Friday, May 8, 2009

Tafsir Al-Azhar: Surah Az-Zukhruf ( Hiasan) 1-5

“Haa Miim” ( ayat 1). Allah dan RasulNya saja yang tahu arti dan maksudnya.
“Demi kitab yang menerangkan”. ( ayat 2). Begitu bunyi pembukaan ayat 2 dari surat ini. Al-Quran telah dijadikan peringatan penting dengan dijadikan sumpah oleh Tuhan. Dia adalah kitab yang menerangkan, yang memberikan penjelasan.

Apatah lagi setelah diiringi oleh ayat-ayat: “ Sesungguhnya Kami telah menjadikannya al-quran bahasa Arab, supaya kamu mengerti.”( ayat 3). Mempergunakan akalmu buat menyelami isinya. Dan dijelaskan lagi, bahawa dia bukan sembarang kitab, tetapi wahyu yang naskhah aslinya bukan di bumi.

“Dan sesungguhnya dia di ibu kitab di sisi Kami: tinggi mengandung kebijaksanaan”. (ayat 4). Ibu kitab ialah: “Al-Lauh al-Mahfuzh”. Tinggi tempatnya, tinggi darjatnya di antara sekalian kitab, dan isinya pun penuh dengan kebijaksanaan, curahan ilahi. Maka orang-orang yang menjadikannya pegangan hidup, niscaya akan turut tinggi pula martabat jiwanya dan terisi dengan kebijaksanaan.

Tetapi meskipun demikian begitu tinggi dan begitu bijaksana isi Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, hingga dapat mereka fikirkan, namun manusia masih saja tertutup hatinya, tidak mahu menerima ketika di ajak. Apakah penurunan Al-Quran akan diberhentikan, kerana ada manusia yang tidak mahu percaya?

“ Apakah akan kami hentikan dari kamu peringatan itu, serta merta lantaran kaum yang melampaui batas?” (Ayat 5). Atau kamu sudah ketertaluan? Tidak, ajakan dan seruan Tuhan yang dibawa oleh Nabinya sekali-kali tidak akan diberhentikan, kerana ada yang menentangnya. Dia akan jalan terus. Sebab kebenaran jua yang akan menang. Nabi-nabi diolok-olokkan, sudah biasa dari dahulu-dahulu.

Isi penting:
1. Al-Quran dijadikan dalam Bahasa Arab supaya mudah kaum Arab memahaminya.
2. Seruan mengajak ke Agama Islam tidak akan dihentikan selamanya. Sebab kebenaran jua yang akan menang.
3. Para Nabi sudah biasa dengan ujian-ujian yang mereka hadapi daripada kaum Kafir sejak dari dahulu lagi.


No comments: