Sunday, April 18, 2010

Buang bayi: Manusia yang bersifat binatang

Sejak akhir ini, kita sering terbaca di akhbar dan media massa tentang pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Pembuangan atau pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan ini merupakan salah satu amalan jahiliyah yang telah dilakukan oleh orang-orang yang tiada pegangan agama. Maka, isu ini bukan sahaja melibatkan isu kemanusiaan malah isu agama dan juga masyarakat yang semakin lama semakin hilang jati diri mereka sebagai manusia.


Firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 12-19, “Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman iaitu: Bersyukurlah kepada Allah Dan barangsiapa yang bersyukur kepada Allah maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, untuk dirinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”


Ayat di atas merujuk bahawa sesiapa yang bersyukur dengan Allah swt, maka ia juga bersyukur dengan dirinya sendiri. Allah swt sangat suka manusia yang bersyukur dengan nikmat yang diberi. Malah Allah swt akan menambah-nambah nikmat yang diberikan jika manusia itu lebih bersyukur dan berterima kasih dengan nikmat yang sedia ada.


Anak-anak yang dilahirkan ke dunia adalah bersifat fitrah. Anak ini ibarat kain putih.Kitalah yang mencorakkan mereka samaada Islam,Nasrani,Yahudi atau Majusi. Selain itu, anak-anak ini adalah rezeki daripada Tuhan untuk kita, Oleh itu, kita perlu bersyukur dengan nikmat yang tidak terkira nilainya ini. Hanya manusia yang tidak bersyukur sahaja yang sanggup membuang rezeki yang tidak ternilai ini.


Saya sendiri apabila terbaca surat khabar setiap hari berasa sedih dan hiba apabila melihat manusia yang tiada dosa dibuang sebegitu sahaja tanpa rasa bersalah dan malu kepada Allah swt. Manusia yang berhati binatang ini akan dihisab di akhirat kelak akan perbuatan yang sungguh memalukan. Bayi ini akan berkata-kata kembali kepada sang pembuang tentang perbuatannya yang sungguh tidak bertamadun.


Cuba anda bayangkan bayi yang dilahirkan dalam keadaan tiada dosa bahkan seperti malaikat dibuang sebegitu sahaja tanpa rasa bersalah dan malu. Kita sendiri apabila melihat bayi yang baru lahir seronok dan teruja. Kita sampai berebut-rebut ingin memegangnya sehinggakan bayi itu menangis sahaja semua akan berkerumun untuk mengambil dan mendodoinya agar tidak menangis. Malah kita apabila melihat bayi kita berasa seronok sangat dan suka untuk melihat mukanya. Hal ini kerana bayi tidak mempunyai dosa dan bersih daripada segala dosa. Hanya manusia yang berhati haiwan sahaja yang tidak berasa begini.


Di facebook sendiri sudah ada perbincangan meja bulat tentang pembuangan bayi ini. Hal ini merupakan isu yang sangat sensitif dan perlukan kepada perbincangan yang mendalam tentang cara untuk mencegahnya. Pencegahan awal perlu dengan memberi kesedaran tentang perhubungan yang halal dan haram. Jika perkara asas tidak diselesaikan maka permasalahan yang besar tidak akan berakhir selamanya.


Isu pembuangan bayi kerap berlaku kepada orang yang melakukan persetubuhan haram ataupun dikenali berzina. Dan akhirnya setelah dikenal pasti mengandung. Perkara ini merupakan satu ketidak adilan kepada kaum wanita apabila lelaki itu meninggalkan perempuan tersebut tanpa langsung berasa bersalah dengan perilakunya. Akhirnya perempuan yang menerima balasannya.


Ada pepatah mengatakan bahawa hendak menjaga anak perempuan susah, jaga anak lelaki senang sahaja. Perkara ini tidak betul sama sekali. Bagi saya dua-dua sama susah dan senang. Malah penjagaan anak lelaki perlu diutamakan kerana mereka bakal menjadi pemimpin kepada perempuan suatu hari kelak. Dan penjagaan anak perempuan juga perlu diberi perhatian terutama pada akhir zaman ini kerana fitnah paling besar di akhir zaman ini adalah perempuan. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Maka, dua-dua perlu ada check and balance supaya dunia ini tidak terjadinya huru hara oleh keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.



No comments: