Wednesday, April 1, 2009

Jenayah Pelajar: Peranan Mahasiswa


Mahasiswa

Merujuk artikel berita harian pada tarikh 1 April 2009, artikel yang bertajuk Jenayah membabitkan pelajar meningkat saban tahun menarik minat saya untuk kita hayati bersama. Jenayah yang melibatkan pelajar yang telah diwar-warkan di dalam media-media membuatkan peranan yang besar perlu dimainkan oleh semua orang terutamanya mahasiswa yang paling dekat dengan pelajar.

Mahasiswa merupakan sumber kekuatan utama Negara. Hal ini dapat dilihat dengan peranan mereka dalam membangunkan umat terutama di dalam bidang pendidikan. Kejayaan sesebuah negara akan datang terletak kepada golongan mahasiswa ataupun mudah dikenali sebagai belia di Malaysia. Jika mahasiswa tidak diberikan keutamaan yang penting oleh kerajaan bermakna generasi akan datang akan merasai kesilapan kita.

Belia di Malaysia berumur antara 15 hingga ke 40 tahun. Di antara umur ini terdapat banyak generasi muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan identiti. Ada yang bersekolah menengah, mahasiswa dan ada juga yang terlibat dalam pembangunan belia.

Di sini akar umbinya adalah pelajar ataupun belia di dalam alam persekolahan. Pelajar yang berumur di antara 13 - 17 tahun merupakan pelajar yang berada di alam sekolah menengah. Di alam ini merupakan persediaan yang paling penting untuk memasuki alam Mahasiswa. Tetapi sekarang kita melihat pelajar kita sering di momokkan dengan jenayah pelajar yang sebenarnya merisaukan semua orang terutama pemimpin Negara kita.

Statistik menunjukkan jenayah yang melibatkan pelajar pada tahun 2007 adalah sebanyak 1836 kes. Pelajar yang terlibat adalah sebanyak 3383 pelajar. Pada tahun lepas kes jenayah meningkat sebanyak 382 dan pelajar yang terlibat adalah sebanyak 3725. Peningkatan ini menunjukkan pelajar kita semakin hilang arah tuju mereka yang sebenar. Hal ini memerlukan peranan mahasiswa yang agresif bagi membantu mereka.

Mahasiswa di Universiti sememangnya kaya dengan ilmu dan pengalaman yang memerlukan kita untuk turun membantu pelajar-pelajar di sekolah. Contoh model di UIA sangat bagus untuk kita aplikasikan di semua Universiti. Kewujudan Kelab Sukarelawan di UIA merupakan satu inisiatif yang sangat baik untuk membantu pelajar di sekolah. Di dalam kelab sukarelawan ini terdapat kelab yang hanya turun ke sekolah dan ada juga yang hanya turun ke Kampung orang Asli. Hal ini menjadikan slogan Mahasiswa Jurubicara Umat relevan sepanjang masa.

Program sekolah perlu dibanyakkan oleh NGO Belia agar kesedaran tentang peranan mereka disemat di dalam setiap daripada mereka. Mereka juga perlu diseimbangkan antara pendidikan jasmani dan rohani. Perkara ini semua akan sedikit sebanyak membantu pelajar merubah identiti mereka kepada yang lebih baik seterusnya menyumbangkan kepada pembangunan agama,bangsa dan Negara itu sendiri.

Akhir sekali, kejayaan sesebuah negara tidak bergantung hanya kepada politik semata-mata tetapi ia amat bergantung kepada Pendidikan diri yang paling utama. Pembinaan diri akan menjadikan pendidikan keluarga dan negara turut berlaku. Bersama kita menuju ke arah generasi yang cemerlang,gemilang dan terbilang.

1 comment:

a.K.u said...

nampak bersemangat sungguh mahasiswa2 diatas tu ya....(n_n)

Chayok2!