
Saturday, August 22, 2009
Friday, September 19, 2008
Peristiwa-peristiwa di bulan Ramadhan
Malam ini adalah malam ke 20 bersamaan 19hb September 2008 Ramadhan yang mulia. Maka bermulanya satu pencarian seribu malam oleh semua umat Islam yang mengetahui akan hakikat yang sebenar. Tetapi mungkin kita tidak sedar yang pencarian lailatul qadar bukannya bermula pada sepuluh malam terakhir tetapi pencariannya perlu dimulai dari awal Ramadhan lagi. Ia adalah supaya kita bersedia akan kedatangan malam yang lebih baik dari sebulan ini.Semoga lebihan hari ini kita gunakan sebaik-baiknya.
Di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua akan peristiwa-peristiwa penting di bulan ramadhan ini. Peristiwa ini adalah daripada bacaan saya yang sedikit dan perbincangan dengan sahabat-sahabat jemaah. Semoga sedikit sebanyak dapat mengingatkan kita akan kelebihan bulan ini.
Peristiwa yang pertama adalah Perang Badar Al-Kubra. Di dalam buku Perang Badar Al-Kubra yang ditulis oleh Abu Muhammad ‘Abdul Malik Bin Hisyam Al-Maufiri ini sangat baik dan ia menceritakan dengan jelas akan susur galur perang ini. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Dalam perang ini Allah swt telah membantu tentera Islam dengan menghantar segerombolan malaikat. Perang ini berlaku pada pagi jumaat,17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini telah mengalahkan lebih kurang 1000 orang tentera Musyrikin Mekah.
Seterusnya pada 20 Ramadhan 8H adalah pembukaan Kota Mekkah (Futuhal Makkah) dan penghancuran Berhala. Kisahnya bermula dengan Rasulullah s.a.w bersama para sahabat keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dalam keadaan berpuasa. Mekah jatuh ke tangan muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan.
Pada Ramadhan 9H, Perang Tabuk berlaku tetapi Rasulullah s.a.w tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah. Seterusnya Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajipan dan melaksanakan puasa di sana. Dan pada tahun 9H ini juga Utusan Raja Himyar dating ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam.
Ramadhan 29H mencatat satu sejarah yang bermakna bahawa Islam telah tersebar hingga ke Afrika Utara,Iran, Afghanistan, Yaman dan Syria. Pada tahun ini juga satu perang telah berlaku yang di mana tentera Islam diketuai Tariq bin Ziyad. Seramai 12 000 tentera Islam telah berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 orang yang diketuai Raja Frederick. Tariq bin Ziyad telah mengarahkan tenteranya membakar kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera kuffar. Beliau berkata:
“Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan sama ada mati lemas ataupun syahid”
Dengan semangat yang telah ditunjukkan ini telah mengalahkan tentera kuffar, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Sepanyol,Sicily dan sebahagian Perancis. Bermulanya satu zaman kegemilangan Islam di Andalus selama 700 tahun.
Seterusnya pada Ramadhan 584H, panglima tentera Islam, Salahudin Al-Ayubi mendapat kemenagan besar ke atas tentera salib. Ketika bulan Ramadhan ini, penasihatnya menyarankan agar salahudin berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahudin menjawab:
“Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”
Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan Berjaya merampas benteng Shafad yang kuat. Peristiwa berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.
Akhir sekali adalah pada Ramadhan 658H apabila Baghdad berlakunya pencerobohan oleh tentera tartar dan mereka membunuh seramai 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk kristian supaya makan babi dan meminum arak secara terbuka di jalanan dan memaksa kaum muslimin turut serta. Banyak larangan yang dikenakan terhadap orang Islam. Antaranya azan dilarang dan masjid disirami arak oleh tentera tartar yang biadap. Kecelakaan ini disambut baik oleh Saifudin Qutuz,pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum Muslimin untuk menghancurkan tentera Tartar. Mereka berperang pada hari jumaat 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut. Setelah itu, mereka semua berjihad dan kemenangan berpihak kepada Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.
Begitulah sebahagian peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan ini. Satu bulan yang sangat mulia dan selain bulan yang dilimpah kurniakan nikmat kepada hambanya, bulan ini juga membuktikan bahawa pada bulan ini juga umat Islam boleh mencatat sejarah tersendiri. Tiada siapa yang mengetahui akan kelebihannya selain merasai dahulu akan kelebihannya.
Wednesday, September 17, 2008
Tazkirah Ramadhan: Dunia tempat menghadapi ujian
Alhamdulillah, hari ini sudah masuk Ramadhan ke 15. Pejam celik masa begitu cepat meninggalkan kita di dalam bulan Ramadhan ini. Dan dalam masa itu juga, pelbagai amalan yang telah kita lakukan bagi mengejar satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatul Qadar.
Terbaca saya dalam satu buku yang bertajuk Sakit di Bulan Ramadhan. Dalam buku ini ingin saya berkongsi satu tajuk dalam buku ini yang menarik perhatian saya. Tajuknya sangat biasa jika kita melihat dari sudut luarannya sahaja. Akan tetapi jika kita hayati secara mendalam ia pasti akan memberikan satu kesan yang sangat mendalam kepada diri dan juga kepada masyarakat di sekelilingnya.
Ingatlah dunia ini adalah tempat kita menghadapi ujian. Dunia ini juga adalah perkampungan ujian dan cubaan. Sesiapa yang masih hidup pasti tidak akan terlepas dari ujian ini baik yang sedih, gembira dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
“Demi Allah, kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), kelaparan,kekurangan harta benda, kehilangan nyawa serta lenyap hasil tanaman. Oleh itu, berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Al-Baqarah:155
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman! Sedangkan mereka tidak akan diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
Surah Al-Ankabut:2
Maka kuatkanlah iman anda lebih-lebih kita di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kita hari ini hanya diuji sedikit sahaja berbanding umat yang terdahulu. Oleh itu, bersyukurlah selalu dengan nikmat hari ini dan gunakanlah nikmat sebaik-baiknya untuk berjuang di jalan Allah s.w.t dalam menegakkan kalimahnya di muka bumi ini.