Friday, January 23, 2009

Pandangan terhadap kekejaman Al-Quds

Dunia umumnya mengutuk kekejaman Zionis dalam usaha menyahbangsakan rakyat Palestin yang secara dasarnya kita sedia fahami sebagai suatu proses terangan untuk mengasingkan Islam dari pegangan umat Muhammad (SWT). Usaha yang sememangnya terancang, dirancang dan yang jelas mereka merancang. Bukan setahun dua, malah ratusan tahun lamanya. Mereka tidak pernah lupa malah jauh sekali untuk terlupa. Ada bernasnya mereka, belajar, mengajar dan diajar dalam suasana rentas faham agama dan kepercayaan, yang wajib bagi mereka hanyalah "ILMU" yang siap menjadikan mereka raja penentu urus tadbir dunia.



Keriuhan anak muda berdemonstrasi, laungan dan pekikan “jahanam Yahudi” terus berteriakan di setiap ruang kampus. Kesediaan pihak Kementeriaan Pengajiaan Tinggi (KPT) menerusi akuan Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin membenarkan perhimpunan aman diadakan di seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi membantah penindasan Israel terhadap Palestin ibarat pucuk dicita ulam mendatang.



Peluang ini tidak sedikit pun disiasiakan oleh pimpinan generasi muda. Sebagai mencipta sejarahnya yang tersendiri, tanggal 9 Januari 2008, bertempat di lapangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan, ribuan aktivis muda berkumpul, para professor, sarjana, malah pihak pentadbir tertinggi yang selama ini sering dikambinghitamkan dalam pelbagai soal kemahasiswaan turut bersama menghangatkan majlis. Hujan di awal perhimpunan tidak sedikit pun menggugat keyakinan dan semangat hadirin untuk terus berkumpul, sebagai menzahirkan roh keprihatin terhadap saudara mereka di Gaza yang terus-terusan dihambat bedilan bom dan roket serta peluru yang tidak bermata.



Namun disebalik kerancakkan kita berdemonstrasi, timbul persoalan, sejauhmanakah perhimpunan sedemikian rupa mampu mengucapkan selamat tinggal kepada penindasan dan kekejaman tersebut? Apakah resolusi memulaukan barangan buatan Amerika dan sekutunya dapat memastikan kedaulatan Palestin dipelihara?



Kira-kira dua minggu setelah dilancarkan, Operation Cast Lead yang terlah mengorbankn hampir 700 nyawa yang rata-rata golongan muda dan penduduk awam perlu sama-sama kita ratapi. Namun, kita seharusnya lebih kecewa dan berdukacita apabila kita gagal membaca sejarah, berlajar, berfikir dan merangka sesuatu daripadanya. Kita tidak rela terjerumus dalam lubang yang sama namun hakikatnya arah itu lah yang kita tuju.



Pada tika usianya menjangkau 60 tahun, Israel telah berjaya mendominasi dan mempengaruhi iklim dan suasana dunia. Dengan hanya 7.282 juta penduduk, pada tahun 2007 Israel telah mampu merekodkan Growth Domestic Product (GDP) berjumlah USD 188.936 bilion iaitu kira-kira USD 27,146 per kapita. Israel turut menghuni tempat teratas dalam senarai World Bank's Ease of Doing Business Index dan World Economic Forum's Global Competitiveness Report berbanding negara-negara serantaunya yang lain. Dari sektor pertahanan dan persenjataan, Israel memiliki kecanggihan teknologi yang keempat di dunia yang jauh meninggalkan negara-negara Islam yang lain.



Justeru, apakah tidak sedikit pun timbul rasa malu dan segan kita, umat yang diberikan amanah mentadbir dan mengurus alam dengan sebaiknya, terpandu hidupnya dengan bekal Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad (SAW) yang bukan sekadar kata malah terbukti pada tauladan kehidupannya, sedang kita masih mundur dibelakang?



Dalam kita menaggapi permasalahan ini, kita seharusnya lebih tenang dan waras. Api kemarahan semata-mata tidak akan sedikit pun dapat membantu malah akan lebih menyulitkan lagi keadaan. Anak muda yang digelar the angry young man harus matang dan berhikmah agar tidak serupa tikus membaiki labu. Tidak salah untuk marah, tetapi biarlah kemarahan tersebut lahir dan tetap terbungkus dalam kebernasan dan kewarasan pemikiran serta keluhuran keimanan terhadap Ilahi. Janganlah kiranya kita buka ruang-ruang bisikan kesyaitanan menerusi pintu kemarahan kita. Telah kita diajar cara bijak mengurus kemarahan yang akhirnya menuntut kita kembali bertaubat dan berserah diri pada-Nya.



Generasi al-Quds yang ulungnya dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayubi (1137-1193) sehingga mampu menawan kota Baitulmuqaddis pada tahun 1187 tidak lahir hanya setahun dua. Malah persiapan terhadap itu tidak lah salah sekiranya dikatakan telah bermula sejak zaman Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali (1058-1111) lagi. Penumpuan al-Ghazali terhadap persiapan ilmu dan pemurnian aspek aqidah telah menyediakan generasi gergasi seperti Salahuddin Al-Ayubi.



Oleh itu, kita harus pertama, memperkukuhkan aspek aqidah Islamiyah yang luhur agar kesatuan yang diizini nilai benar spiritual dapat dibentuk. Menerusi kefahaman yang tepat akan sedia membuka kesiapsediaan hati untuk umat bersatu. Kedua, menguasai konsep ilmu yang sebenar dan menyediakan kepakaran terhadapnya. Penguasaan ilmu yang tidak dibarahi unsur sekular insyaallah akan membawa muslim ke puncak jayanya. Ketiga, akhlak dan moral muslim terpuji harus ditonjolkan biarpun dilaing batu, dapatlah kiranya kita membalas dengan manisan. Namun penting juga unutk kita melaksanakannya secara berhikmah dan berwawasan.



Akhirnya, kita hanya mampu merancang, tetapi Tuhan penentu segalanya. Teruslah bermotivasi dengan al-quran dan sunnah agar diri terpandu pada jalannya yang sebenar.



ABU QASSIM NOR AZMI
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia



Sunday, January 11, 2009

along: Anda ke mana?


Ahmad! Kamu hendak ke mana? Lama sungguh tidak ketemu kamu. Kamu sihat? Sapa kawan saya di dalam YM. Kawan Indonesia saya. Saya jumpa dia di Program Temu Pemuda Serantau 2 tahun yang lepas di Jogjakarta. Seronok dan menarik program itu ditambahkan dengan suasana tempat yang sungguh nyaman menusuk ke setiap kulit-kulit peserta dari Malaysia ini.


Itu adalah cerita dahulu. Kenangan sepanjang zaman. Saya disini bukanlah hendak bercerita kisah dahulu. Tetapi saya ingin bercerita satu kisah sepanjang saya sudah lama tidak menulis blog ini. Satu kisah yang saya ingin kongsikan bersama dengan anda.


Saya di UIA sudah masuk minggu ke empat. Sepanjang 4 minggu ini, banyak kisah duka yang saya telah lalui. Dan saya selama 4 minggu ini banyak belajar tentang erti kehidupan. Apa itu pengorbanan? Apa itu sahabat? Dan apa itu masa yang sebenar?


Selama 4 minggu saya masuk ke UIA, saya sudah bersedia yang saya pasti akan disibukkan dengan aktiviti jemaah dan persatuan. Malah, memang saya sudah menanggap perkara ini adalah perkara biasa berlaku kepada semua aktivis dakwah. Saya sendiri apabila berlaku perkara ini kepada saya, baru saya mengetahui erti kehidupan yang sebenar.


Dalam kehidupan sekarang, kadang-kadang kita akan berasa keseorangan. Keseorangan dalam semua tempat hatta di dalam bilik kita pun akan berasa keseorangan. Pengorbanan yang terpaksa dihadapi keseorangan ini membuatkan saya berasa jatuh dan tertekan dengan sahabat dengan semua yang berada di samping saya. Tetapi apabila difikirkan kembali jika hidup ini tiada masalah, bukanlah hidup namanya. Setiap daripada kita pasti menghadapi masalah tetapi bagaimana kita merancang ingin merubahnya kepada keadaan yang terbaik.


Saya ada seorang sahabat yang ingin dirinya dihargai dan ideanya diterima tetapi ditolak oleh sahabat-sahabat mereka yang lain. Anda sendiri bayangkan perasaan sahabat yang ideanya ditolak sehingga membuatkan dia membenci semua sahabatnya. Memang sedih. Tetapi saya memberi semangat kepada dia bahawa kita mesti ada bersifat berlapang dada dan sedia menerima teguran orang. Saya rasa semua perkara ini mungkin terjadi kepada anda dan rasanya anda mempunyai cara yang terbaik untuk mengatasinya.


Baru-baru ini jika kita mengikuti perkembangan luar negara, isu yang sekarang hangat diberitakan adalah isu palestin. Semasa saya mendengar berita ini perasaan saya terasa hiba dan sedih dengan kejadian menimpa mereka. Setiap hari mesti ada pembunuhan yang dilakukan oleh regim yahudi yang sememangnya ini adalah satu strategi untuk membunuh seramai mungkin rakyat Palestin.


Seorang sahabat saya berkata bahawa Pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza ini adalah suatu rancangan yang sudah lama dirancang oleh mereka. Kemenangan HAMAS dalam kempen politik mereka dahulu adalah suatu rancangan jahat yahudi untuk menjatuhkan Islam. Apabila umat Islam Palestin sudah berkumpul di Gaza maka Yahudi dengan perancangannya akan melakukan pengepongan dan membunuh umat Islam di situ. Ini hanyalah satu teori yang perlu kepada pengkajian yang mendalam.


Tetapi apa pun sekarang, mereka di sana sudah hilang dua nikmat yang sekarang kita dapat di Malaysia. Apakah dia? Ia adalah masa yang lapang dan tidur dengan lena. Di sana saban hari mereka berzikir dan bermunajat kepada Allah swt supaya diselamatkan oleh kekejaman haiwan yang bertopengkan manusia itu. Mereka di sana tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka semua dikepong dan hanya pertolongan Allah sahaja mereka mampu selamat. YA ALLAH!


Bersama lah kita buat masa sekarang ini perbanyakkan amalan kerana dengan doa hamba yang soleh sahaja dapat membantu mereka di sana. Jika kita diberi peluang memegang senjata untuk berperang ke sana saya rasa kita mungkin akan memikirkan berjuta-berjuta kali untuk ke sana. Ini menunjukkan kita tidak bersedia untuk berjihad di medan yang sebenarnya. Saya sendiri pun tidak kuat untuk pergi ke sana.


Cabaran di Malaysia ini hanyalah sedikit sahaja jika ingin dibandingkan dengan cabaran yang dihadapi mereka di sana. Kita di sini hanya boleh berdemo tanda kemarahan kita terhadap orang Yahudi. Tetapi di sana perjuangan HAMAS bermati-matian membayar dengan darah mereka. Hanya Allah sahaja yang mengetahui akan penderitaan mereka di sana.


Maka kita di sini perlu ingatkan diri dan juga masyarakat di sekeliling kita bahawa rakyat di Palestin sengsara dengan peluru dan runtuhan tetapi di sini kita dihidangkan dengan makanan yang sedap dan hawa dingin di dalam kelas. Ingatlah Allah akan bertanyakan tentang sumbangan kamu terhadap Islam, apakah yang telah kamu sumbangkan? Jika kita hanya melihat tanpa berbuat apa2 maknanya hati kita telah beku dengan isu-isu yang berkaitan Islam. Kita di sini jika tidak boleh beri apa-apa cukuplah sekadar dengan berdoa kepada Allah agar dihapuskan orang Yahudi dari muka bumi dan memberikan pertolongan kepada Mujahidin di sana. Hanya itu sahajalah yang boleh kita sumbangkan di sini.


Semoga hala tuju kita lepas ini, insya allah lebih teratur dan terancang. Saya berazam untuk bulan 1 ini untuk menghabiskan sekurang-kurangnya satu buku. Sudah lama saya tidak diisikan dengan ilmu. Bersamalah kita berdoa agar umat Islam di Palestin selamat dari rejim Yahudi dan dihapuskan regim zionis ini dari muka bumi ini.


Takbir!!!!!


Lab Ekonomi..
Jam 5 petang...
12/1/2008





Saturday, December 27, 2008

Pengalaman di Port Dickson


Anak Buah saya


Bersiap sedia untuk berkayak!

Pada 15-17 Disember yang lalu, saya berkesempatan menyertai program pemantapan syahsiah di Kolej Uniti Port Dickson. Program ini dianjurkan oleh Kafa Masjid Kolej Islam Malaya Petaling Jaya. Kebanyakan peserta adalah pelajar Kafa itu sendiri beserta alumni sekolah yang berumur antara 9 tahun hingga 16 tahun.

Bertemakan syahsiah cemerlang,pelajar gemilang, bermulalah satu kehidupan baru di bumi port Dickson. Satu kehidupan yang menekankan aspek syahsiah selain motivasi diri dan ibadah. Syahsiah pelajar di sini boleh dikatakan baik walaupun ada seorang atau dua orang yang kurang dari segi itu. Bagi saya sendiri, program ini juga ingin mengisi masa cuti pelajar sambil diisi dengan aktiviti kerohanian dan fizikal yang tentunya amat menyeronokkan.

Program ini juga disertai oleh mahasiswa UIA yang menjadi fasilitator program ini. Mereka semua ini sedang cuti semester. Kebanyakan mereka dari UIA Kuantan dan UIA Gombak. Berbekalkan modul yang dipimpin oleh Ketua Fasi iaitu Mohd Suhairi dan AJK Displin Abang Khairul Ridwan, program ini bermula dengan satu matlamat untuk mendidik anak bangsa kita.

Di dalam program ini, banyak aktiviti luar tidak kurang juga aktiviti dalaman. Hal ini bertujuan untuk membina ketahanan diri dari segi mental, fizikal, rohani dan emosi. Setibanya mereka di sini, mereka dipecahkan ikut kumpulan dan dipimpin oleh fasilitator yang telah ditentukan. Saya dikira bertuah mendapat anak buah yang baik-baik dan mudah mendengar kata.

Setiap kumpulan perlu memikirkan nama,lambang dan logo. Kumpulan saya setelah lama dibincangkan bersama anak buah akhirnya terbinalah nama Usrah. Ini pun saya yang bagi nama. Maklumlah budak-budak lagi. Dalam kumpulan saya ini yang paling muda adalah darjah tiga dan paling tua adalah tingkatan lima. Pening saya dibuat mereka.

Aktiviti yang paling menyentuh diri dalam program ini adalah slot bersama Balang. Nama sebenarnya saya lupa. Beliau ini mempunyai satu konsultan latihan yang khusus dalam membina kesedaran kepada golongan muda. Slot beliau yang lebih kepada realiti zaman sekarang membuatkan saya juga merasai apa yang peserta rasa dalam slot ini. Beliau banyak menunjukkan apabila kita membuat dosa apa yang akan terjadi beserta dengan praktikalnya sekali. Beliau ini sebenarnya pernah menyertai askar dan caranya juga lebih kurang seperti askar. Gerun juga apabila beliau membuat perumpamaan api neraka dan api dunia. Api dunia beliau menggunakan mancis dan seorang pelajar dipanggil untuk merasai kepanasannya. Tidak tersanggup peserta itu menanggung kepanasan. Memang menakutkan.

Selepas itu, ada juga aktiviti yang menyeronokkan. Yelah, tidak lengkap jika tiada aktiviti yang gembirakan diri. Sedih pun sedih juga tetapi gembira pun mesti ada juga. Tidak begitu semua?

Program berkayak bagi saya amat menyeronokkan. Mana tidaknya, ini merupakan kali kedua berkayak dalam hidup saya. Sebelum kami semua berkayak, kami di beri taklimat cara permainan ini. Orang yang memberi taklimat ini merupakan jurulatih PLKN dan sudah biasa dalam aktiviti berkayak ini. Sebenarnya untuk bermain kayak ini, bukan mudah. Banyak ilmu yang kita perlu tahun seperti cara untuk menghentikan kayak, cara untuk meyelamatkan diri jika kayak kita terbalik dan sebagainya. Sehari pelajaran memang tidak mencukupi. Taklimat yang diberikan itu hanyalah perkara asas dalam berkayak. Hanya Allah swt sahajalah yang mengetahui perasaan saya ketika itu. Susah untuk dibayangkan lebih-lebih lagi apabila kita berkayak di tengah-tengah lautan. Satu pengalaman yang amat menyeronokkan.

Akhirnya tibalah masa ke penutupan program. Program ini ditutup oleh Pengerusi KAFA itu sendiri. Penyampaian hadiah juga disampaikan kepada semua peserta. Kumpulan saya mendapat tempat kedua terbaik. Saya pun tidak tahu cara pengiraan mereka. Gembira bukan main lagi anak buah saya mendapat hamper besar. Tidak termakan mereka.

Sebelum majlis berpisah, kami sempat untuk mengambil gambar bersama-sama dengan Pengerusi KAFA. Suka duka, Penat lelah semuanya dihabiskan dengan perasaan puas. Walaupun kami semua penat melayan mereka tetapi hati kami puas. Saya sendiri sangat penat dengan program ini. Tetapi amat puas dengan diri.

Akhir kata, biar kita berpenat demi Islam daripada berpenat benda yang tidak berfaedah. Biar diri kita menjadi taruhan, daripada agama kita dimaki dan dihina.

Ingatlah, Masa yang kita ada singkat sekali. Masa tidak akan menunggu kita. Berilah sedikit masa untuk agama nescaya Allah swt akan memberi lebih daripada apa yang kita sangkakan.

Tuesday, December 23, 2008

Selamat Hari Lahir ke 21: Bersediakah berubah?


Selamat Hari Lahir !

Alhamdulillah semalam saya sudah memasuki abad ke 21. Abad? Maksudnya umur 21 tahun. Bila umur sudah meningkat maknanya tanggungjawab juga meningkat. Selain tanggungjawab diri bertambah, tanggungjawab kepada orang lain pun turut bertambah.

Selain bertambah umur ini, saya terfikir apakah saya sudah membuat yang terbaik untuk diri dan keluarga? kepad sahabat? kepada masyrakat? Semua soalan ini membuatkan saya muhasabah diri yang diri ini boleh ditarik hidupnya bila-bila masa sahaja.

Ramai beranggapan bahawa bila umur kita bertambah kita akan berjaya mematangkan diri. Tetapi sebenarnya persoalan ini merupakan soalan kedua selepas kita mengetahui siapa diri kita sebenar. Untuk mematangkan diri bagi pendapat saya kita perlu mengetahui apa kelebihan kita yang sebenar. Saya sendiri memang mencari apa kelebihan diri yang boleh dibawa ke bidang saya ceburi.

Semua ini perlukan kepada usaha diri sendiri untuk memaksa diri menjadi yang terbaik. Umur 21 tahun merupakan masa untuk kita mengenal pasti kelebihan kita dan terus melatih diri menjadi seseorang pada masa depan. Persoalan diri ini saya serahkan kepada anda untuk tolong jawabkan?

Akhir kata selamat hari lahir ke 21 along@izzat. Semoga ditetapkan di jalan ini dan menjadi insan yang berguna kepada diri, keluarga,masyarakat dan agama.

Carilah kelebihan diri yang sebenar!

Terima kasih kepada semua sahabat yang ingat akan hari lahir saya. Semoga ukhuwah kita akan bersama hingga ke akhir hayat!

Sunday, December 21, 2008

Selamat kembali


Jadual saya sem ini

Akhirnya saya selamat kembali di bumi UIA. Bumi yang penuh dengan ilmu dan budi. Bumi yang akan saya berjuang untuk menuntut ilmu terutama dalam bidang saya iaitu akauntan.

Sem ini saya berasa lega kerana dua perkara. Pertama saya mendapat keputusan peperiksaan yang boleh dikatakan membanggakan. Kedua saya berjaya memasuki kuliyyah akauntan setelah sekian lama menunggu dengan debaran.

Sem ini juga boleh dikatakan sem yang sangat padat dan berisiko kerana semua subjek saya adalah membaca. Hanya satu sahaja subjek mengira. Semua subjek ini memerlukan kepada pengurusan masa dan pemahaman yang tinggi.

Semoga semester ini saya akan berusaha dengan lebih kuat lagi. Apabila sudah masuk kuliyyah subjek pun bertambah susah. Bertambah sem maknanya bertambahlah tanggungjawab. Doakan saya dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Di Lab Ekonomi
24hb Disember 2008
12.00 tengah hari.