Wednesday, February 18, 2009

Pengerusi tetap: Melatih diri untuk berani..


Telefon bimbit aku bergegar, "Assalamualaikum bang, saya nak mintak abg jadi pengerusi tetap. Boleh? Saya masa tu agak terkejut sebenarnya. Maklumlah saya ini adalah seorang yang gugup apabila berada di hadapan orang. Benda-benda yang ingin bercakap di depan ini memang saya cuak dan gugup sebenarnya. Tetapi saya fikir bila lagi kalau bukan sekarang saya ingin merubah diri ini.

Pada 15hb hari itu, saya menjadi Pengerusi tetap untuk Muktamar PKPIM UIA Nilai yang kedua. Kali pertama menjadi pengerusi tetap membuatkan saya bersiap sedia agar majlis tidak menjadi kelam-kabut nanti. Persediaan yang rapi dari segi ayat-ayat mantap telah disediakan. Buku-buku saya sebelum ini habis saya selongkar untuk mendapat ayat-ayat dan kata-kata ulamak dan tokoh perjuangan yang boleh dijadikan semangat untuk adik-adik PKPIM yang bakal dinaikkan ini.

Sebelum itu, pada 14hb diadakan Muktamar PKPIM UIA PJ di Kajang. Masa inilah saya melihat sahabat saya menjadi Pengerusi Tetap. Kadang-kadang teringin juga menjadi sepertinya. Menjadi pengerusi tetap untuk program terbesar sesuatu gerakan Islam. Menjadi seperti dia memang perlukan keberanian. Apa tidaknya? Orang yang menjadi perwakilan ini bukan calang-calang orang. Mereka semua terdiri daripada pimpinan-pimpinan Kampus dan Negeri yang memang sudah melalui semua proses tarbiyyah menjadi seorang pemimpin. Perkara inilah membuatkan saya perlu bersiap sedia sebelum menjadi pengerusi kepada sesuatu program.

Saya jikalau melihatkan sejarah dari sekolah dahulu hingga ke Universiti memang jarang bercakap depan orang ramai. Bercakap depan kelas pun jarang-jarang apatah lagi depan ratusan pelajar semasa saya bersekolah dahulu. Apabila masuk ke Universiti, baru saya mendapat keberanian bercakap depan orang ramai.

Bermula bercakap di dalam kumpulan kecil-kecilan seperti di dalam usrah sedikit-sedikit mengajar saya erti keberanian. Pelajaran saya di dalam usrah semasa di Matrikulasi memang mengajar saya banyak tentang diri dan masyarakat. Peri pentingnya pengucapan sebagai salah satu cara berdakwah membuatkan saya ingin belajar untuk bercakap di depan walaupun pelbagai halangan ditempuhi untuk sampai ke situ.

Dengan komunikasi yang baik di depan orang ramai membuatkan kita lebih yakin dengan diri. Keyakinan terhadap diri ini bukan boleh dibuat-buat tanpa latihan daripada kita sendiri. Sebab itu, ada yang berkata selepas bercakap di depan, " Huh, alhamdulillah aku dah lepas". Ia menunjukkan bahawa apabila kita selesai bercakap di depan, perasaan lega itu akan datang dengan sendiri. Benda ini selalunya kepada orang yang pertama kali bercakap di depan orang ramai. Maka, keyakinan diri dapat di situ. Banyak kelebihan yang boleh kita dapat sebenarnya daripada pengucapan awam ini. Selain keyakinan diri, kita juga akan melatih diri mencari kelebihan diri yang sebenar.

Ramai di kalangan kita kadang-kadang kala mempunyai kelebihan yang kita sendiri tidak sedar. Ada manusia yang pandai bercakap dan menulis dengan baiknya sekali. Ada juga manusia yang hanya pandai menulis tetapi tidak pandai bercakap dan begitu sebaliknya. Oleh itu, pengucapan ini merupakan salah satu kelebihan yang ada pada manusia. Banyak lagi perkara yang boleh melatih diri kita menjadi seseorang di satu masa kelak nanti. Pokoknya diri kita. Adakah ingin menjadi seorang yang berguna pada masyarakat ataupun sebaliknya. Kuncinya adalah keberanian diri untuk mencuba sesuatu yang baru walaupun susah di pandangan pertama.

Teruskan berusaha dan teruskan berjuang!

Terima Kasih....



1 comment:

Dendei said...

Chayok2!

Akak sentiasa sokong ijat!

hehe....