Thursday, June 12, 2008

Kehidupan yang sementara.


"Andai hidup punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata"

Begitulah ungkapan yang begitu menusuk di hati saya. Kata-kata yang membuatkan kita terfikir bahawa dunia ini adalah sementara. Bahkan dunia ini akan menyoal kita kembali apakah yang telah kita lakukan pada masa hidup kita?

Adakah kita hanya menjadi orang Islam sahaja? Adakah kita ingin menjadi seorang yang berjaya sahaja? Hidup ini hanyalah sementara. Kehidupan yang kekal abadi akan kunjung tiba. Tetapi adakah kita sedar akan kehidupan yang abadi tersebut?

Di dalam al-quran surah as-saff ayat 13 menerangkan bahawa jika pahala itu dibentangkan di hadapan kita nescaya akan berlari manusia ingin mendapatkannya.

Tetapi hakikat manusia memang sebegitu. Mereka tidak akan percaya apa yang mereka tidak nampak. Apabila musibah tiba barulah mereka akan tersedar dari mimpi yang lena itu.

Hari saban hari, saya melihatkan betapa manusia dinihari sudah semakin hilang sifat kemanusiaan. Sifat yang sepatutnya ada pada manusia tetapi sudah diberikan kepada haiwan. Tidak pernah dalam sejarah negara kita manusia buang anak dalam tong sampah.

Inilah yang dikatakan manusia sudah menjadi haiwan. Tidak begitu?

Jikalau saya senaraikan banyak lagi perkara yang tidak boleh dibayangkan dek fikiran kita. Cuba kita bayangkan ada juga manusia yang sanggup membunuh manusia dalam keadaan mayatnya tidak berkepala. Cuba anda bayangkan?

Apa-apa pun hakikatnya kita di dunia yang penuh godaan dan maksiat membuatkan kita alpa dan membuatkan kita mati rasa. Rasa keinsafan yang sepatutnya ada pada setiap manusia telah diambil oleh kenikmatan dunia yang tidak akan kekal selamanya.

Kita hendakkan harta yang banyak tetapi tidak ingin bersedekah.

Kita inginkan dosa kita diampuni tetapi masih juga melakukan dosa-dosa.

Kembalilah kita kepada asas agama kita. Jika kita berpegang teguh dengannya nescaya kita tidak akan sesat selamanya. Ia adalah al-quran dan as-sunnahnya. Bersamalah kita saling ingat mengingati pada pagi yang sungguh indah ini.

2.30pg/13hb Jun/izzat/mahallah bilal.

Peniaga Sampah.


Adakah anda tahu bahawa baru-baru ini di Selayang ada orang yang menjual makanan sampah? Ini buktinya. Surat khabar Metro ini bertarikh 2/6 buktinya.

SELAYANG: Walaupun baru diserbu lima hari lalu, peniaga haram warga Myanmar yang menjajah Pasar Borong Selayang di sini, kembali ‘garang' apabila mengacukan pisau ke arah seorang pemandu kereta yang tidak sengaja melanggar barang jualan mereka. Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, seorang peniaga Myanmar dikatakan menunjukkan pisau pemotong sayur kepada seorang kerani sebuah syarikat pencetakan yang ketika itu melalui kawasan tepi pasar borong untuk menuju tempat kerja. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah, 25, berkata ketika itu dia memandu Perodua Kancil cuba melepasi kawasan pasar berkenaan yang sesak dengan peniaga terbabit di bahu jalan. Menurutnya, dia tidak sengaja terlanggar bakul jualan milik peniaga terbabit menyebabkan ia terbalik.

Saya tidak sengaja, namun lelaki Myanmar berusia 30-an itu mengetuk cermin tingkap saya sambil menunjukkan pisau.

“Tindakannya benar-benar memeranjatkan saya kerana kesalahan itu berpunca daripada tindakan mereka sendiri yang menghadang laluan jalan dengan meletakkan pelbagai jenis sayur di bahu jalan sehingga menyebabkan jalan raya sesak,” katanya. Menurutnya, dia bernasib baik kerana pantas beredar dari kawasan itu walaupun cermin keretanya diketuk. Sementara itu, seorang peniaga tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Bakri, 41, bimbang dengan kemunculan kumpulan peniaga samseng warga Myanmar itu yang terus bermaharajalela walaupun operasi besar-besaran sudah dilakukan minggu lalu. Menurutnya, dalam operasi malam Sabtu lalu, lebih 500 warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah diberkas Rela dan Jabatan Imigresen. “Namun, saya pelik bagaimana bilangan mereka langsung tidak menunjukkan tanda berkurangan, malah semakin berani berniaga secara terbuka,” katanya. Bakri berkata, kehadiran pendatang asing itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas kerana mereka menghalang kenderaan keluar masuk dengan meletakkan barang jualan di atas jalan dengan beralaskan raga dan plastik nipis.
“Apa yang saya nampak, mereka (peniaga Myanmar) gemar mengutip sayur-sayuran dari tong sampah sebelum dijual semula kepada orang ramai,” katanya.

Malah, lebih memburukkan keadaan, kebanyakan pelanggan di kalangan penduduk tempatan yang tidak mengetahui taktik licik peniaga terbabit.

Biasanya warga Myanmar terbabit mengutip sayuran terbuang itu seawal jam 3 pagi dan dilakukan secara berkumpulan untuk memudahkan operasi mereka.

“Sambutan daripada masyarakat tempatan amat menggalakkan kerana mereka biasanya mula menjalankan perniagaan selepas pasar ditutup,” katanya.

Sementara itu tinjauan Harian Metro di pasar berkenaan mendapati peniaga terbabit menggeledah sampah-sarap dilonggokkan dalam tong sampah bagi mencari sayuran yang boleh dijual.

Selepas puas hati dengan hasil yang diperoleh, mereka kemudian membawa sayur-sayuran terbuang itu ke kawasan tersorok untuk dibersihkan sebelum dijual.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Zainal Abidin Azim, ketika diminta mengulas perkara itu berkata, dalam beberapa siri pemeriksaan dan serbuan, peniaga terbabit segera melarikan diri sehingga sanggup meninggalkan barang jualan mereka.

“Peniaga haram Myanmar itu tidak mementingkan barangan jualan mereka kerana ia diperoleh secara percuma (dari tong sampah), malah kerugian yang ditanggung juga sifar,” katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit juga sering bergaduh sesama sendiri kerana berebut tapak jualan yang terhad di bahu jalan sempit yang sentiasa sibuk dengan kenderaan lalu lalang,” katanya.

Thursday, June 5, 2008

Isu minyak naik...


Assalamualaikum, Apa khabar semua? Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kepada semua kerana tidak dapat 'update' artikel terbaru. Sebabnya lab kat UIA tu ada masalah. Tidak boleh buka yahoo dan blogspot. Hm. Kekesalan amat dikesali.

Berkuatkuasa jam 12 tengah malam tadi, harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen iaitu kenaikan tertinggi dalam sejarah negara.

Ini menjadikan harga baru bahan api itu RM2.70 seliter berbanding RM1.92 seliter sebelum ini.

Harga baru diesel pula ialah RM2.58 seliter, meningkat RM1 berbanding harga lama RM1.58 sen seliter.

Kali terakhir diesel dan petrol dinaikkan pada 28 Februari 2006 yang membabitkan kenaikan 30 sen seliter bagi kedua-dua bahan api itu.

Bagaimanapun, harga baru itu jauh lebih rendah berbanding RM5.20 bagi petrol dan RM4.33 bagi diesel di Singapura yang mengapungkan bahan api berkenaan.

Kenaikan harga petrol dan diesel itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu sidang media di pejabatnya di sini, petang semalam.

Dalam usaha mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana terhadap kenaikan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian, termasuk motosikal.

“Bagi pemilik kenderaan persendirian yang berkapasiti enjin sehingga 2000cc (kuasa kuda) manakala trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.

“Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai RM150 setahun bagi setiap motosikal akan diberikan,” katanya.

Menjelaskan mengenai pembayaran tunai itu, Abdullah berkata, ia akan diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor (cukai jalan) yang berkuat kuasa mulai 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

“Bayaran tunai itu akan diberikan secara kiriman wang di Pos Malaysia di seluruh negara mulai 1 Julai 2008,” katanya.

Beliau berkata, bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori itu, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan bayaran cukai jalan yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.

“Bagi pemilik kenderaan petrol dan diesel berkapasiti enjin melebihi 2000cc, cukai jalan akan dikurangkan RM200 manakala pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin lebih daripada 250cc, cukai jalan akan dikurangkan RM50, tertakluk kepada cukai jalan minimum sebanyak RM2,” katanya.

Itu satu daripada langkah yang diluluskan Kabinet menerusi pakej penstrukturan semula subsidi bahan api yang turut merangkumi mekanisme untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Langkah seterusnya, Abdullah berkata, Kabinet juga bersetuju menyelaraskan subsidi diesel untuk syarikat pengangkutan yang diluluskan, syarikat pengangkutan vesel dan nelayan.

“Pada masa ini, operator pengangkutan, nelayan dan pemilik vesel menikmati harga subsidi berbeza bagi diesel iaitu RM1 seliter bagi nelayan dan RM1.20 seliter bagi pemilik diesel.

“Kabinet hari ini (semalam) bersetuju menyelaraskan harga diesel kepada RM1.43 seliter berkuatkuasa esok (hari ini), dengan penyelarasan harga itu tidak akan menjejaskan syarikat pengangkutan di bawah sistem `fleet card’ yang akan terus menikmati subsidi petrol dan diesel pada harga ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, Kabinet bersetuju membayar sebahagian daripada perbezaan harga lama dan baru itu secara tunai kepada nelayan dan pemilik vesel.

“Kerajaan akan membayar secara tunai sebanyak RM200 setiap bulan kepada pemilik dan pekerja vesel rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan bayaran insentif kepada pemilik vesel pada kadar 10 sen sekilogram hasil tangkapan ikan yang didaratkan di pusat perikanan dalam negara.

“Kabinet juga memutuskan pengusaha bot penumpang sungai juga akan diberi bayaran tunai 10 sen seliter berdasarkan kuota yang diluluskan,” katanya.

Selain itu, mulai 1 Julai depan, Perdana Menteri berkata, harga gas yang dibekalkan Petronas di Semenanjung akan diubah iaitu bagi sektor elektrik, harganya akan dinaikkan daripada RM6.40 setiap mmBtu kepada RM14.31 setiap mmBtu.

Abdullah turut mengumumkan satu struktur tarif baru elektrik akan berkuatkuasa pada 1 Julai depan.

Ia akan diguna pakai semua pengguna domestik (rumah), komersial dan industri di Semenanjung Malaysia, manakala satu struktur tarif baru bagi Sabah dan Sarawak akan diumumkan selepas ini.

“Struktur tarif baru ini tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan 200 Kilowatt Jam (kWj) ke bawah setiap bulan dengan anggaran bil elektrik kurang daripada RM43.60 dan ini bermakna, 59 peratus isi rumah di Semenanjung akan membayar kadar sama selagi mereka mengekalkan tahap penggunaan yang sama.

“Pengguna komersial dan industri pula akan mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus, tetapi bagi peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil, mereka hanya akan mengalami kenaikan 18 peratus jika menggunakan tidak melebihi 200 kWj setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata, Kabinet juga bersetuju memansuhkan levi sistem subsidi minyak masak (COSS) sedia ada berkuatkuasa 1 Julai depan dan bagi menggantikannya Kabinet akan melaksanakan peruntukan mengikut Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 ke atas Pengeluar Minyak Kelapa Sawit.

“Walaupun COSS dimansuhkan, harga minyak masak tetap sama kerana hasil daripada pelaksanaan levi baru itu akan digunakan untuk membiayai subsidi minyak masak,” katanya.

Selain harga minyak masak yang tidak akan dinaikkan iaiatu RM1.75 setiap satu kilogram, harga Gas Asli bagi Kenderaan (NGV) iaitu 63.5 sen seliter juga dikekalkan.

Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan bayaran cukai perkhidmatan restoran yang terletak di luar hotel, kerajaan bersetuju perolehan jualan tahunan (threshold) restoran seperti itu dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM3 juta.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menganggarkan RM13.7 bilion akan diperolehi daripada penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan daripada levi yang dikenakan terhadap syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan POP.

Ia akan digunakan untuk Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara iaitu RM4 bilion, subsidi minyak masak (RM1.5 bilion), subsidi pembelian beras import bagi penyeragaman harga beras di Sabah dan Sarawak (RM0.4 bilion), subsidi tepung (RM0.2 bilion), subsidi roti (0.1 bilion) dan sumbangan kepada subsidi petrol, diesel dan gas iaitu RM7.5 bilion.

Monday, June 2, 2008

Melawat sahabat di CUCMS.



Pada 31hb bersamaan hari sabtu yang lepas, saya dan rakan-rakan Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan melawat rakan-rakan di Kolej Perubatan di Cyberjaya. Tujuan melawat ke sana lebih untuk berbincang kerjasama program di Sekolah di Negeri Sembilan.


Kami dari UIA bertolak dalam pukul 11 pagi dan tiba dengan selamatnya pada pukul 12 tengah hari. Perjalanan yang sibuk ditambah dengan kesesakan lalu lintas menyebabkan kami lambat sedikit daripada masa yang sepatutnya.


Apabila sampai di sana, kami disambut oleh Kak Wani iaitu wakil dari Persatuan Islam di sana. Sebenarnya program ini adalah rancangan daripada kak wani untuk membuat satu program di sekolah lamanya. Sekolah ini adalah tempat pertama beliau mengajar sebelum memasuki ke Kolej ini.


Selama dua jam kami berbincang tentang modul,pengurusan,ahli jawatankuasa dan sebagainya. Akhirnya kami menemui kesepakatan untuk membuat program tersebut pada 25-27hb Julai akan datang. Semoga dipermudahkan kerja kami ini.

Sunday, June 1, 2008

Hadis ke 27(Imam Nawawi)

Sempena usrah PPINS pada 1 Jun 2008.

عن النواس بن سمعان عن النبي e قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.
Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda:
Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu
Baginda bersabda:
Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.

Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik.
Pengajaran hadis:
Kebajikan atau kebaikan ialah perkara yang hati seorang mukmin merasa tenang dan baik,
sedangkan kejahatan atau dosa pula ialah apa yang hatinya merasa keluh kesah, gementar dan merasa takut kalau-kalau diketahui oleh manusia. Seorang mukmin, dengan firasat hatinya boleh menduga baik buruk sesuatu perkara. Walau apapun pandangan orang lain, dia lebih berhak membuat pendirian berdasarkan iman dan firasatnya. Namun perasaan dan firasatnya itu tidak boleh bertukar menjadi hukum syara' atau fatwa yang memestikan orang lain mengikutinya. la hanya boleh digunakan untuk dirinya sendiri. Kebaikan atau kebajikan yang diberikan kelonggaran untuk kita meminta fatwa hati ialah kebajikan yang masih kesamaran, adapun yang memang sudah ada nas yang jelas, maka ia mesti dianggap kebaikan biarpun hati berat menerimanya. Demikian juga keburukan yang sudah ada nas yang jelas, ia tidak boleh dipertikaikan atau ditakwil lagi berdasarkan perasaan dan firasat hati. Perasaan hati hanya boleh dipakai apabila selari dengan kaedah hukum syara' dan selagimana tidak
bercanggah dengan hukum hakam agama.