Thursday, April 17, 2008

Memugar Idealisme Qurani Keteladanan Pemuda Al-Kahfi.


Menyorot satu kuliah Maudhuiy yang saya hadiri di Kolej Darul Hikmah, Kajang yang bertajuk tentang Pemuda Al-Kahfi. Kuliah ini disampaikan oleh Dr.Siddiq Fadzil iaitu Mantan Presiden ABIM dan sekarang sebagai Presiden Kolej Darul Hikmah (KDH). Kuliah yang sangat menarik yang diolah dari Tafsir Maudhuiy.


Pemuda Al-Kahfi yang disebut di dalam Al-Quran sebagaimana yang kita tahu adalah pemuda yang ingin menyelamatkan iman mereka dari maksiat yang berleluasa di dalam masyarakat. Pemuda yang seramai 7 orang (perbezaan pendapat) ini ingin mencari kebenaran yang hakiki. Pemuda yang mempunyai keberanian untuk bersuara terhadap sesuatu yang dirasakan tidak betul terhadap masyarakatnya. Pemuda yang keliru di antara hak dan batil. Maka mereka semua telah ditakdirkan untuk bersembunyi di dalam gua.


Niat mereka bersembunyi hanyalah untuk bersembunyi daripada belenggu pembodohan kaumnya sendiri. Tetapi dengan rahmat Allah s.w.t yang Maha Esa telah menidurkan mereka selama lebih 300 tahun. Bayangkan jikalau kita tidur di dalam gua yang lantainya berbatu itu boleh tidur dengan begitu lena? Bayangkan. Inilah rahmat yang telah diturunkan kepada umatnya yang ingin menyelamatkan fikiran mereka dari terbelenggu dengan proses pembodohan ini.


Penyembahan berhala yang dilakukan oleh masyarakat setempat menyebabkan mereka semua bangkit untuk menyatakan bantahan awam (public protestant) kepada masyarakat. Pemuda ini menunjukkan bahawa akal yang telah diberikan oleh Allah s.w.t haruslah digunakan sebaiknya. Tetapi apakan daya masyarakat setempat tidak boleh mengakui akan kebenaran yang dibawa oleh mereka. Maksiat yang berleluasa dilakukan menyebabkan mereka tidak tahan akan keadaan ini membawa mereka untuk bersembunyi di dalam gua.

Seorang penyair Indonesia yang bernama Renra menyebut bahawa rakyat Indonesia sudah menggadai hidupnya. Walaupun rakyatnya sudah bangkit dengan revolusioner tetapi rakyatnya tidak berkembang dari segi fikirannya. Fikiran yang dipabrikkan dan hidup yang diternakkan menyebabkan fikiran manusia itu tidak boleh berkembang dengan sendirinya. Apabila manusia telah diternak samalah seperti ayam dengan rebannya. Kerjanya hanya membekal telur untuk tuannya. Tidak ada rasa untuk menegakkan keadilan apabila kemungkaran telah berlaku di depan matanya. Masyarakat tidak ada rasa ingin berubah dari kemunduran kepada kemajuan, kebodohan kepada kepandaian.


Sifat ingin berubah ini mesti perlu ada pada setiap pemuda. Pemuda yang bukan sahaja mengikut membuta tuli tetapi mestilah mempunyai prinsip hidup yang hakiki. Walaupun ditiup dengan kuatnya tetapi tetap dengan pendiriannya. Perasaan inginkan lebih baik dari apa yang telah ada. Inginkan yang lebih baik tidak semestinya dari segi material bahkan baik dari segi hidup secara keseluruhannya. Maka hidup yang dibekalkan dengan cahaya iman dan redha Allah s.w.t inilah yang mesti menjadi matlamat umum seluruh umat Islam.


Oleh itu, jiwa pemuda yang bergelogak dengan jiwa yang ingin memberontak dan juga sentiasa panas dengan idea-idea ini perlulah diarahkan dengan tujuan yang baik. Tujuannya mestilah ke arah mencerahkan masyarakat umum kerana pemuda adalah harapan sesebuah bangsa. Maka misi pencerahan ini bukanlah untuk jangka masa yang pendek tetapi adalah untuk jangka masa yang panjang. Pemuda Al-Kahfi ini telah membuktikan bahawa dengan keyakinan dan keimanan kepada Allah s.w.t sahaja dapat merubah segalanya. Walaupun mereka tidak dapat melihat reformasi masyarakatnya tetapi mereka dapat melihat hasilnya. Inilah yang dikatakan kekuasaan Allah s.w.t ke atas sesiapa yang dikehendakinya.

Menyorot satu

1 comment:

Puan H. said...
This comment has been removed by the author.