Monday, May 5, 2008

Mahasiwa perlu berubah...


Merujuk kepada artikel yang ditulis oleh Utusan Malaysia tentang hak mahasiswa bersuara terus terjamin. Saya secara peribadi menyokong cadangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1, Datuk Ir. Idris Haron tentang penubuhan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Kecil Pendidikan Hak Asasi Manusia yang diwujudkan Kementerian Pengajian Tinggi. Melalui penubuhan ini, suara mahasiwa akan didengari oleh semua rakyat Malaysia.


Menurut Datuk Idris Haron, tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk memastikan segala aktiviti mahasiswa tidak terpesong dari akta universiti dan melepasi batasan hak asasi orang lain. Selain itu, Jawatankuasa yang ditubuhkan dengan kerjasama Suhakam ini juga turut bertindak meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dibawa ke Parlimen akhir tahun ini.


“Pindaan ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar dan universiti lebih kebebasan setelah kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam AUKU menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.


Perkara ini tentu akan menggembirakan sebahagian Mahasiswa di Malaysia ini yang inginkan suara Mahasiswa itu didengari oleh semua lapisan masyarakat. Malah, ini menandakan satu kejayaan pertama walaupun AUKU belum dipinda lagi. Sekurang-kurangnya ia sudah memberi impak yang sangat penting kepada masyarakat secara amnya.


Ye, memang isu ini isu yang sudah lama dan lapuk jikalau diimbas kembali. Tetapi melihatkan keadaan mahasiswa yang kian jatuh martabatnya, perkara ini perlu kepada penilaian yang sedalamnya oleh semua terutamanya pemimpin politik sekarang. Nak atau tidak, mahasiswa perlu diberi kebebasan yang secukupnya agar negara kita tidak ketandusan pemimpin yang berwibawa untuk menerajui negara pada masa akan datang.


Di sini saya ingin membawa kita kepada persoalan penting, adakah kita sudah bersedia? Jika AUKU dipinda sekalipun, adakah mahasiswa akan menjadi jurubicara ummah. Jikalau mahasiswa tidak diberikan kesedaran tentang peri pentingnya masa depan negara kita,bangsa kita,agama kita, mahasiswa tetap akan menjadi pak turut. Yang jika disuruhnya ke kanan, dia pun ke kanan, jika ke kiri dia pun ke kiri.


Bersamalah kita bermula kembali kepada pendidikan negara kita. Aspek yang paling utama yang perlu dititik beratkan bersama adalah pendidikan di peringkat sekolah. Hal ini kerana kebanyakan mahasiswa sebelum mereka ke universiti, mereka pasti akan menempuh alam persekolahan. Alam persekolahan yang paling penting adalah semasa sekolah menengah.


Disinilah pemikiran kita akan dibentuk oleh persekitaran. Jika persekitaran itu baik, maka baiklah pemikiran mereka. Maka di sinilah perlunya kepada pendidikan yang sistematik dan komprehensif. Ia akan menghalang kembali segala anasir-anasir yang tidak diingini sampai kepada para pelajar. Jika perkara ini tidak dibendung maka akan wujudlah mahasiswa lesu,lemah dan tidak kritikal di universiti-universiti.


Oleh itu, peranan kita sebagai mahasiswa yang mempunyai kesedaran tentang itu untuk turun ke sekolah-sekolah dengan membuat program motivasi,khemah ibadah dan kepimpinan. Hanya dengan ini sahaja pelajar-pelajar akan terjaga daripada tidur yang dibuai mimpi yang indah selama ini. Kita perlu menyedarkan mereka bahawa misi kita untuk belajar bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja, malah misi kita lebih besar daripada sekadar belajar. Misi kita adalah untuk membina insan yang berilmu. Insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmaninya. Jikalau semua mahasiswa mempunyai kesedaran ini, pasti mahasiswa yang sampai di universiti akan menjadi yang terbaik bukan sahaja untuk diri bahkan kepada agama, masyarakat dan negara itu sendiri.


Akhir kata, bersamalah kita membina generasi muda hari ini dengan kekuatan ilmu. Jauhkanlah generasi ini dari dunia hiburan yang melampau yang tidak akan ada penghujungnya. Mereka perlu dibangunkan dengan jiwa Islam yang unggul agar menjadi modal insan yang boleh dibanggakan oleh semua.

No comments: