Monday, November 26, 2007

Dari Seremban ke Rembau


Pada 18hb hingga 25hb November yang lepas,penulis telah menyertai Program Tafaaquh Fi Al Din anjuran Yayasan Sofa. Program ini bertempat di Rembau,Negeri Sembilan. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang asas-asas dalam agama seperti bab aqidah,akhlak dan tauhid. Kebanyakan peserta yang menghadiri program ini berumur antara 10-15 tahun dan datang dari pelbagai tempat dari pelusuk Negeri Sembilan,Melaka dan Selangor. Sebanyak 130 orang perserta yang menghadiri program ini.

Program yang pertama kali penulis menyertai ini banyak memberi pengajaran dan muhasabah kepada diri bahawa diri ini banyak kekurangan dari segi ilmu agama. Buat pengetahuan semua, Yayasan Sofa ini adalah sebuah Yayasan yang giat menjalankan aktiviti kebajikan dan pendidikan khusus bagi masyarakat umum. Selain itu, Yayasan ini telah menubuhkan Madrasah untuk tempat pembelajaran dan hafazan. Apa yang menarik di sini pelajar yang baru berumur 11 tahun telah berjaya menghafaz sebanyak 3 juzuk al-quran.

Suasana tempat di sini banyak mengajar penulis tentang erti ketabahan dan pengorbanan. Tempat yang dahulunya adalah hanya Madrasah Pondok sekarang pesat membangun dengan pembangunan yang lebih moden untuk pembelajaran pelajar-pelajar di sini. Pengorbanan untuk menuntut ilmu banyak melahirkan ulama dan ilmuwan Islam yang hebat-hebat dari sini. Suasana kampung yang aman menyebabkan hati kita berasa tenang apabila berada di sini. Maka benarlah kata pepatah Bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian.

Peserta program yang menyertai ini adalah dari pelbagai latar belakang keluarga,kehidupan dan pendidikan. Oleh itu,memang banyak ragamnya dan memang sukar untuk dikawal pada mulanya. Tetapi pengalaman sebegini memang tidak dapat di mana-mana program lain. Mengapa saya sebut begini adalah kerana di sini penganjur banyak menekankan kepada stail ala-ala pondok. Dalam program ini dua buku digunakan iaitu Aqidah Awwam dan Asas agama menurut Mazhab Syafi’i. Selain itu, program ini di hiburkan dengan Madih atau puji-pujian terhadap Rasulullah. Madih ini melambangkan bahawa Islam itu sangat indah sehinggakan Ulama dari Mesir yang datang pada majlis mengingati Al Imam Abdullah ibn Alawi Al Haddad menangis disebabkan oleh keindahan syair yang memuji Rasulullah s.a.w. Kesenian Islam sebenarnya tidak ada tolok bandingnya dengan kesenian yang lain. Oleh hal yang demikian, seharusnya kita mengetahui akan pujian-pujian ini kerana amalan ini sudah lama tidak dihidupkan. Selain bacaan tarannum dan nasyid selawat,Madih juga ini boleh dijadikan sebagai hiburan di samping memuji Rasulullah s.a.w.

Akhir sekali, mari kita muhasabah diri masing-masing. Adakah sudah cukup ilmu di dada kita ni sehinggakan kita hendak mengajar orang lain? Banyak perkara yang perlu dipelajari sebenarnya. Ilmu Allah sangat luas sehinggakan tidak termampu oleh kita. Tuntutlah ilmu dari hidup sehingga ke liang lahad. Oleh itu, program seperti ini sebenarnya sangat baik untuk remaja masa sekarang. Hal ini kerana selain kita di pengaruhi oleh budaya yang melampau di luar sana, elok kita kembali kepada keadaan asal kita dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Nak atau tidak masalah sosial yang membelenggu terutama golongan remaja masa ini perlu perhatian semua lapisan masyarakat. Didikan yang paling utama adalah dari rumah dan kedua adalah sekolah dan seterusnya.

video

2 comments:

ABADI ATAU PERUBAHAN said...

Pemuda Pujangga izzat namanya...
wuah...bagus...kereeen...
mudah di kenang.
aku baik baik saja.

ilham nur said...

wah, seronoknya pergi rembau