Friday, February 8, 2008

Islam terus subur di Turki

Semalam surat khabar Utusan Melayu 8/2/2008 menyiarkan tentang isu tudung di Turki yang di mana parlimen Turki bersetuju menarik balik larangan bertudung. Hal ini menunjukkan bahawa Islam di sana sudah diterima kembali walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada golongan sekular dan pengikut kemalisma.


Walaupun tentangan yang hebat diberikan oleh golongan sekular namun Islam di sana terus subur berkembang di merata tempat di Turki. Sejarah Turki menunjukkan bahawa walaupun pengaruh yang dibawa oleh Kamal Atarturk itu berkembang tetapi sesungguhnya bangsa Turki adalah bangsa yang beragama. Akar agama ini,iaitu Islam,menancap sangat dalam pada jasadnya. Maka tidak mungkin kemunculan pengaruh yang dibawa oleh Atarturk ini dapat mengubah tabiat orang Turki. Bangsa Turki juga tidak akan lupa bahawa mereka pernah menguasai wilayah yang luas di permukaan bumi selama lima abad dengan khilafah Islam.


Maka dengan itu, segala tekanan yang diberikan oleh Kamal Atartruk berjaya di tempis walaupun terpaksa dibayar dengan darah. Justeru itu,kita lihat sendiri bagaimana tekanan yang dikenakan terhadap Islam telah membangkitkan semangat ruhul jihad bangsa Turki dengan munculnya beberapa gerakan Islam dan parti politik yang beriltizam melakukan proses islamisasi masyarakat dan negara Turki.


Gerakan Said Nursi misalnya telah berjaya memecahkan ketebalan Kemalisame dengan penyebaran Risale-i-Nur dan merupakan satu-satunya sebaran dakwah Islam yang cukup berpengaruh dalam masyarakat Turki.


Dalam bidang politik pula kita menyaksikan Najmudin Erbakan,seorang professor Kejuruteraan di Universiti Istanbul,telah mencatakan nama sebagai seorang ahli politik Islam yang gigih berjuang bagi menempatkan semula Islam di sisi masyarakat. Dengan partinya National Salvation Party(NSP) telah berjaya mencairkan sedikit demi sedikit Kemalisme sejak menyertai pilihanraya yang diadakan di negara Turki.


Akhir-akhir ini satu revolusi baru telah bertiup di Turki di mana kebangkitan Tayyip Erdogan dan Abdullah Gul mengasaskan sebuah parti yang diberi nama Parti Keadilan dan Pembangunan(AKP). Parti yang berorientasikan Islam dengan mengekalkan perlembagaan sekular telah berjaya meraih simpati rakyat dalam dekad 90-an sehingga mencapai kemuncaknya dalam pilihanraya Turki pada tahun 2006. Kemuncak kejayaan parti ini apabila Abdullah Gul dilantik sebagai Presiden Turki yang baru.


Oleh itu, benarlah di dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud ”walaupun Islam ditekan,dihina,diancam dan sebagainya di seluruh dunia, tetapi Islam tetap ada juga di mana-mana”. Bersamalah kita mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia. Dan akhirnya kembali tertegak zaman kekhilafahan Islam yang tercinta ini.

Wednesday, February 6, 2008

Kajian tentang Solat

Pada awal muharam yang lalu, kami telah mengadakan sebuah program kaji selidik dan outreach iaitu “Solat Awareness Campaign” yang bertempat di Pudu Raya dan Pekeliling. Tujuan kami mengadakan program ini adalah untuk membuat kajian di kalangan masyarakat di situ tentang kepentingan solat. Program yang dikatakan ‘terjah’ ini pasti memerlukan kekuatan dalaman dan luaran. Hal ini kerana program seperti ini perlu untuk kita menyapa dan bertanya kepada masyarakat setempat dikala mereka sedang menunggu bas di sana. Seramai 35 orang sukarelawan Titian Wahyu telah pergi ke sana dengan kesedaran yang tinggi untuk membantu masyarakat di sana. Program yang hanya berlangsung selama satu setengah hari ini sudah pasti memberi pengalaman yang begitu beharga kepada semua sukarelawan. Hal sedemikian kerana pengalaman untuk berkata-kata di hadapan orang yang tidak dikenali adalah satu kerja yang bukan semua orang boleh melakukan. Lebih-lebih lagi kita bertanya tentang kepentingan solat.

Secara keseluruhan, kajian yang telah kami lakukan kepada 100 orang di tiga tempat berlainan iaitu Pudu Raya,Pasar Seni dan Stesen bas pekeliling. Statistik menunjukkan solat yang paling sukar dilakukan adalah Subuh dengan 73%. Manakala kajian menyatakan bahawa 65% bersetuju solat adalah salah satu punca kepada masalah gejala sosial yang berlaku hari ini. Oleh itu,anda semua boleh membayangkan keadaan masyarakat kita.

Solat di kalangan kita bukanlah perkara yang jangkal untuk diperkatakan. Tetapi adakah kita mengetahui kelebihan solat itu? Di sini saya ingin berkongsi tentang kelebihan solat itu di mana banyak masyarakat di luar sana yang tidak tahu akan perkara ini. Solat adalah ibadat awal dan pertama yang diwajibkan oleh Allah s.w.t secara langsung disampaikan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w pada malam mikraj itu. Oleh itu, tidak hairanlah solat boleh mencegah kepada kemungkaran. “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu melarang perbuatan keji dan mungkar. Dan sungguh, mengingati Allah itu adalah lebih utama”:(surah al-ankabut ayat 45).

Kekhusyukan di dalam solat adalah tingkat yang paling tinggi daripada tingkat kejayaan. Hal ini kerana jika hati seseorang itu khusyuk maka seluruh anggota badan itu akan khusyuk. Misalnya dalam peristiwa keruntuhan tiang di masjid Jamik di Basrah, orang-orang di sekitar masjid itu riuh-rendah. Secara kebetulan di dalam masjid itu ada seorang ulama salaf sedang asyik solat. Lantaran teramat fana di dalam solat,ia tidak merasakan apa-apa pun sepertimana yang dirasakan oleh orang-orang di sekitarnya tadi. Hal ini menunjukkan kepentingan solat itu di sisi agama dan betapa tingginya darjat solat di sisi Allah s.w.t. Oleh itu, banyak gejala maksiat yang berlaku hari ini pasti akan dapat berkurangan jika kita kembali kepada fitrah kita dan dengan kehendak Allah s.w.t.


Rahsia Qiyamullail & Solat Hajat oleh Saifullah Ibnu Muhammad

Erti Sukerelawan

Baru-baru ini UIA telah mengadakan Minggu Kemanusiaan yang juga merupakan salah satu aktiviti tahunan UIA yang mempromosikan tentang pentingnya sukarelawan, kelab-kelab sukarelawan dan tokoh-tokoh yang yang terlibat dalam medan ini. Oleh itu,ingin saya tuliskan serba sedikit tentang makna sukarelawan sebenar yang merupakan satu faktor asas yang perlu dititikberat dan perlu dihayati bersama.

Jikalau kita sedar akhir-akhir ini, mahasiswa seolah-olah itu sudah alpa terhadap kerja masyarakat. Mereka lebih suka berada di “comfort zone”. Padahal mereka tidak sedar bahawa keadaan sebenar di luar sana amat memerlukan mereka terutamanya yang bergelar Mahasiswa. Di sini bukanlah ingin mengupas tentang kesedaran Mahasiswa kepada masyarakat tetapi lebih kepada kesedaran masyarakat itu sendiri.


Apabila kita menghayati takrifan sebenar kesukarelaan adalah membuat sesuatu perkara tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran daripada sesiapa. Tambahan pula, kerja ini adalah sesuatu yang amat mulia di sisi Allah s.w.t lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam sangat digalakkan dengan melakukan kerja amal seperti menolong saudara yang tidak berkemampuan, memberikan kasih sayang kepada golongan yang memerlukan dan sebagainya. Dalam hadis Nabi yang bermaksud: “Golongan yang berkasih sayang antara satu sama lain adalah seperti satu tubuh badan, jika salah satu anggota badan itu sakit maka keseluruhan anggota akan merasai kesakitannya”.

Kebanyakan orang yang menceburi bidang ini adalah kerana beberapa faktor dari perspektif masyarakat dan individu.Tumpuan disini ialah kepada nilai-nilai dan idealisme yang mendorong individu untuk bersukarela.

Rata-rata orang yang melibatkan diri adalah kerana kepuasan(satisfaction). Kepuasan yang dimaksudkan adalah perasaan lega dan bangga kerana dapat membantu orang lain yang memerlukan,disamping yang dibantu itu pula menghargai bantuan dan sumbangan yang diberikan.

Penglibatan serta kepuasan ini didorong juga oleh sifat altruisme(altruism) atau keinginan untuk melakukan sesuatu kebaikan kepada orang lain. Altruisme ini lahir daripada sifat semulajadi manusia serta penyerapan nilai-nilai sosial yang dialami individu. Maka pendorong kepada kerja ini selain kepuasan dan agama, menjadikan seseorang itu amat positif kepada dirinya dan pihak sasar yang mendapat manfaat daripadanya.

Maka kerja sukarelawan ini adalah satu kerja yang jarang-jarang boleh dilakukan jika tidak dihayati maksud sebenarnya dan tidak berlandaskan kepada syariah yang sebenarnya. Oleh itu, kerja ini perlu dihidupkan kembali kerana kebanyakan masalah yang berlaku di negara kita ini adalah kerana kurangnya kesedaran untuk membantu sesama kita. Walhal kita semua adalah bersaudara yang mana pepatah Melayu ”berat sama dipikul,ringan sama dijinjing”. Maka bersamalah kita semua untuk membuang sejauhnya sifat hasad dengki sesama kita dan juga kata jangan jaga tepi kain orang.


Menghayati kerja sukarela oleh Azizan Bahari

Tuesday, January 22, 2008

Program PERSADA

Program Persediaan Mahasiswa Dinamik(PERSADA)


Anjuran:
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan

Tarikh:
29-2 Mac 2007

Tempat:
Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah

Dengan kerjasama:
Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sembilan


Rujukan kami : Tarikh : 16 Januari 2008

Peserta Program Persediaan Mahasiswa Dinamik(PERSADA)


Tuan,

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

JEMPUTAN UNTUK MENYERTAI PERSADA 08/09

Berhubung perkara di atas, kami dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan akan mengadakan Program Persediaan Mahasiswa Dinamik (PERSADA) untuk pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah sekitar Negeri Sembilan.

Bagi pengetahuan semua, program ini dilaksanakan bertujuan memberi pendedahan awal kepada bakal mahasiswa tentang alam universiti yang bakal ditempuhi selepas tamat persekolahan nanti. Di samping itu, program ini antara lainnya sebagai menyahut cabaran kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-9 untuk menjalankan usaha pembangunan kepimpinan para belia di peringkat awal khususnya di peringkat mahasiswa.

Butir-butir program adalah seperti berikut:

Tarikh : 29 Februari hingga 2 Mac 2008 ( Jumaat - Ahad )
Masa : 3.00 petang (29 Februari) hingga 2.00 petang (2 Mac)
Tempat : Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah

Justeru, kami dari ahli jawatankuasa ingin menjemput kepada semua pelajar yang berada di Negeri Sembilan untuk turut serta dalam program ini. Program ini terbuka kepada semua pelajar yang berminat untuk mengetahui tentang peluang-peluang di Universiti,cabaran-cabarannya dan sebagainya. Sila bagi nama anda kepada aniza-0173748604. Sebarang keterangan lanjut sila hubungi Izzat-0172193201.

Segala kerjasama dari pihak tuan kami dahului dengan ribuan terima kasih. Semoga ALLAH memberkati usaha murni ini.

Sunday, January 13, 2008

Budaya Ilmu



“Ilmu pengetahuan itu yang membawa kita ke terbang ke angkasa”. Begitulah kata-kata yang diungkapkan oleh Shakespeare.[1] Maka di sini kekuatan ilmu itu tidak dapat disangkalkan lagi. Hal ini jika kita melihat kepada kekuatan sesuatu bangsa banyak bergantung kepada bangsanya dalam menguasai ilmu samada ilmu duniawi mahupun ukhrawi. Hal ini diakui juga oleh Ibn Khaldun yang mengatakan bangsa yang mempunyai kekuatan lain, seperti jumlah tenaga manusia atau kekuatan tentera, tidak merupakan faktor yang boleh memberikan kekuatan hakiki,apatah lagi memberikan arah dan makna dalam pembangunan menyeluruh bangsa itu.[2]

Di dalam dunia yang semakin mencabar ini,kita tidak boleh lari daripada menempuhnya. Malah pengaruh yang dibawa oleh barat juga seperti globalisasi,hedonisme dan sebagainya jika tidak mempunyai ilmu yang kuat akan dibawa oleh arus pengaruh ini. Oleh itu,penguasaan ilmu yang tinggi tentang sesuatu perkara amatlah penting sebagai bekalan menempuh cabaran yang mendatang. Di sini saya akan membawa sedikit sinopsis tentang buku penjelasan budaya ilmu yang dikarang oleh Prof Dr Wan Mohd. Nor Wan Daud. Buku ini sangat baik untuk dibaca sebagai asas untuk mengetahui makna sebenar ilmu.

Apakah itu ilmu? Ilmu adalah sangat penting dan menjadi asas kepada semua perkara. Ada yang menyuarakan bahawa perkara yang terpenting bukanlah budaya ilmu tetapi adalah iman dan amalan keagamaan. Selain itu ada juga menyatakan kekuatan ekonomi dan sebagainya. Semua perkara ini adalah penting tetapi perkara yang terpenting sekali adalah ilmu. Iman atau amalan keagamaan,jika tidak didasarkan kepada ilmu yang luas dan mendalam,hanyalah seperti bangunan di atas pasir,datang ribut tumbanglah bangunan tersebut. Kajian yang dibuat oleh Profesor Muhammad Hamidullah,kebanyakan ayat al-quran yang mengandungi ajaran tentang berbagai-bagai aspek keilmuan ditanzilkan di makkah,bukan di madinah.1 Justeru itu Allah S.W.T dalam al-quran menegaskan bahawa hanya orang-orang yang berilmu berupaya mentaati Allah dengan sebaik-baiknya. Oleh itu,perkara paling asas dalam pembentukan mukmin yang sejati adalah dengan menguasai sebanyaknya ilmu baik ilmu duniawi mahupun ilmu ukhwari.

Pembinaan budaya ilmu yang bersepadu merupakan pra syarat bagi kejayaan,kekuatan dan kebahagiaan seseorang dan sesuatu bangsa. Tanpa pembinaan ilmu yang tinggi,kita akan mudah terpengaruh dengan suasana persekitaran. Jatuh bangun sesuatu tamadun banyak bergantung kepada kekuatan ilmu sesuatu bangsa. Hal ini diakui juga oleh Ibn Khaldun 3 yang mengatakan bangsa yang mempunyai kekuatan lain, seperti jumlah tenaga manusia atau kekuatan tentera,tidak merupakan faktor yang boleh memberikan kekuatan hakiki,apatah lagi memberikan arah dan makna dalam pembangunan menyeluruh bangsa itu. Begitu juga halnya dengan bangsa mongol dibawah pimpinan Genghiz Khan dan Kublai Khan dalam hubungan mereka dengan tamadun China. Orang Mongol akhirnya telah di “chinakan”. Malah rumpun bangsa Mongol dan Turki yang dahulunya amat biadab,telah mengakibatkan banyak kerosakan ketamadunan Islam telah memeluk agama Islam.

Oleh sebab itu, setiap manusia akan melalui pelbagai cabaran hidupnya yang memerlukan ilmu untuk melaksanakan dengan sebaik-baiknya. Maka usaha berterusan adalah perlu untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Bak kata:Dari buaian ke liang lahad. Dengan kesan Islam, banyak merubah tentang pandangan dunia,bahasa dan pemikiran serta banyak aspek sosiobudaya sesuatu kaum. Selepas kedatangan Islam, semua masyarakat menghormati ilmu dan para ilmuwan.

Akhirnya, bersama-samalah kita menghayati maksud sebenar ilmu. Jika dihayati dengan mendalam maksud ilmu akan lahirlah manusia yang bukan hebat dari segi ilmunya sahaja malah hebat juga dari segi personalitinya. Dalam Al-Quran yang bermaksud:”Sesiapa yang menuntut ilmu, Allah akan mengangkat darjatnya”(Surah Mujadalah:11).


Oleh itu, ilmu mempunyai peranan yang sangat penting dalam pembinaan individu, masyarakat dan Negara itu sendiri. Tanpa akar yang kuat nescaya tumbanglah pokok itu. Samalah juga dengan sesebuah Negara. Jika masyarakat atau rakyatnya tidak mempunyai modal insan yang utuh dan kuat, nescaya hancurlah Negara itu.
[1]Kata Shakespeare :dari Buku 7000 Mutiara Kata oleh Jeniri Amir
[2] Budaya ilmu: Prof Dr Wan Nor Wan Daud