Wednesday, October 10, 2007

Minda yang Merdeka


Minda adalah anugerah tuhan yang tidak ternilai. Dengan minda kita dapat mengenal alam. Minda juga dicipta untuk manusia memakmurkan dan mentadbir alam ini. Dengan kekuatan minda itulah manusia mampu membuat berbuat berbagai ciptaan untuk memudahkan kehidupan. Banyak keajaiban ciptaan di dunia ini yang menunjukkan minda kita sangat bepengaruh. Kita lihat sahaja kegagahan pyramid adalah hasil dari eksplorasi minda yang kemudian diterjemahkan dalam bentuk yang nyata. Keindahan Taj Mahal pula adalah hasil daripada kreativiti minda sementara kecanggihan komunikasi ala 21 ini adalah dari cetusan minda.

Minda kita adalah satu benda yang paling penting di dalam hidup. Tetapi apakah kita menggunakan sebaik mungkin? Persoalan ini sentiasa berlegar di sekeliling kita. Dengan minda ini juga kita berbeza dengan makhluk yang lain.

Selain itu juga di dalam kajian saintifik, sebenarnya tubuh badan dan minda kita sentiasa mengeluarkan getaran tenaga dalam bentuk gelombang. Jenis getaran tenaga yang dikeluarkan bergantung pada jenis pemikiran kita dan perasaan bagaimana yang ada di hati kita. Jika kita mengeluarkan pemikiran yang negative, maka gelombang yang keluar dari minda kita adalah gelombang negative.

Apabila ia keluar , ia akan melilau mencari-cari gelombang yang serupa dengannya. Dan apabila ia jumpa ia akan membawa kembali semula kepada diri sendiri. Inilah asa kepada Law Of Attraction. Maka benarlah bahawa minda sangat mempengaruhi kita.

Oleh itu, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik. Hal ini kerana ia akan menghindarkan diri kita daripada sifat negatif yang sebenarnya tidak elok bagi diri kita. Latih diri kita untuk bersangka baik pada semua orang. Displinkan diri supaya sentiasa menggagumi kejayaan orang-orang yang cemerlang. Hal ini secara tidak langsung akan mempositifkan minda kita.

Jika kita kembali kepada tajuk kita iaitu Minda yang Merdeka,kita mendapati tidak ramai antara kita yang mempunyai minda seperti ini. Kebanyakan daripada kita masih dibelenggu dengan minda penjajah yang tidak merdeka. Di sini kemerdekaan beerti satu titik permulaan untuk mengangkat martabat Negara dan rakyat,memajukan segalanya ke hadapan dan membangunkan diri melalui kekuatan daya ketahanan diri, kemampuan tenaga dan pemikiran sendiri. Dalam maksud kemerdekaan ini juga tertulis tentang kemerdekaan dari segi pemikiran ataupun minda kita.

Hal ini sebenarnya menunjukkan betapa pentingnya kemerdekaan minda kita. Minda yang merdeka adalah minda yang merdeka dari sebarang anasir dari luar yang menyekat pemikiran kita. Kita semua mempunyai hak bersuara untuk berkata benar jika perkara itu benar dan berkata salah jika perkara itu salah.

Justeru kita sebagai mahasiswa yang mempunyai semangat merdeka yang tinggi untuk memerdekakan diri kita dan seterusnya masyarakat perlulah bersama-sama beriltizam untuk memerdekakan pemikiran dan minda dari belenggu penjajah. Kita seharusnya juga berfikir luar dari kotak fikiran kita untuk menjadikan kita sebagai mahasiswa yang intelektual dan berfikiran kritis.

Akhirnya sama-sama kita menghayati kata-kata oleh Pemenang Nobel Keamanan 2006, Prof. Dr Muhammad Yunus bahawa dia berkata “We create the world in accordance with our mindset” if we can ‘reconfigure our mindset’ we can ‘reconfigure the world’. Maka benarlah bahawa minda sangat berpengaruh di dalam setiap tindakan kita. Oleh itu kita seharusnya menggunakan minda kita ke arah jalan yang benar untuk mengintelektualkan pemikiran manusia itu sendiri khasnya kita sebagai mahasiswa. Kata Imam Ghazalli bahawa jika kita mahu melhat pemimpin masa hadapan maka lihatlah kepada pemuda-pemuda yang ada pada hari ini. Apa pun semua ini bermula pada diri kita sendiri untuk membuat perubahan itu dan kita sebagai mahasiswa perlulah membuat langkah kanan dari sekarang untuk menjadikan perkara ini sebagai satu kenyataan dan bukannya mimpi semata-mata.

Ahmad Izzat Bin Atan

Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments: