ini. Bulan yang dikurniakan Allah s.w.t dengan limpah dan kurnia yang tidak terkira banyaknya. Rugi kepada sesiapa yang tidak mengejarnya.

Bersama kita mengejar ijazah TAQWA!!!

____________________________

Antara program yang dirancang oleh PPINS bulan Ramadhan ini:

Ihya Ramadhan PPINS
UIA Gombak
12 September 2008

Ihya Ramadhan ABIM
Akademi Pembangunan Belia Malaysia, Port Dickson.
19-21 September 2008.

Kepad sesiapa yang berminat, sila hubungi saya. Terima Kasih.

Saturday, August 23, 2008

Konvokesyen Pak Su


Alhamdulillah, begitulah terdetik dalam hati saya. Suasana yang begitu meriah di hadapan Pusat Kebudayaan Dan Aktiviti UIA ini begitu mengujakan diri saya. Dengan suasana hujan lebat dan suara yang mengucapkan tahniah kepada si graduasi membuatkan saya tidak sabar-sabar untuk menghabiskan pelajaran di sini.

Tetapi saya sedar perjalanan saya masih jauh di hadapan. Banyak lagi ranjau dan liku yang perlu saya hadapi dengan tabah. Semoga diri ini dipanjangkan umur untuk terus menjadi hamba dan khalifah di muka bumi ini. Dan semoga terus tabah menghadapi dugaan hidup mendatang.

Monday, August 18, 2008

Jam 7 petang...


Jam menunjukkan pukul 7 petang. Masa seperti ini dan hari yang memang saya tahu akan terjadi banyak perkara yang tidak diingini. Hari ini hari jumaat. Bersamaan 15hb Ogos. Tekaan yang tepat. Mengapa? Apabila saya menjejak kaki di Pasar Seni, gambar di atas menunjukkan bagaimana perasaan saya. Biasalah. Siapa tidak biasa? Hari jumaat ini adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh sesiapa yang masih menuntut tidak kira sekolah ataupun universiti. Sedar tidak sedar, masa begitu pantas berlalu.


Sedar tidak sedar masa sekarang begitu pantas meninggalkan kita. Kita juga sedar yang di akhir zaman ini masa akan berlalu begitu pantas. Kerja yang begitu banyak yang telah diberikan kepada kita membuatkan kita tidak mampu membuat semuanya secara professional dan sistematik. Kadang-kadang kita sebagai pelajar merasakan kerja kita hanya belajar sahaja. Walaupun ramai yang berkata sebegitu, tetapi pelajaran mereka sama sahaja dengan mereka yang dikatakan sibuk dengan ‘persatuan’ dan sebagainya. Perkara ini membuatkan saya terfikir ada kala kita perlu membuat apa yang perlu kita buat. Jangan jadikan alasan kerja yang banyak membuatkan kita tidak melakukan perkara lain yang lebih utama. Itu masalah.


Membicarakan perkara yang perlu dibuat dan tidak perlu dibuat adalah dua perkara yang sangat berbeza. Perkara ini jika kita tidak betul-betul hayati boleh menyebabkan kita tidak tahu apa yang kita buat ini betul atau tidak,relevan atau tidak dan sebagainya. Dalam satu keadaan antara pelajaran dan program. Mana yang lebih kita utamakan?


Jika dalam buku fiqh awlawiyyat menyebut bahawa perkara yang menjadi asas bagi fiqh keutamaan antara lain adalah:


1. Melakukan perbandingan antara pelbagai al-masalih(kemaslahatan) atau al-Manafi’(kemanfaatan), ataupun perbandingan semua kebaikan yang diperintahkan.
2. Melakukan perbandingan antara pelbagai al-Mafasid(kemafsadatan) atau al-Madar(kemudaratan)
3. Melakukan perbandingan antara pelbagai al-masalih(kemaslahatan) dan al-Mafasid(kemafsadatan) ataupun perbandingan antara satu semua kebaikan yang diperintahkan dan kemudaratan yang dilarang apabila terjadi pertembungan di antara keduanya.

Jika kita melihat pengorbanan sahabat Rasulullah s.a.w ketika dalam perang begitu bersemangat ingin menyelamatkan Rasulullah daripada serangan pihak kuffar sehingga terlupa akan keselamatan dirinya. Mereka melebihkan orang lain daripada kepentingan diri. Perkara ini yang perlu kita latih terutama generasi akhir zaman ini.

Menjawab persoalan antara pelajaran dan program. Mana lebih utama? Soalan ini pasti akan bisa dijawab jika kita melakukan perbandingan dengan perkara pokok fiqh keutamaan ini. Sama-sama kita lihat diri sendiri adakah kita sudah melakukan yang terbaik dalam soal keutamaan kita.

Sunday, August 17, 2008

Muktamar PKPIM kali ke 47..

Jumaat, 22 Ogos 2008

MAJLIS PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN

3.oo petang Pendaftaran Peserta

6.30 petang Makan Malam

7.30 malam Solat Maghrib

8.00 malam Sesi Persidangan 1

11.00 malam Rehat

Sabtu, 23 Ogos 2008

KONVENSYEN KOLEJ ISLAM SEMALAYSIA

8.30 pagi Ketibaan Perasmi

9.00 pagi Ucapan Dasar “ Memacu Masa Depan Gerakan Da’wah”
Mohd. Hilmi Ramli
Presiden PKPIM


10.00 pagi Minum Pagi

10.15 pagi Pidato Utama “Memperkasa Pendidikan Islam Demi Masa Depan”

YB Dato Hasan Ali
Exco Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Selangor

11.15 pagi Sesi 1


Datuk Haji Mohd. Nakhaie Haji Ahmad


Kepentingan dan Keutamaan Dakwah dalam Suasana Sosio Politik Negara


12.45 t/hari Rehat


Solat Zuhur / Makan Tengahari


2.00 petang Sesi 2


Dato’ Dr. Siddiq Fadzil

Mahasiswa dan Kepedulian Sosial : Menggembleng Keperkasaan Generasi Muda

3.30 petang Sesi Bengkel

“Masa Depan Institusi Pendidikan Islam Negeri”

4.30 petang Resolusi

Sesi Penutupan

6.00 petang Rehat

8.00 malam FORUM GENERASI MUDA

10.00 malam MALAM TAUTAN ANAK NEGERI

11.00 malam Rehat


Ahad, 24 Ogos 2008

MAJLIS PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN

8.30 pagi Sesi Persidangan 2

10.30 pagi Minum Pagi

11.00 pagi Sesi Persidangan 3

2.00 petang Bersurai


Dijemput kepada semua untuk menghadiri Muktamar PKPIM pusat. Ajak kawan2 pergi sekali. Terima Kasih.

Hidup Biar Berjasa

Hidup Islam!!

Wednesday, August 13, 2008

Caj khidmat PTPTN 1 peratus..


Alhamdulillah,begitulah terdetiknya hati penulis apabila membaca surat khabar hari ini. Berita penurunan caj pinjaman PTPTN ini rasanya amat melegakan semua pihak terutama sekali adalah mahasiswa itu sendiri. Di sini penulis memberikan beberapa artikel dari surat khabar berkaitan dengan PTPTN ini.

Pelajar yang memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini hanya perlu membayar caj perkhidmatan sebanyak satu peratus berikutan keputusan Kabinet semalam bersetuju menurunkan kadar caj berkenaan, berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Kadar baru itu meliputi pinjaman di peringkat pengajian ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana serta doktor falsafah (PhD). Sebelum ini, pelajar ijazah sarjana muda dikenakan caj perkhidmatan tiga peratus, manakala peringkat ijazah sarjana dan PhD lima peratus.

Ketika ini, 1.04 juta peminjam PTPTN membabitkan pelajar peringkat ijazah sarjana muda dan 2,473 pelajar ijazah sarjana serta PhD.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kadar baru itu membabitkan peminjam sedia ada, yang sudah menamatkan pengajian tetapi belum menyelesaikan pinjaman serta semua bakal peminjam.

Beliau berkata, permohonan pelajar baru yang dibuat sebelum sistem baru dilaksanakan, akan diproses dan diluluskan mengikut kaedah sedia ada dengan pelarasan dibuat selepas sistem baru dibangunkan Disember ini.

"Bagi peminjam sedia ada dan yang sudah menamatkan pengajian pula, kaedah pengiraannya ialah jumlah terhutang sebelum 1 Jun lalu akan didarabkan dengan satu peratus setahun atas baki tempoh bayaran balik," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Mohamed Khaled berkata, penurunan kadar caj itu dipersetujui hasil perbincangan dan rujukan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengesahkan ia tidak bertentangan dengan syariah.

Bulan lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj yang dikenakan PTPTN hendaklah berkonsepkan upah sejajar matlamat penubuhannya untuk membantu pelajar membiayai pengajian serta mesti bersesuaian dengan perkhidmatan yang diberi dan tidak membebankan peminjam.

Berikutan keputusan itu, katanya, dokumen surat tawaran perjanjian baru akan diedarkan kepada peminjam sedia ada dan yang sudah menamatkan pengajian, pada Januari 2009.

"Mereka diberi tempoh sebulan untuk melengkapkan dokumen perjanjian baru dan memulangkannya semula kepada PTPTN sebelum kadar baru dilaksanakan. Mereka yang gagal memulangkan kembali surat tawaran itu akan tetap dikenakan kadar caj lama," katanya.

Mengenai peminjam yang tidak pernah membuat pembayaran pinjaman, beliau berkata pengiraan masih digunakan mengikut kadar lama serta dikenakan denda satu peratus dan hanya baki pinjaman selepas 1 Jun lalu layak mendapat kadar caj baru.

"Kita yakin penurunan kadar caj ini tidak akan menjejaskan operasi PTPTN kerana ia dapat membantu meningkatkan lagi pembayaran balik pinjaman," katanya.

Mohamed Khaled berkata, sejajar dengan penurunan kadar caj itu, kementerian sedang mengkaji kemungkinan menumpukan pembiayaan pendidikan peringkat sarjana, doktor falsafah dan profesional hanya dalam bidang strategik.

Mengenai pemotongan bayaran insurans PTPTN sehingga menyebabkan lebih 1,000 pelajar Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill, Kajang mendapat baki pinjaman antara RM10 hingga RM50, beliau berkata mereka boleh memohon balik bayaran yang dipotong dan jumlah berkenaan akan dijadikan pinjaman tambahan.

"PTPTN membuat pelarasan kerana kos insurans meningkat dan ada pelajar yang tidak dikenakan atau dikutip bayaran bulanan, maka apabila dikenakan potongan tahunan jumlahnya menjadi besar menyebabkan pelajar tidak ada baki pinjaman," katanya.

Nasihat bersama...



Omar bin Al-Khattab r.a ketika diatas mimbar, katanya: Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda: sesungguhnya segala amalan itu disertai dengan niat, dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang apa yang diniatnya. Maka barangsiapa berhijrah kerana dunia mendapat habuannya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya maka hijrahnya kepada sesuatu yang ia berhijrah kepadanya. (AlBukhori:sohih)

Di sini kita lihat betapa pentingnya niat seseorang manusia itu. Jika dia berniat untuk membuat kebaikan maka pahala berniat dia dapat dan apabila dia membuat kebaikan dapat lagi pahala membuat kebaikan. Begitu pemurahnya Allah s.w.t kepada hambanya. Dan jika hambanya membuat keburukan hanya perbuatan keburukan itu sahaja yang akan dihitung tanpa menghitungkan niat keburukan tersebut. Tetapi kita tidak sedar akan hakikat ini.

Jika Allah s.w.t menghidangkan pahala sebegitu banyak di depan hambanya nescaya beramai-ramai hambanya akan mendapatkannya. Tetapi hakikatnya bukan begitu. Oleh itu, bersama kitalah pada bulan Ramdhan yang akan datang untuk menetapakan niat dan berazam untuk melakukan perubahan ke atas diri dan juga masyarakat agat ramadhan kali ini tidak akan menjadi ramadhan yang sia-sia. Semoga dirahmati oleh Allah s.w.t.

Jikalau kita lihat selama kita hidup di dunia ini, pernahkan kita tidak mendapat keperluan yang mencukupi untuk diri sendiri? Adakah kita semua tidak mempunyai pakaian dan makanan yang mencukupi? Biasanya jawapan semuanya mencukupi.

Kita di Malaysia dikira beruntung kerana mempunyai semua benda ini yang tidak ada di kebanyakan saudara kita di luar sana. Hatta pada bulan ramadhan ini kita selalu melakukan pembaziran dari segi makanan terutama sekali apabila hendak berpuasa. Membeli makanan sehingga lupa ada saudara kita yang tidak makan di luar sana. Maka besederhanalah selalu dalam apa jua sekalipun. Kita dijadikan supaya menjadi ummatan wassatan yakni umat yang besederhana. Maka jadilah umat sebegitu agar kita tidak menyesal di kemudian hari.


Dpd Muaz bin Anas ra bahawa Rasulullah saw bersabda, "sesiapa yg meninggalkan pakaian yg indah dgn tujuan merendah diri kpd Allah, sedangkan ianya mampu berbuat demikian, maka Allah memanggilnya pada hari kiamat dihadapan orang ramai, kemudian Allah menyuruhnya memilih pakaian yang ia suka dpd berbagai-bagai pakaian orang yg beriman. (Attarmidzi: )

Monday, August 4, 2008

PKPIM; Perjuangan Ulama dan Dasar Ilmu Islam Yang Dilupa


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصره ووالاه


Teringat penulis kepada penyataan oleh Almarhum Tuan Syeikh Niamat Yusof, antara tokoh ulama penting dalam penubuhan PKPIM dan ABIM, yang suatu ketika dahulu pernah mengingatkan golongan muda;

“Saya berharap golongan muda dalam ABIM perlu ingat bahawa pada awalnya, penubuhan ABIM penuh dengan liku dan ranjau. Jadi, untuk menjaga dan memastikan kesinambungan ABIM, generasi muda perlu melihat ke belakang bagaimana ABIM telah memainkan peranan melahirkan tokoh-tokoh ulama dan intelektual yang melibatkan diri dalam gerakan Islam melalui pelbagai institusi. Gerakan ini perlu dipertahankan untuk memastikan masa hadapan ummah ”

Almarhum Syeikh Niamat Yusof jika diimbau perjuangannya dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi bertuah Malaysia ini amat sukar perjalanannya. Beliau merupakan mudir pertama di Maahad Tarbiyyah Islamiah (Pondok Dehrang), Dehrang, Pokok Sena, Kedah.

Permulaan perjuangan beliau bermula sebagai Penolong Setiausaha kepada Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang merupakan Setiausaha kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Almarhum Tuan Syeikh Niamat Yusof telah mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan anjuran Liku, Alor Setar pada tahun 1972. Sejak itu bermulalah penyertaan seorang tokoh ulama ulung yang dirindui ummah selepas pemergiannya, di dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Justeru, para pemuda dan pemudi Islam khusus yang berada di lapangan PKPIM, harus kembali sedar mengenai asal penubuhan gerakan Islam ini yang pada asas dan tunjangnya adalah dipasak untuk mengembalikan Islam sebagai Nizamaul Hayya. Bahawa “kekukuhan” PKPIM adalah melalui membudayakan ilmu Islam yang “dicari”.

Perjuangan PKPIM ini harus diperhalusi adalah natijah kepada perjuangan daripada umat Islam yang faham akan keperluan ummah yang dahaga akan sentuhan ilmu daripada para ulama.

Berprinsip

Kita tidak mahu menjadi seperti umat yang taksub kepada parti dan individu. Kita juga bukan bermuka-muka dalam memperolehi laba dan untung di dunia. Kita tidak bermanis kepada pemerintah walau perbuatan mereka adalah melanggar syariah.

Manakala kepada lawan pemerintah, kita juga tidak sesekali berlembut lidah apabila melihat mereka melakukan kesalahan yang jelas menyimpang. Kita (PKPIM) tegas dengan prinsip tidak takut jika mereka “memerintah”, ketika itu, kita disanggah, kerana pernah berbeza pandangan.

Dalam perkara ini, PKPIM harus terus berpendirian jelas sebagaimana dfirmankan oleh ALLAH SWT:

“Dan berkatalah kepada hamba-hambaku: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara musuh yang nyata bagi manusia”
[Surah Al-Isra’: 53]

Perjuangan yang kita sertai ini akan ada pada suatu ketika nanti, perlu menggunakan jihad lisan, jihad dengan pena, tangan serta perkataan benar disisi pemerintah yang zalim.

Maka, amat wajar kita mempertahankan prinsip non-partisan. Di kala sebilangan manusia rakus, takut dan kecut bila diizin oleh ALLAH SWT memegang tampuk kuasa. Mereka tidak lagi mewar-warkan isu umat Islam atas alasan mahu “tasamuh” kepada bangsa yang berbeza agama walau diinjak kemuliaan agama Islam yang mulia.

Arah Perjuangan

Mutakhir, kebanyakkan ahli PKPIM, punya kemampuan untuk berbicara perihal politik. Memiliki karisma menolak kerakusan yang dicetuskan oleh pemerintah melalui bacaan ilmiah dan penulisan. Kita juga juara dalam mendepankan isu Bahasa Melayu (kini Bahasa Malaysia).

Kita juga diberi keizinan oleh ALLAH SWT menjadi wira dan menjuarai isu-isu masyarakat. Contohnya, kita didengari oleh pemerintah dengan isu riba didalam PTPTN. Kita juga ampuh mempertahan agar digubal akta AUKU yang melayukan jati diri mahasiswa sehingga diambil kira untuk digubal kembali pada peringkat Parlimen sedikit masa lagi.

Walaubagaimanapun, kedengaran suara-suara mempersoalkan, adakah PKPIM juga sedang mengasimilasi dasar menjadi pejuang mahasiswa semata? Sehingga lupa kepada keutamaan membela agama Islam. Ketika ummah keliru dengan persoalan pelampau di dalam agama seperti wahabi dan syiah, kita masih berkompang mempersoal titik temu dalam politik.

Di kalangan ahli PKPIM dan masyarakat, ada yang menjadi keliru kerana dimomokkan dengan kehadiran pemuka pembid’ah dalam ibadah ummah. Apabila disoroti mengapa ummah begitu cepat mempercayai dan mengikuti adalah disebabkan “kemalasan” dalam mengusahakan hadir atau menganjurkan sendiri majlis-majlis ilmu yang khusus mensyarahkan perihal ibadah.

Bukti dapat dilihat dengan kesungguhan di kalangan ahli menyertai program-program bersifat mendidik masyarakat mengenai hal-hal semasa khusus menyentuh perihal politik, ekonomi dan sosial amat di luar jangka sambutan.

Begitu juga kepada majlis-majlis atau seminar yang membicarakan persoalan wanita, cinta, nikah dan munakahat. Sambutan adalah dijangka! Samada daripada pihak “ana dan enti”.

Kemudian, tuan-tuan bandingkan sahaja jumlah yang hadir dalam majlis seminar Ta’dib Islami dan Kuliyyah Daurah Haiah. Juga kehadiran yang boleh dikatakan secara umum “sifar ahli PKPIM” dalam majlis-majlis anjuran institusi luar seperti pengajian kitab-kitab turath walaupun melibatkan tokoh ulama besar dari serata pelusuk dunia sebagai tenaga pengajar. Sungguh menyedihkan melihat kepada jumlah yang hadir.

Pejuang Berpenyakit

Natijah kepada kekurangan tumpuan terhadap keilmuan yang lahir daripada guru-guru mursyid yang tidak berkepentingan duniawi, maka akan terhasil pula golongan pejuang yang berpenyakit.

Pejuang-pejuang ini yang terdiri dari kalangan lelaki dan wanita, menyeret sama orang-orang yang berada di dalam lingkungannya melalui program-program yang dijalankan atas nama persatuan dan mencontohi sifat buruk yang sama seperti mereka.

Kefahaman tentang iman yang lemah ditonjolkan dengan sifat riya’, ingin menjadi ketua, suka menonjol diri, mengadu domba, gemar kepada pangkat dan jawatan, kemewahan dunia serta pelbagai lagi penyakit yang asalnya adalah daripada hati yang telah mati iman kepada ALLAH SWT.

Kewujudan orang-orang sebegini di dalam jama’ah akan menghasilkan kesusahan dan kerosakan kepada ummah.

Justeru, para pejuang perlu memahami sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa mentaati aku maka ia telah mentaati ALLAH SWT dan sesiapa menderhakai aku, maka ia telah menderhakai ALLAH SWT. Sesiapa yang mentaati ketua maka ia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhakai ketua maka ia telah menderhakai aku”
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Nasihatilah Pemimpin

Manakala kepada para pimpinan, ketahuilah bahawa kelemahan dan kekurangan sentiasa bersama diri. Selaku mu’min, peringatan daripada kalangan yang dipimpin jangan dikesampingkan. Mu’min bersifat cerminan sesama pemimpin dan pihak dipimpin.

Hadith Rasulullah SAW:
Dari Abi Ruqayyah Tamim bin ‘Aus ad-Dari Radhiyullahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ‘alaihi Wassalam bersabda:
“Agama adalah nasihat”. Kami bertanya: “Untuk siapa?” Kata Baginda: “Untuk ALLAH, KitabNYA, RasulNYA, pemimpin-pemimpin umat Islam dan keseluruhannya.”
[Hadith Riwayat Muslim]

Maka, perhubungan di antara pemimpin dan dipimpin adalah umpama urat saraf. Putus satu pertalian, maka gerakkan menjadi pincang dan lemah.

Kesimpulan

Justeru, dalam mendepani segala isu semasa, PKPIM sebagai sebuah gerakkan pelajar yang matang akal Islami, harus utuh dan kekal kepada prinsip, misi dan visi dalam melahir ummah bertamadun beracuan khayra ummah bersumberkan Al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama. Kembali kepada menyubur ilmu usul di dalam Islam adalah tunjang kepada pemahaman ahli dan ummah agar bersatu dalam mendepani segala cabaran yang bakal didepani. Tinggalkan kepincangan dan kemahuan peribadi. Bergeraklah dalam lingkungan jihad yang ALLAH SWT redhai. Hamba yang haqir ini sekadar mencetus kembali semangat ukhuwwah dan perjuangan Islami, agar tidak lapuk dalam sorak retorik yang tidak menguntungkan ummah secara seluruh.

Alfatihah untuk roh Ayahanda Tuan Guru, Syeikh Ustaz Niamat Yusof..
Haul Tarikh pemergian Almarhum Syeikhuna, As-Syeikh Niamat Yusof pada 13 rejab yang lalu.

Tahun ini 13 rejab 1429 h jatuh pada 16 julai 2008.

Wallahu’alam

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

PC Fair


Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dikasihi, Alhamdulillah kita masih lagi ditemukan dalam blog saya ini walaupun jarang-jarang saya menulis artikel yang baru. Insya allah diperbaiki.

Semalam saya dengan seorang sahabat saya telah pergi ke PC Fair yang diadakan di KLCC. PC Fair yang diadakan setahun sekali ini memang meriah sekali. Berjuta-juta orang telah mengambil peluang untuk membeli barang komputer kegemaran mereka.

Saya dan aziz pun juga tidak melepaskan peluang ini. Harga barang-barang diberikan memang sangat berpatutan. Bayangkan ‘printer’ 4 dalam 1 hanya RM179 sahaja. (Promote plak.!) Apa lagi saya pun belilah inknya sahaja. Printer saya dah ada. Tetapi memang rugi sebenarnya. Tambah RM 20 dah boleh beli printer baru. Selain itu, banyak barang lain yang murah dan berpatutan. Lama-lama kelamaan tidak mustahil barang teknologi sekarang ini harganya akan turun sehingga semurah-murahnya.

Tetapi apa pun semua ini adalah pengalaman yang sangat menarik. Dah la saya pergi menaiki motosikal dan pertama kali bawa motor di Kuala Lumpur, memang sangat menyeronokkan. Seronok-seronok pun tidak sedar yang duit pun tidak sabar-sabar hendak habis. Dalam sekelip mata sahaja, harta dunia ini lesap dan habis tanpa kita sedari.

Akhir sekali, mari kita sama-sama berfikir bahawa teknologi dunia ini yang kita miliki selama ini akan hancur juga. Tetapi ramai antara kita tidak sedar akan hakikat ini. Buktinya dapat dilihat apabila kurangnya orang di majlis ilmu agama dan ramainya di tempat yang tidak berfaedah.

Semasa saya pergi ke PC Fair ini, banyak saya lihat gelagat manusia yang tidak sedar akan hakikat diri yang sebenar. Beli barang itu seperti barang itu akan digunakan selamanya. Semua ini hanyalah permainan dunia yang ingin kita lalai di dunia ini.

Ingatlah, bahawa harta-harta ini akan ditinggalkan oleh kita dan amalan sahaja yang akan dibawa ke akhirat kelak. Oleh itu, jangan dibanggakan akan harta ini kerana harta ini tidak kekal. Tetapi gunalah sebaiknya untuk kepentingan umat dan juga agama kita yang tercinta. Sekadar renungan bersama.


Ahad
7.30 pagi
3 Ogos 2008