Monday, June 30, 2008

Isu Anwar yang terbaru:Samada benar atau tidak


Isu terbaru yang dikaitkan dengan Penasihat PKR amat membimbangkan kita semua. Berita yang terbaru yang menimpa terhadap beliau ini mungkin merupakan mainan politik sesetengah ahli politik yang tidak senang akan kedudukannya dan mungkin juga sebaliknya.

Berita yang menimpa beliau ini merupakan kes yang sama menimpa beliau pada tahun 1998 dahulu. Pemuda yang terbabit dengan beliau ini adalah pembantunya sendiri.

Mohd Saiful Bukhari Azlan merupakan pembantu beliau di pejabatnya. Mohd Saiful disifatkan sebagai seorang yang ligat berpolitik dan bijak mengambil peluang sejak menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi.

"Selepas proses pemilihan ketua dalam MPP (Majlis Perwakilan Pelajar), walaupun dari segi undian berada di tempat kedua atau ketiga tercorot, beliau berjaya mempengaruhi orang lain yang dapat undi lebih tinggi daripadanya agar memilih beliau sebagai timbalan presiden."

Pemimpin majlis itu bagi sesi 2006/07 didakwa lebih menonjol daripada presiden sendiri kerana bijak mempromosikan diri sendiri, tambah sumber yang pernah mengenalinya.

Bekas pelajar jurusan kejuruteraan elektrik, yang tidak menamatkan pengajiannya tahun lalu, dalam pilihanraya umum Mac, mempamerkan sokongan kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan BN di laman sosialnya di Friendster.

Latar belakang yang meragukan ini mungkin juga antara salah satu penyebab mengapa beliau telah mengkhianati majikannya sendiri. Kita pun tidak tahu akan perkara yang sebenar. Tetapi kita harapkan semua tentang isu ini akan menjadi seperti biasa dan kes ini diadili dengan seadilnya. Kita juga pasti tidak mahu perkara lalu berulang kembali jika kes ini tidak diadili dengan seadilnya.

Saya secara peribadi melihat bahawa Anwar mempunyai pengaruh yang sangat kuat di kalangan rakyat Malaysia. Dan saya juga tidak mahu negara ini akan menjadi kucar-kacir disebabkan kesilapan pemimpin sekarang dalam menilai keadilan dan kesaksamaan. Jika kita imbas tahun 1998, bagaimana demonstrasi besar-besaran telah diadakan daripada rakyat tentang kes anwar ini. Kita juga telah mengalami kesannya masa itu dan pasti tidak mahu mengulanginya lagi.

Justeru, kita semua perlu memahami dan mengkaji dengan sebaiknya kes ini. Saya bersetuju sangat kenyataan yang dikeluarkan oleh ABIM di mana kita disuruh mengkaji dan banyak beristighfar kepada Allah s.w.t tentang perkara ini.(http://www.malaysiakini.com/news/85344).

Kita tidak tahu apa akan berlaku selepas ini jika kes ini tidak disiasat dengan sebaiknya. Rakyat semua pasti inginkan mahkamah yang adil di dalam menentukan keadilan kepada setiap rakyatnya. Selain untuk menjaga kestabilan negara ini, kita juga perlu banyak memohon kepada Allah s.w.t agar dihujani dengan limpah kurnia rezeki yang berkat lagi diredhai oleh Allah s.w.t. Semoga kita semua dilindungi oleh Allah s.w.t dari malapetaka bencana yang tidak diingini dan tidak terfikir oleh kita semua. Nauzubillah.

No comments: