Saturday, December 22, 2007

Ayat-ayat Cinta versi Filem.

Penantian yang selama ini diharapkan akhirnya membuahkan hasil apabila novel Ayat-ayat Cinta yang popular ini telah berjaya dijadikan filem oleh syarikat perfileman di Indonesia. Novel pembangunan jiwa yang menarik ini telah menjadi perhatian orang ramai untuk membacanya. Cerita yang berkisah tentang seorang pemuda yang bernama Fahri yang mencari ilmu di bumi kinanah yang terkumpulnya banyak ilmu pengetahuan yang belum diketahui oleh kita. Dia merupakan seorang penuntut di universiti AL-AZHAR dan merupakan salah seorang daripada pelajar Sheikh Uthman yang sangat terkenal pada masa itu. Dia merasa sungguh gembira apabila bertemu jodoh dengan seorang wanita yang berpudah, yang memiliki segala kemahuan yang dimahukan oleh seorang lelaki yang inginkan ciri-ciri wanita solehah dan penghafal al-quran sama seperti keinginan Fahri. Betapa besarnya kesyukuran yang ingin dihadapkan kepada sang Pencipta yang telah membuatkan hambanya sebegini indah. Pada masa yang sama juga Fahri menghadapi konflik apabila seorang demi seorang wanita yang sudah lama menjadi kenalannya dan secara tidak sedar wanita-wanita itu menaruh harapan yang tidak dapat fahri untuk membalasnya. Tetapi kehidupan harus dijalankan jua dan itulah dugaan yg harus dihadapi oleh setiap hamba-hamba ALLAH yg beriman. Tidak cukup dengan itu, Fahri di uji lagi dengan suatu dugaan yang sangat dahsyat dan hanya individu yg kuat imannya sahaja yang boleh menghadapi rintangan sebegitu. Fahri dan isterinya pada masa itu menghadapi konflik yang amat besar dan harus mendapatkan saksi untuk kesnya terhadap seorang wanita yang hanya disaksikan oleh seorang wanita sahaja. Alangkah indahnya hidup ini jika peluang itu berada di depan mata, tetapi wanita yang dimaksudkan berada dalam keadaan yang tidak sedarkan diri. Adakah nasib Fahri akan tergantung begitu sahaja di dalam dugaan yg begitu dahsyat dan teraniaya????. Adakah begitu????. Oleh itu, di sini bersamalah kita menghayati cerita ini dalam versi filem yang saya rasa pasti menarik dan akan meberikan kesedaran kepada kita serta membawa kita ke jalan yang lurus selaras dengan tuntutan syariah. Saya juga berharap filem ini dapat mendidik jiwa kita dan berbeza dengan filem cinta yang lain. Bersamalah kita menghayati cinta yang sebenarnya. Nantilah kemunculan filem ayat-ayat cinta di pawagam.


p/s: Tarikh filem ini ditayangkan masih dalam penantian. He2..



Thursday, December 13, 2007

Jikalau bukan kita siapa lagi???


Kembali bertemu ke lapangan penulisan seterusnya. Walaupun blog saya ini banyak mencampur adukkan bahagiannya tetapi ianya hanya sebagai peringatan dan buah idea saya yang ingin dikongsi bersama.

Pada 6hb Disember yang lepas, saya berkesempatan ke Pusat Asasi UIA untuk mengikuti ceramah yang bertajuk The First Step.. If not us who else…. Ceramah ini disampaikan oleh Ustaz Zahrizal iaitu penulis kolumnis majalah I dan anis. Ceramah ini bersempena dengan Raudhah Festival (RAFEST) yang dianjurkan oleh badan pelajar di sini.
Saya membuat tanggapan apabila sampai di sini mesti ramai yang datang mendengar. Tetapi perkara biasa berlaku. Sebaik sahaja tiba di Pusat Asasi ini, saya bertanya kepada seorang pelajar di sini, dengan bersahaja. Manalah tahu mereka mengikuti perkembangan ini.
“Dik, malam ini ada ceramah apa ye?”

“Entah la bang,” dia menjawab.

Inilah jawapan yang disampaikan oleh pelajar tersebut Saya sedih kerana ceramah yang disampaikan oleh penulis blog saifulislam ini memang sangat menarik. Tetapi pelajar di sini tidak mengambil endah program-program kelimuan seperti ini.
Program-program keilmuan seperti ini banyak mengajar dan mendidik manusia ke arah mentauhidkan Allah. Selain mendengar ceramah yang disampaikan, program seperti ini juga dapat menambahkan ilmu dalam diri yang sememangnya sedikit berbanding dengan ilmu Allah yang tidak terkira banyaknya. Tetapi ramai manusia hari ini tidak mengetahui akan ganjaran mengikuti proram seperti ini. Selain kejatuhan moral dan akhlak manusia yang semakin menjadi-jadi di Malaysia terutamanya, kita masih bertuah kerana masih lagi diberikan nyawa untuk hidup di muka bumi Allah ini. Tetapi adakah kita semua sedar akan masalah yang dihadapi ini?
Berbalik kepada ceramah ustaz hasrizal ini. Ceramah yang sangat elok untuk di dengar oleh kita semua. Gaya dan cara penyampaian yang disampaikan nya membuatkan semua tertawa dengan gaya yang selamba itu. Tajuknya yang boleh dikatakan umum bagi kali pertama yang datang mendengar, pasti tertanya-tanya apa isi ceramahnya.
Di sini saya ingin berkongsi sedikit apa yang saya dapat daripada ceramah tersebut. Kebanyakan ceramah yang disampaikan banyak berkisar tentang kecemerlangan manusia itu sendiri. Dengan pengalaman yang banyak oleh ustaz sendiri,beliau banyak menyelitkan dengan kata-kata hikmah yang sesuai dengan jiwa remaja sendiri.
4 isi utama yang disebut oleh Ustaz Hasrizal yang perlu djadikan asas kepada kecermelangan adalah ilmu,kefahaman,sikap dan maklumat. Antara yang disebut adalah sikap adalah perkara yang paling utama dalam menentukan kejayaan seseorang. Kita ambil contoh kawan kita sendiri. Adakah kita berkawan dengan dia kerana ilmunya,ataupun kerana maklumat tentang isu semasa begitu banyak ataupun kerana kefahamannya yang tinggi tentang ilmu tersebut. Kebanyakan orang akan berkata sikap yang membuat seseorang ingin berkawan dengan kawan ini Hal ini bermaksud, sikap yang penyayang,menghargai seseorang,mengambil berat tentang seseorang itu menyebabkan mereka berasa dirinya dihargai dan senang untuk meluahkan masalah apabila diperlukan. Malah seorang pendakwah yang ingin menyentuh hati mad’unya adalah dengan personalitnya yang baik sesuai dengan tuntutan agama dan sunnah Rasulullah s.a.w. Kajian yang dibuat oleh Harvard business school menunjukkan bahawa Ilmu,kemahiran dan maklumat hanya 7% sahaja untuk mencapai kecemerlangan. Manakala sikap menunjukkan 93% untuk mencapai kecemerlangan. Kajian ini dibuat ke atas pelajar Harvard sendiri.
Selain itu, Ustaz juga ada menyentuh tentang memberi dan menerima. Apabila kita menerima hadiah,apa perasaan kita? Adakah seronok? Sudah tentu kan. Tetapi jika kita lihat dalam konteks ayah dan anak, siapakah yang akan rasa lebih gembira apabila menerima hadiah? Tentunya si ayah kan. Mengapa? Hal ini kerana ayah mana yang tidak gembira melihat anaknya juga gembira. Malah Ibu bapalah orang yang paling gembira apabila melihat anaknya gembira dan berjaya di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu, dalam hal ini kita mesti selalu menjaga hati ayah dan ibu kita. Berilah sebanyak-banyaknya penghargaan kepada mereka. Tunjukkanlah dengan kejayaan di dalam pelajaran dan menjadi anak yang mendengar kata. Selain itu, kita mestilah memberi dengan hati yang ikhlas. Hati yang ikhlas sahaja amalannya akan diterima oleh Allah. Jadilah orang yang memberi daripada orang yang menerima. Hal ini kerana kita tidak tahu nasib kita yang akan datang samada baik atau sebaliknya.
Akhirnya yang disentuh oleh beliau adalah muhasabah diri kita yang penuh dengan dosa. Apabila kita membawa kereta,tiba-tiba kita melihat kenderaan yang bertentangan memberi tanda dengan “membuka lampu tinggi”? Apakah maksudnya itu? Maknanya mungkin polis ada di hadapan atau sekatan jalan raya. Selepas itu, cepat-cepat kita betulkan tali pinggang keledar,memperlahankan kereta dan sebagainya. Kita hanya diberi amaran sahaja walaupun kita tidak berjumpa dengan polis lagi. Itu baru di dunia. Cuba kita bayangkan di akhirat kelak. Adakah kita sudah bersiap sedia untuk menuju ke akhirat? Amaran dan peringatan sudah banyak kali diberi tetapi kita masih tidak bersiap sedia menghadapinya. Sama-samalah kita muhasabah diri kita yang lemah ini. Semoga peringatan dan ilmu yang diberi ini diambil iktibar dan sampaikanlah walaupun satu ayat kepada yang lain.

Sunday, December 9, 2007

Satu Perjuangan



Dengan satu perjuangan,
Satu arah tujuan,
Dibawah rahmat yang maha esa,
Kita melangkah seriringan,
Satu Perjuangan

Begitulah sebahagian lirik daripada lagu Satu Perjuangan dendangan kumpulan nasyid Brothers. Lirik yang menyentuh setiap pejuang Islam yang ingin menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Banyak rintangan yang perlu ditempuhi untuk menikmati kemanisan di akhirat. Walaupun pahit di dunia namun dengan berkat dan usaha, manis akan dikecapi. Tetapi kita sering alpa dengan tuntutan syariat sehingga kita mengutamakan tuntutan dunia melebihi tuntutan akhirat.

Dakwah Nabi Muhammad s.a.w kepada umatnya menghadapi berbagai-bagai cabaran sehinggakan kita sebagai hamba biasa menangis apabila mendengar kisah Rasulullah s.a.w. Tetapi Nabi tidak pernah kenal erti putus asa terus berjuang untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Malahan pada awal dakwah Rasulullah, Nabi menghadapi kesukaran yang tidak dapat dibayangkan oleh kita. Kisah dakwah Nabi ke Thoif memberikan bukti yang cukup kuat apabila Nabi sendiri di baling batu oleh kaum kafir. Sehinggakan tiada seorang pun yang menerima dakwah baginda. Apabila baliknya Nabi ke Makkah hanya seorang sahaja yang menerima ajaran Nabi apabila beliau tertarik dengan cara makan Nabi. Malaikat Jibril sangat marah kepada penduduk Thoif sehinggakan Jibril menawarkan untuk membalikkan bumi Thoif jika mendapat keizinan Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah sangat penyayang kepada umatnya tidak membenarkan perkara itu berlaku. Betapa luhurnya pekerti Rasulullah s.a.w.

Semasa Islam telah berjaya menguasai hampir keseluruhan dunia, menandakan dakwah Rasulullah telah berjaya dengan jayanya. Semua orang bergembira meraikan kemenangan tersebut. Tetapi para sahabat tidak begitu. Malah mereka berasa sungguh takut kerana kejayaan itu menandakan kewafatan baginda semakin hampir. Semasa baginda wafat, baginda hanya menyebut ”ummati...ummati” menunjukkan bahawa baginda sangat mengasihi umatnya. Selepas kewafatan baginda, Saidina Umar sungguh tidak percaya akan kejadian itu. Beliau tidak boleh menerima kewafatan baginda sehinggakan sesiapa yang mengatakan kewafatan baginda akan dipancung kepalanya. Begitu kasihnya Saidina Umar kepada Rasulullah s.a.w tidak ada tandingannya. Semua umat Islam pada masa itu sangat sedih akan pemergian Rasulullah pada 631 masihi. Ketika itu umur baginda baru berumur 63 tahun. Betapa syahdunya kisah ini jika dihayati dengan mendalam. Jika kita berkesempatan pergi ke Makam Rasulullah s.a.w, jiwa terasa sangat sedih apabila mendekati Makam beliau.

Menginsafi bahawa kita semua adalah mata rantai dakwah,maka kita semua tidak lari dari tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Tanggungjawab yang dimaksudkan adalah memakmurkan muka bumi ini dengan cahaya Islam. Oleh itu, pelbagai cara dan jalan yang boleh dilakukan untuk memakmurkan muka bumi terutamanya kita di zaman yang penuh mencabar hari ini. Justeru itu, kita semua tidak boleh lari daripada kerja dakwah yang akhir-akhir ini semakin dilupakan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: Ingatlah ketika tuhan berfirman kepada para malaikat: ”Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: ”Mengapa Engkau hendak menjadikan(khalifah) di muka bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padannya dan menumpahkan darah,padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: ”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. (Al-Baqarah:30)

Justeru itu,dakwah Rasulullah s.a.w perlu diteruskan hingga ke hari pengadilan. Allah berfirman yang bermaksud: ”Dan siapakah yang lebih baik (utama) kerjanya dari seorang yang berdakwah kepada jalan Allah,beramal soleh dan mengaku, sesungguhnya aku berserah diri kepada Tuhan” (Al-Fussilat:33). Ayat ini menjelaskan bahawa betapa tingginya nilai misi kita ini,misi dakwah yang kita bawa selama ini. Selain itu, dalam ayat yang lain yang bermaksud: ”Hendaklah ada di antara kamu ummat yang mengajak kepada kebaikan,menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang yang mungkar,mereka itulah yang beroleh kemenangan”.(Al-Imran:104). Maka kita hendaklah sentiasa berfikir tentang umat masa sekarang yang jikalau kita lihat mengalami satu reformasi yang sungguh tidak baik.

Kerja dakwah ini adalah satu kerja yang wajib bagi semua untuk dilakukan. Selain kita adalah manusia yang kerdil dan dalam masa yang sama memikul peranan yang sangat hebat ini, kita insaf bahawa tiada peranan yang lebih wajar dan layak dijunjung melainkan tugas ini. Walaupun kerja kita ini adalah satu yang amat berat,tetapi Allah sudah menjanjikan berita yang gembira kepada orang yang sabar menempuh dugaan ini. Allah berfirman: ”Kami pasti akan menguji kamu dengan rasa takut dan lapar,kekurangan harta benda,tenaga juga hasil semaian dan sampaikanlah khabar gembira bagi mereka yang sabar”. (Al-Baqarah:155). Oleh itu, kerja dakwah ini perlu dibina dengan kefahaman yang utuh tentang dakwah itu sendiri. Malahan perkara-perkara asas seperti perlunya rukun-rukun usrah:taaruf,tafahum dan takaful perlu disempurnakan terlebih dahulu.

Walaubagaimanapun, dakwah kita perlu dicirikan kepada tiga rukunnya: Pertama adalah ilmu. Hal ini kerana ilmu adalah syarat kebangkitan sebuah tamadun. Ilmu juga kesinambungan sebuah perjuangan. Ahli-ahli gerakan perlu kepada pembudayaan ilmu yang sihat. Budaya 3P sungguh signifikan kepada pembudayaan ilmu ini. Pembacaan,penulisan dan percakapan adalah perkara yang perlu dijadikan sebagai amalan setiap pendakwah terutama ahli-ahli gerakan. Kedua adalah Tarbiyyah. Penekanan terhadap aspek kerohanian adalah satu aspek yang sangat penting kepada setiap pendakwah. Roh memerlukan kepada makanan rohani yang akan menguatkan jasad kita untuk meneruskan perjuangan risalah nabawiyyah. Rukun yang terakhir adalah Jihad. Perlunya kita apabila disiplin-disiplin seperti usrah, latihan pendakwah dan sebagainya kita terjemahkan kepada perbuatan. Hal ini dimaksudkan adalah dengan kita sendiri turun ke lapangan dakwah dengan mencegah kemungkaran dan mengajak kepada kebaikan. Jikalau perkara ini dihayati dengan mendalam maksudnya, maka kita akan faham tujuan dan matlamat sebenar kita perlu kepada kerja ini.

Selain itu, kerja-kerja ini perlu diliputi oleh tiga wasilah umum iaitu Al-Imanul Amiq (keimanan yang mendalam), Al-Tanzim Ad-Daqiq (aturan kerja yang rapi), dan Al-Amal Al-Mustamir (kerja dan usaha berterusan). Budaya kerja yang terancang perlu dalam misi dakwah kita agar lebih teratur dan dinamik. Kefahaman yang mendalam juga akan membantu kita terus istiqamah dalam perjuangan ini. Saidina Ali pernah berpesan: ”Kebatilan yang terancang seringkali berjaya meleburkan kebenaran yang tidak terancang”. Oleh sebab itu, perlunya kita kepada kerja secara berjemaah. Bak kata pepatah, jika sebatang lidi ia akan mudah patah. Tetapi jika dikumpulkan semua lidi, ia susah hendak dipatahkan. Bahkan ia akan menjadi bermanfaat kepada orang lain dengan membersihkan rumah dan sebagainya.

Gerakan Islam adalah satu wadah kita untuk memperjuangkan agama kita yang tercinta ini. Bahkan di dalam gerakan Islam inilah kita akan dilatih menjadi seorang pendakwah. Di Malaysia,terdapat banyak gerakan Islam yang memperjuangkan nasib agama,bangsa dan negara. Antaranya adalah Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM),Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM), Jemaah Islah Malaysia(JIM),Kelab Rakan Islah Malaysia(KARISMA) dan banyak lagi yang terus menjalankan kerja mereka. Kelahiran banyak gerakan Islam memudahkan kerja dakwah. Malah mereka mempunyai peranan masing-masing yang tidak boleh dipertikaikan. Hormat-menghormati dan saling kerjasama antara satu sama lain adalah perlu bagi memastikan agama Islam dan masyarakat terus terbela nasibnya di muka bumi ini. Selain daripada itu, para pendokong dan pimpinan gerakan perlu mempunyai satu fikrah yang sama dalam membawa manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah secara individu atau secara berjemaah. Hal ini perlu kepada kefahaman yang tinggi tentang dakwah agar mereka bekerja bukan kerana nama atau pangkat. Perlu diingat bahawa penggabungan diri di dalam gerakan islam bukanlah setakat usia muda sahaja,malah dari segenap sudut perlu diambil kira hatta dalam keadaan senang ataupun susah. Gerakan masa sekarang banyak mengambil contoh daripada gagasan fikrah gerakan yang dimulakan oleh As-Syahid Hassan Al-Banna dan gerakannya Ikhwanul Muslimin. Oleh itu,perlunya kita dulu,kini dan selamanya kepada menyertai gerakan Islam dalam menegakkan agama Islam di muka bumi ini.

Justeru itu, marilah kita sama-sama dalam program kepimpinan ini memperkukuhkan idealisme,aktivitisme,dan intelektualisme. Ketiga-tiga elemen ini jika diadun secara seimbang,komprehensif dan bersepadu akan melahirkan generasi muda yang diharapkan mampu mewarnai corak ketamadunan bangsa yang akan datang. Islam akan menang di akhirnya tetapi adakah kita akan melihat sahaja tanpa menyumbang sesuatu?. Akhir kalam marilah kita merenung pesanan Mujaddid kurun ini,Imam Hassan Al-Banna terhadap para pendokong gerakannya:


”Hai ikhwanul Muslimin,terutamanya yang gopoh gapah di antara kamu,dengarkanlah kata-kataku yang tinggi berkumandang dari atas mimbar ini. Sesungguhnya jalan kita telah digariskan langkah-langkahnya,ditentukan batasnya dan aku tidak melanggar batas-batas itu, dan aku telah berpuas hati,kepuasan yang hakiki, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mendapat tujuan. Mungkin tugas dakwah merupakan satu jalan yang panjang,tetapi di sana tidak ada jalan lain selain jalan itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian,ketekunan,kesungguhan dan amal usaha yang bersungguh dan terus menerus. Sesiapa yang sabar bersamaku hingga subur dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya,baik buahnya hingga tiba waktunya untuk dipetik maka ganjarannya terserah kepada Allah semata-mata. Kita tidak dapat lari daripada mendapat salah satu dari dua kebaikan:menang dan berkuasa atau mati syahid dan bahagia.”


Monday, November 26, 2007

Dari Seremban ke Rembau


Pada 18hb hingga 25hb November yang lepas,penulis telah menyertai Program Tafaaquh Fi Al Din anjuran Yayasan Sofa. Program ini bertempat di Rembau,Negeri Sembilan. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang asas-asas dalam agama seperti bab aqidah,akhlak dan tauhid. Kebanyakan peserta yang menghadiri program ini berumur antara 10-15 tahun dan datang dari pelbagai tempat dari pelusuk Negeri Sembilan,Melaka dan Selangor. Sebanyak 130 orang perserta yang menghadiri program ini.

Program yang pertama kali penulis menyertai ini banyak memberi pengajaran dan muhasabah kepada diri bahawa diri ini banyak kekurangan dari segi ilmu agama. Buat pengetahuan semua, Yayasan Sofa ini adalah sebuah Yayasan yang giat menjalankan aktiviti kebajikan dan pendidikan khusus bagi masyarakat umum. Selain itu, Yayasan ini telah menubuhkan Madrasah untuk tempat pembelajaran dan hafazan. Apa yang menarik di sini pelajar yang baru berumur 11 tahun telah berjaya menghafaz sebanyak 3 juzuk al-quran.

Suasana tempat di sini banyak mengajar penulis tentang erti ketabahan dan pengorbanan. Tempat yang dahulunya adalah hanya Madrasah Pondok sekarang pesat membangun dengan pembangunan yang lebih moden untuk pembelajaran pelajar-pelajar di sini. Pengorbanan untuk menuntut ilmu banyak melahirkan ulama dan ilmuwan Islam yang hebat-hebat dari sini. Suasana kampung yang aman menyebabkan hati kita berasa tenang apabila berada di sini. Maka benarlah kata pepatah Bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian.

Peserta program yang menyertai ini adalah dari pelbagai latar belakang keluarga,kehidupan dan pendidikan. Oleh itu,memang banyak ragamnya dan memang sukar untuk dikawal pada mulanya. Tetapi pengalaman sebegini memang tidak dapat di mana-mana program lain. Mengapa saya sebut begini adalah kerana di sini penganjur banyak menekankan kepada stail ala-ala pondok. Dalam program ini dua buku digunakan iaitu Aqidah Awwam dan Asas agama menurut Mazhab Syafi’i. Selain itu, program ini di hiburkan dengan Madih atau puji-pujian terhadap Rasulullah. Madih ini melambangkan bahawa Islam itu sangat indah sehinggakan Ulama dari Mesir yang datang pada majlis mengingati Al Imam Abdullah ibn Alawi Al Haddad menangis disebabkan oleh keindahan syair yang memuji Rasulullah s.a.w. Kesenian Islam sebenarnya tidak ada tolok bandingnya dengan kesenian yang lain. Oleh hal yang demikian, seharusnya kita mengetahui akan pujian-pujian ini kerana amalan ini sudah lama tidak dihidupkan. Selain bacaan tarannum dan nasyid selawat,Madih juga ini boleh dijadikan sebagai hiburan di samping memuji Rasulullah s.a.w.

Akhir sekali, mari kita muhasabah diri masing-masing. Adakah sudah cukup ilmu di dada kita ni sehinggakan kita hendak mengajar orang lain? Banyak perkara yang perlu dipelajari sebenarnya. Ilmu Allah sangat luas sehinggakan tidak termampu oleh kita. Tuntutlah ilmu dari hidup sehingga ke liang lahad. Oleh itu, program seperti ini sebenarnya sangat baik untuk remaja masa sekarang. Hal ini kerana selain kita di pengaruhi oleh budaya yang melampau di luar sana, elok kita kembali kepada keadaan asal kita dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Nak atau tidak masalah sosial yang membelenggu terutama golongan remaja masa ini perlu perhatian semua lapisan masyarakat. Didikan yang paling utama adalah dari rumah dan kedua adalah sekolah dan seterusnya.

Tuesday, November 13, 2007

SPM menjelang tiba.........................

Peperiksaan yang akan bermula seminggu lagi banyak mengingatkan aku kepada masa depan. Ada kala bila dipikirkan seronok, dan ada kala pahit. Tetapi aku tetap juga tabah menghadapi walaupun pahit yang di rasai sebenarnya. Di kala kawan-kawan aku sedang menelaah pelajaran,aku masih di buai mimpi yang indah. Sedangkan mimpi itu belum tentu akan menjadi kenyataan. Masa aku sedang dibuai mimpi indah, kawan aku menggoyangkan katil aku.

Ijat! Subuh-subuh.., Abg Baihaqi dengan suara yang tinggi. Maklumlah aku ni memang susah nak bangun pagi. Hari minggu seperti ini memang lain dari yang lain tidurnya.

Selepas aku sembahyang subuh, aku terus pergi ke bilik belajar di asrama aku. Tanpa melengahkan masa aku terus membuat latihan prinsip perakaunan. Subjek yang paling aku minati. Selang beberapa minit,kawan kelas aku datang belajar bersama. Idahan,fareez,faiza,hazizul dengan Faez merupakan kawan baik aku sejak tingkatan 4 lagi. Mereka semua aktif dalam kokurikulum dan akademik.

Kami semua belajar bersama dengan rajinnya di samping membuat lawak sebagai pengelak daripada mengantuk kembali. Kami semua memang suka bergurau. Maklumlah dua tahun kelas bersama. Manis pahit ditempuhi bersama. Lagi pun kami memang enam orang lelaki sahaja yang mengambil akaun.

Di sekolah aku ni terdapat satu kelas sastera dan empat kelas sains tulen. Aku masuk sekolah ni dua tahun yang lepas,berjumpa lah aku dengan mereka ini. Mula-mula rasa segan sebenarnya. Maklumlah aku ni dari sekolah biasa ke sek agama yang pelajar-pelajarnya alim dan solehah belaka. Tetapi lama kelamaan aku ’masuk’ juga dengan mereka. Pemikiran tidak jauh bezanya dengan aku.

Tetapi apabila dikenangkan,sekejap sangat masa berlalu meninggalkan kita. Benarlah kata Imam Ghazali bahawa
Masa adalah paling jauh dengan kita. Ia akan pergi jauh tanpa menghiraukan kita di belakang ini.
Pejam celik dah nak SPM. Pejam celik umur kita pun sudah makin bertambah. Tiba-tiba. sedang........Bersambung.