Thursday, April 17, 2008

Jalinan Kasih 3:“Kasih terbina,ikatan terjalin”



Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah mengadakan program dakwah orang Asli yang dinamakan Jalinan Kasih bermula 9hb hingga 12hb April yang lalu. Program ini telah diadakan di Kampung Rantau, Cameron Highlands. Program yang diadakan buat kali ke 3 ini telah disertai seramai 40 orang Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Bertemakan “Kasih terbina,ikatan terjalin”, matlamat program kali ini adalah menjadikan program ini sebagai wadah bagi kelab PERKIM dalam memberikan pendidikan dan amalan Islam kepada saudara-saudara Islam terutama kepada orang asli. Di samping itu, matlamat program kali ini adalah untuk membina ‘musolla’ untuk orang asli di sana terutama yang beragama Islam. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menyelami lebih mendalam cara hidup masyarakat orang asli yang baik untuk dipelajari. Oleh itu, dengan tuntutan mahasiswa untuk turun bersama masyarakat, maka program ini telah diadakan bagi merealisasikan misi untuk menyumbang bakti kepada masyarakat terutama kepada saudara baru ini. Buat pengetahuan semua, hampir semua penduduk kampung di sini adalah beragama Islam.

Suasana dingin menyelubungi para peserta setibanya di Ringlet, Cameron Highland pada hari rabu jam 3 pagi. Memandangkan masa masih awal, para peserta telah berkumpul di Masjid An-Nur, Ringlet sebelum bergerak ke Kampung Rantau dengan menaiki lori yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada awal pagi nanti.

Selepas menikmati sarapan pagi dan mendengar penerangan tentang program yang disampaikan oleh Saudara Mohd Hafiz Mohd Yunus, Pengarah Program Jalinan Kasih 3, para peserta mula mengangkut barang ke dalam lori dan bersiap sedia untuk bertolak ke kampung. Setibanya para peserta di kampung rantau pada hari rabu jam 11 pagi, ramai penduduk kampung sudah menunggu para peserta di sini. Bagi memudahkan penurunan beg para peserta ini, para peserta beratur terus hingga ke kampung. Hal ini kerana jalan masuk ke kampung ini curam ke bawah dan tanahnya agak licin. Maka para peserta membuat cara ini agar ia lebih mudah dan lebih cepat.

Pada hari kedua program ini saudara Mohd Hafiz Mohd Yunus, Pengarah Program Jalinan Kasih 3 telah membahagikan peserta kepada dua kumpulan besar. Satu kumpulan adalah untuk menebang pokok yang akan dijadikan surau dan satu lagi kumpulan akan memasak dan berurusan dengan orang kampung. Hari kedua ini adalah hari yang sangat memenatkan para peserta. Hal ini kerana proses untuk menebang pokok adalah satu proses yang mengambil masa yang lama untuk dilakukan. Pemilihan pokok yang sesuai sangat diperlukan untuk membina surau ini. Kumpulan yang menebang pokok ini telah diketuai oleh Saudara Abg Mat ,salah seorang penduduk Kampung Rantau. Pada sebelah petangnya, program sukaneka diadakan untuk menghiburkan kanak-kanak yang rata-rata umurnya sekitar 6-10 tahun. Permainan seperti ”mencari gula dalam tepung”, ”meniup belon sampai pecah” memeriahkan acara ini dengan sorakan daripada penduduk kampung yang turut hadir menyaksikan acara sukaneka ini.

Pada sebelah malamnya, para peserta telah mengadakan program bacaan ‘iqra dengan penduduk kampung. Selepas solat maghrib bersama, para peserta terus mengadakan program ini dengan penduduk kampung yang rata-rata terdiri daripada kanak-kanak dan orang tua. Semangat ingin belajar yang ditunjukkan oleh mereka membuatkan para peserta bersemangat untuk mengajar mereka tentang makna Islam yang sebenar. Program yang sangat santai ini membuatkan mereka tidak kering untuk bertanya soalan kepada para peserta tentang Islam. Pada masa ini, baru para peserta dapat merasai keindahan Islam yang sebenar. Keindahan Islam yang tidak terbayang oleh akal fikiran kita.

Pada hari ketiga program ini, para peserta meneruskan mencari pokok yang sesuai untuk dibuat surau. Hal ini kerana semalam, masa yang tidak mengizinkan untuk para peserta meneruskan pencarian dek hujan yang lebat. Pokok yang mengambil masa paling lama untuk ditebang adalah pokok nibong. Pokok yang seakan pokok kelapa ini adalah untuk dibuat lantai surau ini. Ketahanan pokok ini boleh tahan sehingga 10 hingga 15 tahun,menurut Pak Mat. Dalam masa yang sama, sebahagian dari para peserta telah pergi ke sekolah untuk membantu cikgu di sana untuk menceriakan kawasan sekolah Menson. Pada sebelah petangnya, acara ziarah ke rumah-rumah penduduk kampong telah diadakan bagi mengeratkan silaturrahim antara para peserta program dengan penduduk kampung.

Pada hari terakhir program ini, para peserta telah mengadakan sedikit jamuan ringkas bersama-sama penduduk kampung. Sebahagian daripada para peserta pula membersihkan kawasan sekeliling kampung dan mengemaskan kayu-kayu yang telah para peserta kumpulkan. Kemudian para peserta mula berkemas untuk keluar dari kampung. Tok kadi dari Jabatan Agama Islam Cameron Highlands(JAICH) turut datang melawat para peserta. Pada pukul 12 tengah hari tepat bersamaan hari sabtu, kami selamat keluar dari kampung dengan perasaan yang sedih dan hiba. Semoga program yang akan datang akan dapat dilakukan dengan berjayanya.



Memugar Idealisme Qurani Keteladanan Pemuda Al-Kahfi.


Menyorot satu kuliah Maudhuiy yang saya hadiri di Kolej Darul Hikmah, Kajang yang bertajuk tentang Pemuda Al-Kahfi. Kuliah ini disampaikan oleh Dr.Siddiq Fadzil iaitu Mantan Presiden ABIM dan sekarang sebagai Presiden Kolej Darul Hikmah (KDH). Kuliah yang sangat menarik yang diolah dari Tafsir Maudhuiy.


Pemuda Al-Kahfi yang disebut di dalam Al-Quran sebagaimana yang kita tahu adalah pemuda yang ingin menyelamatkan iman mereka dari maksiat yang berleluasa di dalam masyarakat. Pemuda yang seramai 7 orang (perbezaan pendapat) ini ingin mencari kebenaran yang hakiki. Pemuda yang mempunyai keberanian untuk bersuara terhadap sesuatu yang dirasakan tidak betul terhadap masyarakatnya. Pemuda yang keliru di antara hak dan batil. Maka mereka semua telah ditakdirkan untuk bersembunyi di dalam gua.


Niat mereka bersembunyi hanyalah untuk bersembunyi daripada belenggu pembodohan kaumnya sendiri. Tetapi dengan rahmat Allah s.w.t yang Maha Esa telah menidurkan mereka selama lebih 300 tahun. Bayangkan jikalau kita tidur di dalam gua yang lantainya berbatu itu boleh tidur dengan begitu lena? Bayangkan. Inilah rahmat yang telah diturunkan kepada umatnya yang ingin menyelamatkan fikiran mereka dari terbelenggu dengan proses pembodohan ini.


Penyembahan berhala yang dilakukan oleh masyarakat setempat menyebabkan mereka semua bangkit untuk menyatakan bantahan awam (public protestant) kepada masyarakat. Pemuda ini menunjukkan bahawa akal yang telah diberikan oleh Allah s.w.t haruslah digunakan sebaiknya. Tetapi apakan daya masyarakat setempat tidak boleh mengakui akan kebenaran yang dibawa oleh mereka. Maksiat yang berleluasa dilakukan menyebabkan mereka tidak tahan akan keadaan ini membawa mereka untuk bersembunyi di dalam gua.

Seorang penyair Indonesia yang bernama Renra menyebut bahawa rakyat Indonesia sudah menggadai hidupnya. Walaupun rakyatnya sudah bangkit dengan revolusioner tetapi rakyatnya tidak berkembang dari segi fikirannya. Fikiran yang dipabrikkan dan hidup yang diternakkan menyebabkan fikiran manusia itu tidak boleh berkembang dengan sendirinya. Apabila manusia telah diternak samalah seperti ayam dengan rebannya. Kerjanya hanya membekal telur untuk tuannya. Tidak ada rasa untuk menegakkan keadilan apabila kemungkaran telah berlaku di depan matanya. Masyarakat tidak ada rasa ingin berubah dari kemunduran kepada kemajuan, kebodohan kepada kepandaian.


Sifat ingin berubah ini mesti perlu ada pada setiap pemuda. Pemuda yang bukan sahaja mengikut membuta tuli tetapi mestilah mempunyai prinsip hidup yang hakiki. Walaupun ditiup dengan kuatnya tetapi tetap dengan pendiriannya. Perasaan inginkan lebih baik dari apa yang telah ada. Inginkan yang lebih baik tidak semestinya dari segi material bahkan baik dari segi hidup secara keseluruhannya. Maka hidup yang dibekalkan dengan cahaya iman dan redha Allah s.w.t inilah yang mesti menjadi matlamat umum seluruh umat Islam.


Oleh itu, jiwa pemuda yang bergelogak dengan jiwa yang ingin memberontak dan juga sentiasa panas dengan idea-idea ini perlulah diarahkan dengan tujuan yang baik. Tujuannya mestilah ke arah mencerahkan masyarakat umum kerana pemuda adalah harapan sesebuah bangsa. Maka misi pencerahan ini bukanlah untuk jangka masa yang pendek tetapi adalah untuk jangka masa yang panjang. Pemuda Al-Kahfi ini telah membuktikan bahawa dengan keyakinan dan keimanan kepada Allah s.w.t sahaja dapat merubah segalanya. Walaupun mereka tidak dapat melihat reformasi masyarakatnya tetapi mereka dapat melihat hasilnya. Inilah yang dikatakan kekuasaan Allah s.w.t ke atas sesiapa yang dikehendakinya.

Menyorot satu

Thursday, April 3, 2008

Apa nak jadi dengan UMNO???

Sudah hilangkah pertimbangan akal waras kita? Mungkin inilah pertanyaan saya semalam apbila melihat segelintir peesrta cuba bertindak liar terhadap seorang peserta. Apakah hanya bertanya isu Anwar Ibrahim kita sudah hilang pertimbangan?

Tindakan berang tidak bertempat ini tidak menguntungkan sesiapa pun. Malahan mencerminkan seolah-olah pemimpin kita tidak boleh berhadaapan dengan soalan-soalan nakal.

Saya percaya jika diberi peluang Ketua Pemuda Cawangan Batu 8, Sekinchan tersebut menghabiskan soalan, ahli panel kita di atas pasti dapat menjawab.Malangnya mereka yang ingin menafikan hak bercakap ini akhirnya hanya sama seperti orang lain yang mereka kecam.

Mereka tidak sedar dalam zaman kekalahan ini, tindakan sedemikian hanya memberi satu lagi liputan buruk terhadap UMNO.Demikian juga sikap segelintir hadirin yang tidak mahu menerima penerangan atau penilaian lain mengenai kekalahan BN dalam pilihan raya kali ini kecuali ingin mendengar kecaman terhadap Pak Lah dan Khairy.

Jika kita mahu UMNO kembali kuat kita harus menerima pelbagai pendapat dan penilaian agar dapat diperbetulkan UMNO dan BN luar dan dalam. Memang benar diakui Pak Lah dan Khairy mempunyai saham yang besar dalam hal ini, tetapi apakah dengan menyingkirkan Pak Lah dan Khairy sahaja maka semua masalah akan selesai sekelip mata?

Jika kita jatuhkan Pak Lah, siapakah yang bakal menggantikannya? Apakah jika diganti Pak Lah dengan Najib tanpa sebarang perubahan lain maka BN akan kembali kuat? Kita perlu tanya apakah orang Cina dan India beralih arah sebab Khairy dan Pak Lah juga? Apakah tiada faktor lain lagi?Atau ada sebab lain seperti yang dikatakan oleh Dr. Mohamad Khir Toyo bahawa orang Melayu, India dan Cina tidak berpuas hati dengan isu ekonomi dan pendidikan.

Sebab itu selain membawa Datuk Mukhriz yang diketahui telah menyalahkan Datuk Seri Abdullah, kita bawa juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, DS Dr. Mohamad Khir Toyo dan Ketua Penerangan UMNO Johor, YB Dr. Puad Zarkashi kerana mahu mendengar banyak pendapat dan pandangan.

Kita mahu mendengar pelbagai pandangan. Jangan tutupkan diri kita dari menerima pandangan-pandangan lain kerana ia menjadikan kita jumud dan beku. Salah satu punca kejatuhan Pak Lah ialah kerana beliau hanya mendengar pandangan orang tertentu sahaja.

Untuk forum selepas ini kita perlu bertanya kepada diri kita, apakah kita mahu menjatuhkan Pak Lah semata-mata atau mengubah kepimpinan dan juga mengembalikan kekuatan UMNO sebagai tunggak orang Melayu dan Barisan Nasional?

Kita perlu mempunyai strategi serampang dua mata. Menukar kepimpinan dan juga mencadangkan perubahan. Jika menukar kepimpinan sahaja matlamat kita, maka pemimpin yang naik juga akan meneruskan keadaan sedia ada. Apa hasilnya? Apa ertinya kepada kekuatan UMNO dan BN?

Jika kita mahu pandangan dan kehendak kita didengar oleh pihak lain, maka kita wajar belajar menghormati orang lain juga.

Petikan dari
http://www.mykmu.net/.


Monday, March 31, 2008

Kemenangan yang ditunggu-tunggu…….


Alhamdulillah, dengan limpah kurnia yang diberi oleh Allah s.w.t, aku sudah menghampiri ke satu hari yang ditunggu-tunggu.

“Apa ko merepek ni? Tegur Fahmi. Ketika ini aku bersama sahabatku ini menelaah buku Matematik. Maklumlah esok, selasa aku akan menempuh alam yang tidak terlintas oleh akal fikiran kita.

Selepas ini ada dua kertas lagi iaitu Matematik dan IT. Lepas itu, barulah hari yang dinantikan itu akan muncul dengan cerianya. Tidak sabar-sabar menunggu ini. Tetapi sebelum sampai ke hari itu, semestinya kita akan diuji dengan berbagai cabaran. Dengan cabaran ‘Game’,TV dan macam-macam lagi yang semua tahu rasanya.

Malam semalam sebagai contoh ada Anugerah Bintang Popular Berita Harian(APBH). Anugerah ini kalau saya duduk di bilik mesti saya “Study”. Tak gitu?. Walaupun ada yang tidak bersetuju Mawi menang anugerah itu, tetapi itulah dia Industri Hiburan tanah air kita. Oleh kerana itu, saya dan rakan-rakan pergi ke perpustakaan untuk menghindarkan dari segala cabaran ini.

Apa yang saya nak tulis di sini adalah apabila kemenangan kita datang bergolek tanpa sebarang usaha yang akan membuatkan kemenangan kita ta menjadi biasa. Kemenangan yang apabila diulit dengan kepahitan,kesengseraan dan kepayahan, ia lebih akan membuatkan kita merasa puas hati dengan usaha kita itu.

Oleh itu, kejayaan akan tidak akan sampai kepada kita jika kita hanya menunggu tidak berbuat apa-apa untuk ke arah itu. Kejayaan yang paling besar adalah apabila kita berjaya mengalahkan hawa nafsu diri kita sendiri. Dan juga kejayaan dan kemenangan paling manis adalah apabila kita merasa puas dengan usaha yang telah kita buat untuk ke arah itu walaupun kita mengalami kekalahan untuk sampai ke situ.

Kita juga tidak boleh lari daripada ujian ataupun ‘exam’ kerana dengan ujian inilah ia akan mematangkan kita untuk terus maju dalam kehidupan kita. Walaupun kita gagal pun, kita tidak mungkin gagal selamanya. Hal ini kerana ‘kejayaan itu datang daripada kegagalan’. Ingatlah bahawa selama kita masih belajar, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.

Kemenangan Islam itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang jitu daripada kita. Baru-baru ini, terbitnya sebuah filem yang mengutuk Islam. Malah banyak lagi rancangan yang telah dibuat oleh muuh-musuh kita untuk menjatuhkan kita. Maka dengan usaha daripada kita untuk membina tamadun khayra ummah kita dengan menyedarkan umat Islam akan kesedaran tentang Islam itu sendiri, perkara ini memerlukan kepada keterlibatan semua pihak untuk menjayakannya. Oleh itu, kerja-kerja kita walaupun sebesar zarah akan dihitung oleh Allah s.w.t.

Bersamalah kita mengambil iktibar bahawa di dunia ini kita tidak lari daripada cabaran,godaan dan sebagainya. Hanya kekuatan iman yang akan meyelamatkan kita daripada segala cabaran ini. Insya Allah.

Friday, March 28, 2008

AUKU 1971 Wajar Dipinda Segera



Keputusan bancian undi SMS di dalam Buletin Utama TV3 bertarikh 25 Mac2008 amat menarik perhatian saya. Malah, saya yakin bukan sahaja saya,malah ramai lagi yang tertarik dengan keputusan tersebut. Keputusantersebut menyatakan bahawa 91 peratus daripada pengundi menyokong agarAkta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) dimansuhkan.Bahkan saya juga merupakan di antara yang mengundi pemansuhan aktatersebut.



Soalan bancian undi SMS yang ditimbulkan itu telah menarik perhatiannegara khususnya di kalangan warga Universiti dan Kolej Universititerhadap AUKU 1971. Persoalan yang sering ditanyakan, adakah wajarAUKU 1971 diteruskan atau dimansuhkan sahaja?Saya berpendapat bahawa AUKU 1971 tidak wajar dimansuhkan namun tidakpula bersetuju supaya akta tersebut diteruskan begitu sahaja. Sayaberpendirian secara tetap sejak dari awal mengenali AUKU 1971 lagibahawa akta tersebut perlu dipinda dengan memberi perhatian khususterhadap peruntukan-peruntuk an yang secara jelas menyanggahi hak asasimanusia seperti yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan.Namun, oleh kerana soalan bancian undi SMS itu tidak pula menyediakanpilihan ketiga, saya kira hanya dengan mengundi pemansuhan AUKU 1971akan mampu menyampaikan maksud betapa perlunya akta tersebut dinilaisemula dengan kadar segera oleh Kerajaan Malaysia.

Kali terakhir AUKU 1971 dipinda adalah pada tahun 1983. Ini bererti sudah 25 tahun AUKU 1971 diperkuatkuasakan dengan pemindaan kaliterakhir tanpa sebarang penilaian semula. Selama 25 tahun itu jugalah,betapa kritikan dan saranan yang diutarakan oleh warga Universiti dan Kolej Universiti khususnya di kalangan aktivis-aktivis Mahasiswa samada secara berkumpulan mahupun berseorangan telah diketepikan malah tidak diambil endah sama sekali. Pandangan-pandangan oleh ahli akademik kentemporer bukan sahaja daripada aspek perundangan malah didalam pelbagai aspek lain juga seolah-olah tidak diberi penghargaan.Di dalam membicarakan persoalan samada AUKU 1971 wajar diteruskan ataudimansuhkan sahaja?


Terdapat dua aliran yang utama di kalangan warganegara gading yang mahukan perubahan terhadap akta tersebut dengan mengenepikan aliran minoriti yang menyokong agar akta tersebut diteruskan begitu sahaja.Pertamanya adalah aliran radikal iaitu mereka yang lantang menggesa agar AUKU 1971 dimansuhkan terus. Mereka berpendirian bahawa akta tersebut tidak membawa manfaat terhadap perkembangan institusi pengajian tinggi Malaysia dan pembangunan nilai warganya khususnya golongan mahasiswa. Mereka bersikap anti terhadap AUKU 1971 yang mereka anggap sudah puluhan tahun memenjarakan idealisme dan aktivisme mahasiswa di Malaysia. Aliran ini sering dikaitkan dengan gerakan-gerakan organisasi mahasiswa berhaluan kiri.


Kedua adalah aliran moderat iaitu mereka yang berpendirian bahawa AUKU1971 wajar diteruskan namun dengan pindaan iaitu dengan memansuhkan peruntukan-peruntukan yang secara jelas menyanggahi hak asasi manusia yang sudah terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Aliran ini bersetuju secara dasar dengan hujahan oleh aliran pertama berhubung dengan kesan-kesan AUKU 1971 terhadap pembangunan nilai kemahasiswaan dan perkembangan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Aliran ini berpendapat puncaya tidak boleh dipersalahkan ke atas AUKU 1971 secara keseluruhan namun ianya adalah disebabkan oleh beberapa peruntukan yang bercanggahan dengan semangat demokrasi melalui jaminan hak asasi manusia di dalam Perlembagaan Persekutuan. Aliran ini bersikap kritikal terhadap AUKU 1971 namun tidak pula menafikan kepentingan peranan peruntukan-peruntukan lain di dalam akta tersebut yangbermanfaat kepada negara. Aliran ini diterajui oleh PersatuanKebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sendiri yang komited didalam pendirian mereka di dalam isu ini.


Sebagai contoh peruntukan AUKU 1971 yang dilihat sebagai menyanggahi hak asasi manusia yang telah terjamin oleh Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat di dalam Seksyen 15 yang melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa universiti daripada bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau apa-apa jua lain pertubuhan. Peruntukan tersebut juga melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa universiti daripada menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.


Sedangkan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran. Ia merupakan salah satu hak asasi manusia yang dijamin oleh PerlembagaanPersekutuan. Tidakkah peruntukan AUKU 1971 seperti yang dijelaskan diatas nyata bercanggahan dengan hak asasi manusia yang terjamin didalam perlembagaan persekutuan tersebut?


Namun, tidak pula semua peruntukan AUKU 1971 wajar dimansuhkan. Sebagai contoh di dalam Seksyen 5 yang memperuntukkan larangan menubuhkan universiti kecuali dengan mengikut peruntukan akta ini. Ia dilihat sebagai peruntukan penting yang mewajibkan penubuhan universiti untuk mengikuti prosedur tertentu seperti yang ditetapkan di dalam akta tersebut. Ini bertujuan untuk mengelakkan perlumbaan untuk menubuhkan universiti sesuka hati yang kelak hanya akan menjejaskan perkembangan institusi pengajian tinggi di Malaysia.


Ketika Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) mencadangkan supaya AUKU1971 dipinda pada awal tahun lepas, cadangan tersebut mendapat reaksi pantas yang positif daripada generasi belia negara ini seperti yang dapat dilihat di ruangan rencana dan surat pembaca di dada-dada akhbarperdana Malaysia. Tidak kurang juga di kalangan ahli politik yangterlibat dengan pertubuhan belia turut menyokong cadangan tersebut. Jelas memperlihatkan kewajaran AUKU 1971 dipinda dengan kadar segera.


Adalah amat menyedihkan sekiranya suara majoriti rakyat ini dipandang enteng dan dibiarkan berlalu tanpa sebarang reaksi positif oleh kerajaan Malaysia. Justeru, kerajaan Malaysia perlu segera mendengar luahan hati majoriti rakyat yang mahukan perubahan di dalam usaha membangunkan nilai mahasiswa yang tentunya bersangkutan dengan pembinaan modal insan dikalangan belia hari ini. Di dalam masa yang sama rakyat juga mahu melihat peningkatan kualiti institusi pengajian tinggi negara.


Oleh yang demikian, tindakan awal yang tentunya akan memberikan impak positif yang besar adalah dengan menilai semula AUKU 1971 dengan kadar segera. Terpulang kepada kebijaksanaan ahli-ahli legislatif Parlimen untuk memutuskan hala tuju AUKU 1971. Samada memansuhkan peruntukan-peruntukan di dalam akta tersebut yang jelas bercanggah dengan hak asasi manusia yang terjamin di dalam PerlembagaanPersekutuan atau mansuhkan sahaja akta tersebut secara keseluruhan.