Thursday, April 17, 2008

Jalinan Kasih 3:“Kasih terbina,ikatan terjalin”



Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah mengadakan program dakwah orang Asli yang dinamakan Jalinan Kasih bermula 9hb hingga 12hb April yang lalu. Program ini telah diadakan di Kampung Rantau, Cameron Highlands. Program yang diadakan buat kali ke 3 ini telah disertai seramai 40 orang Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Bertemakan “Kasih terbina,ikatan terjalin”, matlamat program kali ini adalah menjadikan program ini sebagai wadah bagi kelab PERKIM dalam memberikan pendidikan dan amalan Islam kepada saudara-saudara Islam terutama kepada orang asli. Di samping itu, matlamat program kali ini adalah untuk membina ‘musolla’ untuk orang asli di sana terutama yang beragama Islam. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menyelami lebih mendalam cara hidup masyarakat orang asli yang baik untuk dipelajari. Oleh itu, dengan tuntutan mahasiswa untuk turun bersama masyarakat, maka program ini telah diadakan bagi merealisasikan misi untuk menyumbang bakti kepada masyarakat terutama kepada saudara baru ini. Buat pengetahuan semua, hampir semua penduduk kampung di sini adalah beragama Islam.

Suasana dingin menyelubungi para peserta setibanya di Ringlet, Cameron Highland pada hari rabu jam 3 pagi. Memandangkan masa masih awal, para peserta telah berkumpul di Masjid An-Nur, Ringlet sebelum bergerak ke Kampung Rantau dengan menaiki lori yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada awal pagi nanti.

Selepas menikmati sarapan pagi dan mendengar penerangan tentang program yang disampaikan oleh Saudara Mohd Hafiz Mohd Yunus, Pengarah Program Jalinan Kasih 3, para peserta mula mengangkut barang ke dalam lori dan bersiap sedia untuk bertolak ke kampung. Setibanya para peserta di kampung rantau pada hari rabu jam 11 pagi, ramai penduduk kampung sudah menunggu para peserta di sini. Bagi memudahkan penurunan beg para peserta ini, para peserta beratur terus hingga ke kampung. Hal ini kerana jalan masuk ke kampung ini curam ke bawah dan tanahnya agak licin. Maka para peserta membuat cara ini agar ia lebih mudah dan lebih cepat.

Pada hari kedua program ini saudara Mohd Hafiz Mohd Yunus, Pengarah Program Jalinan Kasih 3 telah membahagikan peserta kepada dua kumpulan besar. Satu kumpulan adalah untuk menebang pokok yang akan dijadikan surau dan satu lagi kumpulan akan memasak dan berurusan dengan orang kampung. Hari kedua ini adalah hari yang sangat memenatkan para peserta. Hal ini kerana proses untuk menebang pokok adalah satu proses yang mengambil masa yang lama untuk dilakukan. Pemilihan pokok yang sesuai sangat diperlukan untuk membina surau ini. Kumpulan yang menebang pokok ini telah diketuai oleh Saudara Abg Mat ,salah seorang penduduk Kampung Rantau. Pada sebelah petangnya, program sukaneka diadakan untuk menghiburkan kanak-kanak yang rata-rata umurnya sekitar 6-10 tahun. Permainan seperti ”mencari gula dalam tepung”, ”meniup belon sampai pecah” memeriahkan acara ini dengan sorakan daripada penduduk kampung yang turut hadir menyaksikan acara sukaneka ini.

Pada sebelah malamnya, para peserta telah mengadakan program bacaan ‘iqra dengan penduduk kampung. Selepas solat maghrib bersama, para peserta terus mengadakan program ini dengan penduduk kampung yang rata-rata terdiri daripada kanak-kanak dan orang tua. Semangat ingin belajar yang ditunjukkan oleh mereka membuatkan para peserta bersemangat untuk mengajar mereka tentang makna Islam yang sebenar. Program yang sangat santai ini membuatkan mereka tidak kering untuk bertanya soalan kepada para peserta tentang Islam. Pada masa ini, baru para peserta dapat merasai keindahan Islam yang sebenar. Keindahan Islam yang tidak terbayang oleh akal fikiran kita.

Pada hari ketiga program ini, para peserta meneruskan mencari pokok yang sesuai untuk dibuat surau. Hal ini kerana semalam, masa yang tidak mengizinkan untuk para peserta meneruskan pencarian dek hujan yang lebat. Pokok yang mengambil masa paling lama untuk ditebang adalah pokok nibong. Pokok yang seakan pokok kelapa ini adalah untuk dibuat lantai surau ini. Ketahanan pokok ini boleh tahan sehingga 10 hingga 15 tahun,menurut Pak Mat. Dalam masa yang sama, sebahagian dari para peserta telah pergi ke sekolah untuk membantu cikgu di sana untuk menceriakan kawasan sekolah Menson. Pada sebelah petangnya, acara ziarah ke rumah-rumah penduduk kampong telah diadakan bagi mengeratkan silaturrahim antara para peserta program dengan penduduk kampung.

Pada hari terakhir program ini, para peserta telah mengadakan sedikit jamuan ringkas bersama-sama penduduk kampung. Sebahagian daripada para peserta pula membersihkan kawasan sekeliling kampung dan mengemaskan kayu-kayu yang telah para peserta kumpulkan. Kemudian para peserta mula berkemas untuk keluar dari kampung. Tok kadi dari Jabatan Agama Islam Cameron Highlands(JAICH) turut datang melawat para peserta. Pada pukul 12 tengah hari tepat bersamaan hari sabtu, kami selamat keluar dari kampung dengan perasaan yang sedih dan hiba. Semoga program yang akan datang akan dapat dilakukan dengan berjayanya.



No comments: