Monday, March 30, 2009

Ujian sudah datang


Hari sabtu ini bermulalah ujian dunia yang setiap tahun aku alami. Persediaan pun lebih kurang. Risau dan tenang silih berganti. Bagaimana ingin kuubah??

Apa-apapun saya memohon jutaan kemaafan atas salah silap saya selama ini kepada anda semua. Juga kepada ibu bapa dan guru-guru yang banyak mengajar erti kehidupan yang sebenar.

Doakan saya mudah menjawab peperiksaan ini. Bagi saya peperiksaan kali ini peperiksaan yang paling penting bagi saya. Pointer saya banyak ditentukan oleh peperiksaan kali ini. Semoga dipermudahkan. Insya Allah.

Sunday, March 29, 2009

Murabbi diri sendiri dan sahabat


Jiwa murabbi merupakan satu jiwa yang perlu dimiliki oleh setiap daripada kita. Jiwa yang sentiasa dekat dengan Tuhan merupakan jiwa yang pasti ingin dimiliki oleh orang yang mengetahui akan hakikat dan kelebihan murabbi yang sebenar.

Murabbi merupakan satu istilah yang berkait rapat dengan Kasih sayang. Kasih sayang yang disulami rasa bercintakan tuhan dan mendekatkan diri dengan Allah. Ia juga membuatkan kita terasa bagai dihargai dan disayangi apabila berada di sampingnya. Hubungan yang hanya semata-mata kerana cintakan Allah s.w.t.

Hubungan ini sahaja yang akan kekal selamanya. Hatta diri dan sahabat kita membuatkan diri berasa kuat dan bahagia jika berada disampingnya. Saya teringat di dalam Filem Sang Murabbi, filem yang saya sukai yang menayangkan tokoh Murabbi iaitu Ustaz Rahmat Abdullah. Bagaimana dalam filem ini watak ustaz rahmat dilakonkan dengan baik sekali. Kita dapat lihat dakwahnya dengan golongan Mat Dadah sungguh berhikmah. Kita juga dapat lihat hubungannya dengan gurunya juga sangat beradab sehinggakan kita turut terkesan dengan perbuatannya. Inilah yang dikatakan jiwa Murabbi.

Akhirnya, jiwa Murabbi bukanlah hanya berada di luaran sahaja. Tetapi berada di dalam hati sanubari kita. Kita akan merasai hati seseorang apabila hati mereka sakit atau berkata apa-apa. Hati kita akan bercakap antara satu sama lain. Jika dia pergi, kita merasa kehilangannya, jika dia pergi kita merasa kerinduannya. Begitulah jiwa Murabbi.

Insya Allah bersama kita merasai jiwa Murabbi yang sebenar.




Tuesday, March 24, 2009

Salam rindu pada semua

"Izzat, Nape blogmu tk update?. Senyap je. Begitulah persoalan yang diutarakan oleh sahabat saya. Memang saya akui akan itu. Sejak kebelakangan ini, saya agak sibuk dengan urusan dunia yang tidak ada penghujungnya. Sekali-sekala terfikir juga cara untuk saya berkongsi pengalaman hidup saya selama ini.

Banyak sekali pengalaman hidup yang boleh dikongsikan bersama. Bemula dari kesusahan hinggalah kesenangan semuanya terkumpul dalam satu versi cerita. Walaupun masa itu tidak sesingkat mana, tetapi penuh dengan pengajaran yang boleh diambil iktibar.

Saya minta maaf tidak dapat menulis panjang buat masa ini. Akan datang insya allah saya akan sambung dengan penulisan saya yang boleh diambil iktibar. Maafkan saya jika blog ini makin lama makin suram dek penulis pun yang makin suram dengan cabaran dunia yang tidak mampu ditanggung keseorangan.

Doakan kesejahteraan bersama!

Ahmad izzat Bin Atan
General Lab Econs
12.20 petang/25.3.2009

Monday, March 16, 2009

Tahniah kepada Nik Madihah

"Murahnya rezeki beliau". Begitulah rasa isi hati saya apabila membaca kejayaan beliau dalam SPM baru-baru ini. Kemiskinan yang dihadapi keluarganya tidak menghalang beliau untuk mendapat kejayaan cemerlang dalam SPM baru-baru ini.

Melihat kepada kejayaan Madihah yang bersekolah di Sekolah Agama dan anak orang Melayu menunjukkan sesiapa sahaja yang inginkan kejayaan pasti akan ditunaikan jika berusaha bersungguh-sungguh. Walaupun keadaan sekelilingnya tidak membantu beliau secara langsung dalam pembelajaran mereka tetapi itu langsung tidak mematahkan semangat beliau untuk berjaya.

Selepas mendapat kejayaan cemerlang, tiga tawaran biasiswa ke luar negara datang serentak. Perasaan gundah gulana ayahnya akhirnya ditenangkan dengan rezeki yang tidak terfikir olehnya. Kerajaan Kelantan pun ingin menyumbangkan Rumah kepada keluarga mereka untuk kemudahan mereka dan juga anak mereka. Begitulah rezeki yang tidak disedar oleh kita.

Tahniah sekali lagi kepada Madihah.. Semoga terus maju dalam pembelajaran anda.

Saturday, February 28, 2009

Mansuhkan PPSMI!!!!

"I think we should continue Science and Mathematics in English. It is because this is idea to enhance the capabilities of our generation. The Tun idea is a good. " Tegas seorang kawan saya di dalam kelas pengucapan awam ( public speaking ),kelas kokurikulum. Memang menarik kelas ini. Cikgu yang mengajar pun kritikal dengan isu semasa membuatkan kelas tidak berasa bosan.

Semasa di dalam kelas itu, saya terfikir bagaimana saya hendak memberikan hujah yang kuat tentang isu bahasa ini? Boleh dikatakan majoriti di dalam kelas saya tu menyokong Sains dan Matematik diteruskan dalam Bahasa Inggeris. Saya masa itu memikirkan apa hujah saya boleh bawa untuk menyakinkan mereka.

Pertama isu ini bukan hanya isu bahasa. Ia adalah isu bangsa kita dan juga bahasa kita. Saya katakan kepada mereka. Saya berkata saya bukannya anti Bahasa Inggeris dan saya juga suka belajar bahasa Inggeris. Tetapi saya di sini hendak membuka kepada anda semua hakikat sebenar isu ini.

Jikalau kita melihat kepada perlembagaan Malaysia, ia adalah salah bertentangan dengan artikel 152 yang menyebut bahawa Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi untuk pembelajaran. Ini adalah dari segi undang-undang bahawa perkara ini kita semua perlu mengetahuinya. Ia adalah dasar kepada apa yang akan kita cakapkan pada hari ini.

Selain itu, kita beralih kepada statistik kejayaan isu ini. Rata-rata idea baru yang dibawa ini tidak mendapat kejayaan sama sekali. Malah ia menimbulkan banyak masalah kepada semua pihak. Pelajat terutamanya pelajar SPM menanggung kesusahan untuk menjawab soalan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Walaupun mereka diajar dalam Bahasa Inggeris tetapi soalan mereka mempunyai dwibahasa di mana mereka boleh menjawab salah satu daripadanya. Sebab itu, apabila dikatakan PPSMI ini berjaya adalah kerana mereka membuat penilaian bahawa mereka semua menjawab dalam Bahasa Inggeris. Sedangkan mereka banyak menjawab dalam Bahasa Melayu.

Saya sendiri mempunyai masalah untuk mengajar adik saya Matematik. Hal ini kerana saya sendiri belajar Matematik dalam Bahasa Melayu. Selain itu, pencapaian pelajar dalam SPM dalam dua mata pelajaran ini juga melihatkan penurunan. Skema pemarkahan menunjukkan penurunan markah lulus diturunkan dengan serendah-rendahnya. Dan mereka kata ini adalah kejayaan PPSMI. Sedangkan mereka telah merendahkan martabat ilmu itu sendiri. Ini yang saya risaukan.

Tambahan daripada itu, kekurangan tenaga kerja untuk mengajar membuatkan guru-guru tidak memahami dengan sebenarnya yang di ajarkan. Ia seperti kita mengajar orang yang tidak paham. Diri sendiri yang menjadi tidak paham. Seperti cerita P.Ramlee, Cikgu itu menyuruhPak Ali menyebut huruf jawi 'kho'. Orang suruh sebut 'kho' tetapi dia sebut lain. Dia sebut Jin ada toceng. Tidak ke menyusahkan orang. Pelajar tidak memahami apa yang cikgu hendak sampaikan tambah lagi dengan subjek yang diajar itu memang susah membuatkan pelajar dan guru sekali tidak memahami sedalamnya.

Ini yang dihadapi pelajar sekarang. Akhirnya cikgu hanya mengajar apa di dalam silibus dan pelajar menerima silibus tanpa memahami sebenarnya yang diajar dan dipelajari. Timbullah di sini misi belajar hanya hendak lulus dalam peperiksaan dan bukan kerana ilmu itu sendiri.

Maka di sini isu PPSMI bukan isu pelajar sahaja tetapi ia melibatkan masa depan bangsa Melayu itu sendiri. Jika hari ini kita tidak melakukan sesuatu, bila lagi? Hendak tunggu Melayu pupus di dunia baru masa tu hendak bertindak. Sudah terlambat. Isu Bahasa bukan perkara main-main, kita semua perlu memainkan peranan agar bahasa kita tidak menjadi bahasa pijakan oleh orang lain. Hanya kesedaran daripada bangsa itu sendiri boleh mendaulatkan bahasa mereka.

Mansuhkan PPSMI!!!!