Friday, January 19, 2018

SYZ Vending - Satu cabang perniagaan terbaru

Assalam semua,

Hari ini saya hendak berkongsi tentang perniagaan terbaru saya. Vending machine atau nama melayu nya Mesin Layan Diri. Alhamdulillah. Sudah 2 bulan 4 hari (14/11/17-19/1/18) mesin ini beroperasi dengan berjayanya. Ini semua adalah dengan berkat doa abah ibu dalam perniagaan ini.

Mesin saya ini kecil sahaja. Barang yang boleh masuk lebih kurang 200 sahaja. Di atas boleh letak makanan dan bawah boleh letak minuman. Tetapi terpulang kepada kita untuk susun makanan tu. Beginilah mesin saya di Maktab Tentera Diraja, Kem Perdana Sungai Besi. Nampak meriah kan? Masih banyak perlu dipelajari dalam selok belok perniagaan ini.

Betul lah dalam hadis nabi bahawa 9/10 rezeki datangnya daripada berniaga. Mungkin ini adalah hadis dhaif tetapi kita boleh jadikan sebagai satu amalan. Hal ini kerana dalam berniaga pelbagai hikmah yang kita perolehi. Antaranya yang paling utama adalah :

1) Tawakkal kita kepada Allah
Dalam urusan perniagaan, kita tidak ada rezeki yang tetap malah rezeki itu kita tidak tahu sama ada ia nya akan banyak ataupun tidak. Malah kita pun tidak tahu samaada kita akan mendapat rezeki itu atau tidak. Kadang-kadang kita merasa senang kerana rezeki itu akan masuk. Tetapi perkara sebaliknya terjadi. Kita sendiri pun tidak tahu. Perancangan Allah swt lebih baik daripada segalanya. Kita perlu tawakkal dan berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Allah swt akan menolong kita tidak kira susah mahupun senang.



2) Pentingnya doa ibu bapa dalam berniaga.
Apa yang saya percaya bahawa semua manusia yang berjaya di dunia ini pastinya menghormati dan menyanyangi ibu dan ayah mereka. Mereka mengangkat ibu dan ayah mereka ke tahap yang paling tertinggi dalam hidup mereka. Dengan itu, hidup mereka akan sentiasa di berkati oleh Allah swt dan dipermudahkan segalanya. 

3) Mengeratkan hubungan sesama keluarga terutama saya dan isteri
Hubungan akan semakin erat kerana kami mempunyai misi dan visi yang sama untuk mencari rezeki bersama. Pembahagian kerja membuatkan perniagaan ini bertambah mudah dan sangat menarik. Susah bersama-sama, senang pun bersama-sama. 

Dalam hal ini, saya sangat mengagumi isteri saya, yang bertungkus lumus menyediakan barang sebelum kami semua pergi masukkan stok balik. Penat macam mana pun, pasti akan dibuat dengan bersungguh-sungguh. Alhamdulillah. 


Secara kesimpulannya, saya dapat simpulkan kepada 3 hikmah yang amat besar walaupun hikmahnya banyak lagi yang saya tidak tertulis dalam blog ini. Nanti saya akan kongsikan di hari lain di waktu yang sama. Insya allah. 

Doakan semoga perniagaan kami akan berkekalan hingga ke hujungnya. Dan berjaya suatu hari nanti. 
Sesiapa berminat dengan bisnes vending, sila hubungi saya Ahmad Izzat - 0132952988 (http://www.wasap.my/60132952988) untuk keterangan lanjut. 

Kepada semua kaki FB sila add kami di syz vending. Apa2 perkongsian tentang bisnes vending, peluang rakan niaga, dan nasihat dalam bisnes vending boleh di utarakan dalam FB itu. 

Terima kasih semua. 



Monday, September 11, 2017

Selamat Hari Raya Haji 2017

Assalamualaikum,

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Haji kepada semua kawan-kawan serta pembaca pemuda pujangga.
Hari ini saya ingin berkongsi satu cerita tentang pengorbanan ibu atau mama atau umi.

Cerita yang saya rasa semua orang sudah maklum. Tetapi saya ingin kongsikan sahaja. Buat peringatan semua. Seorang ibu atau mama, seorang insan yang sangat penting dalam hidup seseorang yang bergelar anak. Jika ibu atau mama ini tiada di bumi ini, maka tiadalah kita. Oleh itu, Allah swt telah mengangkat darjat seorang ibu atau mama ke tahap yang paling tinggi sisi Allah swt.

Antara  kelebihan ibu atau mama ini adalah :

1) Syurga anak lelaki adalah terletak pada redha seorang ibu atau mama.

2) Sayang ibu tiga kali lebih daripada seorang ayah.

3) Doa seorang ibu atau mama lebih terhijab daripada seorang ayah kerana ibu lebih penyayang.

4) Redha Allah swt terletak pada redha ibu dan bapa seseorang manusia itu.

Oleh itu, selagi ada ibu dan mama kita, berbaktilah pada mereka selagi belum terlambat. Capailah sebanyak mungkin pahala yang boleh dengan menjaga mereka. Buatlah mereka tertawa selalu seperti mana ibu, mama selalu menggembirakan kita waktu kita kecil.






Ingatlah, dunia ini bulat. Kadang-kadang kita akan berada di bawah, dan kadang-kadang kita akan berada di atas. Semua itu adalah daripada ketentuan Allah swt dengan keredhaan ibu bapa kita. Pastinya, kita tidak akan berjaya di dunia mahupun di akhirat selagi tidak mendapat redha mereka. Amin.

Thursday, August 24, 2017

Terjumpa balik gambar lama

Assalamualaikum semua,

Apa khabar? Lama tidak mendengar khabar masing-masing. Alhamdulillah. Selepas beberapa tahun sebelum ini, saya dilanda cabaran yang tidak terfikir oleh dek akal manusia. Saya alhamdulillah mampu juga bertahan dan akhirnya Allah swt masih sayangkan saya.

SEMUA SUDAH TERTULIS 

Semua pernah dengar ke tidak perumpamaan "Kita semua adalah pelakon di dunia ini. Semua sudah tertulis". Iye, saya percaya semua benda yang terjadi di dunia ini sudah dirancang oleh Allah swt. Setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Bagi yang sedar atau tidak, kita sebagai manusia kita perlu redha dan percaya bahawa Allah swt berkuasa ke atas segalanya. Termasuk yang hidup dan mati. Kita tidak ada kuasa untuk mengubah seseorang menjadi baik atau berubah ataupun sebaliknya. Cukup sekadar kita berdoa dan berusaha sedaya mampu kita untuk membuatkan sesuatu lebih baik. Yang lain serahkan kepada Allah swt.

USAHA DAN BERDOA SELAGI MAMPU 

Allah swt telah berjanji bahawa sesiapa yang berusaha dan meletakkan segala harapan kepada Allah swt, insya allah Allah swt akan makbulkan niat usaha mereka. Pengalaman hidup saya selama 8 tahun sebelum ini banyak mengajar saya tentang erti tawakkal dan percaya kepada qada dan qadar Allah swt. Dan jika kita percaya dan yakin bahawa apa kita buat adalah betul di sisi Allah dan agama, teruskan tanpa ragu-ragu. Jangan di fikirkan manusia di sekeliling kita hendak komen apa. Cukuplah Allah swt sahaja mengetahui segalanya.

Saya secara peribadi sangat kagum dengan ibu dan abah saya selama ini. Mereka sangat sabar dan redha dengan segala apa yang berlaku ke atas mereka sebelum ini. Kadang-kadang perubahan pada abah terutamanya membuatkan saya berfikir bahawa kita tidak akan sentiasa menjadi baik selamanya jika kita tidak berusaha untuk mengekalkannya. Dan tidak pula menjadi baik jika kita tidak berusaha ke arah itu. Saya sedar saya lemah dan banyak perlu dipelajari daripada mereka.

Akhir kata daripada saya, kita mestilah ingat bahawa rezeki,jodoh dan mati adalah pasti. Semua ini Allah swt ingin kita beringat bahawa semua perkara itu datangnya daripada Dia. Bukan daripada manusia. Oleh itu, mintalah tolong daripada Allah swt dalam apa jua pengharapan dan bantuan. Dalam keadaan senang dan susah, jangan lupakan Allah swt, tempat kita bergantung harap di dunia ini dan juga di akhirat.

"ALLAH CINTA AGUNG"



Gambar konvo 2015 Studio


Langkawi 17 Jul 2016




Friday, July 8, 2016

Saya sudah kembali "pemuda pujangga"

Saya sudah kembali "pemuda pujangga"

Tarikh 9/7/2016

Masa : 9.20 a.m

Tajuk : Password blog sudah kutemui dan Raya 2016 yang amat bermakna

1. Hari ini hari sabtu, saya temankan isteri ke tempat kerja kerana saya tahu petang ini pasti akan traffic jammed. Biasalah semua orang utara akan gunakan lebuhraya karak ini untuk ke KL dan ke Selatan.

2. Alhamdulillah, raya tahun ini amat bermakna bagi saya kerana saya dapat beraya bersama isteri, anak dan keluarga yang tersayang. Raya 2016.

3. Alhamdulillah, tahun ini saya dapat jumpa hampir kesemua sanak saudara saya. Walaupun singkat, tapi sangat bermakna bagi saya. Beraya di Kampung dapat suasana kampung. Beraya di bandar dapat suasana bandar.Yang penting kita semua beraya bersama keluarga yang dicintai.

4. Singkat? Biasalah oleh sebab kekangan kerja, dapat beraya satu dan dua hari raya sahaja. Tetapi raya sebulan kan? Insya allah beraya sakan la korang.

5. Hari ini, semalam dan akan datang insya allah, semuanya telah di tentukan oleh Yang Maha Esa. Perjalanan yang telah ku lalui selama ini pun ada hikmah yang tersirat dan tidak saya ketahui akan maksud di sebalikNya. Hanya Allah swt sahaja yang mengetahui Nya. Kita hanya boleh berdoa dan berusaha untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

6. Hari ini juga saya kembali menulis dalam blog pemuda pujangga setelah lama tidak menulis. Akhir menulis pun tahun 2011 rasanya. Password sudah jumpa la katakan.

7. Saya dapat menulis pun hanya dalam blog sahaja pun. Dalam blog ini boleh menulis apa yang tersirat dan tersurat dalam hati, aktiviti harian kita, dan sebagainya. Bagi saya, dapat mengurangkan sedikit tekanan kerja di pejabat.

8, Mulai hari ini, saya hendak cuba menulis dalam blog ini. Jika ada masa saya akan kongsikan apa yang saya baca dan pengalaman hidup yang sudah saya lalui selama ini.

9. Akhir kata, untuk mendapat hidup yang diberkati oleh Allah swt, kita wajib patuh dan taat dengan perintah Allah swt. Selain itu, faham juga memainkan peranan penting dalam menentukan kita untuk patuh dan taat. Jika kita tidak faham, mungkin kita tidak akan betul-betul patuh dan taat.

10. Bila kita faham, barulah timbul sifat yakin. Bila yakin, barulah kita akan tahu yang Allah swt telah buat jalan cerita di dunia ini yang terbaik untuk kita. Kita tidak tahu bagaimana jalan cerita untuk kita selepas ini.

11. Yang penting, kita perlu bersangka baik dengan Allah swt yang mana Allah swt sentiasa akan berikan kita yang terbaik untuk kita jika kita sentiasa ingat pada Dia.

12. Selamat hari raya maaf zahir batin kepada semua keluarga saya, kawan2 dan sesiapa yang mengenali diri saya secara peribadi dan secara umum. Doakan kami sentiasa bahagia selalu, Amin.




Yang benar,

Ahmad Izzat Bin Atan

Tuesday, December 6, 2011

Email saya kena "block"

Salam semua,

Email saya along_charade@hotmail.com itu kena "block" daripada hotmail.com. Entah mengapa saya pun tidak tahu. Maka, mulai hari ini kawan-kawan boleh menghubungi saya di email along_charade@gmail.com. Tukar hotmail kepada gmail. Harap maaf ye. Terima kasih.


Daripada:


Ahmad Izzat bin atan,
Lab KENMS
Pukul 1.05 ptg
Hari Rabu/7hb Disember 2011.


Sunday, December 4, 2011

Berselawat dapat tenangkan jiwa

Alhamdulillah, apabila terbaca poster di Bilik Komputer Ekonomi ini tenang saya rasakan. Mana tidaknya tajuk poster ini berbunyi IIUM Berselawat. Seluruh bumi IIUM berselawat. Tenang seluruh isi bumi IIUM termasuk dengan orang-orangnya sekali.

Ya, berselawat dapat menenangkan jiwa dan sanubari kita daripada kekacauan dunia yang semakin menduga. Keadaan sekarang yang tidak stabil dan goyah menyebabkan diri dan juga keimanan kadang-kadang tergugat. Hanya dengan mengingatiNya akan dapat menenangkan diri.

Tasbih dan Qasidah ini merupakan muzik yang sukar di cari di mana-mana. Ia selalunya dilagukan sempena program ataupun selepas majlis ilmu dan solat. Biarpun begitu, ia selalu disalah tafsirkan sebagai bidah dan sebagainya. Sedangkan ini adalah salah satu cara untuk kita mengingati Nya.

Saya seronok apabila mendengar Qasidah ini. Saya dengar sewaktu saya di Yayasan Sofa sempena program Kem Remaja Solat di situ. Pertama kali saya mendengar saya sudah merasakan ketenangan apatahlagi mendendangkan bersama. Inilah nikmat yang diberikan Allah swt untuk merasai nikmat ketenangan.

Oleh itu, nikmat ketenangan ini tidak dapat jika kita tidak mencari. Dengan mencarinya ia akan dapat ketenangan. Carilah wahai sahabat kerana tiada perkara yang seindah ketenangan. Ketenangan dunia dan juga di akhirat.


Tuesday, November 29, 2011

Mencari sinar cahaya daripada kegelapan

Sinar cahaya itu merupakan sinar yang diimpi-impikan oleh kita semua. Sinar yang dapat menerangi kegelapan. Yang membuat kita tertunggu-tunggu untuk mendapatkannya selepas berada dalam kegelapan. Dan itu ialah sinar matahari.

Bersinarnya alam ini bukanlah hanya kerana sinaran matahari sahaja bahkan lebih daripada itu. Ia dapat menyinari bukan hanya alam semesta bahkan dapat menyinari hati setiap hati manusia. Ianya adalah hidayah daripada Allah swt.

Betapa besarnya nikmat cahaya ini yang dapat ditafsirkan dari pelbagai sudut dan keadaan. Ia tetap akan bersinar dan menyinari walaupun ia disekat oleh pelbagai halangan. Dan hanya orang yang terpilih sahaja yang dapat sinaran cahaya ini.

Bukan calang-calang orang mendapat cahaya ini. Hanya manusia yang sanggup menghadapi dugaan dan cabaran sahaja yang akan mendapat pengiktirafan daripada Pencipta yang Maha Berkuasa ini.

Beruntunglah mereka bahawa mereka semua ini mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan di dunia ini. Hanya dengan usaha sahaja dapat menentukan samaada kita tergelincir ke sebelah sana dan sebelah sini.

Ya Allah, berilah aku kekuatan menghadapi semua ini dan berilah aku pertolongan dalam menempuh dugaan hidup aku ini. Amin.

Pukul 1.15 petang
Lab Econ
30/11/2011




Tuesday, November 1, 2011

Assalamualaikum semua


Hari ini, 2hb November saya menulis post ini di Lab KENMS,IIUM. Hari demi hari, masa berganti masa, saya merasakan diri saya terlalu hina di depan Allah swt. Mengapa? Persoalan ini sudah lama saya pendamkan dan saya cuba selesaikan. Tetapi kesudahannya masih sama. Tidak ada jalan penyelesaian.

Mengapa kita perlu selesaikan? Adakah masalah dunia kita boleh selesaikan? Dan mengapa ada juga orang yang tidak boleh menyelesaiakannya?

Begitu banyak masalah di dunia ini sehinggakan masalah diri kita, kita tidak mampu menyelesaikan. Alangkah malunya diri ini. Malu didepan Allah swt dan di depan semua manusia di dunia ini.

Cuba kita renungkan, perbezaan agama merupakan salah satu faktor penyebab kepada masalah ini berlaku. Penyelesaian yang difikirkan kadang-kadang tidak mengambil kira kesannya pada masa akan datang. Oleh kerana ini, maka terjadilah penyelesaian seperti bunuh diri, anak bunuh ayah, anak pukul emak dan sebagainya. Walhal, jika kita fikirkan kembali, hal ini tidak sepatutnya berlaku jika kita mempunyai pegangan agama.

Penyelesaian ini merupakan jawapan yang sangat subjektif. Ya, saya tahu. Dari segi teori memang kita tahu. Tetapi aplikasinya sangat payah untuk kita lakukan. Mengapa begitu wahai kawanku sekalian? Fikir2kan dan berjumpa di post yang seterusnya.

- Tahniah kepada semua kawan2ku yang berkonvokesyen hari itu. Tahniah2.
- Doakan kejayaan saya ini yang masih meneruskan perjuangan di bumi UIAM ini.
- Teruskan kerjaya kawan2 dan jangan lupa akan daku di sini.

Assalamualaikum.

Ahmad Izzat Bin Atan
along_charade@hotmail.com

Tuesday, November 23, 2010

TV Al-Hijrah


Dunia masa kini memerlukan cara dakwah yang berlainan dan juga berbeza dengan zaman dahulu. Perubahan ini memerlukan kita untuk lebih terbuka dan berfikiran besar dalam mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran. Cabaran ini yang perlu kita hadapi dengan cara kita sebagai orang islam yang sejati dan juga sebagai khalifah di muka bumi ini.

Saya secara peribadi sangat bersetuju dengan penubuhan stesyen televisyen ini dengan misi dan visi yang berlainan daripada stesyen televisyen yang lain. Yang menarik minat saya adalah visinya yang lebih kepada program islamik dan sasarannya lebih kepada golongan muda.

Penubuhan TV Al-Hijrah adalah dinaungi keseluruhannya daripada pihak kerajaan. Ia ditubuhkan khusus untuk menyebarkan dakwah islamiyah kepada masyarakat selain menonjolkan imej islam dalam dunia penyiaran.

TV Al-Hijrah dapat memberi alternatif kepada masyarakat untuk memilih saluran tv yang lebih islamik dan dapat menenangkan jiwa. Bagi saya sendiri, saluran tv al-hijrah dapat membuka mata orang ramai tentang bagaimana hiburan sebenar dalam Islam.

Hiburan masa kini jika kita dapat lihat sangat berlebihan dan merosakkan golongan muda jika tidak dikawal. Kita dapat lihat golongan muda sekarang ini dimomokkan dengan hiburan yang tanpa batasan sehinggakan mereka alpa dan lalai dengan dunia yang sebenar. Mereka di tonjolkan dengan Akademi Fantasia sehingga sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk artis idaman mereka. Sekarang, terbitnya dengan cerita daripada luar terutama daripada Indonesia dan Korea yang begitu mengkhayalkan. Semua ini hanya melalaikan kita sehingga lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang islam.

Di harap dengan adanya siaran televisyen yang islamik dapat mengembangkan ajaran islam kepada masyarakat dan dapat mengurangkan gejala sosial yang datangnya daripada hiburan yang melampau. Antara puncanya adalah daripada televisyen.


Wednesday, November 17, 2010

Wajib bayar balik hutang PTPTN selepas enam bulan tamat pengajian.


Saya apabila terbaca berita ini membuatkan saya takut dan seronok bercampur-campur. mana tidaknya satunya perasaan seronok sebab dapat habiskan pelajaran. Yang tidak seronoknya adalah saya dah kena mula bayar hutang PTPTN ini. Tidak sempat 'enjoy' bila grad terus dah kena bayar hutang.

Itulah lumrah hidup seorang penghutang. Apabila sudah pandai meminjam jangan lupa untuk bayar hutang. Hal ini sekarang PTPTN telah menetapkan selepas 6 bulan habis pengajian, diwajibkan untuk memulakan pembayaran pinjamana PTPTN. Jikalau tidak denda akan dikenakan kepada peminjam.

Nak kata kejam pun tidak nak kata tidak bertimbang rasa pun tidak. Ini memang kerja mereka untuk memastikan yang penghutang membayar balik pinjaman mereka. Hanya kita sahaja yang susah ikut arahan mereka kerana kita pun ada masalah lain.

Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan anda juga supaya jangan suka berhutang dengan orang. Saya sekarang pun tengah berhutang gak. Tapi insya allah akan dilunaskan secepat mungkin. Sebelum kita menghembuskan nafas, hutang manusia perlu dibayar agar kita tidak disoal di dalam kubur. Pedoman untuk semua. Ingat! hutang mesti dibayar.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Maaf,penggunaan ayat pasar yang berlebihan. Hanya untuk luahan hati sahaja.

Selamat Hari Raya Aidiladha. Pengorbanan......

Sambutan E’idul Adha 1431H kali ini memanggil kita untuk menghayati dan mendalami erti sebenar di sebalik istilah pengorbanan. Lazimnya, Hari Raya E’dul Adha akan dikaitkan dengan ibadah penyembelihan haiwan ternak seperti lembu, kerbau, kambing, unta, kibash dan lain-lain lagi. Ibadah ini adalah satu refleksi dan manifestasi dari kisah pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Perkataan korban dari segi istilah berasal daripada perkataan Arab yakni Qaraba, Yaqrabu, Qurbanan yang memiliki makna ‘dekat’. Jadi, korban bererti mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengerjakan sebahagian perintah-Nya. Korban dalam pengertian kita sehari-hari sebenarnya diambil dari perkataan Arab udhhiyah yakni berbentuk jama’ dari perkataan ”dhahiyyah” iaitu sembelihan pada waktu dhuha tanggal 10 sehingga 13 Dzulhijjah. Dari sinilah muncul istilah “E’idul Adha”. Dengan demikian yang dimaksud dengan korban atau udhhiyah adalah penyembelihan hewan dengan tujuan beribadah kepada Allah pada hari raya Idul Adha dan tiga hari Tasyriq, yaitu tanggal 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

Selain itu, Allah SWT telah melampirkan sejarah mengenai korban di dalam Surah Al-Maidah ayat 27 yang bermaksud:

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.

Ayat ini mengadungi satu saranan bahawa dalam ibadah korban memerlukan sifat keikhlasan dan persembahan kepada Allah dan ketaqwaan kita kepada-Nya. Inilah yang dikisahkan pada zaman Nabi Adam a.s. Beliau mendapat perintah dari Allah agar kedua anaknya melakukan korban. Caranya dengan ”mempersembahkan” hasil bumi dan haiwan ternak. Kedua anaknya Qabil dan Habil segera memenuhi perintah tersebut. Habil yang bekerja sebagai penternak, dengan sepenuh hati berkorban untuk mencari redha Allah dengan menyiapkan haiwan terbaiknya untuk korban. Sebaliknya, Qabil, yang bekerja sebagai petani, melaksanakan perintah tersebut dengan tidak ikhlas kerana Allah, malahan beliau merasa terpaksa. Beliau berkorban dengan buah-buahan yang busuk yang beliau sendiri tidak menyukainya. Hasilnya, korban Habil diterima oleh Allah sedangkan korban Qabil ditolak. Justeru, kisah ini harus dijadikan iktibar buat kita semua dalam kerja buat kita setiap masa.

Mendekatkan jiwa kepada Allah dengan elemen pengorbanan.

Sememangnya ibadah haji adalah satu ibadah yang melatih pengamalnya untuk berkorban. Berkorban apa sahaja. Ada yang sanggup menggadaikan tanah, harta pusaka untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekkah. Ada juga yang hanya dapat mengecapi impian tersebut apabila umur sudah lanjut dan ramai juga tidak berkesempatan langsung.

Justeru, pada hari yang mulia ini kita disunnahkan untuk menyembelih haiwan ternak yang dagingnya harus dibahagikan terutama kepada mereka yang tidak mampu. Dengan ini kita diingatkan akan rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan sesama manusia dan sebagai anggota masyarakat. Selain itu, kita dilatih pula untuk merasakan nikmat kebahagiaan berkorban, sekalipun barang yang dikorbankan itu tidaklah sebesar mana dalam erti material. Akan tetapi, besar sekali ertinya jika dilihat dalam erti immaterial (maknawi), iaitu melalui proses memberi dan menerima antara anggota yang mampu dan yang kurang mampu dalam masyarakat. Hal ini dipekuatkan lagi dengan pengintegrasian di kalangan anggota masyarakat menjadi satu jamaah yang diikat dengan tali persaudaraan dan tali ukhuwah yang dapat menjambatani jurang antara yang punya dan yang tidak punya (the have and the have not).

Adapun dalam erti yang lebih mendalam, E’idul Adha ini juga mengingatkan kita kepada satu peristiwa yang mencetuskan rasa keharuan yang membawa erti pengorbanan yang lebih tinggi dan lebih besar. Bukan semata-mata pengorbanan kesenangan dan harta. Akan tetapi pengorbanan sesuatu yang amat dicintai di dunia ini. Itulah satu pengorbanan jiwa untuk sesuatu nilai yang lebih tinggi dari. Demikianlah peristiwa pengorbanan yang diperintahkan oleh Allah AWT kepada Rasul-Nya, Ibrahim dan anaknya Ismail a.s.

Al-Quran melukiskan peristiwa itu dengan satu rangkuman ayat yang amat indah. Ia dilukiskan dalam satu dialog Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s yang masih muda belia, yang juga menjadi tempat tumpuan kasih sayang sebagai anak dan bapa.

“Maka tatkala Ismail sampai (pada umur sanggup) Berusaha bersama-sama Ibrahim. Ibrahim berkata: hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu! Ia menjawab: Hai ayahku kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. Tatkala keduanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pehanya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Surah As-Shaffat ayat 102-107).

Begitulah sikap jiwa yang rela berkorban dari seorang ayah dengan rela dan ikhlas mengorbankan anak yang dicintainya. Dan demikianlah pula sikap jiwa seorang pemuda yang tidak ragu-ragu dan ikhlas memberikan miliknya yang tinggi yakni jiwa dan nyawanya sendiri. ALLAHU AKBAR!!!

Nilai pengorbanan dahulu dan sekarang: Bekal untuk individu dan gerakan

Tatkala merenung sejenak, apalah yang ada dengan pengorbanan kita hari ini jika dibandingkan dengan nilai pengorbanan umat terdahulu. Mereka sanggup berkorban seluruh harta dan nyawa, pangkat dan kedudukan demi semata-mata ingin mengejar satu nilai yang lebih tinggi yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Apa yang berlaku hari ini, kita lebih banyak mengutip hasil dari perjuangan dan pengorbanan umat terdahulu tetapi tidak pernah memulakan langkah perubahan untuk generasi akan datang merasai nikmat seterusnya. Telah dijelaskan oleh Dato’ Dr. Sidiq Fadzil berulang kali dalam tulisan dan ucapannya bahawa perjuangan kita ini adalah perjuangan untuk melakukan perubahan (taghyiri), pencerahan (tanwiri) dan pembebasan (tahriri). Perlu dicermati bahawa, perubahan yang harus dilakukan ini adalah berdasarkan idealisme perjuangan yang jelas dan kesediaan untuk berkorban yang tinggi. Dengan ini, barulah akan terhasil satu dampak perubahan yang besar dan memberi kesan yang membekas kepada setiap jiwa anggota masyarakat.

Sebagai ahli gerakan dakwah yang tangguh (kental), perlu ada sikap mujahadah yang tinggi untuk mengutamakan jamaah lebih dari diri sendiri. Lantas, pengorbanan dari sudut masa, tenaga dan harta seharusnya tidak lagi menjadi suatu masalah yang dapat diberi kompromi. Namun, ianya perlu didasari dengan kefahaman yang substantif akan matlamat dan cita-cita besar Islam. Pak Natsir menerusi khutbah Hari Raya E’idul Adha yang disampaikan di ruang halaman Fakultas Kedokteran di Universitas Indonesia, Jakarta pada 16 Febuari 1970 bersamaan 10 Zulhijjah 1389H berkata:

“Perjuangan ini memerlukan cita-cita, idealisme dan kesediaan menderita dan berkorban untuk mencapainya. Ia berkehendak kepada pemulihan moral dan keyakinan kepada pegangan hidup, yang mengatasi materil semata-mata. Tidak ada satu bangsa yang mencapai satu kejayaan kecuali apabila bangsa itu menghayati satu keyakinan, dan kecuali bila yang diyakininya itu mempunyai dimensi moral yang dapat menghidupsuburkan peradaban yang besar.”

Cabaran umat hari ini sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan umat terdahulu. Dalam berkembang biaknya institusi-institusi agama, sekolah-sekolah agama dan gerakan dakwah yang pelbagai, tetapi kebejatan sosial dan kemaksiatan juga seperti menemui jalan buntu akan penyelesaiannya. Jika dahulu, orang yang melakukan zina akan mencari tempat-tempat tersorok dan tersembunyi, tetapi hari ini mereka sudah tiada lagi rasa malu dengan merakam perbuatan jijik tersebut dan berbangga dengan menayangkannya di internet untuk tatapan ramai. Cuba kita tanyakan, di mana silapnya? Ada apa dengan dakwah kita? Apakah Islam yang kita terima ini punyai kecacatan atau KITA sebagai penerima dan pengamalnya yang sudah buta mata hati?

Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad

Timbalan Presiden

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Tuesday, November 9, 2010

Apakah sebenarnya terjadi dengan politik kita?

Tadi saya terbaca surat khabar mengenai politik negara kita. Macam-macam ragam politik negara kita ini. Ada yang kata ini salah, ada yang kata tidak menjalankan tanggungjawab ada yang suruh berundur dan sebagainya. Kalau beginilah politik negara kita ini sampai bila pun politik negara kita tidak akan matang.

Dengan media cetak yang banyak berpihak kepada sebelah pihak menyebabkan rakyat bosan dan malas dengan politik negara kita. Saya rasa budak-budak pun sudah pandai menilai mana yang baik dan tidak baik dalam politik negara ini. Adik kawan saya pun pandai menilai dengan berkata, "Nape berita tv ini asyik cakap pasal parti ini je?". Nampak sangat tidak matang.

Rakyat sekarang sudah pandai menilai mana yang baik dan tidak baik. Mana yang betul dan tidak betul. Jikalau 'trend' seperti ini diteruskan tidak mustahil kuasa politik orang Melayu akan hilang. Amik sebagai pengajaran.

Daripada penulis yang serba kekurangan tentang ilmu politik tetapi ingin meluahkan rasa hati terhadap senario politik negara sekarang ini. Bukan ingin menghasut sesiapa tetapi lebih untuk iktibar bersama.


Thursday, November 4, 2010

Iktibar daripada Khutbah Jumaat

Alhmadulillah, hari ini saya sempat mendengar khutbah jumaat di masjid al-mustaqimah. Banyak isi kandungan penting yang saya dapat daripada khutbah kali ini. Ini banyak menyedarkan saya tentang hala tuju dan masa depan hidup saya.

Prosperity index yang dikeluarkan oleh Negara Barat menunjukkan Malaysia telah jatuh ke tangga ke 43 di dunia. Index ini adalah statistik Negara maju mengikut urutan paling maju ke paling mundur.

Mengikut mimbar tersebut, statistik di kalangan Negara Asia, Australia telah dinobatkan yang pertama. Manakala Singapura dikatakan Negara paling maju di Asia Tenggara. Dan Malaysia di tangga ke 8.

Apa isi yang ingin saya katakan di sini adalah kriteria negara maju yang dibuat adalah berdasarkan kepada pembangunan duniawi dan bukannya pembangunan jasmani dan spiritual.

Oleh sebab itu, Singapura di katakan negara paling maju kerana merupakan hub ekonomi di asia tenggara dan juga merupakan anak emas Amerika Syarikat. Persoalan saya di sini bukanlah kedudukan dalam ranking dan bukan juga persoalan pembangunan dan material tetapi adalah soal kita sebagai umat islam untuk menilai adakah penting untuk menilai sesebuah negara itu maju berdasarkan kemajuan fizikal sahaja.

Di sini, kita sebagai umat islam perlu kembali kepada 5 perkara penting yang perlu dipelihara dalam hidup kita sebagai umat islam. Dalam ayat lain adalah Maqasid Syariah. Kita sudah lari daripada prinsip hidup kita yang telah kita pegang selama ini. Dan Maqasid Syariah ini akan membantu kita untuk meluruskan kembali jalan yang kita lalui saat ini.

Pertama adalah memelihara agama. Adakah sesebuah negara itu sudah mengamalkan syariat islam yang sepenuhnya dalam hidup kita. Jika perkara pertama ataupun pokok kepada hala tuju hidup kita tidak amalkan maka runtuhlah sesebuah negara itu. Terbantutlah perjalanan hidup manusia itu.

Kedua adalah memelihara diri ataupun nyawa. Hidup ataupun mati adalah ketentuan Allah swt. Kita yang merancang hidup kita dan kita juga yang menentukan bagaimana kehidupan kita sekarang dan akan datang. Memelihara diri ini adalah berpandukan kepada agama iaitu cara hidup kita.

Ketiga adalah memelihara keturunan. Keturunan merupakan asas kepada terbinanya sebuah keluarga yang harmoni. Jika penzinaan dan maksiat berleluasa di negara ini, keturunan akan rosak dan tidak akan terbinalah apa yang dikatakan keluarga islam yang harmoni.

Keempat adalah memelihara akal. Kecerdikan yang dikurniakan jika digunakan untuk cara yang salah akan menyebabkan kita akan terpesong daripada agama. Jatuh bangun sesebuah negara adalah berpandukan kepada rakyat yang pandai dalam menilai hak dan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Kelima adalah memelihara harta. Harta perlu digunakan sebaik mungkin dan tujuannya adalah untuk mengejar akhirat dan bukannya bermegah2 di dunia. Harta juga penting di dunia untuk menyemai baja di akhirat.

Jika kelima-lima dikira sebagai kriteria untuk diadili sebagai negara maju, pasti akan aman sentosa dunia ini. Ambilkan sebagai renungan.


Saturday, October 23, 2010

Mendaya: Adakah Najib ‘menjalankan tipu daya’



KUALA LUMPUR, 22 Okt: Perkataan 'mendaya' yang digunakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada ucapan dasarnya 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran' dilihat mengelirukan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Ketiga, tafsiran rasmi 'mendaya' adalah ialah "menjalankan tipu daya (muslihat), menipu".

Kamus yang dicetak pada 1997 lalu turut menjelaskan contoh penggunaan kalimah 'mendaya' yang tepat.

"Apabila sudah begitu, mudahlah mereka mendayakan kami spt (seperti) yg (yang) sudah diperdayakannya beberapa orang pelayan," dipetik dari halaman 278 kamus tersebut.

Pun begitu, Utusan Malaysia (muka surat 2) hari ini melaporkan, "ucapan bertajuk 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran' yang disampaikan dalam nada yang serius itu berjaya memaku para perwakilan dan pemerhati selama satu setengah jam untuk sama-sama menghayati menghayati isi hati dan wawasan perjuangan beliau (Najib)”.

Dijangkakan kalimah 'mendaya' yang digunakan Najib bakal menggamit polemik awam khususnya pada sambungan sidang Dewan Rakyat, Isnin depan.


Dipetik daripada harakahdaily.net


Sudah lama tidak menulis di blog saya ini. Insya Allah lepas ini akan berusaha keras untuk menulis sebanyaknya. Artikel ini adalah permulaan saya untuk meneruskan penulisan balik.


Banyak saya hendak tulis pasal ucapan dasar Najib ini. Nantikan.....

Tuesday, July 13, 2010

Semester baru: Apa perancangan?


Pada hari isnin yang lepas, UIAM sudah memulakan sesi pengajiannya. Semua pelajar sudah balik ke mahallah masing-masing tanda satu pekerjaan baru akan bermula. Mengejar impian yang belum terlaksana. Itulah ayat yang saya terfikir untuk semester ini.



Walaupun saya sedar, saya hidup tidak seperti manusia lain, tetapi saya yakin semua orang berhak menggapai impian. Impian yang sebenar dalam hidup adalah untuk mencapai keredhaan Allah swt dan mendapat nikmat syurga yang kekal abadi. Walaupun begitu, Kita sebagai manusia biasa mudah untuk berkata sebegitu kerana kita belum diuji lagi. Tetapi uijan yang diberikan hanya akan diberikan kepada yang mampu mengharunginya sahaja.



Apa yang belum tercapai? Persoalan ini sepatutnya saya lontarkan kepada saya yang sekarang semakin hilang arah tuju dalam hidup. Terasa keseorangan tanpa sesiapa di muka bumi membuatkan diri hilang arah dan punca. Apakah pengakhiran kepada semua ini?



Semestinya impian yang kita idamkan tidak semudah yang disangka. Kita terpaksa mengharungi sepak terajang,pukul memukul,fitnah memfitnah sesama kita agar mendapat apa yang kita idami selama ini.



Tetapi perkara ini bukan mengambil masa yang singkat, ataupun sepantas kilat ia akan berlalu, bahkan berpuluh2 tahun lamanya untuk kita mencapai apa yang dijanjikan oleh Allah swt.



Insya allah. Semuanya akan berakhir tidak lama lagi. Getus dalam hatiku. Tetapi tiada siapa pun sebenarnya yang mendengar jeritan batinku yang selama ini terpendam beku di dalam jiwa ini. Mahu dilepaskan semuanya tetapi tidak berdaya untuk melakukan semuanya. Saya lemah. Saya mengaku.



Sekarang, saya memerlukan semangat yang luar biasa selepas ini agar saya dapat menharungi semua ini. Biarlah orang hendak berkata apa asalkan saya tahu apa yang saya buat. Selagi Allah swt tahu niat seseorang nescaya Allah swt akan membantu.



Semester ini, banyak saya perlu laksanakan tanggungjawab yang sudah lama tidak saya jalankan. Banyak sekali. Tidak terhitung banyaknya. Apa hendak saya jawab di akhirat sana? Perlu dilaksanakan secepat mungkin. Agar saya tidak berada dalam keadaan tertekan setiap masa.



Pertama, utamakan mana yang lebih utama. Belajar pada waktu sekarang yang lebih utama. Saya perlu kuatkan lagi azam dan semangat yang saya bukan lagi budak2. Yang boleh disepak terajang. Saya perlu tetap pendirian. Pandai membahagikan masa dan pandai bergaul dengan masyarakat.



Kedua, tanggungjawab saya terhadap islam. Banyaknya dugaan untuk saya melakukan benda ini. Sehinggakan makhluk2 di dunia ini mengganggu saya untuk berhenti melakukan semua ini. Dengan kebijaksanaan yang diberikan Allah swt, perlu saya menggunakan sebaiknya. Agar saya tidak menyesal dikemudian hari.



Ketiga, keluarga. Doakan saya agar sentiasa berada dalam rahmatmu Ya Allah. kerana perkara ini paling susah hendak saya laksanakan kali ini. Hanya kepadaMu saya mohon diberikan kekuatan agar dapat menemukan titik pengakhiran kepada semua perkara ini. Amin.




"Wahai orang beriman, jangan engkau katakan engkau seorang yang beriman, sedangkan engkau belum diiuji lagi". Ingatlah ujian yang diberikan Allah swt tidak henti2 kepada orang yang kuat beriman kepadaNya. Ujian ini agar kita dikuatkan iman dan amal agar kita mendapat apa yang kita idami selama ini di dunia ini. Apakah dia? Tanya diri anda, pasti akan ada jawapannya.





Wednesday, June 23, 2010

Andaiku pergi..

Pertama kali, saya mendengar lagu ini hati saya betul terasa dengan liriknya dengan memukau hati dan perasaan saya. Liriknya penuh dengan muhasabah diri kita terutama saya yang leka dengan dunia ini. Saya cadangkan semua mendengar lagu ini. Insya Allah dapat mengingatkan kita tentang dunia ini yang hanya sementara. Mari kita sama dengarkan!.






Cerita hidup kian berlalu
Membawaku ke penghujung
Kaku langkah kian lemah
Kelu lidah untuk bicara

Langit jingga warna senja
Desir bayu membisik duka
Kealpaan nan semalam
Inginku lepaskan luka silam

Bersama rayu doa
Damba keampunanNya

Andai diriku pergi
Tinggalkanmu sendiri
Usah kau sedih
Usah tangisi duga dari Ilahi

Andaiku pergi dulu
Tiba tika dan waktu
Telah tertulis takdir untukku
Perjanjian yang Maha Agung
Doakanku sejahtera disisiNya

Rasa gentar rasa rindu
Bertarung di fikiranku
Wajah ceria, senyum manja
Kisah kita menghapus resah

Maafkan diriku kasih
Kerna buat kau menangis
Restuiku dengan cinta
Jangan kau titiskan air mata

Pintaku redhailah
Terima kasih atas segalanya

Hidup ini sementara
Ujian pasti setia hati
PadaMu kekasih

Moga rahmat hidayahMu
Mengiringiku, menemaniku
Saat akhir waktu

Bersaksi diriku
Tiada lain hanya Kau satu
Memiliki cintaku
Ku serah segalanya kepada Mu

Tajuk Nasyid : Andaiku Pergi
Artis : Mirwana

Monday, May 17, 2010

Intelek Lugu dan Aktivis Dungu






Saya tertarik dengan penulisan yang disampaikan oleh iskandar ini. Sedikit sebanyak terkena pada batang hidung sendiri. Aktivis dan intelek sebenarnya tidak boleh dipisahkan seperti irama dan lagu. Lebih-lebih lagi gerakan pelajar yang mengangkat martabat ilmu. Tetapi kita perlu menerima hakikat bahawa gerakan pelajar dipimpin oleh seorang pelajar. Kesalahan di dalam bergerak dan berjuang adalah asam garam di dalam dunia pelajar. Tahniah iskandar.





Artikel ini diambil dari blog momentumuiam.
_____________________

Intelektual Aktivis

______
Melihat kembali lukisan-lukisan yang telah dilakar oleh golongan mahasiswa di Malaysia pada kanvas-kanvas kehidupan, kita akan dapat lihat nilai keunikan dan citra mahasiswa kian menghilang. Masakan tidak, pada hari ini, golongan terpelajar inilah yang menjulang kejayaan dan dalam masa yang sama golongan ini jugalah yang membawa masalah.









Ketidakseimbangan di antara aspek Ruhaniyyah (spiritual) dan 'Aqliyyah (intelektual) merupakan antara permasalahan yang sekian lamanya dibincangkan oleh pelbagai tingkat masyarakat. Kecenderungan untuk menjadi pendakap kepada satu aspek sahaja seolah-olah merupakan satu kebiasaan dan secara tidak langsung membuahkan kekeliruan dalam diri mahasiswa dan lebih malang lagi, pada diri Pemimpin dan kader-kader gerakan pelajar.








Kekeliruan atau kerancuan ini menular, dan secara tidak langsung pada hari ini, kita kelihatannya hilang identiti.








INTELEK LUGU








Intelektualisme sepertimana yang ditakrifkan oleh Oxford Dictionary sebagai "the doctrine that all knowledge is wholly and mainly derived from its action of the intellect from pure reason" memperlihatkan nilai-nilai dualisme yang menjadi pegangan utama Barat Moden yang mana pada pacuan seterusnya memisahkan intellect dari makna yang merujuk kepada aspek sapential manusia dan mampu untuk menanggap persoalan kerohanian, bahkan telah menjadikan aspek 'intellectus' ini lebih merujuk kepada aspek saintifik seterusnya mementingkan unsur-unsur scientia manusia serta menolak kebenaran rohaniah dan metafizik.








Manakala lugu mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bersahaja, cukup apa adanya, sewajarnya.Intelek Lugu di sini (penggunaan kata kunci ini hanya terhad dan terbatas pada ruang lingkup perbincangan artikel ini sahaja) bermaksud ilmuwan yang merasakan cukup dengan ilmu semata-mata, namun tidak berupaya atau berusaha menjelmakan pengetahuan ke dalam bentuk perlaksanaan atau praktis.








Menjadi intelektual atau ilmuwan merupakan satu tugas yang berat, memandangkan orang yang berilmu seharusnya menjadi orang yang memandu jalan serta menerapkan hikmah kepada mereka di sekelilingnya. Bahkan taraf orang yang berilmu diangkat oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran bagi menunjukkan betapa serius dan penting ilmu dan orang-orang yang mengamalkannya.








Seorang intelektual juga merupakan seorang kekasih yang setia kepada satu; kebenaran. Sisi kebenaran dalam ilmulah yang sebenarnya membawa kita kepada kebenaran dan cahaya, bukanlah nilai relativiti atau kenisbian ilmu yang memegang prinsip bahawa 'semua orang adalah betul'. Adalah satu tragedi buat umat pada hari ini apabila ilmu yang benar dan betul (al-'ilm al-sohihah) sudah terhakis nilai autoritatifnya pada sudut pandang masyarakat terutama mahasiswa.








Ungkapan bahawa mereka yang berilmu, semakin berisi semakin tunduk, melengkapkan kitaran kehambaan seorang hamba kepada Allah S.W.T. Seharusnya semakin berilmu, semakin dekat dirinya dengan Allah S.W.T dalam setiap aspek kerana seorang ilmuwan adalah orang yang tahu! Tahu perihal benar-batil, halal-haram, jelas-syubhah dan sebagainya. Namun amat menyedihkan, pada hari ini kita kesesakan dan tenggelam dalam lautan ilmu semata-mata kerana bongkak dan tidak beradab dengan ilmu.





Aktivis Intelektual

AKTIVIS DUNGU






Aktivis dalam makna longgar mengikut kefahaman pembaca merupakan ahli-ahli aktif yang bergerak dan berupaya melaksanakan idea dan gagasan utama gerakan atau persatuan yang dianggotainya dengan cermat dan berkesan. Namun pada sudut pandang penulis, nilai makna aktivis ini secara tidak langsung sudah terhakis bilamana para ilmuwan dan aktivis secara tidak langsung mewujudkan dualisme dalam pemikiran dan perlaksanaan. Bahkan kata ilmuwan dan aktivis itu sendiri pada hari ini jelas menunjukkan dualisme dalam cakupan kefahaman mahasiswa berkaitan pragmatis gerakan.






Adalah malang untuk melihat pada hari ini betapa nilai aktivisme yang wujud dalam diri mahasiswa memuncak dan penuh semangat, bahkan semakin berani namun tidak berwaspada dan berpegang pada ilmu. Salah satu contoh aktivisme adalah kemuncak kehebatan mahasiswa yang dikatakan apabila mereka berjaya melakukan demonstrasi jalanan sepadan dengan istilah jiwa muda dan 'kelompok yang sedar dari kalangan masyarakatnya'. Namun, betapa hebat pun sesuatu nilai aktivisme itu, tetap gagal juga jika diri aktivis gagal memahami tujuan serta esensi sesuatu perkara (dalam misalan ini demonstrasi) bahkan bertindak dengan sekadar semangat sahaja. Para perancang atau penggerak sesuatu aktiviti itu mungkin tahu, namun mereka yang mengetahui serta mengepalai seharusnya menangani kefahaman dan semangat ahli.






Istilah Ilmuwan Aktivis yang pernah disuarakan suatu masa dahulu merupakan cita dan citra yang diharapkan sebagai satu gagasan menggabungjalinkan di antara kedua aspek spiritual dan intelektual yang kian meruncing ini. Namun, masih, sehingga hari ini pencapaian untuk menuju ke arah mewujudkan generasi yang dinamik dan sedar serta mampu menangani 'kanan' dan 'kiri' seolah-olah tidak lagi kelihatan.






POTENSI GERAKAN






9 orientasi gerakan serta 7 budaya yang seringkali dicanang-canang merata tempat seharusnya dijadikan sebagai satu realisasi dan bukan sekadar tempelan. Mungkin PKPIM boleh berbangga dengan kompetensi serta kemampuan gerakan untuk bergerak maju, bahkan untuk duduk setanding dengan mana-mana pihak tinggi namun secara asasnya perlu diselesaikan dahulu. Sekiranya ahli gerakan sudah memahami asas-asas 9 dan 7 ini, sudah pasti zaman kegemilangan PKPIM atau apa yang sebenarnya kita mahu; Mengangkat martabat mahasiswa serta mengislamisasi minda golongan remaja dan pelajar mampu tercapai.






Kerancuan masih lagi berlaku, namun usaha untuk membendung apatah lagi menggabungjalinkan kedua-dua nilai seakan-akan jarang dan tidak kelihatan. Mungkin ada, namun cadangan kekal cadangan dan keadaan tetap kekal seperti dahulu.






Jadi berhenti mencanang gagasan yang besar namun akhirnya ia kekal cuma sebagai sesuatu yang sedap untuk diungkap di bibir semata.






___________________________________






RUJUKAN



[1] Ucapan Dr. Siddiq Fadzil-Muzakarah Qiyadah 2010



[2] Isu-isu dalam Pemikiran Islam-Dr. Mohd Farid Shahran



[3] PKPIM 5 Dasawarsa



[4] Bahan-bahan bacaan lain-Akhbar, laman sesawang dan majalah.






ISKANDAR






Aktivis PKPIM UIAM

Monday, May 10, 2010

Fahami orang lain baru orang akan fahami kita

"Saya sebenarnya tidak puas hati dengan cara engkau layan aku, kau tak faham aku ke? Aku kan tak suka kalo kau buat macam ini." Suara2 seperti ini pasti akan terdengar oleh kita di sekeliling kita. Kadang2 kawan2 kita pun bersuara sumbang seperti ini. Itulah hakikat manusia.
Menurut pendapat sesetengah cerdik pandai, mereka berkata bahawa apabila kita memahami orang lain lebih daripada memahami diri sendiri, orang lain akan menilai diri kita lebih lagi sehinggakan kita tidak sedar kita mempunyai kelemahan atau kelebihan diri kita ini.
Memberi dengan lebih banyak kepada orang nescaya orang akan membalasnya dengan lebih banyak lagi kepada kita. Samalah konsep dengan ketuhanan. Jika kita banyak menolong agamanya nescaya Allah swt akan membantu kita selagi mana tidak membuat perkara yang tidak dibenarkan oleh Nya.
Memahami orang lain itu perlu kerana mereka dalah cermin kepada kita. Seperti suami isteri. Jika suami itu seorang yang panas baran, isterinya akan menjadi penyejuknya. Jika kita membuat kesalahan, kawan2 kita akan menegur kita. Seperti cermin dengan diri. Jika rambut kita kusut masai, cermin akan memberitahu bahawa rambut kita kusut masai.
Mana tidaknya mereka ini akan memberitahu jika mereka tidak difahami terlebih dahulu. Fahami mereka baru membuat penilaian. Jangan pandang pertama terus melatah dengan macam2 sangkaan. Berprasangka baik itu amalan yang baik.
Oleh itu, fahamilah orang lain terlebih dahulu sebelum mereka ingin memahami diri kita. Fahamilah dahulu apa yang Allah swt berikan kepada kita sekarang ini, nescaya Allah swt akan membuka hikmahnya kepada seluruh kehidupan kita dunia dan akhirat.
Selamat berpujangga.
Library UIA
11.5.2010
9.55pagi

Sunday, April 25, 2010

BN menang di Hulu Selangor

Ketika saya membaca utusan online untuk mengetahui tentang keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, saya sudah menjangkakan keputusan yang BN akan menang dengan majoriti yang besar. Hal ini kerana bagi saya jentera kempen dan propaganda yang dibuat oleh BN sangat kuat dan gagasan 1Malaysia yang dilihat banyak mempengaruhi pengundi kali ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor hari ini sebagai satu peralihan besar sokongan rakyat kepada BN.

Kata2 PM itu bagi saya benar sekali dan ternyata apa yang beliau lakukan sekarang ini sebagai PM memang berjaya mempengaruhi rakyat Hulu Selangor secara khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya.

Rakyat secara amnya memang inginkan sebuah kerajaan yang telus dan jujur dan yang paling penting menepati kehendak rakyat. Bagi saya, kemenangan BN atau PKR sekalipun dalam pilihan raya kecil ataupun besar tiada apa2 makna jika mereka tidak berbakti dan menunaikan janji mereka semasa kempen mereka.

Berpolitiklah di jalur dakwah dan berdakwahlah di jalur politik.

Selamat bekerja untuk rakyat dan agama.


Ini hanyalah ulasan seorang penulis yang kurang ilmu tentang politik.