Friday, May 16, 2008

Bantah pendudukan haram Israel di Palestin - NGO hantar memo kepada PBB

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - 30 NGO hari ini, berhimpun di bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Damansara bagi menyerahkan memorandum penyataan sikap dan petisyen 100,000 tandatangan rakyat Malaysia kepada 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

ImageIa diserahkan oleh Pengerusi Citizens International, Muhydin Abdul Kadir bersama wakil-wakil NGO lain kepada Pengurus Program United Nation Development Program di perkarangan pejabat tersebut sambil disaksikan kira-kira 50 aktivis NGO yang turut menyokong usaha tersebut.

Pertemuan selama setengah jam wakil-wakil NGO tersebut memohon agar pihak UNDP dapat mengambil perhatian yang lebih serius kepada masalah yang kini menimpa penduduk Palestin yang telah lama menderita tanpa pembelaan yang sepatutnya diberikan pihak keselamatan PBB.

Dalam pada itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) melahirkan kekesalan terhadap penolakan usul membantah sambutan ulangtahun ke 60 pendudukan haram Israel di Palestin akibat pencerobohan tentera Israel yang berkompromi dengan Amerika Syarikat yang telah dikemukakan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Marang-PAS) di parlimen semalam.

Namun, ianya diketepikan dengan alasan bahawa ianya bersifat tidak segera.

Usul tersebut turut menyatakan bahawa Parlimen Australia telah meluluskan usul merayakan kelahiran Israel yang disokong pembangkang sedangkan parlimen Malaysia seharusnya mengutuk usul tersebut dan menyatakan bantahan kepada Australia.

15 Mei 2008 adalah genap 60 tahun Hari Naqba ialah suatu hari peringatan pencerobohan Israel ke atas tanah air Palestin.

"Kita kesal dengan sikap tidak prihatin dengan kerajaan yang pernah menjadi Pengerusi Pertubuhan Negara-negara Islam Dunia (OIC) yang tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai Hari Nakba," katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Beliau menyifatkan pemimpin OIC seluruh dunia masih takut dan dayus untuk membela Palestin dan membebaskan masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Israel Zionis.

"Malah tindakan Perdana Menteri kita sekarang ini melambangkan beliau seorang pemimpin yang lemah dan hal ini menyebabkan kami terlalu kecewa," tegasnya.

Apa yang lebih mengecewakan, Malaysia akan mengizinkan warga Israel daripada pasukan bola sepak Chelsea masuk ke negara ini dalam keadaan umat Islam di Palestin ditindas dan diseksa tentera Israel di Semenanjung Gaza.

"Sudahlah parlimen kita menjadi dewan yang pengecut untuk menyatakan sikap berhubung isu ini , tetapi kerajaan sanggup pula menjadi alat kepada Amerika dan bulldog kepada Israel," katanya lagi.Image

Turut hadir dalam pertemuan pagi tadi, wakil daripada Muslim Care Society, Angkatan Belia Islam Malaysia, Jamaah Islah Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia. - mr

No comments: