Thursday, October 11, 2007

Kemerdekaan dulu,kini dan selamanya


Pada dua bulan yang lepas, kita semua telah meraikan hari Kemerdekaan yang ke-50. Hari yang din nanti-nantikan oleh kita, rakyat Malaysia telah pun disemarakkan pada tengah malam tadi dengan kiraan 10 sebelum jam 12 di Dataran Merdeka. Semua rakyat Malaysia meraikan detik yang penuh bermakna ini dengan gembiranya. Di samping itu, percikan bunga api memeriahkan suasana majlis pada tengah malam itu. Tetapi dalam kita meraikan Kemerdekaan Negara kita adakah kita sudah Merdeka sepenuhnya?

Jikalau kita melihat makna Kemerdekaan yang sebenar adalah satu titik permulaan untuk mengangkat martabat Negara dan Rakyat,memajukan segalanya ke hadapan dan membangunkan diri melalui daya ketahanan diri,tenaga dan pemikiran itu sendiri. Di sini saya ingin membawa Kemerdekaan kepada tiga perkara utama iaitu Kemerdekaan diri, Masyarakat dan Zaman sekarang.

Kemerdekaan yang hakiki adalah kemerdekaan untuk membebaskan diri dari segala belenggu penjajahan. Diri sendiri adalah perkara utama yang perlu dimerdekakan terlebih dahulu. Hal ini kerana sesuatu musibah yang berlaku pasti ada tangan manusia yang melakukannya samada secara sedar atau tidak. Jika kita menarik pincu pistol itu, mesti ada sebabnya dan jika kita melepaskan tembakan tentu ada kisah di sebaliknya. Oleh itu, diri kita ini perlu bertindak seperti insan yang merdeka dengan melakukan perkara yang disyariatkan oleh agama tanpa dijajah oleh mana-mana pihak yang ingin merosakkan diri kita. Diri kita ini mempunyai hak kepada diri ini untuk berkata benar atau tidak.

Sebelum kita hendak memerdekakan masyarakat di sekitar kita, perkara utama berbalik kepada diri kita ini. Adakah diri ini sudah merdeka sepenuhnya? Apabila kita sudah mempunyai kesedaran kemerdekaan yang sebenar, maka adalah tugas kita untuk menyemai makna kemerdekaan itu. Hal ini kerana ramai di kalangan kita tidak mengerti makna sebenar kemerdekaan Universiti-universiti di Malaysia misalnya telah mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan mahasiswa mereka. Kita juga dapat melihat dengan jayanya pembuatan bendera Malaysia menggunakan straw yang terbesar di Malaysia yang dibuat oleh Universiti Selangor(UNISEL), Sehari Pakaian Kebangsaan dan sebagainya. Tetapi adakah dengan merancang pelbagai program ini dapat menyemai rasa patriotik di kalangan masyarakat kita? Perkara ini berbalik kepada maksud sebenar kemerdekaan itu sendiri. Ramai di kalangan masyarakat kita yang masih dibuai mimpi yang indah sedangkan tidak menyedari akan hakikat yang sebenar. Perit jerih tokoh-tokoh dahulu memperjuangkan kemerdekaan sehingga menggadaikan wang dan harta dan kita masih tidak menyedari hakikat itu.

Justeru itu, kemerdekaan masa kini adalah dengan pengislahan dan pemerkasaan jati diri dan bangsa kita seterusnya agama itu sendiri. Allah berfirman dalam Surah Ar-Ra’ad: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri”. (Ar-Ra’ad:11). Ayat ini dapat dibuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu sendiri yang mengubah nasib mereka sendiri. Oleh itu, budaya-budaya barat yang mempengaruhi masyarakat kita masa kini adalah amat tenat sekali. Hiburan yang melampau sehingga melalaikan diri kita perlu diubah dengan pendekatan yang berhikmah. Justeru itu, pemerkasaan ilmu pengetahuan tentang ilmu duniawi dan ukhrawi perlu diseimbangkan supaya kita menjadi modal insan yang berkualiti.

Akhir kalam, bersama-samalah kita menghayati makna kemerdekaan yang sebenar dan seterusnya mengembalikan semangat cintakan Negara, Agama dan juga bangsa kita. Bak kata Imam Al-Ghazalli: “Jikalau hendak melihat masa depan Negara, maka lihatlah kepada pemuda pada zaman sekarang”.


No comments: