Tuesday, November 29, 2011

Mencari sinar cahaya daripada kegelapan

Sinar cahaya itu merupakan sinar yang diimpi-impikan oleh kita semua. Sinar yang dapat menerangi kegelapan. Yang membuat kita tertunggu-tunggu untuk mendapatkannya selepas berada dalam kegelapan. Dan itu ialah sinar matahari.

Bersinarnya alam ini bukanlah hanya kerana sinaran matahari sahaja bahkan lebih daripada itu. Ia dapat menyinari bukan hanya alam semesta bahkan dapat menyinari hati setiap hati manusia. Ianya adalah hidayah daripada Allah swt.

Betapa besarnya nikmat cahaya ini yang dapat ditafsirkan dari pelbagai sudut dan keadaan. Ia tetap akan bersinar dan menyinari walaupun ia disekat oleh pelbagai halangan. Dan hanya orang yang terpilih sahaja yang dapat sinaran cahaya ini.

Bukan calang-calang orang mendapat cahaya ini. Hanya manusia yang sanggup menghadapi dugaan dan cabaran sahaja yang akan mendapat pengiktirafan daripada Pencipta yang Maha Berkuasa ini.

Beruntunglah mereka bahawa mereka semua ini mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan di dunia ini. Hanya dengan usaha sahaja dapat menentukan samaada kita tergelincir ke sebelah sana dan sebelah sini.

Ya Allah, berilah aku kekuatan menghadapi semua ini dan berilah aku pertolongan dalam menempuh dugaan hidup aku ini. Amin.

Pukul 1.15 petang
Lab Econ
30/11/2011




Tuesday, November 1, 2011

Assalamualaikum semua


Hari ini, 2hb November saya menulis post ini di Lab KENMS,IIUM. Hari demi hari, masa berganti masa, saya merasakan diri saya terlalu hina di depan Allah swt. Mengapa? Persoalan ini sudah lama saya pendamkan dan saya cuba selesaikan. Tetapi kesudahannya masih sama. Tidak ada jalan penyelesaian.

Mengapa kita perlu selesaikan? Adakah masalah dunia kita boleh selesaikan? Dan mengapa ada juga orang yang tidak boleh menyelesaiakannya?

Begitu banyak masalah di dunia ini sehinggakan masalah diri kita, kita tidak mampu menyelesaikan. Alangkah malunya diri ini. Malu didepan Allah swt dan di depan semua manusia di dunia ini.

Cuba kita renungkan, perbezaan agama merupakan salah satu faktor penyebab kepada masalah ini berlaku. Penyelesaian yang difikirkan kadang-kadang tidak mengambil kira kesannya pada masa akan datang. Oleh kerana ini, maka terjadilah penyelesaian seperti bunuh diri, anak bunuh ayah, anak pukul emak dan sebagainya. Walhal, jika kita fikirkan kembali, hal ini tidak sepatutnya berlaku jika kita mempunyai pegangan agama.

Penyelesaian ini merupakan jawapan yang sangat subjektif. Ya, saya tahu. Dari segi teori memang kita tahu. Tetapi aplikasinya sangat payah untuk kita lakukan. Mengapa begitu wahai kawanku sekalian? Fikir2kan dan berjumpa di post yang seterusnya.

- Tahniah kepada semua kawan2ku yang berkonvokesyen hari itu. Tahniah2.
- Doakan kejayaan saya ini yang masih meneruskan perjuangan di bumi UIAM ini.
- Teruskan kerjaya kawan2 dan jangan lupa akan daku di sini.

Assalamualaikum.

Ahmad Izzat Bin Atan
along_charade@hotmail.com

Tuesday, November 23, 2010

TV Al-Hijrah


Dunia masa kini memerlukan cara dakwah yang berlainan dan juga berbeza dengan zaman dahulu. Perubahan ini memerlukan kita untuk lebih terbuka dan berfikiran besar dalam mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran. Cabaran ini yang perlu kita hadapi dengan cara kita sebagai orang islam yang sejati dan juga sebagai khalifah di muka bumi ini.

Saya secara peribadi sangat bersetuju dengan penubuhan stesyen televisyen ini dengan misi dan visi yang berlainan daripada stesyen televisyen yang lain. Yang menarik minat saya adalah visinya yang lebih kepada program islamik dan sasarannya lebih kepada golongan muda.

Penubuhan TV Al-Hijrah adalah dinaungi keseluruhannya daripada pihak kerajaan. Ia ditubuhkan khusus untuk menyebarkan dakwah islamiyah kepada masyarakat selain menonjolkan imej islam dalam dunia penyiaran.

TV Al-Hijrah dapat memberi alternatif kepada masyarakat untuk memilih saluran tv yang lebih islamik dan dapat menenangkan jiwa. Bagi saya sendiri, saluran tv al-hijrah dapat membuka mata orang ramai tentang bagaimana hiburan sebenar dalam Islam.

Hiburan masa kini jika kita dapat lihat sangat berlebihan dan merosakkan golongan muda jika tidak dikawal. Kita dapat lihat golongan muda sekarang ini dimomokkan dengan hiburan yang tanpa batasan sehinggakan mereka alpa dan lalai dengan dunia yang sebenar. Mereka di tonjolkan dengan Akademi Fantasia sehingga sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk artis idaman mereka. Sekarang, terbitnya dengan cerita daripada luar terutama daripada Indonesia dan Korea yang begitu mengkhayalkan. Semua ini hanya melalaikan kita sehingga lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang islam.

Di harap dengan adanya siaran televisyen yang islamik dapat mengembangkan ajaran islam kepada masyarakat dan dapat mengurangkan gejala sosial yang datangnya daripada hiburan yang melampau. Antara puncanya adalah daripada televisyen.


Wednesday, November 17, 2010

Wajib bayar balik hutang PTPTN selepas enam bulan tamat pengajian.


Saya apabila terbaca berita ini membuatkan saya takut dan seronok bercampur-campur. mana tidaknya satunya perasaan seronok sebab dapat habiskan pelajaran. Yang tidak seronoknya adalah saya dah kena mula bayar hutang PTPTN ini. Tidak sempat 'enjoy' bila grad terus dah kena bayar hutang.

Itulah lumrah hidup seorang penghutang. Apabila sudah pandai meminjam jangan lupa untuk bayar hutang. Hal ini sekarang PTPTN telah menetapkan selepas 6 bulan habis pengajian, diwajibkan untuk memulakan pembayaran pinjamana PTPTN. Jikalau tidak denda akan dikenakan kepada peminjam.

Nak kata kejam pun tidak nak kata tidak bertimbang rasa pun tidak. Ini memang kerja mereka untuk memastikan yang penghutang membayar balik pinjaman mereka. Hanya kita sahaja yang susah ikut arahan mereka kerana kita pun ada masalah lain.

Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan anda juga supaya jangan suka berhutang dengan orang. Saya sekarang pun tengah berhutang gak. Tapi insya allah akan dilunaskan secepat mungkin. Sebelum kita menghembuskan nafas, hutang manusia perlu dibayar agar kita tidak disoal di dalam kubur. Pedoman untuk semua. Ingat! hutang mesti dibayar.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Maaf,penggunaan ayat pasar yang berlebihan. Hanya untuk luahan hati sahaja.

Selamat Hari Raya Aidiladha. Pengorbanan......

Sambutan E’idul Adha 1431H kali ini memanggil kita untuk menghayati dan mendalami erti sebenar di sebalik istilah pengorbanan. Lazimnya, Hari Raya E’dul Adha akan dikaitkan dengan ibadah penyembelihan haiwan ternak seperti lembu, kerbau, kambing, unta, kibash dan lain-lain lagi. Ibadah ini adalah satu refleksi dan manifestasi dari kisah pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Perkataan korban dari segi istilah berasal daripada perkataan Arab yakni Qaraba, Yaqrabu, Qurbanan yang memiliki makna ‘dekat’. Jadi, korban bererti mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengerjakan sebahagian perintah-Nya. Korban dalam pengertian kita sehari-hari sebenarnya diambil dari perkataan Arab udhhiyah yakni berbentuk jama’ dari perkataan ”dhahiyyah” iaitu sembelihan pada waktu dhuha tanggal 10 sehingga 13 Dzulhijjah. Dari sinilah muncul istilah “E’idul Adha”. Dengan demikian yang dimaksud dengan korban atau udhhiyah adalah penyembelihan hewan dengan tujuan beribadah kepada Allah pada hari raya Idul Adha dan tiga hari Tasyriq, yaitu tanggal 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

Selain itu, Allah SWT telah melampirkan sejarah mengenai korban di dalam Surah Al-Maidah ayat 27 yang bermaksud:

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.

Ayat ini mengadungi satu saranan bahawa dalam ibadah korban memerlukan sifat keikhlasan dan persembahan kepada Allah dan ketaqwaan kita kepada-Nya. Inilah yang dikisahkan pada zaman Nabi Adam a.s. Beliau mendapat perintah dari Allah agar kedua anaknya melakukan korban. Caranya dengan ”mempersembahkan” hasil bumi dan haiwan ternak. Kedua anaknya Qabil dan Habil segera memenuhi perintah tersebut. Habil yang bekerja sebagai penternak, dengan sepenuh hati berkorban untuk mencari redha Allah dengan menyiapkan haiwan terbaiknya untuk korban. Sebaliknya, Qabil, yang bekerja sebagai petani, melaksanakan perintah tersebut dengan tidak ikhlas kerana Allah, malahan beliau merasa terpaksa. Beliau berkorban dengan buah-buahan yang busuk yang beliau sendiri tidak menyukainya. Hasilnya, korban Habil diterima oleh Allah sedangkan korban Qabil ditolak. Justeru, kisah ini harus dijadikan iktibar buat kita semua dalam kerja buat kita setiap masa.

Mendekatkan jiwa kepada Allah dengan elemen pengorbanan.

Sememangnya ibadah haji adalah satu ibadah yang melatih pengamalnya untuk berkorban. Berkorban apa sahaja. Ada yang sanggup menggadaikan tanah, harta pusaka untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekkah. Ada juga yang hanya dapat mengecapi impian tersebut apabila umur sudah lanjut dan ramai juga tidak berkesempatan langsung.

Justeru, pada hari yang mulia ini kita disunnahkan untuk menyembelih haiwan ternak yang dagingnya harus dibahagikan terutama kepada mereka yang tidak mampu. Dengan ini kita diingatkan akan rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan sesama manusia dan sebagai anggota masyarakat. Selain itu, kita dilatih pula untuk merasakan nikmat kebahagiaan berkorban, sekalipun barang yang dikorbankan itu tidaklah sebesar mana dalam erti material. Akan tetapi, besar sekali ertinya jika dilihat dalam erti immaterial (maknawi), iaitu melalui proses memberi dan menerima antara anggota yang mampu dan yang kurang mampu dalam masyarakat. Hal ini dipekuatkan lagi dengan pengintegrasian di kalangan anggota masyarakat menjadi satu jamaah yang diikat dengan tali persaudaraan dan tali ukhuwah yang dapat menjambatani jurang antara yang punya dan yang tidak punya (the have and the have not).

Adapun dalam erti yang lebih mendalam, E’idul Adha ini juga mengingatkan kita kepada satu peristiwa yang mencetuskan rasa keharuan yang membawa erti pengorbanan yang lebih tinggi dan lebih besar. Bukan semata-mata pengorbanan kesenangan dan harta. Akan tetapi pengorbanan sesuatu yang amat dicintai di dunia ini. Itulah satu pengorbanan jiwa untuk sesuatu nilai yang lebih tinggi dari. Demikianlah peristiwa pengorbanan yang diperintahkan oleh Allah AWT kepada Rasul-Nya, Ibrahim dan anaknya Ismail a.s.

Al-Quran melukiskan peristiwa itu dengan satu rangkuman ayat yang amat indah. Ia dilukiskan dalam satu dialog Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s yang masih muda belia, yang juga menjadi tempat tumpuan kasih sayang sebagai anak dan bapa.

“Maka tatkala Ismail sampai (pada umur sanggup) Berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata: hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu! Ia menjawab: Hai ayahku kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. Tatkala keduanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pehanya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Surah As-Shaffat ayat 102-107).

Begitulah sikap jiwa yang rela berkorban dari seorang ayah dengan rela dan ikhlas mengorbankan anak yang dicintainya. Dan demikianlah pula sikap jiwa seorang pemuda yang tidak ragu-ragu dan ikhlas memberikan miliknya yang tinggi yakni jiwa dan nyawanya sendiri. ALLAHU AKBAR!!!

Nilai pengorbanan dahulu dan sekarang: Bekal untuk individu dan gerakan

Tatkala merenung sejenak, apalah yang ada dengan pengorbanan kita hari ini jika dibandingkan dengan nilai pengorbanan umat terdahulu. Mereka sanggup berkorban seluruh harta dan nyawa, pangkat dan kedudukan demi semata-mata ingin mengejar satu nilai yang lebih tinggi yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Apa yang berlaku hari ini, kita lebih banyak mengutip hasil dari perjuangan dan pengorbanan umat terdahulu tetapi tidak pernah memulakan langkah perubahan untuk generasi akan datang merasai nikmat seterusnya. Telah dijelaskan oleh Dato’ Dr. Sidiq Fadzil berulang kali dalam tulisan dan ucapannya bahawa perjuangan kita ini adalah perjuangan untuk melakukan perubahan (taghyiri), pencerahan (tanwiri) dan pembebasan (tahriri). Perlu dicermati bahawa, perubahan yang harus dilakukan ini adalah berdasarkan idealisme perjuangan yang jelas dan kesediaan untuk berkorban yang tinggi. Dengan ini, barulah akan terhasil satu dampak perubahan yang besar dan memberi kesan yang membekas kepada setiap jiwa anggota masyarakat.

Sebagai ahli gerakan dakwah yang tangguh (kental), perlu ada sikap mujahadah yang tinggi untuk mengutamakan jamaah lebih dari diri sendiri. Lantas, pengorbanan dari sudut masa, tenaga dan harta seharusnya tidak lagi menjadi suatu masalah yang dapat diberi kompromi. Namun, ianya perlu didasari dengan kefahaman yang substantif akan matlamat dan cita-cita besar Islam. Pak Natsir menerusi khutbah Hari Raya E’idul Adha yang disampaikan di ruang halaman Fakultas Kedokteran di Universitas Indonesia, Jakarta pada 16 Febuari 1970 bersamaan 10 Zulhijjah 1389H berkata:

“Perjuangan ini memerlukan cita-cita, idealisme dan kesediaan menderita dan berkorban untuk mencapainya. Ia berkehendak kepada pemulihan moral dan keyakinan kepada pegangan hidup, yang mengatasi materil semata-mata. Tidak ada satu bangsa yang mencapai satu kejayaan kecuali apabila bangsa itu menghayati satu keyakinan, dan kecuali bila yang diyakininya itu mempunyai dimensi moral yang dapat menghidupsuburkan peradaban yang besar.”

Cabaran umat hari ini sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan umat terdahulu. Dalam berkembang biaknya institusi-institusi agama, sekolah-sekolah agama dan gerakan dakwah yang pelbagai, tetapi kebejatan sosial dan kemaksiatan juga seperti menemui jalan buntu akan penyelesaiannya. Jika dahulu, orang yang melakukan zina akan mencari tempat-tempat tersorok dan tersembunyi, tetapi hari ini mereka sudah tiada lagi rasa malu dengan merakam perbuatan jijik tersebut dan berbangga dengan menayangkannya di internet untuk tatapan ramai. Cuba kita tanyakan, di mana silapnya? Ada apa dengan dakwah kita? Apakah Islam yang kita terima ini punyai kecacatan atau KITA sebagai penerima dan pengamalnya yang sudah buta mata hati?

Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad

Timbalan Presiden

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia