Monday, November 26, 2007

Dari Seremban ke Rembau


Pada 18hb hingga 25hb November yang lepas,penulis telah menyertai Program Tafaaquh Fi Al Din anjuran Yayasan Sofa. Program ini bertempat di Rembau,Negeri Sembilan. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang asas-asas dalam agama seperti bab aqidah,akhlak dan tauhid. Kebanyakan peserta yang menghadiri program ini berumur antara 10-15 tahun dan datang dari pelbagai tempat dari pelusuk Negeri Sembilan,Melaka dan Selangor. Sebanyak 130 orang perserta yang menghadiri program ini.

Program yang pertama kali penulis menyertai ini banyak memberi pengajaran dan muhasabah kepada diri bahawa diri ini banyak kekurangan dari segi ilmu agama. Buat pengetahuan semua, Yayasan Sofa ini adalah sebuah Yayasan yang giat menjalankan aktiviti kebajikan dan pendidikan khusus bagi masyarakat umum. Selain itu, Yayasan ini telah menubuhkan Madrasah untuk tempat pembelajaran dan hafazan. Apa yang menarik di sini pelajar yang baru berumur 11 tahun telah berjaya menghafaz sebanyak 3 juzuk al-quran.

Suasana tempat di sini banyak mengajar penulis tentang erti ketabahan dan pengorbanan. Tempat yang dahulunya adalah hanya Madrasah Pondok sekarang pesat membangun dengan pembangunan yang lebih moden untuk pembelajaran pelajar-pelajar di sini. Pengorbanan untuk menuntut ilmu banyak melahirkan ulama dan ilmuwan Islam yang hebat-hebat dari sini. Suasana kampung yang aman menyebabkan hati kita berasa tenang apabila berada di sini. Maka benarlah kata pepatah Bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian.

Peserta program yang menyertai ini adalah dari pelbagai latar belakang keluarga,kehidupan dan pendidikan. Oleh itu,memang banyak ragamnya dan memang sukar untuk dikawal pada mulanya. Tetapi pengalaman sebegini memang tidak dapat di mana-mana program lain. Mengapa saya sebut begini adalah kerana di sini penganjur banyak menekankan kepada stail ala-ala pondok. Dalam program ini dua buku digunakan iaitu Aqidah Awwam dan Asas agama menurut Mazhab Syafi’i. Selain itu, program ini di hiburkan dengan Madih atau puji-pujian terhadap Rasulullah. Madih ini melambangkan bahawa Islam itu sangat indah sehinggakan Ulama dari Mesir yang datang pada majlis mengingati Al Imam Abdullah ibn Alawi Al Haddad menangis disebabkan oleh keindahan syair yang memuji Rasulullah s.a.w. Kesenian Islam sebenarnya tidak ada tolok bandingnya dengan kesenian yang lain. Oleh hal yang demikian, seharusnya kita mengetahui akan pujian-pujian ini kerana amalan ini sudah lama tidak dihidupkan. Selain bacaan tarannum dan nasyid selawat,Madih juga ini boleh dijadikan sebagai hiburan di samping memuji Rasulullah s.a.w.

Akhir sekali, mari kita muhasabah diri masing-masing. Adakah sudah cukup ilmu di dada kita ni sehinggakan kita hendak mengajar orang lain? Banyak perkara yang perlu dipelajari sebenarnya. Ilmu Allah sangat luas sehinggakan tidak termampu oleh kita. Tuntutlah ilmu dari hidup sehingga ke liang lahad. Oleh itu, program seperti ini sebenarnya sangat baik untuk remaja masa sekarang. Hal ini kerana selain kita di pengaruhi oleh budaya yang melampau di luar sana, elok kita kembali kepada keadaan asal kita dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Nak atau tidak masalah sosial yang membelenggu terutama golongan remaja masa ini perlu perhatian semua lapisan masyarakat. Didikan yang paling utama adalah dari rumah dan kedua adalah sekolah dan seterusnya.

video

Tuesday, November 13, 2007

SPM menjelang tiba.........................

Peperiksaan yang akan bermula seminggu lagi banyak mengingatkan aku kepada masa depan. Ada kala bila dipikirkan seronok, dan ada kala pahit. Tetapi aku tetap juga tabah menghadapi walaupun pahit yang di rasai sebenarnya. Di kala kawan-kawan aku sedang menelaah pelajaran,aku masih di buai mimpi yang indah. Sedangkan mimpi itu belum tentu akan menjadi kenyataan. Masa aku sedang dibuai mimpi indah, kawan aku menggoyangkan katil aku.

Ijat! Subuh-subuh.., Abg Baihaqi dengan suara yang tinggi. Maklumlah aku ni memang susah nak bangun pagi. Hari minggu seperti ini memang lain dari yang lain tidurnya.

Selepas aku sembahyang subuh, aku terus pergi ke bilik belajar di asrama aku. Tanpa melengahkan masa aku terus membuat latihan prinsip perakaunan. Subjek yang paling aku minati. Selang beberapa minit,kawan kelas aku datang belajar bersama. Idahan,fareez,faiza,hazizul dengan Faez merupakan kawan baik aku sejak tingkatan 4 lagi. Mereka semua aktif dalam kokurikulum dan akademik.

Kami semua belajar bersama dengan rajinnya di samping membuat lawak sebagai pengelak daripada mengantuk kembali. Kami semua memang suka bergurau. Maklumlah dua tahun kelas bersama. Manis pahit ditempuhi bersama. Lagi pun kami memang enam orang lelaki sahaja yang mengambil akaun.

Di sekolah aku ni terdapat satu kelas sastera dan empat kelas sains tulen. Aku masuk sekolah ni dua tahun yang lepas,berjumpa lah aku dengan mereka ini. Mula-mula rasa segan sebenarnya. Maklumlah aku ni dari sekolah biasa ke sek agama yang pelajar-pelajarnya alim dan solehah belaka. Tetapi lama kelamaan aku ’masuk’ juga dengan mereka. Pemikiran tidak jauh bezanya dengan aku.

Tetapi apabila dikenangkan,sekejap sangat masa berlalu meninggalkan kita. Benarlah kata Imam Ghazali bahawa
Masa adalah paling jauh dengan kita. Ia akan pergi jauh tanpa menghiraukan kita di belakang ini.
Pejam celik dah nak SPM. Pejam celik umur kita pun sudah makin bertambah. Tiba-tiba. sedang........Bersambung.

Tuesday, November 6, 2007

Mahasiswa perlu kreatif


Merujuk kepada laporan oleh Berita Harian pada 7/11/2007 yang bertajuk pengangguran di kalangan belia lebih 74,000 orang. Jikalau dilihat mengenai isu ini sudah lama kita perbincangkan oleh kerajaan dan agensi bukan kerajaan(NGO). Banyak langkah-langkah telah diambil untuk membendung masalah ini daripada terus berlaku. Antaranya dengan mengadakan seminar kerjaya,tour kerjaya ke setiap negeri dan sebagainya untuk memberi pendedahan dan peluang pekerjaan kepada belia. Tetapi kesannya masih sama. Mengapa jadi begini?

Di universiti adalah tempat kita untuk melatih diri berdikari dan membina teknik-teknik yang sepatutnya perlu ada untuk persiapan ke arah alam pekerjaan. Hal ini dapat memupuk juga semangat berlumba-lumba dalam pelajaran dan juga semangat untuk membina identiti sendiri. Bak kata presiden universiti oxford, ”Universiti adalah tempat kita mencurahkan idea dan bukan universiti memberikan idea.”. Maka kata-kata ini sepatutnya menjadi inspirasi kepada kita untuk berdaya saing dalam semua segi baik akademik dan kepimpinan.

Selain itu juga mahasiswa seharusnya bergiat dengan persatuan yang boleh melatih kepimpinan dan teknik-teknik tambahan(soft skill) yang boleh membuat kita lebih kreatif dan membuka minda kita. Di Malaysia terdapat dua persatuan yang berdaftar yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia(MBM) iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM). Dua persatuan ini banyak membuat latihan kepada melahirkan mahasiswa yang berjiwa besar dan bukan mahasiswa lesu yang selalu dikatakan. Di sini juga kita boleh melatih diri dari segi pengucapan awam(communication skills),kepimpinan(leadership) dan juga dari segi pembahagian diri(self management).

Melihat kepada situasi sekarang, kita perlu bijak mengambil peluang yang sudah ada di depan mata kita. Selain daripada kecermelangan akademik, kecermelangan dari segi teknik tambahan tambahan(soft skill) ini banyak membantu kita semasa hendak mendapatkan kerja. Penguasaan banyak bahasa juga sedikit sebanyak membantu dalam proses untuk memasuki alam pekerjaan. Hal ini kerana banyak pekerjaan sekarang memerlukan sekurang-kurangnya dua bahasa yang seharusnya dikuasai oleh kita iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Di samping itu, dengan menyertai persatuan yang saya katakan di atas itu dapat memberi kelebihan kepada mahasiswa untuk mendapatkan pekerjaan yang diimpikan. Bak kata pepatah Melayu, tepuk dada tanyalah selera.

Mahasiswa atau pelajar adalah aset paling penting kepada negara. Melalui mereka, masa depan negara akan ditentukan sama ada baik ataupun sebaliknya. Oleh itu penggangguran tidak akan berlaku jika semua mahasiswa kenal akan masalah yang dihadapi dan membuat pembaikan yang sepatutnya sesuai dengan situasi dunia yang semakin rumit dan mencabar. Menurut Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud bagi menjamin kemakmuran dan kemajuan negara,kita perlu banyak melabur dalam pendidikan insan. Pembangunan yang negara yang terbaik bagi sesuatu bangsa bukan hanya melahirkan graduan universiti,tetapi kualiti insan yang dilahirkan oleh universiti.

Kualiti inilah yang akan menyebabkan seseorang itu akan menjadi manusia yang berguna kepada semua masyarakat. Dalam masa yang sama penggangguran juga akan berkurangan. Oleh itu, mahasiswa perlu pandai memikirkan alternatif dalam pekerjaan dan bukannya memilih pekerjaan. Antara alternatif yang boleh digunakan adalah dengan membuat perniagaan sendiri. Seharusnya semua mahasiswa perlu mempunyai ilmu keusahawanan agar ia menjadi salah satu persediaan awal jika tidak mendapat pekerjaan yang kita impikan Jikalau kita menjadi antara yang cemerlang di kalangan terbilang,nescaya masalah pengangguran tidak akan berlaku di kalangan lepasan universiti.

Amalan ziarah menziarahi


Assalamualaikum dan selamat hari Raya kepada semua yang tengah membaca artikel ini. Di sini saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilifitri kepada semua. Hari ini 25 Syawal belum terlambat untuk saya ucapkan kepada semua. Bermulanya takbir raya pada pagi raya sehinggalah sekarang,kita masih lagi beraya sakan sehingga lupa segala masalah yang dihadapi. Itulah nikmat dan rezeki yang diberi oleh Allah kepada kita atas kemenangan menghadapi segala hasutan nafsu dan menahan daripada melakukan amalan yang sia-sia.

Dengan kedatangan Syawal pada tahun ini banyak amalan turun temurun yang dibuat oleh umat Islam terutama kita di Malaysia ini. Salah satu perkara yang dimaksudkan adalah amalan ziarah menziarahi. Ziarah menziarahi rumah sanak saudara ini adalah amalan sejak zaman Rasulullah lagi di mana masa ini kita akan pergi ke rumah sahabat atau saudara untuk mengeratkan hubungan sesama Muslim. Tautan hati yang dibina sesama saudara tidak akan berpanjangan jika kita tidak dikuatkan dengan amalan yang menyentuh hati seperti ini. Hal ini kerana di dalam hadis Rasulullah s.a.w: Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam:

  • Bila bertemu ucapkan salam
  • Bila diundang maka penuhilah.
  • Bila meminta nasihat,maka nasihatilah,
  • Bila bersin lalu memuji Allah, maka sambutlah dengan doa
  • Bila sakit maka jenguklah
  • Bila meninggal maka ta’ziyahlah.

Jika kita semua hadamkan secara bersungguh-sungguh maka akan terasalah satu nikmat ukhuwah Islamiah yang manis nikmatnya. ’Dengan ikatan persaudaraan Islam inilah mampu memantapkan pemikiran,menggerakkan perasaan dan membangunkan kepercayaan serta ikatan di antara para anggota yang mendukung agama tercinta ini’. Oleh itu,amalan ini sangat baik untuk diaplikasikan sesama kita bukan hanya di bulan Syawal malah sepanjang masa hidup kita.