Saturday, December 27, 2008

Pengalaman di Port Dickson


Anak Buah saya


Bersiap sedia untuk berkayak!

Pada 15-17 Disember yang lalu, saya berkesempatan menyertai program pemantapan syahsiah di Kolej Uniti Port Dickson. Program ini dianjurkan oleh Kafa Masjid Kolej Islam Malaya Petaling Jaya. Kebanyakan peserta adalah pelajar Kafa itu sendiri beserta alumni sekolah yang berumur antara 9 tahun hingga 16 tahun.

Bertemakan syahsiah cemerlang,pelajar gemilang, bermulalah satu kehidupan baru di bumi port Dickson. Satu kehidupan yang menekankan aspek syahsiah selain motivasi diri dan ibadah. Syahsiah pelajar di sini boleh dikatakan baik walaupun ada seorang atau dua orang yang kurang dari segi itu. Bagi saya sendiri, program ini juga ingin mengisi masa cuti pelajar sambil diisi dengan aktiviti kerohanian dan fizikal yang tentunya amat menyeronokkan.

Program ini juga disertai oleh mahasiswa UIA yang menjadi fasilitator program ini. Mereka semua ini sedang cuti semester. Kebanyakan mereka dari UIA Kuantan dan UIA Gombak. Berbekalkan modul yang dipimpin oleh Ketua Fasi iaitu Mohd Suhairi dan AJK Displin Abang Khairul Ridwan, program ini bermula dengan satu matlamat untuk mendidik anak bangsa kita.

Di dalam program ini, banyak aktiviti luar tidak kurang juga aktiviti dalaman. Hal ini bertujuan untuk membina ketahanan diri dari segi mental, fizikal, rohani dan emosi. Setibanya mereka di sini, mereka dipecahkan ikut kumpulan dan dipimpin oleh fasilitator yang telah ditentukan. Saya dikira bertuah mendapat anak buah yang baik-baik dan mudah mendengar kata.

Setiap kumpulan perlu memikirkan nama,lambang dan logo. Kumpulan saya setelah lama dibincangkan bersama anak buah akhirnya terbinalah nama Usrah. Ini pun saya yang bagi nama. Maklumlah budak-budak lagi. Dalam kumpulan saya ini yang paling muda adalah darjah tiga dan paling tua adalah tingkatan lima. Pening saya dibuat mereka.

Aktiviti yang paling menyentuh diri dalam program ini adalah slot bersama Balang. Nama sebenarnya saya lupa. Beliau ini mempunyai satu konsultan latihan yang khusus dalam membina kesedaran kepada golongan muda. Slot beliau yang lebih kepada realiti zaman sekarang membuatkan saya juga merasai apa yang peserta rasa dalam slot ini. Beliau banyak menunjukkan apabila kita membuat dosa apa yang akan terjadi beserta dengan praktikalnya sekali. Beliau ini sebenarnya pernah menyertai askar dan caranya juga lebih kurang seperti askar. Gerun juga apabila beliau membuat perumpamaan api neraka dan api dunia. Api dunia beliau menggunakan mancis dan seorang pelajar dipanggil untuk merasai kepanasannya. Tidak tersanggup peserta itu menanggung kepanasan. Memang menakutkan.

Selepas itu, ada juga aktiviti yang menyeronokkan. Yelah, tidak lengkap jika tiada aktiviti yang gembirakan diri. Sedih pun sedih juga tetapi gembira pun mesti ada juga. Tidak begitu semua?

Program berkayak bagi saya amat menyeronokkan. Mana tidaknya, ini merupakan kali kedua berkayak dalam hidup saya. Sebelum kami semua berkayak, kami di beri taklimat cara permainan ini. Orang yang memberi taklimat ini merupakan jurulatih PLKN dan sudah biasa dalam aktiviti berkayak ini. Sebenarnya untuk bermain kayak ini, bukan mudah. Banyak ilmu yang kita perlu tahun seperti cara untuk menghentikan kayak, cara untuk meyelamatkan diri jika kayak kita terbalik dan sebagainya. Sehari pelajaran memang tidak mencukupi. Taklimat yang diberikan itu hanyalah perkara asas dalam berkayak. Hanya Allah swt sahajalah yang mengetahui perasaan saya ketika itu. Susah untuk dibayangkan lebih-lebih lagi apabila kita berkayak di tengah-tengah lautan. Satu pengalaman yang amat menyeronokkan.

Akhirnya tibalah masa ke penutupan program. Program ini ditutup oleh Pengerusi KAFA itu sendiri. Penyampaian hadiah juga disampaikan kepada semua peserta. Kumpulan saya mendapat tempat kedua terbaik. Saya pun tidak tahu cara pengiraan mereka. Gembira bukan main lagi anak buah saya mendapat hamper besar. Tidak termakan mereka.

Sebelum majlis berpisah, kami sempat untuk mengambil gambar bersama-sama dengan Pengerusi KAFA. Suka duka, Penat lelah semuanya dihabiskan dengan perasaan puas. Walaupun kami semua penat melayan mereka tetapi hati kami puas. Saya sendiri sangat penat dengan program ini. Tetapi amat puas dengan diri.

Akhir kata, biar kita berpenat demi Islam daripada berpenat benda yang tidak berfaedah. Biar diri kita menjadi taruhan, daripada agama kita dimaki dan dihina.

Ingatlah, Masa yang kita ada singkat sekali. Masa tidak akan menunggu kita. Berilah sedikit masa untuk agama nescaya Allah swt akan memberi lebih daripada apa yang kita sangkakan.

Tuesday, December 23, 2008

Selamat Hari Lahir ke 21: Bersediakah berubah?


Selamat Hari Lahir !

Alhamdulillah semalam saya sudah memasuki abad ke 21. Abad? Maksudnya umur 21 tahun. Bila umur sudah meningkat maknanya tanggungjawab juga meningkat. Selain tanggungjawab diri bertambah, tanggungjawab kepada orang lain pun turut bertambah.

Selain bertambah umur ini, saya terfikir apakah saya sudah membuat yang terbaik untuk diri dan keluarga? kepad sahabat? kepada masyrakat? Semua soalan ini membuatkan saya muhasabah diri yang diri ini boleh ditarik hidupnya bila-bila masa sahaja.

Ramai beranggapan bahawa bila umur kita bertambah kita akan berjaya mematangkan diri. Tetapi sebenarnya persoalan ini merupakan soalan kedua selepas kita mengetahui siapa diri kita sebenar. Untuk mematangkan diri bagi pendapat saya kita perlu mengetahui apa kelebihan kita yang sebenar. Saya sendiri memang mencari apa kelebihan diri yang boleh dibawa ke bidang saya ceburi.

Semua ini perlukan kepada usaha diri sendiri untuk memaksa diri menjadi yang terbaik. Umur 21 tahun merupakan masa untuk kita mengenal pasti kelebihan kita dan terus melatih diri menjadi seseorang pada masa depan. Persoalan diri ini saya serahkan kepada anda untuk tolong jawabkan?

Akhir kata selamat hari lahir ke 21 along@izzat. Semoga ditetapkan di jalan ini dan menjadi insan yang berguna kepada diri, keluarga,masyarakat dan agama.

Carilah kelebihan diri yang sebenar!

Terima kasih kepada semua sahabat yang ingat akan hari lahir saya. Semoga ukhuwah kita akan bersama hingga ke akhir hayat!

Sunday, December 21, 2008

Selamat kembali


Jadual saya sem ini

Akhirnya saya selamat kembali di bumi UIA. Bumi yang penuh dengan ilmu dan budi. Bumi yang akan saya berjuang untuk menuntut ilmu terutama dalam bidang saya iaitu akauntan.

Sem ini saya berasa lega kerana dua perkara. Pertama saya mendapat keputusan peperiksaan yang boleh dikatakan membanggakan. Kedua saya berjaya memasuki kuliyyah akauntan setelah sekian lama menunggu dengan debaran.

Sem ini juga boleh dikatakan sem yang sangat padat dan berisiko kerana semua subjek saya adalah membaca. Hanya satu sahaja subjek mengira. Semua subjek ini memerlukan kepada pengurusan masa dan pemahaman yang tinggi.

Semoga semester ini saya akan berusaha dengan lebih kuat lagi. Apabila sudah masuk kuliyyah subjek pun bertambah susah. Bertambah sem maknanya bertambahlah tanggungjawab. Doakan saya dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Di Lab Ekonomi
24hb Disember 2008
12.00 tengah hari.

Thursday, December 18, 2008

Pengajian di Maahad Derang


Bersama ustaz Majid (Mudir Maahad Tarbiyaah Islamiyyah Derang )


Bersama ustaz Abu Khair




Bersama sahabat-sahabat


Di ibu pejabat ABIM Kedah

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya sampai ke Derang. Keinginan saya untuk datang ke sini memang sudah lama lagi. Hal ini kerana keadaan suasananya yang zuhud dan aman ditambahkan dengan tenaga pengajar yang berwibawa menambahkan lagi saya untuk mengaji di sini.

Tanggal 11hb saya selamat sampai di Alor Setar pada pukul 3 ptg. Tetapi saya menuju ke Datuk Kumbar dahulu. Di sini adalah ibu pejabat ABIM Kedah. Kami semua perlu berehat di sini kerana arahan maahad derang. Ini juga kerana hal kenderaan untuk kami bawa ke sana dan sebagainya.

Apabila saya sampai di ibu pejabat ABIM Kedah ini, saya dapat merasakan mereka semua betul-betul gigih mendidik anak bangsa kita. Mana tidaknya sekolah rendah islam kedah ini jikalau kita lihat boleh dikatakan agak sederhana dan hanya mempunyai dua bangunan sahaja. Sekolah ini juga sekaligus menjadi ibu pejabat ABIM Kedah dan tempat berkumpulnya semua ahli ABIM Kedah dan Persida. Di sebelah sekolah ini pula ada sawah padi yang amat luas sekali. Sesuai sangat jika kita hendak belajar menuai padi di sini.

Kita sambung ke Pengajian Derang. Program pengajian kilat ini adalah inisisatif PKPIM Pusat untuk menghidupkan kembali amalan mempelajari secara bertalaqqi. Kitab yang digunakan adalah Bidayatul Hidayah ataupun permulaan Hidayah.

Buku ini ditulis oleh Imam Al-Ghazali dan diterjemahkan oleh Sheikh Fahmi Zam Zam Al-Maliki yang juga merupakan Mudir 2 Maahad Derang ini. Kitab yang banyak membincangkan tentang panduan amalan harian. Buku ini sangat baik untuk semua golongan mempelajarinya. Di dalamnya ada menceritakan tentang Adab-adab melaksanakan ketaatan, cara meninggalkan maksiat dan adab pergaulan dan persahabatan.

Tenaga pengajar yang mengajar kami sebanyak 4 orang iaitu Ustaz Hafiz Mustafa Lubis, Ustaz Abu Khair, Ustaz Ilyas dan Ustaz Majid. Semua ustaz ada bahagiannya masing-masing dalam mengajar kami. Kebanyakan ustaz di sini adalah bekas pelajar Maahad Derang dan lepasan universiti Pakistan, Syria dan India.

Nanti saya akan ceritakan isi pengajian derang dengan lebih mendalam kepada semua. Tidak sabar-sabar saya ingin berkongsi dengan anda semua. Artikel ini lebih untuk mendedahkan dahulu akan gambaran secara keseluruhan tentang buku yang dibincangkan di Maahad Derang ini.

Apa-apapun banyak ilmu yang saya dapat daripada program ini. Pertama, ustaz-ustaz di sini sangat tinggi ilmunya walaupun tidak mendapat apa-apa kelayakan dari kerajaan malaysia. Kedua, tempat ini sangat dijaga oleh ustaz-ustaz di sini. Dijaga dari segi kewangan yang masuk, adab-adab sesama mereka dan amalan harian mereka.

Dari segi duit yang masuk memang sangat terjaga. Jika ada orang yang ingin menderma ke Maahad Derang ini, mereka akan menapis dengan bertanyakan dari mana duit ini datang dan sebagainya. Memang saya teruja mendengar akan hal ini.

Akhir sekali, saya menyarankan kita semua menjadi pencinta ilmu yang sebenar. Banyak ilmu yang kita dapat hari ini jika tidak dari sumber yang betul, ia akan memakan diri kita kembali. Oleh itu, perlunya kepada ilmu hati yang sebenar kerana jika kita tinggi ilmu tetapi tiada keberkatan akan ilmu kita pelajari, ia tidak membawa apa-apa faedah kepada kita. Ingatlah kata-kata Pak Hamka,

" Kata-kata yang datang dari hati akan sampai ke hati orang itu, jika kita bercakap dengan perasaan benci dan marah akan sampailah benda tu kepada mereka"





Wednesday, December 10, 2008

Dari Jambatan Pulau Pinang ke Derang


Selamat tinggal Pulau Pinang


Saya bersama abah saya atas feri

“Lepas raya abah nak bawak korang pergi Pinang. Naik bukit bendera” Ayah saya menawarkan tempat bercuti. Saya pun gembira dengar. Tiba-tiba saya teringat saya ada program pada 11hb tu. Saya pun bertanya ayah saya. Rupanya dia hendak pergi pada 9hb. Lega saya.

Saya sampai di Pinang pada 9hb petang selepas berseronok beraya di kampong Gemencheh dengan sepupu saya makin membesar dengan cepatnya. Anak Pak Su saya sekarang sudah pandai berjalan. Sebelum ini dia kecil comel je. Geram saya dibuatnya.

Keluarga saya ada dua orang yang sudah mendapat keputusan UPSR. Alhamdulillah semua mendapat keputusan yang cemerlang. Tahniah buat wahida dan izzati. Mereka bercadang hendak masuk SHAMS. Memang saya sangat galakkan. Senang saya hendak tengok2kan mereka. Macam bapak plak saya ni. Apa-apapun semoga terus berjaya dalam periksa seterusnya.

Sekarang saya sudah sampai di Pinang. Sudah dua hari saya di sini dengan pelbagai tempat saya sudah jelajahi. Saya rasa satu pulau pinang ini saya sudah jelajah. Dari bayan lepas sampailah ke George Town. Sampai sesat la dibuatnya. Saya pun pening dengan pulau pinang ini. Papan tandanya susah hendak faham. Mungkin juga sudah lama tidak pergi ke sini.

Rancangnya apabila sampai di sini hendak pergi Bukit Bendera. Itu tujuan asal saya ke sini. Tetapi yang sedihnya apabila sampai di sana Bukit Bendera masih dalam pembaikan. Memang sedih sangat. Saya sempat ambil gambar dari luar sahaja sebagai tanda kenangan.

Hari ini sudah masuk hari ketiga saya disini. Sudah tibanya saya keluar dari hotel ini. Semasa saya menulis artikel ini saya sedang dalam perjalanan untuk pergi ke derang. Ayah saya mengambil jalan balik dengan menaiki feri. Seronok dapat berjalan dengan menaiki feri. Rasa gayat pun ada juga. Maklumlah sudah lama tidak pergi menaiki feri di Pulau Pinang.

Selepas ini saya hendak pergi ke Maahad Derang. Memang lama saya berhajat untuk ke sini. Suasana di pondok memang sangat berlainan dengan suasana di tempat lain. Selain untuk menimba sedikit ilmu saya berhajat untuk bermuhasabah diri akan dosa saya yang banyak dilakukan oleh insan yang hina ini. Semoga dipermudahkan saya untuk menuntut ilmu di sini.

Doakan saya selamat sampai di sana dan keluarga saya sampai ke Seremban. Semoga segala kerja yang dilakukan ini diberkati oleh Allah swt. Nanti saya ceritakan pengalaman saya di Maahad Derang. Tunggu artikel seterusnya. Terima kasih.

Tuesday, December 9, 2008

Subuh yang terakhir


Rumah yang dibawa tanah runtuh




Tanah yang masih bergerak



Sedih rasanya apabila hati penulis membaca berita ini. Apa tidaknya kejadian tanah runtuh ini sudah terjadi dahulu. Dan sekarang kejadian ini berlaku lagi. Kejadian seperti ini sepatutnya tidak berlaku jika kita semua belajar dari kesilapan. Memang benar pepatah oleh Mantan PM kita, Tun Mahathir Mohamad yang "Melayu mudah lupa".

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini yang mengorbankan seramai 4 orang ini sangat memilukan hati saya. Mana tidaknya seorang mangsa yang terkorban bernama Shaiful Khas sempat memberitahu ibu bapanya bahawa rumah bergegar kuat dan bergerak sebelum ditimbus dengan tanah. Gegaran berlaku sebelum subuh berkumandang.

Mangsa dikesan dengan petunjuk telefon bimbitnya dari ayahnya. Tambahan dari itu, memang perangai si mangsa agak pelik seperti kenyataan oleh ibu bapanya yang mana beliau sebelum malam kejadian beriya ingin tidur di ruang tamu daripada kebiasaan tidur di bilik atas.

Itu adalah salah seorang mangsa daripada 4 orang mangsa. Pendekkan cerita semua mangsa yang terlibat ada kisah sedih di sebaliknya. Daripada cerita gembira kepada cerita yang sangat sedih. Semuanya lumrah hidup yang perlu dihadapi.

Saya secara peribadi memang sedih dengan kejadian ini. Mana tidaknya kejadian seperti ini sudah beberapa kali berlaku di depan mata kita. Dan pemimpin kita yang sepatutnya menjaga keamanan negara dan rakyat hanya pandai bercakap sahaja. Mereka tidak memikirkan masa depan bangsa mereka terutamanya pemimpin Melayu. Hanya manis di mulut tidak bisa melakukannya. Sudah terhantuk baru terngadah.Pendek kata jika pemimpin kita tidak menyedari hakikat kehidupan yang sebenar, langit yang dikatakan tinggi itu akan rendah sebelum masanya.

Akhir kata, jangan biar rakyat merana akan tangan-tangan anda yang tidak bertanggungjawab. Sedarlah kerajaan pada hari ini dan akan datang serta parti politik baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang bahawa politik yang tidak sihat ini bisa akan merugikan diri dan juga rakyat jika tidak digunakan dengan sebaiknya. Jangan biarkan rakyat yang tidak berdosa itu menjadi mangsa kealpaan anda semua.

Semoga subuh yang mendatang menjadi subuh yang baik sebagai permulaan hari dan juga hari yang seterusnya. Doakan semoga kita semua mati dalam keadaan beriman dan diredhai Allah swt. Amin.


* Pemuda Pujangga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam dan bloggers yang sudi melayari blog ini. JadikanHari Raya Korban ini untuk mengenang akan peristiwa Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail dan juga peristiwa para nabi kita yang lain. Pengorbanan inilah yang semakin luntur dan hilang daripada jiwa setiap dari kita. Bersama kita membina erti pengorbanan yang sebenar.!!!!

Saturday, December 6, 2008

Usah Putus Asa


Sahabat perjuangan dalam PPINS

Semasa artikel ini ditulis, penulis baru sahaja mendapat berita seorang sahabat penulis mengalami satu pengalaman yang sangat pahit untuk didengar dan untuk dihadapi. Saya pun tidak tahu hendak berkata apa-apa semasa saya dengar berita ini. Berita yang kalau boleh kita sendiri tidak mahu dengar. Berita sedih ini membuatkan saya berfikir tentu ada hikmah di sebalik semua ini.

Saya pun lepas dengar itu terus bertanyakan sahabat-sahabat lain apa patut dibuat. Sahabat rapatnya mengakui keadaan sekeliling yang membuatkan dia begini. Tetapi dia dan sahabat jemaahnya sangat rapat sekali. Sahabat saya ini begitu sedih apabila mendengar perkara ini terjadi kepadanya. Hal ini kerana setiap masa beliau memberikan semangat usah putus asa dalam pelajarannya. Berbagai-bagai cara kami buat untuk membantunya agar ia cemerlang dalam bidangnya.

Pelajaran di universiti bagi pendapat penulis sangat rumit dan susah jika kita tidak pandai menguruskan diri dan masa sebaiknya. Diri dan dunia luar juga memainkan peranan yang penting untuk mencorak kehidupan kita pada masa akan datang. Jika di kampus, cara belajar kita akan mempengaruhi sikap kita apabila bekerja nanti. Hal ini dapat dibuktikan apabila sikap kita dengan mengambil sambil lewa dalam pelajaran seperti lambat ke kelas, main-main dalam kelas dan sebagainya akan memungkinkan kita masa alam bekerja juga akan main-main. Semua perkara ini nampak seperti remeh untuk diceritakan.

Mesti ada antara kita akan berkata “ Masa belajar inilah nak enjoy” Tak begitu. Dialog ini pasti akan keluar kepada sesiapa yang masih tidak sedar akan hakikat dunia ini. Hakikat dunia seperti bumi. Satu hari kita akan berada di atas dan satu hari kita akan berada di bawah. Jika masa belajar kita main-main dan tidak mengamalkan cara belajar yang sihat, pasti kita akan merana pada masa akan datang.

Walaupun kita seorang yang cemerlang dalam belajar tetapi jika kita tiada adab belajar yang baik ia adalah sama juga dengan orang yang tidak cemerlang dalam pelajaran mereka. Kuncinya sikap dan ‘attitude’ kita mencorakkan diri ini untuk menjadi yang terbaik.

Ingatlah bahawa kecemerlangan dunia pada masa sekarang tidak akan menjamin kecermelangan dunia pada masa akan datang. Tetapi kejayaan yang hakiki adalah apabila kita bersyukur dengan kejayaan yang kita miliki dan redha dengan ketentuan ilahi. Perancangan DIA lebih rapi dan tersusun dan daripada perancangan kita. Berserahlah segalanya kepada Allah swt atas apa yang kita lakukan. Semoga Allah swt memberkati hambamu ni. Amin.

* Teruskan berusaha sem depan.

* Doakan yang terbaik di dalam apa juga bidang yang diceburi.

* Tetapkan iman agar menjadi salah seorang hamba yang bersyukur.

Thursday, December 4, 2008

Khemah Ibadah di Bangi


Bersama fasilitator yang lain. (napa tak pandang sini? )


Jungle Tracking yang menyeronokkan


Kumpulan Ibnu Sina


Bersiap sedia untuk jungle tracking


Praktikal Solat


Pada 1-3hb Disember yang lalu, penulis berkesempatan untuk menghadiri program Khemah Ibadah sebagai fasilitator anjuran Surau Taman Desa Makmur dan Jawatankuasa Penduduk di sana. Objektif program adalah untuk memberikan pengetahuan tentang ilmu fardhu ain dan fardu kifayah. Selain itu, program juga ingin menerapkan tentang sahsiah dan akhlak yang sebenar kepada peserta.

Peserta yang datang ke program ini kebanyakannya dari kalangan penduduk di situ dan ada juga yang datang dari jauh. Seramai 41 orang peserta yang menghadiri program ini. Rata-rata umur peserta adalah dari 8 tahun hingga 15 tahun. Pasti anda tahu bagaimana keadaan program kan???? Pelbagai ragam adik-adik ini membuatkan saya sendiri kadang-kadang naik pening sebenarnya. Kadang-kadang seronok pun ada juga. Biasalah saya ini jenis suka layan adik-adik kecil yang comel ini.

Biasalah apabila di dalam kawasan perumahan seperti ini memang kita tidak dapat dari pelbagai ragam anak-anak kecil ini. Bayangkan LDK sedang berjalan, seorang anak penduduk ini datang kepada saya minta kamera. " Bang, nak amik gambar?. Berkali-kali juga dia datang meminta kamera. Saya ada kamera dan adik ini suka sangat amik gambar. Sampai habis bateri kamera saya dikerjakannya. Nak marah pun tidak boleh. Perangai budak kecil memang macam ini. Nak buat macam mana. Getus saya dalam hati.

Apa-apapun, hidup ini perlu memberi dan diri kita juga perlu diberi. Berikanlah sedikit ilmu kepada sesiapa walaupun kita sebenarnya tidak mempunyai banyak ilmu. Sekali anda memberikan ilmu kepada orang lain, orang itu akan sentiasa ingat ilmu yang anda berikan. Maka, janganlah kedekut dengan ilmu anda. Kongsikanlah dengan adik-adik dan masyarakat. Nescaya ilmu kita akan bertambah. Semoga saya berkesempatan menyertai program seperti ini lagi. Program dengan budak-budak seperti ini memang menyeronokkan.

*Tahniah kepada Achik/Hawa Mas Azmar atas program ini. Teruskan perjuangan sahabatku.