Thursday, November 4, 2010

Iktibar daripada Khutbah Jumaat

Alhmadulillah, hari ini saya sempat mendengar khutbah jumaat di masjid al-mustaqimah. Banyak isi kandungan penting yang saya dapat daripada khutbah kali ini. Ini banyak menyedarkan saya tentang hala tuju dan masa depan hidup saya.

Prosperity index yang dikeluarkan oleh Negara Barat menunjukkan Malaysia telah jatuh ke tangga ke 43 di dunia. Index ini adalah statistik Negara maju mengikut urutan paling maju ke paling mundur.

Mengikut mimbar tersebut, statistik di kalangan Negara Asia, Australia telah dinobatkan yang pertama. Manakala Singapura dikatakan Negara paling maju di Asia Tenggara. Dan Malaysia di tangga ke 8.

Apa isi yang ingin saya katakan di sini adalah kriteria negara maju yang dibuat adalah berdasarkan kepada pembangunan duniawi dan bukannya pembangunan jasmani dan spiritual.

Oleh sebab itu, Singapura di katakan negara paling maju kerana merupakan hub ekonomi di asia tenggara dan juga merupakan anak emas Amerika Syarikat. Persoalan saya di sini bukanlah kedudukan dalam ranking dan bukan juga persoalan pembangunan dan material tetapi adalah soal kita sebagai umat islam untuk menilai adakah penting untuk menilai sesebuah negara itu maju berdasarkan kemajuan fizikal sahaja.

Di sini, kita sebagai umat islam perlu kembali kepada 5 perkara penting yang perlu dipelihara dalam hidup kita sebagai umat islam. Dalam ayat lain adalah Maqasid Syariah. Kita sudah lari daripada prinsip hidup kita yang telah kita pegang selama ini. Dan Maqasid Syariah ini akan membantu kita untuk meluruskan kembali jalan yang kita lalui saat ini.

Pertama adalah memelihara agama. Adakah sesebuah negara itu sudah mengamalkan syariat islam yang sepenuhnya dalam hidup kita. Jika perkara pertama ataupun pokok kepada hala tuju hidup kita tidak amalkan maka runtuhlah sesebuah negara itu. Terbantutlah perjalanan hidup manusia itu.

Kedua adalah memelihara diri ataupun nyawa. Hidup ataupun mati adalah ketentuan Allah swt. Kita yang merancang hidup kita dan kita juga yang menentukan bagaimana kehidupan kita sekarang dan akan datang. Memelihara diri ini adalah berpandukan kepada agama iaitu cara hidup kita.

Ketiga adalah memelihara keturunan. Keturunan merupakan asas kepada terbinanya sebuah keluarga yang harmoni. Jika penzinaan dan maksiat berleluasa di negara ini, keturunan akan rosak dan tidak akan terbinalah apa yang dikatakan keluarga islam yang harmoni.

Keempat adalah memelihara akal. Kecerdikan yang dikurniakan jika digunakan untuk cara yang salah akan menyebabkan kita akan terpesong daripada agama. Jatuh bangun sesebuah negara adalah berpandukan kepada rakyat yang pandai dalam menilai hak dan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Kelima adalah memelihara harta. Harta perlu digunakan sebaik mungkin dan tujuannya adalah untuk mengejar akhirat dan bukannya bermegah2 di dunia. Harta juga penting di dunia untuk menyemai baja di akhirat.

Jika kelima-lima dikira sebagai kriteria untuk diadili sebagai negara maju, pasti akan aman sentosa dunia ini. Ambilkan sebagai renungan.


No comments: