Friday, January 23, 2009

Pandangan terhadap kekejaman Al-Quds

Dunia umumnya mengutuk kekejaman Zionis dalam usaha menyahbangsakan rakyat Palestin yang secara dasarnya kita sedia fahami sebagai suatu proses terangan untuk mengasingkan Islam dari pegangan umat Muhammad (SWT). Usaha yang sememangnya terancang, dirancang dan yang jelas mereka merancang. Bukan setahun dua, malah ratusan tahun lamanya. Mereka tidak pernah lupa malah jauh sekali untuk terlupa. Ada bernasnya mereka, belajar, mengajar dan diajar dalam suasana rentas faham agama dan kepercayaan, yang wajib bagi mereka hanyalah "ILMU" yang siap menjadikan mereka raja penentu urus tadbir dunia.



Keriuhan anak muda berdemonstrasi, laungan dan pekikan “jahanam Yahudi” terus berteriakan di setiap ruang kampus. Kesediaan pihak Kementeriaan Pengajiaan Tinggi (KPT) menerusi akuan Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin membenarkan perhimpunan aman diadakan di seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi membantah penindasan Israel terhadap Palestin ibarat pucuk dicita ulam mendatang.



Peluang ini tidak sedikit pun disiasiakan oleh pimpinan generasi muda. Sebagai mencipta sejarahnya yang tersendiri, tanggal 9 Januari 2008, bertempat di lapangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan, ribuan aktivis muda berkumpul, para professor, sarjana, malah pihak pentadbir tertinggi yang selama ini sering dikambinghitamkan dalam pelbagai soal kemahasiswaan turut bersama menghangatkan majlis. Hujan di awal perhimpunan tidak sedikit pun menggugat keyakinan dan semangat hadirin untuk terus berkumpul, sebagai menzahirkan roh keprihatin terhadap saudara mereka di Gaza yang terus-terusan dihambat bedilan bom dan roket serta peluru yang tidak bermata.



Namun disebalik kerancakkan kita berdemonstrasi, timbul persoalan, sejauhmanakah perhimpunan sedemikian rupa mampu mengucapkan selamat tinggal kepada penindasan dan kekejaman tersebut? Apakah resolusi memulaukan barangan buatan Amerika dan sekutunya dapat memastikan kedaulatan Palestin dipelihara?



Kira-kira dua minggu setelah dilancarkan, Operation Cast Lead yang terlah mengorbankn hampir 700 nyawa yang rata-rata golongan muda dan penduduk awam perlu sama-sama kita ratapi. Namun, kita seharusnya lebih kecewa dan berdukacita apabila kita gagal membaca sejarah, berlajar, berfikir dan merangka sesuatu daripadanya. Kita tidak rela terjerumus dalam lubang yang sama namun hakikatnya arah itu lah yang kita tuju.



Pada tika usianya menjangkau 60 tahun, Israel telah berjaya mendominasi dan mempengaruhi iklim dan suasana dunia. Dengan hanya 7.282 juta penduduk, pada tahun 2007 Israel telah mampu merekodkan Growth Domestic Product (GDP) berjumlah USD 188.936 bilion iaitu kira-kira USD 27,146 per kapita. Israel turut menghuni tempat teratas dalam senarai World Bank's Ease of Doing Business Index dan World Economic Forum's Global Competitiveness Report berbanding negara-negara serantaunya yang lain. Dari sektor pertahanan dan persenjataan, Israel memiliki kecanggihan teknologi yang keempat di dunia yang jauh meninggalkan negara-negara Islam yang lain.



Justeru, apakah tidak sedikit pun timbul rasa malu dan segan kita, umat yang diberikan amanah mentadbir dan mengurus alam dengan sebaiknya, terpandu hidupnya dengan bekal Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad (SAW) yang bukan sekadar kata malah terbukti pada tauladan kehidupannya, sedang kita masih mundur dibelakang?



Dalam kita menaggapi permasalahan ini, kita seharusnya lebih tenang dan waras. Api kemarahan semata-mata tidak akan sedikit pun dapat membantu malah akan lebih menyulitkan lagi keadaan. Anak muda yang digelar the angry young man harus matang dan berhikmah agar tidak serupa tikus membaiki labu. Tidak salah untuk marah, tetapi biarlah kemarahan tersebut lahir dan tetap terbungkus dalam kebernasan dan kewarasan pemikiran serta keluhuran keimanan terhadap Ilahi. Janganlah kiranya kita buka ruang-ruang bisikan kesyaitanan menerusi pintu kemarahan kita. Telah kita diajar cara bijak mengurus kemarahan yang akhirnya menuntut kita kembali bertaubat dan berserah diri pada-Nya.



Generasi al-Quds yang ulungnya dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayubi (1137-1193) sehingga mampu menawan kota Baitulmuqaddis pada tahun 1187 tidak lahir hanya setahun dua. Malah persiapan terhadap itu tidak lah salah sekiranya dikatakan telah bermula sejak zaman Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali (1058-1111) lagi. Penumpuan al-Ghazali terhadap persiapan ilmu dan pemurnian aspek aqidah telah menyediakan generasi gergasi seperti Salahuddin Al-Ayubi.



Oleh itu, kita harus pertama, memperkukuhkan aspek aqidah Islamiyah yang luhur agar kesatuan yang diizini nilai benar spiritual dapat dibentuk. Menerusi kefahaman yang tepat akan sedia membuka kesiapsediaan hati untuk umat bersatu. Kedua, menguasai konsep ilmu yang sebenar dan menyediakan kepakaran terhadapnya. Penguasaan ilmu yang tidak dibarahi unsur sekular insyaallah akan membawa muslim ke puncak jayanya. Ketiga, akhlak dan moral muslim terpuji harus ditonjolkan biarpun dilaing batu, dapatlah kiranya kita membalas dengan manisan. Namun penting juga unutk kita melaksanakannya secara berhikmah dan berwawasan.



Akhirnya, kita hanya mampu merancang, tetapi Tuhan penentu segalanya. Teruslah bermotivasi dengan al-quran dan sunnah agar diri terpandu pada jalannya yang sebenar.



ABU QASSIM NOR AZMI
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia



No comments: