Saturday, July 11, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012


Hidup Bahasa Melayu! Kenangan semasa Demo PPSMI.

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.


Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Monday, July 6, 2009

Semangat menimba ilmu


Gambar pada 2003. Masa tu saya form 4.

Salam. Pada 5 Julai yang lalu, satu peristiwa yang bersejarah telah berlaku. Peristiwa yang menunjukkan semangat ingin menuntut ilmu. Tarikh ini merupakan tarikh pendaftaran ibundaku yang tercinta untuk menyambung Master in Bahasa Inggeris Korporat.

Saya apabila mendengar dia kata dia ingin melanjutkan pelajaran, saya agak terkejut. Memang dari dulu lagi ibuku bercita-cita menyambung pelajaran. Kalau boleh hingga ke peringkat PHD. Tetapi masa dan keadaan yang tidak mengizinkan. Ibuku tidak dapat berbuat begitu pada awalnya.

Pencapaian pendidikan yang tertinggi memang menjadi satu trend buat masa ni. Kita nak gaji lebih ataupun senang mendapat kerja mesti mendapat pendidikan yang tertinggi. Makin tinggi pendidikan kita makin senang dan tinggi gaji kita. Saya sendiri pun hendak mengikut jejak langkah ibundaku. Tetapi cadangnya di luar Negara. Insya Allah.

Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah kepada ibundaku yang tercinta kerana berjaya menyambung pengajian ke Master in Bahasa Inggeris. Semoga dipermudahkan perjalanannya dalam masa 2 tahun ini. Nanti kita semua ramai-ramai ke UPM lagi. Doakan bersama.


Teruskan bersemangat ibu!!


We all love you!!!



Tuesday, June 23, 2009

Cara terbaik untuk mati

Kadang apabila bersendirian begini, saya terfikir dengan cara apakah ana akan mati nanti?

Adakah nanti ana akan mati di atas katil?

Atau pun sakit kuat?

Atau pun kemalangan?

Apa-apa pun sebabnya, pasti saya akan mati.

Manusia akan mati.

Haiwan akan mati.

Malah pelangi pun tidak lama berada di dada langit.

Adakah saya boleh memilih cara untuk mati?

Mati dengan cara bermaruah dan bersedia untuk bertemu Tuhan.

-Ingatkan daku sahabat jika aku terlalai dalam kehidupanku. Agar aku mati dalam keadaan yang bahagia.

Hari ketabahan

Salam semua. Hari ini adalah hari yang banyak mengajar erti kehidupan dalam meneruskan sisa-sisa hidup yang tidak tahu akan kesudahannya. Pancaroba yang dilalui oleh manusia membuatkan manusia kadang-kadang terlupa akan Yang Maha Pencipta yang telah menyusun dengan baik takdir dan nasib setiap manusia. Bergantung kepada manusia itu sendiri sama ada hendak menjadi baik atau tidak baik.
Ketabahan dalam kehidupan kadangkala susah untuk dihadapi. tetapi kecekalan yang diharapakn untuk menghadapinya tidak mampu untuk dihadapi 100%. Banyak cara untuk melakukan yang terbaik tetapi sifat manusia yang pelupa dan lemah membuatkan kita sendiri berasa kecewa dengan sikap kita.
Sekarang masanya bukan untuk kita mengenang akan nasib yang lalu tetapi membuatkan perancangan masa depan yang tidak tentu akan mendapat kebahagiaan atau tidak. Doa dan harapan yang tidak putus kepada Allah swt meminta keampunan perlu agar kita tidak menjadi hamba yang dimurkai oleh Allah swt.
-Doakan saya yang terbaik untuk menghadapi ujian esok hari dengan selamat. Terima Kasih semua.

Wednesday, June 17, 2009

Jangan butakan mata!

“Abang pasti adik-adik ada terbaca dan tahu tentang tragedi terbaru yang menimpa umat Islam dekat selatan Thailand hari Isnin yang lepas” ramai ahli-ahli Usrah Jumaat mengangguk-angguk tanda mengetahui apa yang terjadi di selatan Thailand pada Isnin yang lepas.

“Sekali lagi umat Islam di selatan Thailand digemparkan dengan tragedi berdarah. Dan sampai sekarang tak tahu siapakah dalang di sebalik perbuatan terkutuk itu” Abang Faisal meneruskan usrah Jumaat PKPIM dengan menyentuh sedikit sebanyak mengenai sejarah pergolakan yang berlaku di Selatan Thailand.

Yang pastinya, ini bukan kali pertama umat Islam di Selatan Thailand menjadi mangsa. Bukan pertama kali, darah umat Islam di sana mengalir umpama tiada harga. Bukan pertama kali umat Islam di sana terseksa dengan penindasan yang berlaku dek kerakusan pemerintah. Namun, kita di sini, masih MEMBUTAKAN MATA! Seolah mereka bukan saudara mara kita.
Pernah tak kita ambil tahu tentang mereka? Pernah kita mencari gali sejarah mengapa tertindasnya umat Islam di sana?

Wahai aku dan juga sahabat seIslam aku di luar sana…. JANGAN BUTAKAN MATA!
Betapa beruntungnya kita berada di bumi bertuah Malaysia. Aman dari segala ancaman. Tetapi mengapa kita masih mahu berbalah? Mengapa masih lagi mahu berkelahi mengenai perkara-perkara yang furu’? Sedangkan menjaga kesatuan itukan lebih besar kepentingannya?
Anda baca, dan nilailah sendiri…. Jangan kata anda pejuang Islam, andai anda tidak rasa sedih dengan kelakuan mereka yang tidak berperikemanusiaan ini!

SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) 9 Jun – Kejam dan tidak berperikemanusiaan!
Mungkin itu yang dapat digambarkan tentang pembunuhan 11 jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, 50 kilometer dari bandar ini kira-kira pukul 8.50 malam tadi (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.

Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian berlaku amat pantas kira-kira lima minit di mana empat lelaki dikatakan menyerbu masuk ke dalam masjid dari arah pintu belakang manakala dua lagi dari arah tepi.

Katanya, kesemua mereka bersenjatakan rifel M-16 dan pump gun serta memakai seragam hitam serta bertopeng.

‘‘Ketika kejadian berlaku saya bersama tiga lagi rakan berada dalam wakaf kira-kira 15 meter dari pintu masuk utama masjid ini, Tiba-tiba kami mendengar bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu. ‘‘Kami bersembunyi dan bergerak ke tempat kejadian dengan perlahan-lahan dalam gelap untuk melihat apa yang berlaku dengan lebih jelas.

‘‘Saya kemudian melihat mereka memasuki masjid ini dan melepaskan tembakan ke arah kepala serta badan jemaah yang terbaring dalam ruang solat, tembakan itu dilepaskan bagi memastikan kesemua jemaah ini benar-benar mati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian. Hassan berkata, penyerang dipercayai memasuki kawasan masjid melalui hutan dan kawasan ladang getah di bahagian belakang bagi memastikan kehadiran mereka tidak disedari. Katanya, pembunuh kejam itu tidak memasuki masjid melalui pintu utama kerana ia diterangi dengan cahaya lampu.

‘‘Selepas bunyi tembakan hilang, beberapa orang kampung datang dan saya bersama mereka memasuki masjid melihat mayat bergelimpangan dipenuhi dengan darah.

‘‘Ketika itu, hanya dua jemaah terselamat tanpa sebarang kesan tembakan. Salah seorang daripada mereka adalah ‘tok siak’ masjid, bagaimanapun akibat terkejut dengan serangan tersebut dia pengsan kerana serangan jantung.

‘‘Seorang lagi yang terselamat adalah ahli kumpulan ‘tabligh’ yang datang berdakwah di sini, dia terselamat kerana ketika itu sedang sujud dan setelah mendengar bunyi tembakan dia meniarap dan berpura-pura mati,” katanya.

Serangan tersebut turut menyebabkan imam masjid, Wan Nasir Wan Abdullah, 62, terkorban manakala 12 parah dan dua terselamat.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11 pagi ini dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati perkarangan masjid itu dipenuhi oleh kaum masyarakat Melayu Islam dari tiga daerah yang bergolak itu.

Malah ketika itu, ruang solat masjid berkenaan masih dipenuhi darah dan ia dibersihkan sepenuhnya oleh anggota tentera kira-kira pukul 5 petang ini.

Tinjauan juga mendapati dinding dalam masjid tersebut turut dipenuhi kesan tembakan dan kawalan keselamatan di kampung berkenaan ditingkatkan.

*Dipetik dari Utusan Malaysia dan blog adeqashah.blogspot.com
Fikir-fikirkanlah! Semoga Allah menempatkan para jemaah yang terkorban dalam serangan ini di tempat orang-orang yang soleh. Syukur, mereka mati tatkala menghadap Allah. Aku dan anda di luar sana? Adakah pasti bila tiba saatnya nanti kita berada di tikar sejadah? Wallahua’lam….