Sunday, April 18, 2010

Berterus terang walaupun pahit

Kenapa susahnya aku untuk berterus terang? Atau apakah aku ini terlalu pengecut untuk berterus terang walaupun pahit? Hmm.. Banyak betul aku patut pelajari dalam dunia ini. Getus hatiku yang selalu tertekan kerana tidak dapat meluahkan hasrat hati aku yang sebenar.

Hari ini, saya sudah berumur 23 tahun. Satu umur yang cukup matang untuk saya menilai siapa diri saya,apa kelemahan saya, dan apa matlamat hidup saya. Dan sekarang saya hanya perlu ada keyakinan diri untuk meneruskan hidup ini.

Ayah saya selalu berkata, "be strong" dalam hidup ini. Jikalau tidak kita akan kalah. Di dunia ini persaingan sangat kuat. Sesiapa yang kuat akan menang dalam permainan dunia ini. Dan sesiapa yang kalah akan tersingkir daripada permainan dunia ini.

Keberanian untuk bercakap benar merupakan amalan yang baik yang patut kita amalkan. Kadang-kadang kita sesama keluarga pun tidak berani untuk berterus terang sehinggakan menimbulkan perselisihan faham antara satu sama lain. Perkara ini boleh dielakkan dengan kita berterus terang apa yang tidak puas hati.

Selain itu, ada individu yang suka berterus terang dan ada juga yang tidak suka berterus terang kerana hendak menjaga perasaan hati orang lain. Berterus terang juga ada baiknya jika kena pada tempatnya dan masanya dan juga caranya.

Saya teringat semasa saya di dalam program PKPIM dan ABIM selalu menekankan cara untuk kita berdakwah secara lebih efektif dan berkesan. Dengan cara wasatiyyah dan juga berhikmah dengan tindakan nescaya golongan sasaran dakwah kita akan mudah dekat dengan kita dan berubah mengikut kehendak sendiri dan bukan dengan paksaan. Perubahan dalam diri itu yang kita hendakkan dan bukannya paksaan.

Apa yang penting sekarang ini adalah cara kita untuk berterus terang dan meluahkan rasa hati yang terbuku di dalam hati dengan lebih efektif dan tidak menyakiti orang lain. Kerana dengan ini sahaja semua masalah akan diselesaikan dan semua masalah dalaman dan luaran dapat diselesaikan dengan baik. Tetapi ingat dengan cara yang berhikmah dan berkesan.

No comments: