Tuesday, November 6, 2007

Amalan ziarah menziarahi


Assalamualaikum dan selamat hari Raya kepada semua yang tengah membaca artikel ini. Di sini saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilifitri kepada semua. Hari ini 25 Syawal belum terlambat untuk saya ucapkan kepada semua. Bermulanya takbir raya pada pagi raya sehinggalah sekarang,kita masih lagi beraya sakan sehingga lupa segala masalah yang dihadapi. Itulah nikmat dan rezeki yang diberi oleh Allah kepada kita atas kemenangan menghadapi segala hasutan nafsu dan menahan daripada melakukan amalan yang sia-sia.

Dengan kedatangan Syawal pada tahun ini banyak amalan turun temurun yang dibuat oleh umat Islam terutama kita di Malaysia ini. Salah satu perkara yang dimaksudkan adalah amalan ziarah menziarahi. Ziarah menziarahi rumah sanak saudara ini adalah amalan sejak zaman Rasulullah lagi di mana masa ini kita akan pergi ke rumah sahabat atau saudara untuk mengeratkan hubungan sesama Muslim. Tautan hati yang dibina sesama saudara tidak akan berpanjangan jika kita tidak dikuatkan dengan amalan yang menyentuh hati seperti ini. Hal ini kerana di dalam hadis Rasulullah s.a.w: Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam:

  • Bila bertemu ucapkan salam
  • Bila diundang maka penuhilah.
  • Bila meminta nasihat,maka nasihatilah,
  • Bila bersin lalu memuji Allah, maka sambutlah dengan doa
  • Bila sakit maka jenguklah
  • Bila meninggal maka ta’ziyahlah.

Jika kita semua hadamkan secara bersungguh-sungguh maka akan terasalah satu nikmat ukhuwah Islamiah yang manis nikmatnya. ’Dengan ikatan persaudaraan Islam inilah mampu memantapkan pemikiran,menggerakkan perasaan dan membangunkan kepercayaan serta ikatan di antara para anggota yang mendukung agama tercinta ini’. Oleh itu,amalan ini sangat baik untuk diaplikasikan sesama kita bukan hanya di bulan Syawal malah sepanjang masa hidup kita.

No comments: