Monday, September 29, 2008

Pantun Raya...





Versi kelantan
Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita

Terengganu...
Makang ubi jamang jepong
Makang kepok cicah cuke
Bulang pose mung bengong
Bulang raye mung gile

Pahang...
Sepadan Pahang ada kasino
Nasi dagang ikan patin
Jange mu masam muko
Raya makan rendang sadin

Johor...
Cegitu cegini awak suke
Awak suke kite tak suke
Esok luse hari raye
Sama-sama bersuke rie

Melaka...
Hawau kau berak merate
Kaki bengkak ulau patok
Kalu balik naik kerete
Jangan pandu kalau ngantok

N. Sembilan...
Masak lomak cili api
Campo dongan daun turi
Hari rayo kolumpo sopi
Tinggal penyamun dongan pencuri (org kolumpo jgn kocik ati!!)

Selangor/K.Lumpur...
Wa cakap lu wa tak tau
Tapi wa tipu sama lu
Raya jangan buat tak tau
Angpau ada bagi gua dulu

Perak...
Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampai

Wednesday, September 24, 2008

MR kembali menyengat...



Baru lepas basuh

"Apa cerita MR ko?? Dengar kata masuk 'workshop'. Bila keluar?? Kawan saya bertanya.. Puas saya menjawab soalan ini. Tidak tahu la soalan tu soalan perli ke apa. Tetapi saya bersangka baik je. Biasalah. Motor saya ini motor klasik. Tetapi bawa macam motor baru. Laju bukan main lagi. Habis saya buat motor ini. Sampai sekarang ini sudah beratus juga la saya jaga motor ini. Alhamdulillah. Sudah setahun lamanya motor ini di tangan saya.

"Nah, amik kunci motor ini!! Nanti pergi ke kelas naik motor ini. Ayah saya memberikan arahan kepada saya. Perasaan saya masa tu bercampur aduk. Ada gembira, sedih juga ada. Yelah, tiba-tiba ayah saya memberikan sebuah motor. Selalunya kalau dia beri apa-apa mesti saya ada buat apa-apa untuk dia. Tetapi ini tidak. Tetiba je dia bagi motor ini. Alhamdulillah..

Pertama sekali apabila saya dapat kunci motor ini saya ingat mesti motor baru ataupun motor tangan kedua. Wah, apa lagi bermacam-macam la saya fikir. Fikir nak pergi ziarah adik-adik matrik,bawa pergi ke merata tempat dan sebagainya. Rasanya seperti dunia ini kecil sahaja bila dah ada kenderaan sendiri ini. (gelak seorang diri).

Pada bulan 8 bersamaan tahun 2007, motor ini sampai ke UIA dengan menaiki trak Ford Ranger. Fikiran saya tentang motor yang saya mimpikan itu masih lagi tengiang-ngiang di benak otak ini. Mana tidaknya, ini adalah kali pertama saya membawa motor sendiri. Apabila sampai je depan mahallah(kolej) saya, saya terkejut yang motor ini yang rasa pernah nampak. Tetapi di mana ek?

Sedih dan gembira bercampur baur. Ingatkan motor baru rupanya motor ini motor atuk. Motor ini dijaga oleh Pak Itam saya. Dialah yang selalu baiki dan jaga motor ini. Angin tiada,ribut pun tiada, akhirnya motor ini sampai kepada pemilik seterusnya. Kesian plak rasanya Pak Itam saya tu. Sudah lama juga dia jaga motor tu. Tetapi nak buat apa, ayah saya sudah beli motor ini daripada dia.

Pesan ayah saya, "Nanti jaga baik2 motor ini, ni motor warisan tau. Sampai adik kau masuk U pun pakai motor ini". Saya pun tunduk patuh. Memang besar tanggungjawab saya selepas ini.

1. Jaga motor ini dengan baik
2. Balas jasa mak ayah saya dengan belajar bersungguh-sungguh


Apa-apa pun semua ini memang takdir saya. Ayah saya memang betul-betul memahami saya. Dia tahu yang kelas saya jauh dan hendak pergi ke satu tempat ke tempat lain memang jauh jika tiada kenderaan.

" Terima Kasih abah dan ibu atas pemberian ini. Akan aku jaga motor ini dan belajar dengan bersungguh-sungguh. Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui bagaimana persaan kasih dan sayang saya terhadap mereka. Jika dihitung dari kecil sampai sekarang akan jasa mereka nescaya tidak akan terhitung pengorbanan dan jasa mereka terhadap saya. Susah senang keluarga saya ditempuh bersama. Jatuh bangun perniagaan juga ditanggung bersama. "
Semoga Allah sahaja yang mampu membalas jasa mereka. Dan saya akan pastikan saya akan berada di kalangan yang terbaik baik dalam akademik mahupun agama. Insya Allah..

Di kesempatan ini, anakmu ini ingin meminta maaf atas segala kesalahan terhadap abah dan ibu. Anakmu ini mengetahui yang diri ini sentiasa menyusahkan dan membuatkan abah dan ibu berasa hati akan diri ini. Anakmu mengetahui yang anakanda bukanlah anak yang terbaik yang boleh dijadikan contoh kepada adik dan juga keluarga. Begitu besar dosa anakmu ini sehinggakan anakmu tidak sanggup melihat diri ini lagi. Oleh itu, anakmu ini ingin memohon sejuta keampunan dan kemaafan daripada abah dan juga ibu atas dosa anakmu ini.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

" Dan tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau keduanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia "

Surah Al-Israa': 23

Semoga hubungan keluarga ini akan memberikan semangat baru terhadap anakmu ini di dalam medan perjuangan hidup yang lebih mencabar pada masa akan datang.

25hb September 2008
Kompleks Anjung Rahmat, Gombak
1.30 petang.



Friday, September 19, 2008

Peristiwa-peristiwa di bulan Ramadhan



Malam ini adalah malam ke 20 bersamaan 19hb September 2008 Ramadhan yang mulia. Maka bermulanya satu pencarian seribu malam oleh semua umat Islam yang mengetahui akan hakikat yang sebenar. Tetapi mungkin kita tidak sedar yang pencarian lailatul qadar bukannya bermula pada sepuluh malam terakhir tetapi pencariannya perlu dimulai dari awal Ramadhan lagi. Ia adalah supaya kita bersedia akan kedatangan malam yang lebih baik dari sebulan ini.Semoga lebihan hari ini kita gunakan sebaik-baiknya.

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua akan peristiwa-peristiwa penting di bulan ramadhan ini. Peristiwa ini adalah daripada bacaan saya yang sedikit dan perbincangan dengan sahabat-sahabat jemaah. Semoga sedikit sebanyak dapat mengingatkan kita akan kelebihan bulan ini.

Peristiwa yang pertama adalah Perang Badar Al-Kubra. Di dalam buku Perang Badar Al-Kubra yang ditulis oleh Abu Muhammad ‘Abdul Malik Bin Hisyam Al-Maufiri ini sangat baik dan ia menceritakan dengan jelas akan susur galur perang ini. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Dalam perang ini Allah swt telah membantu tentera Islam dengan menghantar segerombolan malaikat. Perang ini berlaku pada pagi jumaat,17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini telah mengalahkan lebih kurang 1000 orang tentera Musyrikin Mekah.

Seterusnya pada 20 Ramadhan 8H adalah pembukaan Kota Mekkah (Futuhal Makkah) dan penghancuran Berhala. Kisahnya bermula dengan Rasulullah s.a.w bersama para sahabat keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dalam keadaan berpuasa. Mekah jatuh ke tangan muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan.

Pada Ramadhan 9H, Perang Tabuk berlaku tetapi Rasulullah s.a.w tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah. Seterusnya Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajipan dan melaksanakan puasa di sana. Dan pada tahun 9H ini juga Utusan Raja Himyar dating ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam.

Ramadhan 29H mencatat satu sejarah yang bermakna bahawa Islam telah tersebar hingga ke Afrika Utara,Iran, Afghanistan, Yaman dan Syria. Pada tahun ini juga satu perang telah berlaku yang di mana tentera Islam diketuai Tariq bin Ziyad. Seramai 12 000 tentera Islam telah berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 orang yang diketuai Raja Frederick. Tariq bin Ziyad telah mengarahkan tenteranya membakar kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera kuffar. Beliau berkata:

“Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan sama ada mati lemas ataupun syahid”

Dengan semangat yang telah ditunjukkan ini telah mengalahkan tentera kuffar, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Sepanyol,Sicily dan sebahagian Perancis. Bermulanya satu zaman kegemilangan Islam di Andalus selama 700 tahun.

Seterusnya pada Ramadhan 584H, panglima tentera Islam, Salahudin Al-Ayubi mendapat kemenagan besar ke atas tentera salib. Ketika bulan Ramadhan ini, penasihatnya menyarankan agar salahudin berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahudin menjawab:

Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”

Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan Berjaya merampas benteng Shafad yang kuat. Peristiwa berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

Akhir sekali adalah pada Ramadhan 658H apabila Baghdad berlakunya pencerobohan oleh tentera tartar dan mereka membunuh seramai 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk kristian supaya makan babi dan meminum arak secara terbuka di jalanan dan memaksa kaum muslimin turut serta. Banyak larangan yang dikenakan terhadap orang Islam. Antaranya azan dilarang dan masjid disirami arak oleh tentera tartar yang biadap. Kecelakaan ini disambut baik oleh Saifudin Qutuz,pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum Muslimin untuk menghancurkan tentera Tartar. Mereka berperang pada hari jumaat 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut. Setelah itu, mereka semua berjihad dan kemenangan berpihak kepada Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.

Begitulah sebahagian peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan ini. Satu bulan yang sangat mulia dan selain bulan yang dilimpah kurniakan nikmat kepada hambanya, bulan ini juga membuktikan bahawa pada bulan ini juga umat Islam boleh mencatat sejarah tersendiri. Tiada siapa yang mengetahui akan kelebihannya selain merasai dahulu akan kelebihannya.

Wednesday, September 17, 2008

KENYATAAN MEDIA:MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HING

1. Pengendalian Persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang cuba mendapatkan pandangan tentang PPSMI telah dilaksanakan secara “tidak adil” dan “laporannya” dalam akhbar juga “mengelirukan” . Tiga daripada lima orang pembentang bukannya berbicara tentang PPSMI tetapi tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris yang tidak pun dinafikan oleh kami. Kami bimbang akan kemunculan watak-watak “pembesar” seperti dalam cerita “Maharaja dengan Baju Barunya” yang hanya mengiyakan bahawa baju raja cantik walaupun raja sebenarnya tidak berbaju. Lagipun semasa hendak mengubah ke bahasa Inggeris dahulu tiada meja bulat pun dan tidak pun ditimbulkan tentang kesan ekonomi perbukuan bahasa Melayu. Apakah meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai saja kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat. (Contoh pertemuan 27 Ogos 2008 yang lalu – rujuk The Star dan Utusan Malaysia 28.8.08 dan catatan wakil ASASI di www.prihatin. net).

2. Bagaimana pemimpin kerajaan boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar Akta? Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kononnya dua mata pelajaran tetapi ternyata kini bahawa sebenarnya lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris. Ini adalah benar dan bukannya andaian palsu. Apabila ini sudah berlaku maka Akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu. Soalan “adakah kita mahu meneruskan PPSMI atau tidak” sebenarnya samalah maknanya dengan soalan “adakah kita mahu meneruskan usaha menghancurkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi?” (rujuk Siri Bicara Bahasa Bil.15, 2002 terbitan PLM & DBP). Kami sedia berdebat tentang kehancuran bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

3. Kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.

4. Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar. Tetapi ini telah dilakukandengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat. Tidak pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar sains dan matematik boleh meningkatkan penguasaan bahasa. Pelaksanaan PPSMI di negara bekas jajahan British di Afrika dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Perancis di negara bekas jajahan Perancis di Afrika tidakpun memajukan negara tersebut, malah tinggal mundur dan miskin walaupun bahasa negara termaju digunakan. Hanya Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand wajar melaksanakan PPSMI.

5. Kemungkinan besar tindakan ini untuk menutup kegagalan Kementerian dalam usaha mencari kaedah yang sesuai untuk mengajar bahasa Inggeris. Tegasnya Kementerian mestilah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris yang sesuai dan berkesan.

6. Kerajaan mestilah belajar dari pengalaman. Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.

7. Gesaan kami agar pihak berkuasa mengembalikan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama-sama. Kembalikanlah kewibawaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebagai penghantar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPT. Jika pertukaran dilakukan di peringkat sekolah rendah sahaja, dan/atau sehingga di sekolah menengah sahaja, akan hanya merupakan tindakan “melepas batuk di tangga”. Bahasa Melayu tetap hancur di negaranya sendiri. Kesan negatif akibat PPSMI telah melarat-larat dengan keghairahan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dalam semua aspek kehidupan di negara ini sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perhubungan di negara ini sehingga DBP pun seolah-olah sudah “mati” dan tidak berwibawa lagi.

8. Malaysia bukan England, bukan Amerika, bukan India, bukan Taiwan, bukan Singapura. Malaysia adalah Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang sejarahnya bermula sejak sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Kembalikanlah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kita seperti sebelum tahun 2003. Kepemimpinan Melalui Teladan. Hormatilah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, (Rukun Negara ke-3 dan ke-4).

9. Rancangan untuk menjadikan keputusan UPSR pada tahun ini sebagai salah satu penentu penerusan PPSMI juga amat tidak logik dan membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Bahasa Melayu tetap hancur dan musnah akibat PPSMI, keputusan dan angka juga boleh berubah-ubah atau dimanipulasi dan soalan juga masih dwibahasa.

Tazkirah Ramadhan: Dunia tempat menghadapi ujian




Alhamdulillah, hari ini sudah masuk Ramadhan ke 15. Pejam celik masa begitu cepat meninggalkan kita di dalam bulan Ramadhan ini. Dan dalam masa itu juga, pelbagai amalan yang telah kita lakukan bagi mengejar satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatul Qadar.


Terbaca saya dalam satu buku yang bertajuk Sakit di Bulan Ramadhan. Dalam buku ini ingin saya berkongsi satu tajuk dalam buku ini yang menarik perhatian saya. Tajuknya sangat biasa jika kita melihat dari sudut luarannya sahaja. Akan tetapi jika kita hayati secara mendalam ia pasti akan memberikan satu kesan yang sangat mendalam kepada diri dan juga kepada masyarakat di sekelilingnya.


Ingatlah dunia ini adalah tempat kita menghadapi ujian. Dunia ini juga adalah perkampungan ujian dan cubaan. Sesiapa yang masih hidup pasti tidak akan terlepas dari ujian ini baik yang sedih, gembira dan sebagainya.


Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
Demi Allah, kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), kelaparan,kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta lenyap hasil tanaman. Oleh itu, berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Al-Baqarah:155


Inilah penegasan yang Allah telah berikan yakni setiap hambanya pasti akan diuji. Makin dekat hambanya kepada Tuhannya, maka kuatlah ujian Allah kepadanya kerana dia semakin hampir untuk mencapai ‘kunci’ syurga.

Firman Allah s.w.t:


Maksudnya:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman! Sedangkan mereka tidak akan diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
Surah Al-Ankabut:2


Maka kuatkanlah iman anda lebih-lebih kita di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kita hari ini hanya diuji sedikit sahaja berbanding umat yang terdahulu. Oleh itu, bersyukurlah selalu dengan nikmat hari ini dan gunakanlah nikmat sebaik-baiknya untuk berjuang di jalan Allah s.w.t dalam menegakkan kalimahnya di muka bumi ini.

Sunday, September 14, 2008

Hari yang paling gembira


Hari ini hari yang paling gembira bagi saya walaupun di dalam hati ini sebenarnya mencucuk kesakitan akan diri ini yang tidak begitu kuat sebenarnya. Saya teringat pesan sahabat saya bila mana kita terjerumus di dalam medan dakwah ini kita tidak dapat lari daripada cabaran dalaman dan juga cabaran luaran. Di sini saya lebih untuk kita merenung dan juga meminta pendapat anda semua akan diri ini yang selama ini dirasakan kuat di sisi manusia tetapi rupanya lemah di sisi tuhan.

Dakwah yang kita canangkan selama ini membuatkan kita semua perlu turut serta walaupun ia sebenarnya memang sudah menjadi kewajipan kita dulu,kini dan selamanya. Apa yang kita sebutkan hari ini tidak semestinya kita mampu lakukan untuk masa akan datang. Walhal telinga kita ini yang paling dekat dengan mulut kita. Tetapi apa yang paling penting untuk kita persiapkan adalah ketahanan diri untuk melawan hawa nafsu yang cuba menghalang kita untuk terus istiqamah dalam jalan ini.

Perkara utama yang perlu kita kuatkan adalah tarbiyyah ruhaniyyah yang memang selama ini kita sebutkan dan peringatkan. Maka sudah menjadi tanggungjawab semua untuk kita memperingatkan sesama kita yang kerja tarbiyyah ini bukannya orang tarbiyyah sahaja yang perlu mengingatkan kita. Ia perlu kepada semua golongan yang sudah sedar akan perkara ini.

Banyak perkara kita yang kita buat ini tidak semestinya disukai oleh semua orang. Dan kadang-kadang sahabat yang hanya mementingkan diri tanpa mempedulikan orang lain pun menyebabkan kita ini terasa kesepian dan bahasa yang mudah adalah "syok sendiri" dengan kerja yang kita buat ini. Mereka hanya didedahkan dengan gerak kerja jemaah tanpa mempedulikan perasaan dan hati ahli-ahli jemaah kita.

Oleh itu, dakwah dan tarbiyyah perlu difahami akan pengertiannya yang sebenar. Jika kita hanya bercakap akan dakwah tetapi tidak langsung bercakap tentang apa yang perlu dibekalkan oleh para pendakwah akan membuatkan gerak kerja dan ahli jemaah ini tidak akan ada hala tuju. Hal ini perlu kepada kesatuan hati dengan jemaah dan juga ahli jemaah. Selalu saya sebut akan buku "Bagaimana menyentuh hati" ini. Buku ini saya rasa perlu di hadami selepas buku haraki dan buku perjuangan.

Akhir kata, jika kita ingin melihat perjuangan ini berterusan, tanyalah kepada diri sendiri "adakah aku lakukan ini bertepatan yang telah disyariatkan dan adakah aku memikirkan sahabat lain di dalam jemaah ini ketika senang dan susah dan juga adakah kita menerima pandangan semua orang??"
Rintihan seorang pemuda
Tazkirah pendek untuk diri......

Tuesday, September 2, 2008

Bulan yang dinantikan....


Semakin hampir saat itu tiba, setelah hampir setahun menunggu kedatangannya. Para sahabat di zaman RasuluLLah selalu merindui ketibaan bulan yang penuh dengan pengampunan ini. Ketika ini, umat Islam dimerdekakan dari gangguan Iblis dan tentera-tenteranya yang diikat untuk memberi peluang agar ibadah dapat dilakukan dengan baik dan bersungguh-sungguh lagi. Pintu-pintu syurga telahpun dibuka, manakala pintu-pintu neraka telah ditutup dengan rapi.

"Hai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepadamu mengerjakan puasa, sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang terdahulu dari kamu, supaya kamu terpelihara dari kejahatan." (surah Al Baqarah: 183)

Ramadhan ini... ALlah menurunkan al Quran melalui Jibril untuk disampaikan kepada kekasih-Nya di Gua Hira'. Pengisiannya yang mengandungi pelbagai hikmah di samping perlantikan sebagai pesuruh ALlah kepada seisi alam ini.

Ramadhan ini.. terdapat malam yang penuh dengan rahmat dan barokah, lebih baik dari seribu bulan. Didirikan di setiap malam yang akan berlalu dengan solat Terawih sehingga ke akhirnya.

Ramadhan ini.. belajarlah untuk menahan diri dari perkara yang mendatangkan kemurkaan ALlah hingga menyebabkan berkurangnya pahala puasa atau menjadikan puasa sia-sia.

Ramadhan ini... berlakunya peristiwa perang badar al kubra sebagai bukti ketulenan iman umat Islam ketika itu, yang sanggup mengibarkan panji Islam tanpa rasa ragu dan gentar walaupun dengan kuantiti yang mustahil pada pandangan akal. Tetapi tiada yang mustahil bagi ALlah.

Ramadhan ini.. didiklah diri dengan perasaan ihsan dan kasih sayang kepada orang yang memerlukan. Moga dengan kejernihan hati dapat mengurangkan kesedihan mereka yang faqir miskin dan suka untuk menolong mereka dengan bersedekah.

Ramadhan ini.. peliharalah segenap pancaindera dari perkara yang haram. Bukankah ALlah sudah membantu?

Zaman ini, kedatangannya tetap ditunggu dengan pelbagai perasaan yang hadir. Mungkin kerana taraf iman yang tidak sama, ada orang yang mendahulukan Syawal dari Ramadhan. Belum pun tiba saat kemenangan, sudah ada yang dilekakan dengan keduniaan. Mata senang dengan kemewahan yang bukan menjadi keperluan sehingga terpaksa berhutang. Sedangkan jiwa mati tidak diberi dengan makanan..

Selamat datang wahai bulan yang dimuliakan ALlah, bulan yang penuh maghfirah dan barokah.. Semoga semakin bertambahlah iman dan amal hendaknya..Amiinnn

"Barangsiapa yang mengerjakan puasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan kepada Allah dan benar-benar mengharapkan keampunan, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)