Thursday, November 26, 2009

Selamat Hari Raya Aidiladha



Saat kita berhari raya aidiladha, ramai antara kita yang tidak ketinggalan untuk balik ke kampong masing-masing walaupun hari raya haji tidaklah semeriah hari raya aidilfitri. Walaupun kemeriahan yang tidak seberapa, tetapi ganjaran dan kisah di sebaliknya amat besar jika kita dapat hayati bersama.

Hari raya aidiladha ataupun hari raya haji dan korban merupakan hari raya untuk memperingati kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Peristiwa ini telah dirakamkan dalam surah Qashas ayat 100-113 yang menerangkan bagaimana peristiwa ini berlaku.

Bagi diri saya, saya berasa bahawa Hari Raya korban ini dapat menghidupkan kembali amalan yang makin lama makin pupus iaitu semangat pengorbanan. Apabila diertikan maksud pengorbanan pastinya ramai yang mengatakan bahawa “dulu aku pernah terkorban” ataupun “mengorbankan diri aku”. Ini adalah dari segi fizikal.

Pengorbanan bagi saya adalah berkorban segala yang kita ada untuk membersihkan diri untuk menghadap Allah swt di akhirat kelak. Maka tidak kisah pengorbanan apa juga yang kita lakukan baik material ataupun sosial semuanya akan dihitung oleh Allah swt.

Oleh itu, pengorbanan adalah perjuangan yang tidak akan henti sampai bila-bila. Perjuangan yang tidak kenal erti penat pasti merasai nikmat pengorbanan yang sebenar. Itulah dinamakan pengorbanan yang hakiki.

“Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua”

Tuesday, November 10, 2009

Bermula peperiksaan..


Semalam bermulanya peperiksaan akhir semester dengan persediaan yang tidak berapa mantap. Maklumlah, markah dibawa ke akhir tidaklah memuaskan saya dan saya sendiri menyalahkan diri kerana tidak serius dalam hal ini. Hanya berkat doa,usaha,ikhtiar dan tawakal sahaja yang dapat membantu saya insya allah.

Subjek semester ini tidaklah begitu meyakinkan untuk saya betul-betul cemerlang. Hal ini kerana saya baru bertukar kos dan masih mencari rentak untuk menyesuaikan dengan kos dan subjek ekonomi yang agak memeningkan pada mulanya. Mungkin ini jalan saya untuk saya memeningkan kepala dahulu agar dapat saya memperoleh ketenangan yang abadi pada akhir kelak.

Walaupun semua ini merupakan suratan takdir yang perlu saya terima selain daripada masalah yang membelenggu saya, saya pasti kejayaan dan kebahagiaan pasti akan menjelma tidak lama lagi. Menarik untuk kita ingatkan sebuah buku yang popular yang bertajuk La Tahzan yang bermaksud janganlah bersedih menyingkap kembali semangat dan motivasi kita untuk kita lebih bersemangat dalam hidup ini walaupun dihimpit dengan pelbagai masalah.

Tetapi yang pasti walaupun diri dicemuh dengan kata-kata yang kesat, ingatlah bahawa indahnya hidup jika kita hidup penuh dengan syariat Allah swt. Kenikmatan yang dikecapi didunia walaupun hanya sebagai kuli atau orang sampah yang bersyariat lebih baik daripada seorang hartawan tetapi tidak pernah merasai kenikmatan halawatul iman dan kenikmatan hidup bersyariat.

Oleh itu sedarlah wahai sahabat walaupun diri difitnah dan dikutuk ingatlah dunia tidak menjadikan apa-apa sebaliknya janji Allah swt itu pasti walaupun ianya pahit untuk ditelan dan dirasai. Insaflah sahabat sebelum terlambat.

11/11/2009
Library UIA
3.10petang




Wednesday, October 14, 2009

Hati yang inginkan kebahagiaan


Hati siapa yang inginkan penderitaan.
Dan hati mana yang suka akan penyeksaan.
Semua orang tidak suka akan perubahan kepada kemusnahan kehidupan.
Dari hari ke hari kita merasakan bahawa kita akan menggapai kebahagiaan.
Tetapi sebenarnya hati kita makin lama makin rasa sayu dan hilang serinya.
Siapa yang tahu, hanya tuan badan sahaja yang tahu.
Walaubagaimanapun adakah Tuhan inginkan kita selalu sedih dengan penderitaan.
Janji Allah swt itu pasti.
Tiada ragunya sama sekali.
Hanya orang yang mampu sahaja diberi penderitaan sebegini.
Doaku pinta semoga daku mampu mengharunginya.
Walaupun badai dinaiki sudah berlubang-lubang sana sini.
Tunggu masa untuk dikaramkan.
Hanya satu pintaku.
Sematkan di hatimu akan daku.
Walau di mana kamu berada.
Aku sentiasa di sisimu.
Aku tidak pernah melupaimu.
Walau sesaat.
Semoga ketemu di pintu syurga.
Di dalam hati aku idamkan.
Walau jauh tidak terkata.

Amin.



Monday, October 5, 2009

Convest yang bakal tiba.


Assalamualaikum semua. Lama saya tidak berblog. Selepas hari raya langsung saya tidak menulis di blog. Alhamdulillah saya diberi kesempatan lagi. Entri hari ini berkaitan Convest. Apa itu convest?



Bagi yang bukan pelajar UIA mungkin tidak tahu akan convest. Convest bermaksud Convocation Fiesta ataupun dalam bahasa melayu Majlis Konovokesyen. Mengapa saya tulis pasal ni? Agak pelik jugak. Saya pun pelik tiba2 hendak bertulis pasal ini.



Ada satu aktiviti penting yang mengimbau kenangan dalam convest ini. Masa saya tahun pertama UIA Gombak, pada convest ini, bagi saya amat menarik sekali. Ada yang menarik dan ada juga yang tidak menarik. Tapi yang menarik bagi saya masa tu adalah gerai jualan.



Saya berkesempatan untuk menjaga gerai PKPIM UIA masa tu. Apabila dikenang memang seronok menjaga gerai. Saya dapat pengalaman berniaga sambil mengira untung rugi yang tidak dapat di mana-mana tempat.



Selain itu, ada juga junior2 PKPIM Matrik dan kampus lain datang menyemarakkan lagi rasa meriah convest UIAM.



Walaupun tahun ini saya tidak diberitahu akan tarikh bila akan bermulanya gerai tapi saya yakin tahun ni gerai PKPIM pasti akan mendapat keuntungan dan pastinya meriah dengan adik2 tahun pertama yang pasti akan menolong. Saya tidak sabar untuk menunggu gerai PKPIM akan dibuka.



Sesiapa pelajar UIA silalah datang ke gerai HBB " Mari pakat ramai2" ke gerai ini. Lariskan gerai PKPIM UIAM.




+Semoga sahabat tidak melupakan saya walaupun saya agak jauh tertinggal di belakang. Semoga saya tidak tersasar jauh dari jalan ini. Ukhuwah Islamiah.


Friday, September 18, 2009

Jangan calonkan Isa Samad, kata Dr M


Jangan letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," katanya dalam temuramah dengan Bernama.

Dipetik daripada Malaysiakini.com

Itulah sebahagian kenyataan Dr M kepada media tentang Pilihanraya kecil ADUN Bagan Pinang. Saya apabila membaca kenyataan beliau ada betulnya. Hal ini kerana pilihanraya ini akan menentukan imej UMNO secara keseluruhannya.

Jika UMNO menghantar Isa Samad sudah pasti UMNO akan mengalami kekalahan. Hal ini saya secara peribadi kalau saya sebagai rakyat saya tidak inginkan ahli politik yang korup yang memakan rasuah.

Bagi saya UMNO perlu kembalikan kepercayaan rakyat dengan meletakkan calon yang berintegriti dan sedia berkhidmat untuk rakyat. Jikalau tidak sampai bila-bila UMNO tidak menang pilihanraya kecil mahupun pilihanraya Umum akan datang.

Semoga pilihanraya kali ini bebas dan bersih dari segala rasuah dan penyelewengan yang tidak sepatutnya berlaku. Rakyat NS hendakkan pemimpin yang mampu berkhidmat untuk rakyat dan bukan untuk kepentingan parti semata-mata.


Apabila Khairy Jamaludin berlakon...



Saya apabila menonton filem pendek ini yang dilakonkan oleh KJ amat menggelikan hati. Pengajaran cerita ini pun ada untuk sesiapa yang memahami. Sebenarnya dalam senyap-senyap KJ hendak jadi pelakon rupanya. Doa-doakanlah supaya beliau menjadi pelakon yang hebat.

Monday, September 14, 2009

Saya terima sepupu lagi.


Seorang lelaki dan seorang perempuan


Bayi perempuan


Gambar baby boy sejurus selepas dilahirkan bersama baby girl yg lahir enam minit lebih awal(Diambil dari facebook fauzi othman)

Alhamdulillah, kali ini saya terima kembar sepupu. Kembar ini baru dilahirkan pada pagi hari ahad yang lepas. Saya dan keluarga sempat pergi melihat kembar anak pak su saya ini pada petang ahad tu. Comel sangat. Sekarang atuk saya sudah ada 39 orang cucunya. Cuba kita kira kejap.

Mak Long - 5 orang
Pak Ngah - 5 orang
Pak Lang - 5 orang
Pak Andah - 2 orang (keluarga saya)
Pak Anjang - 9 orang
Pak Chik(Nie) - 3 orang
Pak Chik(Izon) - Belum lagi
Pak Teh - 3 orang
Pak Tam - 3 orang
Pak Su - 4 orang

Masih belum cukup 50 orang. Tetapi ini belum tambah anak saudara saya. Anak Mak Long, Mak Ngah saya sume. Munkin cukup 50. Sekejap sangat semua sudah besar belaka. Kahwin pun bertambah apatah lagi yang mempunyai anak.

Apa-apapun semua mesti gembira apabila mempunyai keluarga yang besar dan bahagia. Itu yang kita hendakkan. Bukan sahaja besar tetapi yang paling penting adalah gembira dan bahagia ditambah dengan keberkatan dari Allah swt.

Kegembiraan akan bertambah sinar apabila menjelangnya raya nanti. Raya lah tempat untuk mengumpulkan semua sanak saudara yang dekat mahupun dari jauh. Tahun ini saya tidaklah berasa beraya sangat oleh kerana keadaan saya dan ujian yang masih belum habis. Habis cuti terus ujian pertengahan. Tidak berasa sangat raya tahun ini.

Apa-apapun raya bukanlah untuk dihidangkan baju baru, seluar baru, rumah baru dan sebagainya yang utama, tetapi apa yang paling penting adalah penghayatan kita terhadap bulan Ramadhan. Dan takbir raya itu menandakan kemenangan kita sebenarnya selain menahan lapar dan dahaga dan sebagainya. Semoga kita menjadi Muslim yang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan. Nikmat keluarga. nikmat Ramadhan dan juga nikmat beraya bersama keluarga.

+Artikel pasal raya nanti akan disambung.


Saturday, September 5, 2009

Miftah 09


Miftah adalah Majlis iftar Mahabbah PKPIM yang selalu diadakan setiap tahun merupakan program yang wajib saya sertai. Program yang banyak menekankan aspek pengisian dalaman merupakan program yang wajib disertai oleh semua lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan. Dan ini antara program yang sesuai disertai oleh semua.

Iftar bersama-sama dengan rakan seperjuangan membuatkan hati saya kembali penuh daripada kosong sebelum ini. Semangat makan bersama menambahkan lagi ukhuwah yang sedia terjalin. Ukhuwan islamiah ini yang tiada di mana-mana tempat di dunia kecuali di dalam gerakan islam seperti ini.

Selain daripada iftar bersama, pengisian yang bermakna pun mengisi jiwa raga saya ini. Dua slot pagi tadi tidak dapat saya dengari tetapi ada yang merakamnya. Ia daripada Dr Abd Aziz Bari dan Cikgu Sidek Baba. Terlepas peluang keemasan bersama majlis ilmu kali ini.

Nasib baik ia dapat diganti dengan pengisian oleh Dr.Farid pada sebelah petangnya tentang Gerakan Taadib Islami. Satu tajuk yang sangat tinggi dan hebat untuk diperbincangkan. Antara kandungan ucapan beliau adalah:

Taadib adalah adab di dalam kehidupan seharian kita dan maknanya sangat luas. Ia bukan setakat beradab di depan ibu bapa kita malah ia lebih besar daripada itu. Ia merupakan satu cara untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan perbuatan yang sesuai dengan keadaan. Nilai ini yang semakin hilang dalam diri kita pada hari ini. Ini antara perkara pokok dalam ucapan beliau.

Selain itu, apabila saya berjumpa dengan sahabat-sahabat saya ini, banyak perkara baru saya dapat. Ini membuatkan saya sentiasa inginkan pengisian ilmu kerana jika tiada pengisian jiwa saya kosong sangat2. Pedoman kepada semua supaya tidak mengikuti jejak langkah saya.

Terakhir sekali, bersama kita menghitung hari mendatang adakah ia akan lebih baik daripada hari ini ataupun sebaliknya. Bersama doakan yang terbaik supaya kita menjadi orang yang beruntung lebih-lebih lagi beruntung di dalam bulan Ramadhan ini.

Istiqamah selalu!

2.30pagi/Masjid Negara/6.9.09

Monday, August 31, 2009

Berita terbaru.


Selamat sudah kereta aku.. Berkata hati aku. Baru-baru ini saya telah mendapatkan pelekat kenderaan UIA yang baru. Pertama kali memakainya di kereta membuatkan saya berasa lega dan selamat. Lepas ini tiada masalah lagi untuk masuk ke UIA. Bersyukur sangat. Alhamdulillah.

Dalam masa yang sama, baru-baru ini juga pada malam Merdeka, saya sempat untuk ke KLCC bagi melihat bunga api di sana. Sayangnya, bunga api itu tidak meletup tetapi dia simpan dalam kedai mercun. Mungkin kerajaan tidak bagi semua untuk bermain mercun. Satu teladan yang patut dicontohi.

Dalam bulan Ramadhan kali ini, kita banyak dihidangkan dengan pelbagai makanan. Di mana-mana bazar pasti akan ramai orang datang membeli tidak kira di curuk mana letaknya bazar tersebut. Dan pasti semua yang menjual pasti akan habis dan mendapat untungnya pada akhirnya. Tambahan lagi bulan Ramadhan, sepatutnya kita beramal jariah dan bersedekah tidak kira kepada sesiapa sahaja hatta kepada sahabat kita sekalipun.

Selain itu, perkara terpenting yang perlu kita fikirkan dalam bulan ramadhan ini adalah untuk meminta dosa kita diampunkan dan terhindar dari azab api neraka. Jika di dalam bulan Ramadhan pun kita masih hendak berdengki dengan meletakkan harga yang tinggi kepada kita, itu tidak melambangkan akhlak seorang muslim di bulan Ramadhan. Tambahan pula,kita juga perlu bijak dalam membuat penilaian.

Terakhir, hari ini sudah 10 hari kita berpuasa. Dan 10 pertengahan ini adalah pengampunan dari Allah swt. Bersama kita mengejar maarifah dari Allah swt supaya kita tidak menyesal apabila perginya Ramadhan kali ini. Selamat berpuasa dan selamat menjalani ibadah dalam bulan Ramadhan.

Saturday, August 22, 2009

PKPIM_5 Dasawarsa


Sesiapa yang berminat, sila hubungi Lina Mursyidah -0136282505. Harga buku ini RM 22.90.

Selamat berpuasa kepada semua



Friday, August 14, 2009

Perginya seorang mujahid Dakwah


Al-Fatihah kepada Allahyarham


Bermula dakwahnya di dalam arena Nasyid dengan kumpulan Nada Murni dan pernah berada dalam madrasah Al-Arqam sebelum ini, pemergiannya ke rahmatullah sangat terasa oleh kita. Saya selaku peminat nasyid dan Rabbani sangat terkejut apabila terdengar berita tentang kematian allahyarham. Bagi saya, beliau adalah seorang mujahid dakwah yang sangat bagus dan senang untuk didekati oleh sesiapa sahaja.

Pemergiannya ke rahmatullah sangat mudah dan sangat mulia bagi saya secara peribadi. Apabila saya terbaca bagaimana akan kematian beliau, saya terasa takut dan sebak kerana saya tidak tahu bagaimana saya akan mati. Kematian beliau ketika sedang menjalani latihan bagi saya kematian yang sangat mulia. Beliau menjalani latihan itu merupakan dakwahnya akan datang kepada orang ramai.

Berdakwah di arena Nasyid ini merupakan satu bidang yang sangat berpengaruh. Kumpulan Nasyid Rabbani bagi saya yang berani menampilkan gaya kontemperori. Walaupun dicemuh dari pelbagai pihak, namun Rabbani terus terkedepan dengan memenangi pelbagai anugerah dan menerima banyak undangan persembahan oleh masyarakat di Malaysia yang dahagakan Nur Islam di daulatkan. Tidak hairanlah, orang ramai khususnya peminat Nasyid terasa akan pemergian beliau.

Semua yang hidup pasti akan mati. Saya pun tidak terkecuali menerima nasib yang sama. Cuma cara sahaja yang berbeza. Secara jujur saya kata saya rasa takut sekarang kerana saya tidak tahu bagaimana saya akan pergi meninggalkan dunia ini. Dan saya juga rasa sebak jika tidak dapat berbuat kebaikan yang sebanyaknya kepada orang ramai. Ampunkan saya jika saya ada berbuat salah kepada sahabat-sahabat semua. Kadang-kadang saya tidak sedar yang saya banyak menyakitkan hati sahabat-sahabat. Maafkan saya.

Ya Allah! Ampunilah dosaku !! Hambamu ini merayu akan keampunanmu !!!

18hb Julai 2009/Masjid UIA/11.00pagi.

Tuesday, August 11, 2009

kenangan di MPAT 48


Saya di MPAT 48. Doakan saya istiqamah.
Muktamar PKPIM 48

"Satukan Hati Kami"



Taaruf merapatkan ukhuwah



Walau apa pun Muktamar kali ini, secara peribadi hati saya terisi sangat dengan ilmu dan dapat juga bermuhasabah diri yang sudah lama tidak menyertai program jemaah. Saya harap dapat istiqamah di jalan ini. Doakan saya.

"Berilah sebanyak-banyaknya kepada orang lain nescaya orang akan memberi kepada kita"



Wednesday, August 5, 2009

KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS KENEGARAAN


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 dengan tema ”Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) bertempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur.

Penyertaan kongres adalah terbuka kepada umum khususnya di kalangan para pimpinan pelajar sekolah, pimpinan mahasiswa institut pengajian tinggi, pimpinan institusi dan badan bukan kerajaan serta pegawai kerajaan dan pembuat dasar.

PKPIM merasakan bahawa penganjuran kongres ini adalah bertepatan dengan masanya ketika Malaysia sedang mencari kestabilan hala tuju pasca tsunami politik Pilihanraya Umum ke 12 dan peralihan pucuk pimpinan negara. Tambahan pula dengan isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia dalam tempoh masa itu, telah menguji kematangan Malaysia untuk hidup di atas bebanan sejarah dan impian masa hadapan. Sekiranya tidak dipandu dengan pemahaman dan penghayatan yang jelas dan benar akan teras-teras kenegaraan yang telah menjadi tiang-tiang penegak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka hari ini, maka adalah dikhuatiri perubahan sosio-politik yang berlaku menatijahkan bencana yang lebih buruk.

Maka itu, objektif penganjuran kongres ini adalah untuk memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang. Di samping itu, kongres ini juga bertujuan merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya. Kongres ini juga bertujuan untuk mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’. Kongres ini diharapkan dapat menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.

Kongres ini akan dimulakan dengan Ucapan Dasar bertajuk “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” yang akan disampaikan oleh En. Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM.

Seterusnya, Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan menyampaikan Ucap Utama bertajuk “Membugar Idealisme Politik Baru di Kalangan Generasi Muda” sekaligus merasmikan kongres ini dan melancarkan buku terbitan PKPIM berjudul “PKPIM: Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011)”.

Empat kertas kerja yang akan dibentangkan di dalam kongres ini adalah seperti berikut;

”Kepentingan Memahami Peranan dan Sumbangan Islam dalam Pembinaan Teras Kenegaraan”
Oleh: Y.Bhg. Prof. Dr. Wan Mohd. Noor Wan Daud, Felo Utama ATMA UKM
Pengulas: Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Timbalan Dekan IRK UIAM

2. ”Perpaduan Melayu lwn. Perpaduan Nasional?”
Oleh: Dr. Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan UPM
Pengulas: 1. En. Markus Lim Han King, Penyelidik INSAP
2. En. Khairul Anuar Musa, Exco PKPIM
3. ”Integriti dan Pembinaan Jatidiri”
Oleh: Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM
Pengulas:
1. En. Wan Ahmad Fayhsal, Koordinator Kampus TERAS
2. En. Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden PKPIM
4. ”Liberalisasi Ekonomi: Peluang dan Cabaran Generasi Muda”
Oleh: Tn. Hj. Abd. Malek Awg. Kechil, Ketua Pengarah YAPEIM
Pengulas:
1. En. Daniel Alexander, TAC
2. En. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco PKPIM
Kongres ini ditutup dengan Sidang Khas Generasi Muda yang membariskan En. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden PKPIM, En. Mohd. Syamsul Salleh, YDP MPP UPM merangkap Jurucakap MPPK dan En. Nasrullah al-Ghiffary, Presiden Pelajar Islam Indonesia (PII) yang akan membicarakan tajuk “Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda”.

PKPIM optimis untuk menjadikan kongres ini sebagai satu batu loncatan untuk Malaysia terus maju mengejar impian masa hadapan tanpa melupakan apatah lagi meminggirkan bebanan sejarah yang membentuk jatidiri kita sebagai sebuah bangsa merdeka Negara Malaysia.

Untuk urusan penyertaan atau maklumat tambahan, boleh diajukan kepada En. Abu Qasim Nor Azmi (019-356 5805), Cik Sakinah Budiman (013-212 4590) atau hubungi terus Sekretariat PKPIM Pusat di talian 03-6184 2286 atau emel, pkpim_spp@yahoo.com. Perkembagan dari semasa ke semasa boleh didapati di blog rasmi kongres ini di alamat http://kongres-pkpim.blogspot.com/.


Oleh:
KHAIRUL ANWAR SHAZALI
Setiausaha Agung PKPIM
Merangkap;
Pengerusi Jawatankuasa Induk
Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke 48 dan Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009

Thursday, July 23, 2009

Hidup yang penuh mencabar

Assalamualaikum semua,


Lama tidak dengar cerita kan? Maaflah menyepi sekejap. Bukan menghilangkan diri tetapi mencari sinar ketenangan yang tidak berhenti sudah kumencarinya. Walaupun sekarang hidup saya tidak seperti dahulu, tetapi azam dan semangat yang kuat terus membara meneruskan hidup ini.


Pertama sekali, saya ingin mengucapkan selamat pengantin baru kepada abg miza yang dikasihi kerana telah berjaya melangsungkan perkahwinannya. Pejam celik dan kahwin abg miza ini. Apa-apapun doakan yang terbaik untuk dia.


Alam perkahwinan ini bukan alam yang boleh dibuat main-main. Ia merupakan satu hubungan yang menyatukan dua keluarga untuk selamanya. Selain itu, ia merupakan tuntutan agama untuk berkahwin dengan gadis pilihan kita.


Akhirnya, umur makin lama makin tua dan cabaran pun makin lama makin mencabar. Terpulang pada kita untuk bertindak mengikut kepada strategi kita dan kita mesti tahu apa yang kita lakukan. Doakan yang terbaik untuk saya dalam hidup ini. Saya tidak tahu mati saya bila dan di mana. Hanya doa dan usaha boleh menentukannya. Oleh itu kita kena bersiap sedia awal! Insya Allah.

Saturday, July 11, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012


Hidup Bahasa Melayu! Kenangan semasa Demo PPSMI.

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Monday, July 6, 2009

Semangat menimba ilmu


Gambar pada 2003. Masa tu saya form 4.

Salam. Pada 5 Julai yang lalu, satu peristiwa yang bersejarah telah berlaku. Peristiwa yang menunjukkan semangat ingin menuntut ilmu. Tarikh ini merupakan tarikh pendaftaran ibundaku yang tercinta untuk menyambung Master in Bahasa Inggeris Korporat.

Saya apabila mendengar dia kata dia ingin melanjutkan pelajaran, saya agak terkejut. Memang dari dulu lagi ibuku bercita-cita menyambung pelajaran. Kalau boleh hingga ke peringkat PHD. Tetapi masa dan keadaan yang tidak mengizinkan. Ibuku tidak dapat berbuat begitu pada awalnya.

Pencapaian pendidikan yang tertinggi memang menjadi satu trend buat masa ni. Kita nak gaji lebih ataupun senang mendapat kerja mesti mendapat pendidikan yang tertinggi. Makin tinggi pendidikan kita makin senang dan tinggi gaji kita. Saya sendiri pun hendak mengikut jejak langkah ibundaku. Tetapi cadangnya di luar Negara. Insya Allah.

Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah kepada ibundaku yang tercinta kerana berjaya menyambung pengajian ke Master in Bahasa Inggeris. Semoga dipermudahkan perjalanannya dalam masa 2 tahun ini. Nanti kita semua ramai-ramai ke UPM lagi. Doakan bersama.


Teruskan bersemangat ibu!!


We all love you!!!



Tuesday, June 23, 2009

Cara terbaik untuk mati

Kadang apabila bersendirian begini, saya terfikir dengan cara apakah ana akan mati nanti?

Adakah nanti ana akan mati di atas katil?

Atau pun sakit kuat?

Atau pun kemalangan?

Apa-apa pun sebabnya, pasti saya akan mati.

Manusia akan mati.

Haiwan akan mati.

Malah pelangi pun tidak lama berada di dada langit.

Adakah saya boleh memilih cara untuk mati?

Mati dengan cara bermaruah dan bersedia untuk bertemu Tuhan.

-Ingatkan daku sahabat jika aku terlalai dalam kehidupanku. Agar aku mati dalam keadaan yang bahagia.

Hari ketabahan

Salam semua. Hari ini adalah hari yang banyak mengajar erti kehidupan dalam meneruskan sisa-sisa hidup yang tidak tahu akan kesudahannya. Pancaroba yang dilalui oleh manusia membuatkan manusia kadang-kadang terlupa akan Yang Maha Pencipta yang telah menyusun dengan baik takdir dan nasib setiap manusia. Bergantung kepada manusia itu sendiri sama ada hendak menjadi baik atau tidak baik.
Ketabahan dalam kehidupan kadangkala susah untuk dihadapi. tetapi kecekalan yang diharapakn untuk menghadapinya tidak mampu untuk dihadapi 100%. Banyak cara untuk melakukan yang terbaik tetapi sifat manusia yang pelupa dan lemah membuatkan kita sendiri berasa kecewa dengan sikap kita.
Sekarang masanya bukan untuk kita mengenang akan nasib yang lalu tetapi membuatkan perancangan masa depan yang tidak tentu akan mendapat kebahagiaan atau tidak. Doa dan harapan yang tidak putus kepada Allah swt meminta keampunan perlu agar kita tidak menjadi hamba yang dimurkai oleh Allah swt.
-Doakan saya yang terbaik untuk menghadapi ujian esok hari dengan selamat. Terima Kasih semua.

Wednesday, June 17, 2009

Jangan butakan mata!

“Abang pasti adik-adik ada terbaca dan tahu tentang tragedi terbaru yang menimpa umat Islam dekat selatan Thailand hari Isnin yang lepas” ramai ahli-ahli Usrah Jumaat mengangguk-angguk tanda mengetahui apa yang terjadi di selatan Thailand pada Isnin yang lepas.

“Sekali lagi umat Islam di selatan Thailand digemparkan dengan tragedi berdarah. Dan sampai sekarang tak tahu siapakah dalang di sebalik perbuatan terkutuk itu” Abang Faisal meneruskan usrah Jumaat PKPIM dengan menyentuh sedikit sebanyak mengenai sejarah pergolakan yang berlaku di Selatan Thailand.

Yang pastinya, ini bukan kali pertama umat Islam di Selatan Thailand menjadi mangsa. Bukan pertama kali, darah umat Islam di sana mengalir umpama tiada harga. Bukan pertama kali umat Islam di sana terseksa dengan penindasan yang berlaku dek kerakusan pemerintah. Namun, kita di sini, masih MEMBUTAKAN MATA! Seolah mereka bukan saudara mara kita.
Pernah tak kita ambil tahu tentang mereka? Pernah kita mencari gali sejarah mengapa tertindasnya umat Islam di sana?

Wahai aku dan juga sahabat seIslam aku di luar sana…. JANGAN BUTAKAN MATA!
Betapa beruntungnya kita berada di bumi bertuah Malaysia. Aman dari segala ancaman. Tetapi mengapa kita masih mahu berbalah? Mengapa masih lagi mahu berkelahi mengenai perkara-perkara yang furu’? Sedangkan menjaga kesatuan itukan lebih besar kepentingannya?
Anda baca, dan nilailah sendiri…. Jangan kata anda pejuang Islam, andai anda tidak rasa sedih dengan kelakuan mereka yang tidak berperikemanusiaan ini!

SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) 9 Jun – Kejam dan tidak berperikemanusiaan!
Mungkin itu yang dapat digambarkan tentang pembunuhan 11 jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, 50 kilometer dari bandar ini kira-kira pukul 8.50 malam tadi (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.

Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian berlaku amat pantas kira-kira lima minit di mana empat lelaki dikatakan menyerbu masuk ke dalam masjid dari arah pintu belakang manakala dua lagi dari arah tepi.

Katanya, kesemua mereka bersenjatakan rifel M-16 dan pump gun serta memakai seragam hitam serta bertopeng.

‘‘Ketika kejadian berlaku saya bersama tiga lagi rakan berada dalam wakaf kira-kira 15 meter dari pintu masuk utama masjid ini, Tiba-tiba kami mendengar bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu. ‘‘Kami bersembunyi dan bergerak ke tempat kejadian dengan perlahan-lahan dalam gelap untuk melihat apa yang berlaku dengan lebih jelas.

‘‘Saya kemudian melihat mereka memasuki masjid ini dan melepaskan tembakan ke arah kepala serta badan jemaah yang terbaring dalam ruang solat, tembakan itu dilepaskan bagi memastikan kesemua jemaah ini benar-benar mati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian. Hassan berkata, penyerang dipercayai memasuki kawasan masjid melalui hutan dan kawasan ladang getah di bahagian belakang bagi memastikan kehadiran mereka tidak disedari. Katanya, pembunuh kejam itu tidak memasuki masjid melalui pintu utama kerana ia diterangi dengan cahaya lampu.

‘‘Selepas bunyi tembakan hilang, beberapa orang kampung datang dan saya bersama mereka memasuki masjid melihat mayat bergelimpangan dipenuhi dengan darah.

‘‘Ketika itu, hanya dua jemaah terselamat tanpa sebarang kesan tembakan. Salah seorang daripada mereka adalah ‘tok siak’ masjid, bagaimanapun akibat terkejut dengan serangan tersebut dia pengsan kerana serangan jantung.

‘‘Seorang lagi yang terselamat adalah ahli kumpulan ‘tabligh’ yang datang berdakwah di sini, dia terselamat kerana ketika itu sedang sujud dan setelah mendengar bunyi tembakan dia meniarap dan berpura-pura mati,” katanya.

Serangan tersebut turut menyebabkan imam masjid, Wan Nasir Wan Abdullah, 62, terkorban manakala 12 parah dan dua terselamat.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11 pagi ini dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati perkarangan masjid itu dipenuhi oleh kaum masyarakat Melayu Islam dari tiga daerah yang bergolak itu.

Malah ketika itu, ruang solat masjid berkenaan masih dipenuhi darah dan ia dibersihkan sepenuhnya oleh anggota tentera kira-kira pukul 5 petang ini.

Tinjauan juga mendapati dinding dalam masjid tersebut turut dipenuhi kesan tembakan dan kawalan keselamatan di kampung berkenaan ditingkatkan.

*Dipetik dari Utusan Malaysia dan blog adeqashah.blogspot.com
Fikir-fikirkanlah! Semoga Allah menempatkan para jemaah yang terkorban dalam serangan ini di tempat orang-orang yang soleh. Syukur, mereka mati tatkala menghadap Allah. Aku dan anda di luar sana? Adakah pasti bila tiba saatnya nanti kita berada di tikar sejadah? Wallahua’lam….

Sunday, May 31, 2009

Sekitar program Kem Belia di Pedas.








Pengalaman bersama program Belia: Merungkai permasalahan sosial belia masa kini.

Sampaikan walau satu ayat!


Khusyuk mendengar!

Pengalaman bersama pelbagai manusia di dunia ini mengajar saya tentang erti kehidupan. Kesabaran, keyakinan dan pengorbananyang tiada hadnya membuatkan kita kadang-kadang putus asa ataupun penat dengan kerenah dengan pelbagai orang.

Perangai seseorang manusia dibentuk dengan persekitarannya. Jika persekitarannya baik, maka akan baiklah seseorang itu. Keadaan persekitaran yang baik terbina daripada manusia yang baik. Mana mungkin persekitaran yang tidak sihat dibina oleh seorang manusia sahaja. Ia memerlukan kepada peranan semua orang untuk membinanya.

Pembinaan individu yang menyeluruh memerlukan masa yang panjang. Hal ini kerana makhluk Allah swt yang bernama manusia ini penuh dengan sifat lupa dan kelemahan. Banyak proses pembinaan manusia ini kadang-kadang tidak efision dengan keadaan persekitaran. Hal ini kerana ada orang yang mempunyai kesedaran ini tidak mempunyai method(cara) yang sesuai dengan masyarakat. Oleh sebab itu, timbul lagi masalah dalaman yang tiada penghujungnya. Ada yang kata cara aku yang betul, cara engkau salah. Ingatlah, perkara ini tiada penghujungnya!

Apabila mereka yang mempunyai kesedaran ini sudah berada dalam zon selesa, mereka sudah berada dalam zon yang mengatakan yang lain jahat dan aku sebenarnya baik. Mereka langsung tidak ingin mendekati orang yang kurang bernasib baik ini untuk dijadikan mata dakwah mereka. Mereka fikir apabila mereka masuk dengan golongan seperti ini mereka akan jadi seperti mereka. Sedangkan mereka belum berbuat lagi tentang apa yang difikirkan mereka.

Maka, walaupun kita ini tidak sebaik mana untuk mengajak kepada kebaikan, tetapi ingatlah Allah swt melihat kepada niat kita dan usaha kita untuk melakukannya bukannya kepada hasilnya. Walaupun kita ini sebaik orang pun tetapi jika kita tidak memikirkan soal masyarakat, baik kita hanyalah sia-sia sahaja. Sampaikanlah walau satu ayat. Jika ingin melihat masyarakat baik, kita sendiri perlu sampaikan kepada mereka akan kebaikan itu. Walaupun satu ayat. Ingat kawan-kawan!!!!


Sunday, May 17, 2009

Terima Kasih Cikgu!


Bersama ustaz Khazri!

Suatu hari, ketika saya bangun dari tidur, saya teringat satu peristiwa yang membuatkan aku teringin sangat hendak membuatnya. Saya dari semalam lagi asyik berfikir bagaimanakah caranya saya ingin memberi salam kepada cikgu. Hati saya sangat berdebar. Mana tidaknya ini hari pertama saya menjadi ketua kelas.

Sebelum saya masuk SHAMS, saya bersekolah di sekolah Men Ampangan. Di sini saya hanya seorang pelajar biasa. Tidak pernah bercakap di depan orang ramai. Bercakap di depan kelas pun sudah membuatkan saya berasa gugup. Tetapi di sini keinginan untuk bercakap di depan orang ramai tidak sangat kerana pembentangan di depan kelas tidak banyak sangat. Di sekolah ini tidak dilatih sangat untuk bercakap di depan tetapi banyak didedahkan dengan aktiviti kokurikulum yang sangat banyak. Antaranya silat, persatuan bulan sabit merah, pengangkap dan sebagainya.

Selamat pagi ya ustazah! Satu kelas menyahut tanda menghormati cikgu yang baru masuk. Ini kali pertama saya menjadi ketua kelas. Darah gemuruh masih ada lagi. Baru beberapa bulan masuk SHAMS sudah dipilih menjadi ketua kelas. Maklumlah kelas saya ini memang kekurangan lelaki. Nak tak nak mesti kena jadi punya. Pengalaman yang sangat menarik sebenarnya.

Bermula dari sini, saya sedikit demi sedikit cuba untuk biasa bercakap di depan orang ramai. Dengan menjadi ketua kelas, saya dapat berjumpa dengan setiap cikgu yang mengajar saya. Selain itu, cikgu mudah mengenali nama saya kerana ketua kelas. Peluang ini saya guna sebaik mungkin untuk membiasakan diri.

Satu hari yang tidak boleh saya lupakan adalah hari ujian lisan Bahasa Melayu. Ujian ini memerlukan kami untuk berforum di depan kelas. Saya dengar forum mesti kena cakap depan orang kan. Darah saya kembali gemuruh. Perasaan masa tu memang sangat takut. Bukan setakat takut dengan kawan-kawan, takut dengan cikgu pun ada. Lebih-lebih lagi cikgu ini memang sangat garang jika kita tidak mengenali dia dengan lebih mendalam. Saya pun buat muka selamba apabila dia masuk tetapi dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Berakhirnya kumpulan saya dalam ujian lisan ini bermakna gemuruh hati saya pun berakhir. Saya pun tidak tahu apa yang saya cakapkan tetapi yang penting saya sudah berjaya bercakap depan orang. Walaupun dikritik hebat oleh Cikgu Noriah tetapi saya berbangga dapat melawan perasaan takut saya. Terima Kasih Cikgu Noriah yang banyak merubah saya selepas keluar dari SHAMS!

Itu baru satu kelemahan saya. Ada banyak lagi kelemahan saya yang saya rasa cikgu di SHAMS ini telah mengubah sedikit demi sedikit saya ini daripada yang buruk ke baik. Banyak pengalaman baru yang mengubah persepsi saya tentang cikgu. Mari kita bersama mengenali cikgu saya.

Mula-mula saya masuk SHAMS, saya ingat cikgu-cikgu yang mengajar mesti semuanya Bangsa Melayu. Tetapi tekaan saya tidak tepat. Ada juga cikgu Cina dan India. Cikgu-cikgu ini dia tidak kisah dengan peraturan sekolah agama Islam. Itu yang saya puji. Mereka sanggup mengajar di sekolah agama. Saya cukup hormat pada mereka.

Cikgu Matematik Tambahan saya seorang Cina. Miss Ong namanya. Beliau sangat komited mengajar kami subjek ini walaupun kami semua kadang-kadang paham dan ada juga buat-buat paham. Komited dia tidak dapat dicakap lagi. Apabila beliau mengajar mesti dia akan suruh kami buat di depan. Paham ke tidak paham ke semuanya kena tunjukkan jalan kerja di depan. Itu yang membuatkan saya seronok apabila memasuki kelas dia. Ini cikgu Cina yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila.

Apa yang penting, semua cikgu-cikgu saya memang seorang komited dan sentiasa inginkan perubahan daripada anak murid mereka. Semuanya pasti saya akan ingat sampai bila-bila. Terima Kasih cikgu-cikgu yang mengajar saya di Sekolah Men Ampangan, tingkatan 1 Dahlia, 2 Angsana, 3 Angsana dan semua cikgu-cikgu SHAMS tingkatan 4 Ihsan dan 5 Ihsan.

Bahasa Melayu - Cikgu Noriah

Bahasa Inggeris – Cikgu Zalia

Sejarah – Cikgu Wan Mahanum

Sains – Cikgu Kamariah

Bahasa Arab – Ustaz Khazri.Ustazah Sawiyah

Pendidikan Syariah Islamiah – Ustazah Zuriyanai

Pendidikan Quran dan Sunnah - Ustazah Asmah

Prinsip Akaun – Cikgu Suhaida

Perdagangan – Cikgu Suhaida

Matematik Moden – Cikgu Asmah

Matematik Tambahan – Miss Ong

Sajak untuk Cikgu:

Salam buat cikgu tersayang,

Sepanjang kita bersama dan berjuang,

Cikgu sentiasa berada di setiap kali saya bertanya soalan,

Waktu rehat, waktu terluang, dan waktu pulang,

Tak pernah jemu menerima saya dengan senyuman,

Untuk membimbing saya yang kedangkalan ilmu pengetahuan

Sebagai manusia biasa saya akui saya banyak kekurangan,

Kadangkala saya melakukan kesilapan,

Sering berlaku kecuian,

Tapi cikgu tak pernah letih membetulkan,

Yang salah cikgu tunjukkan,

Yang tak betul cikgu tegurkan,

Khabar saya selalu cikgu tanyakan,

Besarnya jasa dan pengorbanan yang cikgu curahkan,

Tak terbalas dengan wang ringgit mahupun emas segantang,

Hanya Allah sebaik-baik pemberi balasan,

Cikgu, dirimu tak mungkin ada gentian!

Andai ada kesilapan yang melukakan,

Dan mengguris perasaan,

Sepuluh jari saya hulurkan, pohon kemaafan,

Ketahuilah saya tak pernah sengaja melakukan,

Mungkin saya sendiri yang kelalaian ataupun kealpaan,

Memang fitrah kita sebagai insane,

Jutaan Terima Kasih saya ucapkan,

Atas segala tunjuk ajar dan penat lelah yang cikgu berikan,

Bagi melihat saya menggapai kejayaan,

Perjuangan ini baru bermula,

Doakan saya terus gagah berusaha,

Dan tak kenal erti putus asa,

Kuat tabah walau apa yang menimpa,

Kerana hidup ini Cuma sementara,

Akhirat jualah yang abadi untuk selamanya,

Saya sayang cikgu!!!!!!

Dipetik daripada Catatan Hati Nik Nur Madihah

Pelajar Terbaik SPM 2009




<