Saturday, November 1, 2008

Definisi Tasawuf...



Entri kali ini, dan jika dipanjangkan umur saya akan berkongsi dengan anda semua tentang sebuah kitab yang bertajuk Cahaya Jalan Yang Lurus: Syarah Hikam Syeikh Ibnu ‘Atoillah Al Sakandari. Dalam buku ini ada lima bahagian kesemuanya. Dan kali ini saya akan berkongsi tentang Tasawwuf.

Definisi tasawwuf jika dicari memang banyak sekali. Syeikh Zarruq menyebut, definisi tasawwuf mencapai sehingga dua ribu penta’rifan. Semua definisi tersebut dicetuskan oleh ulama berdasarkan zauq dan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah kepada Allah.
Abu Muhammad al-Jariri mentakrifkan tasawuf berdasarkan kepada ahli bidayah(orang yang berada di peringkat permulaan). Beliau mentakrifkan

“Tasawwuf ialah memasuki ke dalam setiap akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina”

Imam al Syazuli pula berkata:
“Tasawwuf ialah melatih nafsu kea rah pengabdian kepada Allah dan mengembalikan nafsu di bawah hokum-hakamnya.

Imam al-Junaid pula mentakrifkan tasawwuf berdasarkan kepada ahli nihayah atau orang yang telah merasai hasil perjalanannya yang dicita-citakan. Menurutnya pula:

“Allah mematikan kamu daripada memandang kepada diri kamu (fana’) dan Dia menghidupkan kamu dengannya (baqa’).

Ini adalah darjat sufi yang paling tinggi dan sempurna. Berdasarkan kepada semua ini, ahli sufi perlu menjalani tiga peringkat berikut:

1. Bidayah
Orang yang berada diperingkat ini, akan merasai pada fitrahnya bahawa terdapat suatu hakikat yang perlu dikecapi olehnya. Hakikatnya adalah akhlak dan peradaban yang mulia. Untuk mengecapinya pula, memerlukan kepada suatu perjalanan yang berbekalkan keazaman dan niat yang jujur dan benar (ikhlas).

2. Mujahadah
Aspek amalan yang berhubung kait dengan syariat.

3. Orang yang merasai zauq
Merasai dan mencapai hasil yang dicita-citakan.

Dalam erti kata lain, peringkat tasawwuf ialah:
1. Mengenal nafsu, rangsangan dan keinginannya.
2. Menyucikan hati dan membersihkan ruh daripada sifat-sifat yang kotor dengan bermujahadah.
3. Menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan mempertingkatkan diri dari satu maqam ke satu maqam untuk menjadi ahli sufi yang mempunyai hati yang sentiasa sibuk dan bersama dengan Allah.

Tasawwuf Islam terbit dari usul agama yang sohih dan bukannya dari mana-mana mazhab atau agama lain, sepertimana dakwaan sesetengah pihak. Semoga mendapat pengajaran daripada buku ini. Insya Allah..


Thursday, October 23, 2008

Lambang PPINS baru



Alhamdulillah, lambang PPINS sudah siap. Semua yang dirancang jika dengan niat yang betul insya allah akan dipermudahkan. Selepas ini, lambang ini akan menjadi satu pengertian bahawa PPINS akan terus relevan khususnya di muka bumi Negeri Sembilan. Doa dan komitmen yang daripada semua sangat diharapkan agar kerja dakwah kita ini akan terus mekar mewangi ke seluruh alam.


“Hidup Biar Berjasa”

“Satukanlah Hati Kami”



Layari blog PPINS

Tuesday, October 21, 2008

Terapi solat





KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia. SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian. Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia. Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.



Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan. Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia. “Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya. Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris. Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.



Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud. Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah. Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu. Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama. “Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.



Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu. Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit. Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Saturday, October 18, 2008

Nikmat dunia yang tidak terkata.


Bersama Syed Munawwar, Hos Rancangan TV 1



“Rumah anta buat open house tak tahun ni?” Kawan saya bertanya. “Saya memang tiap-tiap tahun buat ‘open house’ apa. Gelak kami berdua. Memang menyeronokkan apabila bincang pasal hari raya ini. Sampai ke malam tidak akan habis.

Hari Raya tahun ini memang menyeronokkan seperti post saya sebelum ini. Tetapi keseronokkan itu lebih meriah jika kita tahu menghargai nikmat yang diberikan dengan sebaiknya. Nikmat ini tidak datang selalu dan ia datang hanya setahun sekali sahaja.

Bila hari raya sahaja, semua seronok bangat. Tetapi seronok dengan apa? Pastinya saya ingin membawa kepada anda tentang Rumah Terbuka. Rumah Terbuka adalah satu adat kita untuk mengajak dan meraikan semua sanak saudara,sahabat dan keluarga terdekat untuk datang ke rumah sambil menjamu selera. Bahkan, bukan adat orang melayu sahaja amalan ini dilakukan malah bangsa lain seperti india dan china juga tetap turut mengadakan rumah terbuka.

Bila sebut pasal rumah terbuka pasti akan terfikir oleh benak kita tentang makanan. Pasti kita akan tertanya apalah makanan yang yang disediakan ini. Kadang-kadang salah niat pun boleh lain jadinya. Kita di Malaysia sangat bertuah dan beruntung kerana rezeki yang dikurniakan melimpah ruah terutama makanan masa hari raya.

Makanan pada tahun ini rasanya sangat menarik sekali untuk dibincangkan. Juadah masa raya pada tahun ini kebanyakannya saya pergi ke rumah kawan dan pensyarah adalah Mee Soto. Rasanya pergi rumah mana-mana pun pasti tuan rumah akan menghidangkan Mee Soto ini kepada saya. Bab makan ini bagi saya tiada masalah pun. Janji enak rasanya.

Makan pun sudah, duit raya pun dah dapat, apa lagi ek? Pastinya kita kena beringat akan kesihatan kita ini. Saya sendiri masa raya ini sudah naik 1 kilo. Memang dahsyat. Jamuan raya sehari itu kadang-kadang sampai 4 buah rumah saya pergi. Cuba anda bayangkan? Semuanya nikmat yang terkata. Semoga mendapat pengajaran.

*Kuih Raya yang paling sedap adalah Elmond London.

* Terima Kasih kepada semua sahabat yang mengadakan Rumah Terbuka semalam. Semoga Ukhuwah terus terbina ke akhirnya.

1. Dr Farid dan sekeluarga.

2. Nadzifatul Huda dan sekeluarga.

3. Asila dan sekeluarga.

4. Uncle Jaafar Rahim.

Thursday, October 16, 2008

Masa pecutan terakhir...


Masa begitu cepat meninggalkan kita. Dengan masa juga kita akan berubah menjadi lebih baik ataupun sebaliknya. Dengan masa kita akan menjadi rugi. Dengan masa juga kita akan untung. Semuanya bergantung kepada kita bagaimana menguruskan masa dengan betul..

Hari ini sudah masuk ke 17 Syawal bersamaan 17hb Oktober 2008. Saya baru sahaja menghabiskan satu exam UBS Accounting. Betapa penatnya saya malam tadi mengulangkaji. Dan tadilah saya melepaskan kepenatan saya dengan berfikir dan mengira. Insya Allah semoga dipermudahkan hendaknya.

Di sini saya ingin berkongsi akan kepahitan yang akan menjadi manis apabila sampai waktunya. Di dunia yang serba mencabar dan penuh dengan fitnah ini, kita memerlukan sekurang-kurangnya daya kekuatan yang tersendiri yang bukan terikut dengan gaya orang lain dan bukan juga hanya semangat-semangatan. Kesusahan yang dialami oleh seseorang individu itu berbeza keadaannya dengan orang lain yang mengalami kesusahan itu.

Peranan sahabat-sahabat amat penting di dalam masa pecutan terakhir ini. Selain kekuatan dalaman dan juga kekuatan luaran,sahabat, strategi untuk menguruskan masa juga perlu dititik beratkan yang amat sangat terutama dalam waktu terdekat untuk menghadapi peperiksaan ini. Kadang-kadang kerja 'last minute' bagi sesetengah antara kita lebih baik daripada kerja di awal waktu. Ada juga yang biasa belajar dari sedikit demi sedikit sehingga hampir untuk menghadapi peperiksaan. Bagi saya secara peribadi, saya suka belajar secara sistematik. Tetapi ini semuanya terpulang kepada anda untuk menilai.

Maka di sini kita perlu sentiasa bersifat 'husnu zhon' walau apa jua sekalipun lebih-lebih lagi di antara sahabat kita. Saya sendiri sudah merasai perkara ini dan terbukti ia memang menyakitkan dan sentiasa berasa bersalah apabila tanggapan terhadap sahabat kita adalah tidak baik. Perkara ini membuatkan saya sedar bahawa sifat husnu zhon ini perlu ada dalam setiap individu untuk mengelakkan diri kita ini sentiasa positif selain dapat mempositifkan orang lain.

Apa-apapun dalam masa pecutan terakhir ini apa-apa jua boleh terjadi. Sahabat boleh menjadi musuh, musuh boleh menjadi sahabat dan sebagainya. Manusia sifatnya pelupa. Dan manusia tidak boleh hidup seorang tanpa orang lain. Semuanya telah ditakdirkan oleh Allah swt. Tetapi adakah kita hanya menyalahkan takdir jika perkara yang kita usahakan tidak menjadi kenyataan?

Semuanya bergantung kepada kita. Yang penting bagaimana usaha kita ke arah itu dan apa bekalan yang kita bawa untuk sampai ke sana. Saya mengingat kepada diri saya dan juga sahabat semua bahawa kita perlu ada prinsip sendiri. Di samping nasihat dan teguran daripada sahabat dan orang yang rapat dengan kita, kita sendiri perlu mempunyai prinsip diri dahulu baru boleh diadun dengan nasihat dan teguran orang lain. Semuanya bermula dari kita.

Terima Kasih kepada semua yang sudi membaca entri ini walaupun sebenarnya tiada isi pun. Sebab selain saya berkongsi sedikit ilmu. daripada menulis juga, saya dapat menenangkan fikiran saya. Itulah yang paling penting untuk kita ambil pedoman.