Tuesday, May 13, 2008

KES SITI FATIMAH: BEBERAPA SUDUT PANDANGAN



Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dalam kes Siti Fatimah adalah sangat penting serta perlu disoroti dengan saksama dari pelbagai sudut agar sikap yang setepatnya dapat diambil terhadap perkembangan terkini berkaitan isu murtad di negara kita.


Sebenarnya kes ini bukanlah kes pertama seumpamanya di Negara kita, seperti yang dinyatakan oleh sesetengah laporan media. ABIM dimaklumkan bahawa memang sudah ada sebelum ini beberapa kes melibatkan saudara baru yang telah memohon dan mendapat kebenaran mahkamah syariah untuk keluar dari agama Islam. Cuma kes-kes lain sebelum ini tidak mendapat liputan meluas. Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa adanya kes-kes ini bukan bermakna bahawa kedudukan persoalan ini dalam Negara kita sudah jelas dan seragam. Hakim-hakim Mahkamah Syariah yang memutuskan kes-kes ini telah membuat keputusan berdasarkan fakta kes masing-masing dalam situasi peruntukan undang-undang berkaitan murtad masih belum jelas atau seragam di negeri-negeri. Walaupun negeri-negeri mempunyai bidangkuasa tersendiri dalam hal-ehwal Islam, namun ada keperluan kepada suatu sikap perundangan atau fatwa yang sejelas mungkin dan seragam berkaitan permohonan keluar agama Islam di negara ini. Isu murtad di Malaysia sering menjadi tumpuan masyarakat dalam dan luar Negara dan menjadi alasan sesetengah pihak untuk memberi gambaran negatif terhadap Islam dan umat Islam di Malaysia.


Susulan daripada itu, sudah tiba masanya untuk dicari suatu formula yang disepakati mengenai hukum syarak dan tatacara mengenai murtad atau permohonan keluar dari agama Islam di Malaysia. Ini menuntut suatu proses Ijtihad Kolektif yang melibatkan ahli-ahli fatwa dan pakar-pakar perundangan dalam bidang yang terbabit. Adalah wajar pandangan semua pihak yang berkaitan dan berminat, termasuk yang bukan Islam, turut didengari dan di ambil kira. Akhirnya, memandangkan ini adalah isu hukum-hakam, para ahli fatwalah yang akan merumuskan keputusan terakhir dan cadangan peruntukan undang-undang yang sesuai.


Kes Siti Fatimah ini adalah kesan pelbagai keputusan mahkamah sebelum termasuk keputusan Mahkamah Sivil tertinggi di Malaysia, Mahkamah Persekutuan dalam kes Azlina Jailani yang menegaskan bidangkuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah dalam kes-kes murtad dan seumpama dengannya. Justeru itu, kedudukan Mahkamah Syariah sebagai forum terbaik bagi menentukan status agama seseorang yang asalnya beragama Islam tidak patut dipertikaikan lagi. Terlepas dari soal betul-salahnya penghakiman dalam kes Siti Fatimah ini, ia membuktikan bahawa Mahkamah Syariah boleh dan mungkin membuat yang memihak kepada sentimen pihak bukan Islam. Adalah jelas tanggapan bahawa Mahkamah Syariah akan sentiasa berat sebelah terhadap pihak Islam adalah salah dan tersasar.


Dengan latar tersebut, ABIM merasa kesal dengan sikap Majlis Peguam Malaysia melalui naib pengerusinya, Ragunath Kesavan seperti yang dilaporkan oleh media, yang terus-menerus berkeras bahawa kes-kes seumpama ini sepatutnya ditangani oleh Mahkamah Sivil.


Semua pihak haruslah menghormati penghakiman dalam kes tersebut. Sudah tentu ini tidak menutup ruang untuk pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) memfailkan rayuan terhadap penghakiman tersebut untuk dipertimbangkan di peringkat yang lebih tinggi. Sepintas lalu, nampaknya kedudukan isu tersebut tidaklah begitu mudah. Tidak semestinya faktor bahawa seseorang itu telah tidak mengamalkan amalan-amalan agama Islam wajar menjadi faktor utama penentu status agama seseorang Islam. Walau bagaimanapun ia mungkin sesuai dalam situasi yang melibatkan seseorang saudara baru yang keIslamannya pada asalnya tidak jelas serta boleh dipertikaikan ketulenannya.


Akhirnya, pihak berkuasa agama perlu lebih bersungguh-sungguh dan cekap dalam memelihara kefahaman dan penghayatan agama saudara-saudara baru. Walau apapun latar dan tujuan sebenar seseorang saudara baru itu memeluk Islam, pihak berkuasa agama berada dalam posisi yang strategik dan mempunyai kapasiti untuk menyempurnakan penghayatan Islam mereka. ABIM turut kesal , jikalau benar seperti gambaran yang di sebut dalam penghakiman kes tersebut, bahawa dalam kes ini, pihak berkuasa agama negeri terbabit telah gagal mengambil langkah-langkah yang semaksima mungkin dalam memelihara hal-ehwal keagamaan para saudara baru.


YUSRI MOHAMAD

Presiden ABIM.

Monday, May 12, 2008

Kejernihan jiwa

Kawan sekelas dulu........5 Ihsan

“Tensionnya aku hari ini!!!” Semua benda aku belajar hari ini semua tak masuk kepala!! Mengeluh seorang sahabat aku. Biasalah tu. Hari ini memang subjek ‘killer’. Kalau saya pun memang susah juga. “Sahabat, kadang-kadang kita lupa yang semua ini berlaku kerana jiwa kita penuh dengan dosa dan menyebabkan urusan kita menjadi susah”. Nasihat aku kepadanya.

Jiwa adalah satu organ manusia yang tidak dapat dilihat yang sangat susah untuk dijaga. Hal ini kerana jiwa adalah satu benda yang paling lembut dan memerlukan kepada belaian yang kerap oleh kita sebagai manusia. Jika hati ini tidak dijaga dengan baik maka rosaklah satu jasadnya.

Pentingnya amalan

Di sini saya ingin mengingatkan diri sendiri dan juga kawan-kawan semua bahawa segala urusan duniawi adalah berlandaskan daripada ketentuan dari Allah s.w.t. Perancangan manusia tidak selalunya berjaya tanpa kita meminta kejayaan tersebut daripadanya. Perkara yang selalu kita semua lupa adalah apabila kita semua pandai untuk bercakap di depan orang tetapi tidak pandai untuk melakukannya. Penting untuk kita sedar bahawa amalan yang diredhai oleh Allah s.w.t adalah apabila kita melakukan apa yang telah kita cakapkan. Perkara yang tidak disandarkan kepada amalan akan menjadikan kita seorang yang bersifat NATO(No action Talk Only).

Nilai hidup

Hidup ini ibarat bumi yang berputar. Kadang-kadang kita akan berada di atas dan kadang-kadang kita berada dibawah. Semua ini lumrah hidup. Tetapi adakah kita membuat yang terbaik dalam hidup kita? Masa yang telah berlalu sangat berharga jika kita melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Maka hidup ini pun sangat yang berharga bagi kita dan kitalah yang perlu mengawal masa kita agar hidup kita lebih bermakna. Jika kita mengambil perumpamaan antara orang yang kaya dan orang yang miskin. Manakah yang lebih gembira hidupnya? Dua situasi ini ada pro dan kontranya. Orang yang kaya jika hidupnya hanya mengejar material dan terlupa akan tanggungjawabnya akan menyebabkan mereka mengejar sesuatu yang tidak pasti. Jika keluarga itu berlandaskan kepada ajaran islam yang sebenar maka aman bahagialah keluarga itu kerana melalui harta yang banyak mereka membelanjakan ke jalan yang diredhai dan diberkati oleh Allah s.w.t. Begitulah sebaliknya dengan keluarga yang miskin itu. Oleh itu, hidup ini hanya sementara sahaja. Maka beramallah sebaik mungkin agar hidup ini akan lebih bermakna buat kita.

Semua akan menjadi mudah

Apabila amalan dan hidup kita berlandaskan syariat Allah s.w.t, maka hidup ini akan menjadi mudah dengan izin Allah s.w.t, Syeikh Muhammad Abduh dalam riwayat kisahnya menceritakan bahawa beliau pada mulanya adalah seorang yang lembap dan tidak pandai dalam pelajarannya. Sampai suatu masa ketika beliau berjumpa dengan Pak Cik saudaranya seorang ulama sufi yang hebat amalannya. Dari situ beliau tersedar yang hidup ini jika tidak dipandukan dengan amalan penyucian jiwa dan keredhaan Allah s.w.t, maka semua kerja yang kita lakukan akan menjadi payah dan sukar. Bila hati tidak tenteram maka perbuatan kita pun akan turut sama. Selepas itu, beliau terus kembali belajar di Madrasahnya dan menjadi seorang yang aktif dalam mendalami ilmu agama. Itu adalah seorang tokoh islam yang berwibawa. Cuba bandingkan dengan kita? Jauh sama sekali. Oleh itu, apabila hubungan kita dengan Allah telah sempurna maka hubungan kita dengan manusia juga turut akan sempurna. Jangan kita abaikan hubungan kita dengan Allah. Jika tiada hubungan kita dengan Allah, siapa lagi ingin kita bergantung? Maka bersamalah kita menyemai kejernihan jiwa yang jitu. Jika jiwa itu elok, maka eloklah semua jasadnya.

Monday, May 5, 2008

Mahasiwa perlu berubah...


Merujuk kepada artikel yang ditulis oleh Utusan Malaysia tentang hak mahasiswa bersuara terus terjamin. Saya secara peribadi menyokong cadangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1, Datuk Ir. Idris Haron tentang penubuhan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Kecil Pendidikan Hak Asasi Manusia yang diwujudkan Kementerian Pengajian Tinggi. Melalui penubuhan ini, suara mahasiwa akan didengari oleh semua rakyat Malaysia.


Menurut Datuk Idris Haron, tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk memastikan segala aktiviti mahasiswa tidak terpesong dari akta universiti dan melepasi batasan hak asasi orang lain. Selain itu, Jawatankuasa yang ditubuhkan dengan kerjasama Suhakam ini juga turut bertindak meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dibawa ke Parlimen akhir tahun ini.


“Pindaan ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar dan universiti lebih kebebasan setelah kajian awal mendapati beberapa peraturan dalam AUKU menyekat kreativiti pelajar dan pihak pengurusan universiti untuk mencapai tahap kecemerlangan di peringkat global.


Perkara ini tentu akan menggembirakan sebahagian Mahasiswa di Malaysia ini yang inginkan suara Mahasiswa itu didengari oleh semua lapisan masyarakat. Malah, ini menandakan satu kejayaan pertama walaupun AUKU belum dipinda lagi. Sekurang-kurangnya ia sudah memberi impak yang sangat penting kepada masyarakat secara amnya.


Ye, memang isu ini isu yang sudah lama dan lapuk jikalau diimbas kembali. Tetapi melihatkan keadaan mahasiswa yang kian jatuh martabatnya, perkara ini perlu kepada penilaian yang sedalamnya oleh semua terutamanya pemimpin politik sekarang. Nak atau tidak, mahasiswa perlu diberi kebebasan yang secukupnya agar negara kita tidak ketandusan pemimpin yang berwibawa untuk menerajui negara pada masa akan datang.


Di sini saya ingin membawa kita kepada persoalan penting, adakah kita sudah bersedia? Jika AUKU dipinda sekalipun, adakah mahasiswa akan menjadi jurubicara ummah. Jikalau mahasiswa tidak diberikan kesedaran tentang peri pentingnya masa depan negara kita,bangsa kita,agama kita, mahasiswa tetap akan menjadi pak turut. Yang jika disuruhnya ke kanan, dia pun ke kanan, jika ke kiri dia pun ke kiri.


Bersamalah kita bermula kembali kepada pendidikan negara kita. Aspek yang paling utama yang perlu dititik beratkan bersama adalah pendidikan di peringkat sekolah. Hal ini kerana kebanyakan mahasiswa sebelum mereka ke universiti, mereka pasti akan menempuh alam persekolahan. Alam persekolahan yang paling penting adalah semasa sekolah menengah.


Disinilah pemikiran kita akan dibentuk oleh persekitaran. Jika persekitaran itu baik, maka baiklah pemikiran mereka. Maka di sinilah perlunya kepada pendidikan yang sistematik dan komprehensif. Ia akan menghalang kembali segala anasir-anasir yang tidak diingini sampai kepada para pelajar. Jika perkara ini tidak dibendung maka akan wujudlah mahasiswa lesu,lemah dan tidak kritikal di universiti-universiti.


Oleh itu, peranan kita sebagai mahasiswa yang mempunyai kesedaran tentang itu untuk turun ke sekolah-sekolah dengan membuat program motivasi,khemah ibadah dan kepimpinan. Hanya dengan ini sahaja pelajar-pelajar akan terjaga daripada tidur yang dibuai mimpi yang indah selama ini. Kita perlu menyedarkan mereka bahawa misi kita untuk belajar bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja, malah misi kita lebih besar daripada sekadar belajar. Misi kita adalah untuk membina insan yang berilmu. Insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmaninya. Jikalau semua mahasiswa mempunyai kesedaran ini, pasti mahasiswa yang sampai di universiti akan menjadi yang terbaik bukan sahaja untuk diri bahkan kepada agama, masyarakat dan negara itu sendiri.


Akhir kata, bersamalah kita membina generasi muda hari ini dengan kekuatan ilmu. Jauhkanlah generasi ini dari dunia hiburan yang melampau yang tidak akan ada penghujungnya. Mereka perlu dibangunkan dengan jiwa Islam yang unggul agar menjadi modal insan yang boleh dibanggakan oleh semua.

Pesta Buku Antarabangsa yang lalu....


Assalamualaikum, Apa khabar semua? Makluman untuk semua, post ni adalah sebuah cerita saya ke pesta buku antarabangsa. Saya masih dalam pembaikan dalam tulisan saya. Harap boleh beri komentar anda di comment saya. Harap2 sangat dan minta maaf sangat2. Terima Kasih.



Kring…kring…kring!! Telefon bimbit aku berbunyi. Aku yang khusyuk menghayati keindahan Masjid Negara dari stesen komuter Kuala Lumpur dikejutkan dengan panggilan dari seseorang.

”Assalamualaikum” Dekat mana dah ni? Lamo den tunggu ni. Halim berkata. ”Waalaikumsalam”. Kejap lagi abang sampai. Korang semua tunggu jap. Sekarang kat Stesen Kuala Lumpur ini. Berkata aku dengan Halim. Adik kucing aku ini. Perjalanan yang mengambil sejam dari Seremban untuk sampai ke PWTC amatlah memenatkan. Ditambah lagi dengan penumpang yang begitu ramai pada hari ini. Tetapi perkara ini tidak mematahkan semangat aku untuk mencari buku idaman aku itu.

Setibanya aku di sana terus aku pergi ke Pentas yang di mana di situlah tempat ahli seni mempersembahkan karya mereka dengan melukis gambar yang diminta oleh pelanggan mereka. Lukisan yang sangat unik jika dihayati dengan mendalamnya.

”Manalah mereka semua ini?”. Getus dalam hati aku. Sedang aku dikhayalkan oleh sebuah potret kartun ini bahu aku ditepuk oleh seseorang. Rupanya Halim yang menepuk. ”Ha!” ”Mana pergi”. Dah sejam kami tunggu ini. Mengeluh halim dengan keletihannya. ”Siapa yang lambat sekarang?” Tertawa kecil aku. ”Apa lagi, jom kita naik atas!”. Ajak aku.

Pesta buku kali ini amat meriah sekali. Dengan kehadiran pengunjung seramai 1 juta(di dalam berita) ini menggamatkan suasana kemeriahan pesta buku ini. Apabila saya masuk ke dewan pertama ini saya ternampak Perunding Motivasi yang tidak asing lagi di negara kita. Beliau adalah Dr.Fadzillah Kamsah. Masa saya tengah lalu di situ, beliau tengah asyik melayan tetamu yang ingin meminta tandatangan beliau untuk dibuat kenangan.

Dengan kehadiran pengunjung yang begitu ramai sekali masa itu, membuatkan aku terus dengan kawan-kawan aku itu ke dewan yang seterusnya. Dewan yang berada di sebelah bangunan ini menyebabkan kami semua terpaksa berjalan kaki ke sana.

Apabila sampai di dewan itu,gerai buku yang pertama aku lihat adalah gerai buku PTS. Wah! Besarnya gerai mereka ini. Getus di dalam hati aku. Gerai yang lain semuanya biasa je. Apa lagi aku masuklah melihat buku-buku yang disusun rapi di atas rak buku.

Tengah aku membelek sebuah novel ini, aku dikejutkan dengan pekerja PTS ini. Dia berkata buku ini memang best. Novel Hikayat Abdullah. Novel yang berkisar tentang pemerintahan Parameswara yang hebat dan kaya dengan hasil mahsulnya. Sangat menarik kalau dihayati dengan mendalam.

Walaupun jam menunjukkan jam 1.00 ptg, orang ramai tidak berhenti-henti masuk ke dewan pesta ini. Aku dan rakan-rakan yang lain sudah penat berjalan melihat buku yang menarik dan sekejap lagi azan akan dikumandangkan. Apabila sampai di surau PWTC ini, ramai sungguh orang berkumpul untuk menunggu giliran mengambil wuduk. Pelajar sekolah yang aku tengok paling ramai hadir masa pesta ini. Terdetik perasaan kecil saya, ”Alhamdulillah, inilah harapan bangsa negara”.

Selepas sembahyang zohor, perut kami semua telah berbunyi menandakan bahawa perut kami dah lapar. Tanpa membuang masa kami semua pergi ke KFC yang berdekatan. Maklumlah kalau makan kat ”food court” pun harganya lebih kurang je. Tergelak kami semua melihat telatah azizan dengan gayanya membawa makanan ke meja. Macam ada gaya pekerja sini je.

Selepas makan, kami semua bergegas pulang ke UIA. Halim akan balik ke rumahnya di rawang. Aku,jijan dan abe akan balik ke UIA. Dalam perjalanan balik ke UIA,hujan lebat membasahi bumi. Apalagi,kami semua redah la hujan yang tajam membasahi kami.

Tepat jam 7 malam, kami selamat sampai ke destinasi masing-masing. Satu pengalaman setiap tahun yang aku tempuh dengan suasana yang berbeza sekali. Ada sekali aku pergi dengan keluarga, ada juga pergi dengan saudara dan ada juga dengan sahabat jemaah. Alhamdulillah. Apabila sudah membeli buku ini, nak tak nak kenalah baca. Mesti kena baca punya. Walaupun kadang-kadang terasa berat mata apabila membacanya. Itulah lumrah kehidupan. Ilmu itu adalah kunci kehidupan. Kalau kita sendiri tidak mahu membukanya siapa lagi. Bersamalah menghayati kehidupan dengan mata hati dan bukan dengan mata nafsu. Percayalah,hidup ini

Thursday, April 24, 2008

Kelemahan diri ini......


Alhamdulillah, hari ini 24/4, saya selamat sampai di UIA. Bumi ilmu yang semakin tandus keilmuannya. Bermulanya satu episod hidup yang baru. Dengan subjek yang baru,bilik yang baru membuatkan aku rasa akan mendapat semangat yang baru.


Tetapi aku sedar yang diri aku ini punya kekurangan yang amat dari manusia yang lain. Hidup yang penuh dugaan dan cabaran ini akan aku tempuh untuk mendapat nikmat kehidupan yang selamanya. 'Permainan dunia, material, artis, hiburan melampau, gosip artis,......ahhh!!!!! Buatkan aku meluat dengan semua ini.


Mengapa semua ini membelenggu hidup aku!!!!!!


Aku rimas!!!!!!!


Aku sedar yang diri ini tidak boleh lari dari semua ini. Hidup sebagai manusia tidak boleh dari semua ini. Tetapi aku perlu kuatkan hati. Hidup ini ibarat 'tumbuhan'. Jika kita biarkan ia tanpa siraman air maka akan layulah tumbuhan tersebut. Jika kita berikan kasih sayang yang sebaiknya,maka akan hidup suburlah tumbuhan tersebut.


Sama jugalah dengan manusia, jika kita sirami dengan air zikrullah dan cahaya keimanan, maka akan bertambahlah keserian hidup manusia itu. Kitalah yang membentuk diri kita dengan sinaran dan pancaran itu.


Oleh itu, basahilah lidahmu dengan zikrullah, tempatkanlah dirimu di kalangan orang yang soleh. Hal ini akan menguatkan kita untuk terus hidup dengan keredhaan Allah s.w.t. Semoga hidup ini akan lebih bermakna kehidupan yang sebenar.