Thursday, December 13, 2007

Jikalau bukan kita siapa lagi???


Kembali bertemu ke lapangan penulisan seterusnya. Walaupun blog saya ini banyak mencampur adukkan bahagiannya tetapi ianya hanya sebagai peringatan dan buah idea saya yang ingin dikongsi bersama.

Pada 6hb Disember yang lepas, saya berkesempatan ke Pusat Asasi UIA untuk mengikuti ceramah yang bertajuk The First Step.. If not us who else…. Ceramah ini disampaikan oleh Ustaz Zahrizal iaitu penulis kolumnis majalah I dan anis. Ceramah ini bersempena dengan Raudhah Festival (RAFEST) yang dianjurkan oleh badan pelajar di sini.
Saya membuat tanggapan apabila sampai di sini mesti ramai yang datang mendengar. Tetapi perkara biasa berlaku. Sebaik sahaja tiba di Pusat Asasi ini, saya bertanya kepada seorang pelajar di sini, dengan bersahaja. Manalah tahu mereka mengikuti perkembangan ini.
“Dik, malam ini ada ceramah apa ye?”

“Entah la bang,” dia menjawab.

Inilah jawapan yang disampaikan oleh pelajar tersebut Saya sedih kerana ceramah yang disampaikan oleh penulis blog saifulislam ini memang sangat menarik. Tetapi pelajar di sini tidak mengambil endah program-program kelimuan seperti ini.
Program-program keilmuan seperti ini banyak mengajar dan mendidik manusia ke arah mentauhidkan Allah. Selain mendengar ceramah yang disampaikan, program seperti ini juga dapat menambahkan ilmu dalam diri yang sememangnya sedikit berbanding dengan ilmu Allah yang tidak terkira banyaknya. Tetapi ramai manusia hari ini tidak mengetahui akan ganjaran mengikuti proram seperti ini. Selain kejatuhan moral dan akhlak manusia yang semakin menjadi-jadi di Malaysia terutamanya, kita masih bertuah kerana masih lagi diberikan nyawa untuk hidup di muka bumi Allah ini. Tetapi adakah kita semua sedar akan masalah yang dihadapi ini?
Berbalik kepada ceramah ustaz hasrizal ini. Ceramah yang sangat elok untuk di dengar oleh kita semua. Gaya dan cara penyampaian yang disampaikan nya membuatkan semua tertawa dengan gaya yang selamba itu. Tajuknya yang boleh dikatakan umum bagi kali pertama yang datang mendengar, pasti tertanya-tanya apa isi ceramahnya.
Di sini saya ingin berkongsi sedikit apa yang saya dapat daripada ceramah tersebut. Kebanyakan ceramah yang disampaikan banyak berkisar tentang kecemerlangan manusia itu sendiri. Dengan pengalaman yang banyak oleh ustaz sendiri,beliau banyak menyelitkan dengan kata-kata hikmah yang sesuai dengan jiwa remaja sendiri.
4 isi utama yang disebut oleh Ustaz Hasrizal yang perlu djadikan asas kepada kecermelangan adalah ilmu,kefahaman,sikap dan maklumat. Antara yang disebut adalah sikap adalah perkara yang paling utama dalam menentukan kejayaan seseorang. Kita ambil contoh kawan kita sendiri. Adakah kita berkawan dengan dia kerana ilmunya,ataupun kerana maklumat tentang isu semasa begitu banyak ataupun kerana kefahamannya yang tinggi tentang ilmu tersebut. Kebanyakan orang akan berkata sikap yang membuat seseorang ingin berkawan dengan kawan ini Hal ini bermaksud, sikap yang penyayang,menghargai seseorang,mengambil berat tentang seseorang itu menyebabkan mereka berasa dirinya dihargai dan senang untuk meluahkan masalah apabila diperlukan. Malah seorang pendakwah yang ingin menyentuh hati mad’unya adalah dengan personalitnya yang baik sesuai dengan tuntutan agama dan sunnah Rasulullah s.a.w. Kajian yang dibuat oleh Harvard business school menunjukkan bahawa Ilmu,kemahiran dan maklumat hanya 7% sahaja untuk mencapai kecemerlangan. Manakala sikap menunjukkan 93% untuk mencapai kecemerlangan. Kajian ini dibuat ke atas pelajar Harvard sendiri.
Selain itu, Ustaz juga ada menyentuh tentang memberi dan menerima. Apabila kita menerima hadiah,apa perasaan kita? Adakah seronok? Sudah tentu kan. Tetapi jika kita lihat dalam konteks ayah dan anak, siapakah yang akan rasa lebih gembira apabila menerima hadiah? Tentunya si ayah kan. Mengapa? Hal ini kerana ayah mana yang tidak gembira melihat anaknya juga gembira. Malah Ibu bapalah orang yang paling gembira apabila melihat anaknya gembira dan berjaya di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu, dalam hal ini kita mesti selalu menjaga hati ayah dan ibu kita. Berilah sebanyak-banyaknya penghargaan kepada mereka. Tunjukkanlah dengan kejayaan di dalam pelajaran dan menjadi anak yang mendengar kata. Selain itu, kita mestilah memberi dengan hati yang ikhlas. Hati yang ikhlas sahaja amalannya akan diterima oleh Allah. Jadilah orang yang memberi daripada orang yang menerima. Hal ini kerana kita tidak tahu nasib kita yang akan datang samada baik atau sebaliknya.
Akhirnya yang disentuh oleh beliau adalah muhasabah diri kita yang penuh dengan dosa. Apabila kita membawa kereta,tiba-tiba kita melihat kenderaan yang bertentangan memberi tanda dengan “membuka lampu tinggi”? Apakah maksudnya itu? Maknanya mungkin polis ada di hadapan atau sekatan jalan raya. Selepas itu, cepat-cepat kita betulkan tali pinggang keledar,memperlahankan kereta dan sebagainya. Kita hanya diberi amaran sahaja walaupun kita tidak berjumpa dengan polis lagi. Itu baru di dunia. Cuba kita bayangkan di akhirat kelak. Adakah kita sudah bersiap sedia untuk menuju ke akhirat? Amaran dan peringatan sudah banyak kali diberi tetapi kita masih tidak bersiap sedia menghadapinya. Sama-samalah kita muhasabah diri kita yang lemah ini. Semoga peringatan dan ilmu yang diberi ini diambil iktibar dan sampaikanlah walaupun satu ayat kepada yang lain.

1 comment:

farhanaamani said...

kdg2 kan rase mcm izzat nie budak al -azhar plak..huhu...saye xbace dgn pnh lg blog nie..nnt saye bce..kne bce btul2...bru bez...