Friday, March 28, 2008

AUKU 1971 Wajar Dipinda Segera



Keputusan bancian undi SMS di dalam Buletin Utama TV3 bertarikh 25 Mac2008 amat menarik perhatian saya. Malah, saya yakin bukan sahaja saya,malah ramai lagi yang tertarik dengan keputusan tersebut. Keputusantersebut menyatakan bahawa 91 peratus daripada pengundi menyokong agarAkta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) dimansuhkan.Bahkan saya juga merupakan di antara yang mengundi pemansuhan aktatersebut.



Soalan bancian undi SMS yang ditimbulkan itu telah menarik perhatiannegara khususnya di kalangan warga Universiti dan Kolej Universititerhadap AUKU 1971. Persoalan yang sering ditanyakan, adakah wajarAUKU 1971 diteruskan atau dimansuhkan sahaja?Saya berpendapat bahawa AUKU 1971 tidak wajar dimansuhkan namun tidakpula bersetuju supaya akta tersebut diteruskan begitu sahaja. Sayaberpendirian secara tetap sejak dari awal mengenali AUKU 1971 lagibahawa akta tersebut perlu dipinda dengan memberi perhatian khususterhadap peruntukan-peruntuk an yang secara jelas menyanggahi hak asasimanusia seperti yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan.Namun, oleh kerana soalan bancian undi SMS itu tidak pula menyediakanpilihan ketiga, saya kira hanya dengan mengundi pemansuhan AUKU 1971akan mampu menyampaikan maksud betapa perlunya akta tersebut dinilaisemula dengan kadar segera oleh Kerajaan Malaysia.

Kali terakhir AUKU 1971 dipinda adalah pada tahun 1983. Ini bererti sudah 25 tahun AUKU 1971 diperkuatkuasakan dengan pemindaan kaliterakhir tanpa sebarang penilaian semula. Selama 25 tahun itu jugalah,betapa kritikan dan saranan yang diutarakan oleh warga Universiti dan Kolej Universiti khususnya di kalangan aktivis-aktivis Mahasiswa samada secara berkumpulan mahupun berseorangan telah diketepikan malah tidak diambil endah sama sekali. Pandangan-pandangan oleh ahli akademik kentemporer bukan sahaja daripada aspek perundangan malah didalam pelbagai aspek lain juga seolah-olah tidak diberi penghargaan.Di dalam membicarakan persoalan samada AUKU 1971 wajar diteruskan ataudimansuhkan sahaja?


Terdapat dua aliran yang utama di kalangan warganegara gading yang mahukan perubahan terhadap akta tersebut dengan mengenepikan aliran minoriti yang menyokong agar akta tersebut diteruskan begitu sahaja.Pertamanya adalah aliran radikal iaitu mereka yang lantang menggesa agar AUKU 1971 dimansuhkan terus. Mereka berpendirian bahawa akta tersebut tidak membawa manfaat terhadap perkembangan institusi pengajian tinggi Malaysia dan pembangunan nilai warganya khususnya golongan mahasiswa. Mereka bersikap anti terhadap AUKU 1971 yang mereka anggap sudah puluhan tahun memenjarakan idealisme dan aktivisme mahasiswa di Malaysia. Aliran ini sering dikaitkan dengan gerakan-gerakan organisasi mahasiswa berhaluan kiri.


Kedua adalah aliran moderat iaitu mereka yang berpendirian bahawa AUKU1971 wajar diteruskan namun dengan pindaan iaitu dengan memansuhkan peruntukan-peruntukan yang secara jelas menyanggahi hak asasi manusia yang sudah terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Aliran ini bersetuju secara dasar dengan hujahan oleh aliran pertama berhubung dengan kesan-kesan AUKU 1971 terhadap pembangunan nilai kemahasiswaan dan perkembangan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Aliran ini berpendapat puncaya tidak boleh dipersalahkan ke atas AUKU 1971 secara keseluruhan namun ianya adalah disebabkan oleh beberapa peruntukan yang bercanggahan dengan semangat demokrasi melalui jaminan hak asasi manusia di dalam Perlembagaan Persekutuan. Aliran ini bersikap kritikal terhadap AUKU 1971 namun tidak pula menafikan kepentingan peranan peruntukan-peruntukan lain di dalam akta tersebut yangbermanfaat kepada negara. Aliran ini diterajui oleh PersatuanKebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sendiri yang komited didalam pendirian mereka di dalam isu ini.


Sebagai contoh peruntukan AUKU 1971 yang dilihat sebagai menyanggahi hak asasi manusia yang telah terjamin oleh Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat di dalam Seksyen 15 yang melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa universiti daripada bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan. Peruntukan tersebut juga melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa universiti daripada menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.


Sedangkan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran. Ia merupakan salah satu hak asasi manusia yang dijamin oleh PerlembagaanPersekutuan. Tidakkah peruntukan AUKU 1971 seperti yang dijelaskan diatas nyata bercanggahan dengan hak asasi manusia yang terjamin didalam perlembagaan persekutuan tersebut?


Namun, tidak pula semua peruntukan AUKU 1971 wajar dimansuhkan. Sebagai contoh di dalam Seksyen 5 yang memperuntukkan larangan menubuhkan universiti kecuali dengan mengikut peruntukan akta ini. Ia dilihat sebagai peruntukan penting yang mewajibkan penubuhan universiti untuk mengikuti prosedur tertentu seperti yang ditetapkan di dalam akta tersebut. Ini bertujuan untuk mengelakkan perlumbaan untuk menubuhkan universiti sesuka hati yang kelak hanya akan menjejaskan perkembangan institusi pengajian tinggi di Malaysia.


Ketika Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) mencadangkan supaya AUKU1971 dipinda pada awal tahun lepas, cadangan tersebut mendapat reaksi pantas yang positif daripada generasi belia negara ini seperti yang dapat dilihat di ruangan rencana dan surat pembaca di dada-dada akhbarperdana Malaysia. Tidak kurang juga di kalangan ahli politik yangterlibat dengan pertubuhan belia turut menyokong cadangan tersebut. Jelas memperlihatkan kewajaran AUKU 1971 dipinda dengan kadar segera.


Adalah amat menyedihkan sekiranya suara majoriti rakyat ini dipandang enteng dan dibiarkan berlalu tanpa sebarang reaksi positif oleh kerajaan Malaysia. Justeru, kerajaan Malaysia perlu segera mendengar luahan hati majoriti rakyat yang mahukan perubahan di dalam usaha membangunkan nilai mahasiswa yang tentunya bersangkutan dengan pembinaan modal insan dikalangan belia hari ini. Di dalam masa yang sama rakyat juga mahu melihat peningkatan kualiti institusi pengajian tinggi negara.


Oleh yang demikian, tindakan awal yang tentunya akan memberikan impak positif yang besar adalah dengan menilai semula AUKU 1971 dengan kadar segera. Terpulang kepada kebijaksanaan ahli-ahli legislatif Parlimen untuk memutuskan hala tuju AUKU 1971. Samada memansuhkan peruntukan-peruntukan di dalam akta tersebut yang jelas bercanggah dengan hak asasi manusia yang terjamin di dalam PerlembagaanPersekutuan atau mansuhkan sahaja akta tersebut secara keseluruhan.

No comments: